Selasa, 6 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Penduduk tuntut janji pemaju

Posted:

Penduduk tuntut janji pemaju

Penduduk tuntut janji pemaju

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


Azman Ismail (kanan) menunjukkan pagar di kawasan Taman Puncak Bertam yang boleh dimasuki orang luar.


MELAKA 5 Sept. – Mereka dijanjikan tahap keselamatan yang tinggi dan kemudahan yang pelbagai, namun realiti sebenar perlu diterima oleh kira-kira 300 penduduk Taman Puncak Bertam di sini, ternyata hanya mimpi indah semata-mata.

Setelah tinggal lebih setahun, keluhan dan kemarahan penduduk terhadap pemaju kawasan perumahan elit berharga antara RM303,000 dan RM600,000 sebuah itu sudah tidak dapat dibendung lagi.

Bertempat di taman permainan, kira-kira 30 penduduk membantah sambil menyuarakan bantahan di atas dasar pemaju yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Puncak Bertam, Datuk Azman Ismail berkata, masalah utama dihadapi penduduk ialah kes pecah rumah yang kerap berlaku di kawasan tersebut sedangkan ia mempunyai pos pengawal keselamatan.

Tambahan pula, menurut beliau, setiap penduduk telah menjelaskan yuran kawalan keselamatan antara RM600 hingga RM1,200 mengikut keluasan rumah.

"Dalam kejadian terbaru dua minggu lalu, dua buah rumah telah dipecah masuk pada waktu siang menyebabkan salah seorang mangsa kerugian lebih RM20,000.

"Perkara begini tidak sepatutnya berlaku kerana kami membayar yuran kawalan keselamatan kepada pemaju dan mereka sepatutnya bertanggungjawab memastikan keselamatan kawasan perumahan ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah beliau, baru-baru ini pengurus syarikat keselamatan yang dilantik pemaju juga ada memberitahunya terdapat aspek-aspek keselamatan yang masih longgar yang perlu dibincangkan, namun pemaju hanya berdiam diri.


SEBAHAGIAN penduduk Taman Puncak Bertam berkumpul sebagai tanda bantahan terhadap pemaju perumahan selepas sidang akhbar, semalam.


"Kad elektronik palang automatik juga kerap rosak sehingga empat bulan menyebabkan palang sentiasa dibuka dan memudahkan sesiapa sahaja keluar masuk dari taman ini sesuka hati.

"Selain itu, pemaju hanya menggunakan dawai hijau biasa untuk memagari kawasan perumahan menyebabkan ia kerap berlubang dan memudahkan orang luar memasuki kawasan kediaman," tambahnya.

Seorang lagi penduduk yang juga rumahnya dipecah masuk pencuri pada 26 Ogos lalu, Tan Chee Haw, 31, berkata, dia telah memaklumkan kepada pemaju tentang kejadian itu tetapi mereka memberi jawapan tidak bertanggungjawab atas kerugian RM20,000 yang dialaminya.

"Sehingga hari ini, wakil pemaju langsung tidak menghubungi saya walaupun sekurang-kurangnya untuk melahirkan rasa simpati sedangkan saya membayar yuran kawalan keselamatan sebanyak RM960 setahun," katanya.

Seorang lagi penduduk, Datin Marlina Lee Abdullah, 47, berkata, selain masalah pecah rumah, padang dan kemudahan riadah di kawasan itu juga tidak sempurna dan bersesuaian dengan status kawasan perumahan elit.

"Padang permainan yang tidak rata menyebabkan ia sentiasa dipenuhi air selain rumput yang tidak tumbuh sekata dan dipenuhi sisa binaan seperti batu dan kayu.

"Malah, kemudahan surau juga tidak disediakan walaupun semasa mula-mula beli rumah dulu mereka ada menjanjikan tapak surau yang berdekatan dengan kediaman," katanya.

Seorang lagi penduduk, Koh Lock Ling, 30, berkata, rumah teres berharga RM303,00 yang dibelinya kini semakin mendap kerana terletak di tebing bukit yang semakin terhakis.

Penyebar fahaman Syiah dikenal pasti

Posted:

Penyebar fahaman Syiah dikenal pasti

Penyebar fahaman Syiah dikenal pasti

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 5 Sept. – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang memantau dari semasa ke semasa kegiatan individu yang dipercayai cuba menyebar fahaman Syiah di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, individu terbabit sudah pun dikenal pasti memandangkan sebelum ini pernah mengemukakan permohonan dengan pertubuhan syarikat bagi mendaftarkan penubuhan kumpulan tersebut.

Menurutnya, tindakan individu tersebut dikesan selepas pihak pendaftaran syarikat merujuk permohonan tersebut dengan JAIM dan tidak diluluskan kerana fahaman itu berlainan dengan ketetapan Fatwa Kebangsaan yang meminta masyarakat Islam berpegang teguh kepada fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah.

"Banyak keraguan dan persoalan timbul mengenai individu ini seperti gelaran pakar akademik yang disandang pada namanya malah turut dipersoalkan banyak pihak" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan cubaan pihak tertentu yang cuba mewujudkan fahaman Syiah di Melaka berikutan penemuan buku dan risalah mengenai fahaman itu dalam serbuan JAIM di sebuah rumah di Taman Paya Dalam bulan lalu.

Serbuan ke atas rumah itu yang dipercayai menjadi markas fahaman Syiah turut menahan enam remaja berusia 14 hingga 18 tahun yang mendakwa bekerja di rumah tersebut.

Antara ajaran kumpulan itu adalah menghalalkan para pengikutnya bernikah secara kontrak dan membenarkan sembahyang jamak dilakukan pada bila-bila masa walaupun bukan dalam keadaan darurat.

Pengikut ajaran tersebut juga menyanjung Ahlul Bait iaitu ahli keluarga Nabi Muhammad SAW secara keterlaluan dengan menganggap golongan itu maksum atau bebas daripada dosa serta anti terhadap para sahabat kecuali Saidina Ali.

Selain itu menurut Rahimin, setakat ini, tiada lagi serbuan dilakukan pihaknya di masjid atau surau yang dijadikan tempat pengedaran risalah atau buku fahaman Syiah dengan yang terakhir dilakukan di Masjid Paya Redan pada 27 Ogos lalu.

"Kita minta kerjasama pihak pengurusan masjid dan surau terutama kawasan pendalaman agar memaklumkan kepada JAIM atau melaporkan kepada polis sekiranya ada pihak yang cuba mengedar risalah atau buku tentang fahaman ini di premis mereka," katanya.

Pada masa yang sama, Rahimin meminta kerjasama agensi yang berkaitan agar membantu JAIM untuk mengenal pasti identiti individu terlibat menyebarkan fahaman Syiah di negeri ini memandangkan wujud pelbagai keraguan mengenai individu tersebut yang memerlukan siasatan terperinci pihak berkuasa.

Kenangan pahit seorang ibu kehilangan anak

Posted:

Kenangan pahit seorang ibu kehilangan anak

Kenangan pahit seorang ibu kehilangan anak


Norlida Khalid (kanan) bersama anaknya, Mohammad Hafizuddin Mohd. Zahidi melihat keratan akhbar yang melaporkan kejadian yang menimpa Siti Nurzulaihah Mohd. Zahidi di rumah mereka di Kuala Jempol, Jempol, baru-baru ini.


JEMPOL 5 Sept. - Kehilangan anak tersayang secara tiba-tiba memberi kesan yang amat mendalam buat seorang ibu apatah lagi ia berlaku secara tragis.

Norlida Khalid, 41, terpaksa menerima ketentuan takdir apabila anaknya, Siti Nurzulaihah Mohd. Zahidi, 6, maut dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 3, Jalan Bahau-Juasseh dekat sini, pada 30 Disember tahun lalu.

Kemalangan tersebut berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki Norlida dan anaknya bergesel dengan sebuah motosikal Yamaha RXZ.

Pelanggaran tersebut menyebabkan Norlida mengalami kecederaan di kaki manakala Nurzulaihah yang sepatutnya mendaftar ke tahun satu di Sekolah Kebangsaan Kampung Kuala Jempol di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mengimbau kenangan lalu, Norlida menyifatkan Siti Nurzulaihah yang mesra dipanggil sebagai 'adik' adalah seorang anak yang sangat baik.

"Arwah adik gemar membantu saya terutama di kebun getah. Boleh dikatakan setiap petang arwah akan mengikut saya ke kebun dan dia berkeras mahu membantu saya mengumpulkan getah buku walaupun saya cuba melarangnya.

"Sudah hampir lapan bulan saya kehilangannya dan sejak itu saya belum menjejakkan kaki ke kebun kerana saya seolah-olah melihat kelibat arwah adik di sana," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Jempol dekat sini, baru-baru ini.

Katanya, Ramadan dan Syawal kali ini tidak meriah berbanding tahun sebelumnya apabila dia bukan sahaja kehilangan Siti Nurzulaihah, malah ayahnya, Khalid Ujang, 68, juga meninggal dunia pada 10 Disember lalu.

Sementara itu, abang kedua arwah, Mohammad Hafizuddin Mohd. Zahidi, 15, berkata, hatinya bagai diragut dan dunianya seolah-olah kosong sebaik sahaja mendengar berita kematian adiknya akibat kemalangan jalan raya.

"Perasaan saya antara percaya atau tidak apabila ibu menelefon memberitahu bahawa adik sudah tiada lagi. Walaupun sering menyakat arwah, namun saya amat menyayanginya.

"Kenangan Ramadan tahun lalu masih segar dalam ingatan saya. Tahun lalu, adik mula belajar erti ibadah puasa. Walaupun pada mula adik tidak kuat namun akhirnya adik berjaya berpuasa selama 25 hari.

"Kalau ibu pergi bazar Ramadan, adik pasti memesan jagung dan ayam percik sebagai juadah berbuka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved