Selasa, 6 September 2011

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Razif muncul buat kejutan

Posted:

Razif muncul buat kejutan

Razif muncul buat kejutan

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my


Razif Sidek muncul di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam untuk membimbing pasangan beregu KLRC, Mohd. Zakry Latif (kiri) dan Mohd. Fairuzizuan Tazari.


KUALA LUMPUR - Biarpun belum memeterai sebarang perjanjian dengan KLRC dan mungkin terpaksa menjalankan tugas secara percuma, Razif Sidek sudah turun ke gelanggang latihan sejak awal pagi, semalam untuk membantu dua beregu kelab itu, Mohd. Zakry Latif-Mohd. Fairuzizuan Tazari dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen.

Kehadiran legenda beregu Malaysia itu membawa semangat luar biasa kepada Zakry-Fairuzizuan dan Teik Chai-Bin Shen, yang sebelum ini agak kabur ke manakah hala tuju mereka selepas memilih untuk bergerak secara bebas.

Malah, bagi Zakry-Fairuzizuan, komitmen yang diberikan Razif untuk membantu mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 tidak akan disia-siakan, apatah lagi selepas menyedari bekas pakar beregu itu sanggup menghabiskan masa dari pagi hingga petang untuk membantu mereka mencapai matlamat.

"Kalau Razif sanggup menghabiskan masanya untuk membantu kami, maka kami sendiri kena lebih bekerja keras untuk membantu diri sendiri. Walaupun beliau nampak seperti seorang yang kelakar dan tidak terlalu keras dalam latihan tetapi sebenarnya beliau amat komited dan serius.

"Hari ini, kami mengharungi sesi latihan yang panjang di sebelah pagi manakala pada sebelah petang kami akan melakukan latihan fizikal di tasik. Kata jurulatih, kami kena melakukan latihan yang serius dan berat kalau hendak melayakkan diri ke Sukan Olimpik, memandangkan tempoh kelayakan sudah tidak panjang.

"Razif selalu mengingatkan kami tentang matlamat sebenar kami bermain, malah setiap hari beliau akan kira berapa hari lagi Sukan Olimpik akan berlangsung, begitu juga Piala Thomas, jadi kami akan sentiasa diingatkan bahawa dengan tempoh yang singkat ini, kami tidak boleh bermain-main, walaupun kami beregu bebas tetapi kami juga kena ada visi,'' kata Zakry.

Menurut Zakry, masih terlalu awal untuk menilai apakah kerjasama dengan Razif mampu membawa impak, namun yang pasti juara All England 1982 itu adalah orang paling tepat untuk membantunya dan Fairuzizuan mengejar misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Malah, Razif, 49, sudah bersetuju untuk membantu Zakry-Fairuzizuan dan Teik Chai-Bin Shen pada Grand Prix Emas Terbuka Indonesia di Kalimantan, 29 September hingga 2 Oktober ini, meskipun tidak menerima sebarang bayaran.

Pasangan itu juga akan bertanding dalam empat lagi kejohanan Terbuka - Perancis, Denmark, Hong Kong dan China, selain empat GP Emas di Jerman, Macau, Korea Selatan dan India.

"Kami memang bertuah kerana banyak pihak yang menyokong. Sebelum ini MSN (Majlis Sukan Negara) juga memberi kebenaran untuk terus menginap di asrama Kompleks Rakan Muda di Bukit Kiara, biarpun kami tidak lagi bernaung di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Kebenaran itu diberikan sendiri oleh Datuk Zolkples (Embong, Ketua Pengarah MSN).

"Malah, kami juga sudah mempunyai penaja untuk peralatan, cuma belum memutuskan sama ada mahu memilih Yonex atau Li Ning. Rundingan masih berjalan dan kami akan lihat siapa yang dapat memberi tawaran lebih baik. Mungkin keputusan akan dicapai minggu ini juga.

"Dengan segala sokongan yang kami terima, kami akan melakukan yang terbaik untuk mencari kemenangan, bukan saja buat diri sendiri tetapi negara. Selain Olimpik, saya dan Fairuz juga mahu merebut tempat untuk Piala Thomas tahun depan, lebih bagus kalau kedua-dua beregu KLRC diterima pada kejohanan itu,'' kata Zakry lagi, yang pernah menjuarai Terbuka Indonesia dan Singapura 2008 bersama Fairuzizuan.

Sementara itu, Teik Chai mengakui, selepas dua tahun bergerak sendirian tanpa jurulatih, kehadiran Razif membawa harapan baru kepada kariernya, apatah lagi di saat dia dan Bin Shen bagaikan sudah patah semangat ekoran isu tidak disenaraikan pada Kejohanan Dunia, bulan lalu.

Katanya, jika selama ini mereka bermain tanpa matlamat, kini Razif membantu mereka memasang sasaran dan menyediakan program latihan yang lebih sistematik, malah akan membantu mereka untuk mengatasi masalah dalam perlawanan apabila bersetuju menemani mereka di Terbuka Indonesia.

"Sudah terlalu lama saya dan Bin Shen bermain tanpa hala tuju, kami memang bermain bersungguh-sungguh tetapi kami tidak nampak matlamat sebenar yang hendak dicapai. Malah, sejak sebulan ini tumpuan kami agak terganggu ekoran isu Kejohanan Dunia, dan itu menjadikan karier kami semakin teruk.

"Bagaimanapun kehadiran seorang jurulatih berwibawa seperti Razif yang sudi membantu memberi harapan baru kepada karier kami... kami kini main bukan untuk suka-suka tetapi untuk mencari sebanyak mungkin kejuaraan. Malah, sekarang kami juga sudah ada teman baru, Zakry dan Fairuz... ia membuatkan kami lebih bersemangat.

"Saya amat rapat dengan Zakry, kami sudah kenal satu sama lain sejak berumur 13 tahun. Kami banyak menghabiskan masa bersama, jadi kehadirannya bersama Fairuz dalam arena yang sama pasti akan membolehkan kami memberi sokongan kepada satu sama lain,'' kata Teik Chai, yang pernah bergandingan dengan Zakry pada zaman remaja.

Golf CIMB: Hadiah meningkat

Posted:

Golf CIMB: Hadiah meningkat

Golf CIMB: Hadiah meningkat

PUTRAJAYA - Hadiah wang tunai AS$1.3 (RM3.8 juta) bagi juara Kejohanan Golf CIMB Asia Pasifik Klasik 2011 antara lima faktor utama yang akan menjadikan kejohanan tersebut lebih hebat berbanding tahun lepas.

Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd., Datuk Seri Nazir Razak, kejohanan kali ini dijangka lebih menarik dan sengit selepas hadiah wang tunai tersebut dinaikkan daripada AS$1 juta (RM2.9 juta) kepada AS$1.3 (RM3.8 juta) menjadikan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai bernilai AS$6.1 (RM18 juta).

"Kita juga telah menambah bilangan pemain yang bakal beraksi daripada 40 kepada 48 pemain dan lebih menarik pemain tuan rumah (Malaysia) diberi dua slot. Setakat ini sahaja pemain yang telah mengesahkan kehadiran ialah Juara Terbuka Britain 2009, Stewart Cink dan Angel Cabrera, pemain Argentina pertama memenangi Terbuka Amerika Syarikat," katanya.

Jelasnya, juara edisi tahun lalu Ben Crane juga menyatakan hasrat untuk kembali mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya.

"Faktor lain pula kita amat berbangga kerana kita dapat lihat sendiri hari ini (semalam) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak datang menghadiri majlis ini.

"Kita juga bukan sahaja fokus kepada kejohanan ini semata-mata tetapi terarah kepada pembangunan di peringkat remaja," katanya yang mengharapkan sokongan padu daripada semua peminat golf tempatan.

Tambahnya, kejohanan yang pertama mungkin akan diingati oleh semua orang tetapi jauh di sudut hatinya beliau mahu kejohanan yang kedua ini adalah lebih baik daripada yang pertama.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved