Selasa, 6 September 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Timbalan Presiden Pas penakut – Khairy

Posted:

Timbalan Presiden Pas penakut – Khairy

Timbalan Presiden Pas penakut – Khairy



KUALA LUMPUR 5 Sept. – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Mohamad Sabu sebagai penakut kerana tidak berani berdebat dengannya dalam isu sejarah Bukit Kepong.

Khairy memberi reaksi demikian setelah Timbalan Presiden Pas itu menolak untuk berdebat selepas beliau menyahut cabaran Pas agar UMNO berdebat dengan parti tersebut dalam isu kontroversi yang dibangkitkan oleh Mohamad itu.

"Hari ini Pas memilih Timbalan Presiden yang bacul dan tiada maruah. Takut sebab salah. Tewas sebelum tempur. Sekretariat yang mewakili Kerajaan Pas Kelantan yang mencadangkan saya berdebat dengan Mat Sabu (Mohamad) dan bukan saya yang cadangkan.

"Sekurang-kurangnya Husam (Datuk Husam Musa) anak jantan. Ini Mat Sabu dengan Ketua Pemuda UMNO sudah lari, memalukan,'' katanya seperti dipetik daripada laman sosial twitternya hari ini.

Mohamad dilaporkan menyerahkan tugas untuk berdebat dengan Khairy kepada Pemuda Pas Johor dengan alasan, sayap pemuda Pas negeri itu lebih layak memandangkan Bukit Kepong terletak di Johor.

Sedangkan cabaran debat tersebut dilontarkan oleh Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu parti itu berdebat secara terbuka dengan UMNO mengenai tajuk Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?.

Isu Bukit Kepong mula panas apabila Mohamad semasa berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu menganggap pengganas komunis adalah hero sebenar dan bukannya 25 anggota keselamatan dan keluarga mereka yang dibunuh dalam trajedi serangan komunis balai polis Bukit Kepong.

Dalam pada itu, Khairy berkata, Mohamad tidak perlu berdolak-dalik kerana hakikatnya, ayam sabung Pas itu tidak berani menyahut cabaran untuk berdebat kerana sedar fakta sejarah tidak boleh diputar-belit.

"Mat Sabu tak payah cakap Ketua Pemuda UMNO lawan Ketua Pemuda Pas baru betul. Tanya Husam, dia pernah mencemar jawatannya kerana berdebat dengan Naib Ketua Pemuda UMNO walaupun dia berjawatan Naib Presiden Pas.

"Jadi biarlah rekod sejarah mengesahkan bahawa saya setuju dengan jemputan Kerajaan Pas Kelantan untuk berlawan dengan Mat Sabu tetapi dia takut dan lari. Jangan putar sejarah ini," katanya.

Mat Sabu takut berdepan Khairy isu pejuang kemerdekaan

Posted:

Mat Sabu takut berdepan Khairy isu pejuang kemerdekaan

Mat Sabu takut berdepan Khairy isu pejuang kemerdekaan

KOTA BHARU 5 Sept. - Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menyifatkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai 'penakut' kerana menyerahkan jemputan berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada Pemuda Pas.

Naib Ketuanya, Rosmadi Ismail berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu sewajarnya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini dan bukannya menyerahkannya kepada orang lain.

Beliau berkata, Khairy telah menunjukkan keberaniannya untuk berhadapan dengan pemimpin nombor dua Pas itu biarpun ia akan diadakan di gelanggang Pas di sini.

"Bila seseorang keluarkan kenyataan dia lebih memahami apa yang disebutnya. Dia (Mat Sabu) sepatutnya bertanggungjawab dan berhujah untuk mempertahankan kenyataannya bukan lepas kepada orang lain.

"Kalau kita lihat dengan teliti, pada awalnya tidak ada pemimpin Pemuda Pas yang mengiakan kenyataan Mat Sabu cuma hari ini baru ada sikit komen. Kalau begitu macam mana nak suruh berhujah dengan Khairy kalau mereka pun tak 'berapa' nak mengiakannya.

"Berani kerana benar. Lagipun jemputan ini bukan daripada UMNO, sebaliknya daripada Kerajaan Pas (Kelantan) kerana semua pihak mahu tahu kebenarannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal propembangkang bahawa Mat Sabu menyerahkan jemputan daripada Kerajaan Pas Kelantan supaya berdebat dengan Khairy dalam isu pejuang kemerdekaan kepada Pemuda Pas Pusat.

Portal tersebut melaporkan dengan nada sinis bahawa Mat Sabu berkata, beliau tidak menolak pelawaan itu sebaliknya kedua-dua sayap Pas dan UMNO itu lebih sesuai berbuat demikian.

Sementara itu, Khairy dalam twitternya bersedia menyahut cabaran Pas untuk berdebat dengan Mat Sabu secara terbuka mengenai isu siapa yang layak digelar pejuang kemerdekaan negara.

Arifin dilantik Ketua Hakim Negara

Posted:

Arifin dilantik Ketua Hakim Negara

Arifin dilantik Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR 5 Sept. — Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelantikan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib berkata, Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (gambar) sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal.

Perdana Menteri berkata, semua pelantikan berkuat kuasa 12 September ini.

"Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Zaki Tun Azmi di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara, khususnya dalam mentransformasikan badan kehakiman sehingga berjaya mengurangkan kes-kes tertunggak di semua peringkat mahkamah, demi memberi keadilan yang pantas kepada semua pihak.

"Saya juga memaklumkan persaraan awal Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun yang telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan amat berterima kasih atas segala jasa beliau kepada badan kehakiman, khususnya dalam memimpin Mahkamah Rayuan," katanya.

Najib juga berkata, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan. — BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved