Selasa, 6 September 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Memastikan rakyat faham dasar, aspirasi negara

Posted:

Memastikan rakyat faham dasar, aspirasi negara

Memastikan rakyat faham dasar, aspirasi negara

Oleh WANDA IDRIS


Ibrahim Abdul Rahman menatap salah sebuah buku terbitan PDN.


"KITA ibarat penjual ubat. Ubatnya adalah tentang kenegaraan iaitu tentang cinta dan sayangkan negara."

Demikian jelas Ketua Pengarah Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman mengenai visi dan misi jabatan tersebut dalam menterjemah dan memasarkan dasar dan agenda negara yang dijalankan melalui pelbagai program penerangan termasuk menghasilkan bahan-bahan penerbitan berkualiti dan berwibawa.

Sebagai peneraju utama dan teras dalam menjayakan gagasan 1Malaysia dan pembinaan negara bangsa berteraskan Rukun Negara, Ibrahim berkata, adalah penting agar apa yang ingin disampaikan oleh kerajaan bukan sahaja dapat difahami dan disokong tetapi juga dihayati dan dibudayakan oleh rakyat.

Justeru dalam usaha memastikan ia berjaya, Ibrahim kini menyusun semula Jabatan Penerangan dan melakukan pelbagai transformasi menyeluruh tidak sahaja berkaitan jabatan tetapi juga minda kakitangan.

Sejak memegang tampuk Jabatan Penerangan pada Mei lalu, pelbagai program telah dirancang dan diperhebatkan terutama dalam menterjemah beberapa bidang fokus kepada khalayak.

Sebagai 'orang baru', beliau mengakui banyak perkara yang sedang dipelajari dan dikaji bagi memantapkan lagi jabatan berkenaan seiring dengan perkembangan teknologi dan situasi semasa.

Lebih-lebih lagi dalam mengurus minda dan persepsi khalayak yang berbeza-beza, bukan sahaja disebabkan faktor usia tetapi juga meliputi kumpulan, nilai dan sikap.

"Ini bukan satu tugas mudah kerana kayu pengukur berubah-ubah. Sebab itu kita perlu fokus kepada sasaran khalayak, juga kepada program yang dirancang.

"Dengan kadar sedemikian kita dapat melakukan proses pencernaan ilmu dengan lebih baik dan tersusun agar mereka ini memahami dan menghayati apa yang ingin kita terapkan (iaitu soal kenegaraan)," katanya ketika ditemui Mega baru-baru ini.

Sebagai sebuah jabatan yang tugas hakiki mengurus persepsi beliau menegaskan, adalah penting untuk mewujudkan program-program yang intensif, telus dan fokus kepada kumpulan sasar iaitu segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Bahan-bahan penerbitan seperti buku, risalah termasuk juga audio visual kata beliau, menjadi antara sumber terpenting dalam mendokong hasrat memastikan dasar dan agenda negara dapat dibekalkan tidak sahaja kepada rakyat tetapi juga untuk keperluan antarabangsa.

Justeru, untuk menjayakan pelaksanaan itu, kakitangan jabatan menjadi tunjang untuk menyediakan bahan-bahan terbitan atau sebagai penceramah harus mempunyai kepakaran dalam bidangnya.

"Untuk itu kita akan mewujudkan kumpulan teras yang pakar dalam sesuatu bidang dengan kemampuan intelektual yang tinggi agar informasi sesuatu dasar atau agenda yang ingin diuar-uarkan kepada rakyat berada di hujung jari.

"Kumpulan ini tidak boleh lagi hanya mempunyai pengetahuan asas sebaliknya perlu fokus dan pakar," ujarnya yang mensasarkan dalam tempoh terdekat untuk mengimplementasikan perancangan tersebut.

Menurut beliau, apabila kepakaran anggotanya telah dikenalpasti maka kemahiran mereka akan digembleng melalui kursus-kursus dan program interaksi dengan kumpulan sasar dan sealiran.

Pihaknya akan memastikan perkhidmatan penerbitan awam akan dipertingkatkan khususnya dari segi kemahiran dan keterampilan ilmu selaras dengan keperluan teknologi semasa kerana kesepaduan itu harus didokong oleh fakta, audio visual dan program secara bersepadu.

"Sebagai Ketua Pengarah dan Naib Presiden Perhubungan Raya Malaysia, saya cuba menggabungkan semua itu untuk meningkatkan profesion perhubungan awam dalam memastikan komunikasi antara kerajaan dan rakyat dapat dijalankan dengan lancar," jelasnya.

Maklumat mengenai dasar negara

Posted:

Maklumat mengenai dasar negara

Maklumat mengenai dasar negara


Omi Habibah Shariff menunjukkan salah sebuah buku terbitan PDN.


Sementara itu Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara (PDN), Datin Omi Habibah Shariff berkata, kebanyakan buku-buku terbitan pihaknya terutama yang melibatkan Transformasi 1Malaysia kini menjadi cenderamata untuk majlis-majlis rasmi kerajaan dan turut diedarkan di perpustakaan dan hotel bertaraf lima bintang.

Kesemua penerbitan buku itu menggunakan dwi bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan sebahagiannya adalah bersifat edisi terhad. Antaranya yang terkini buku Perdana Menteri berjudul Najib Tun Razak: Meneroka Perubahan Memperkasa Pencapaian (Najib Tun Razak: Chanting Malaysia Transformation) yang diedarkan Ogos lalu.

Menurut beliau, pada awal penubuhannya pada 1945 iaitu era pasca sebelum Merdeka, penerbitan lebih bersifat risalah dan propaganda selain menerbitkan majalah Sinar Zaman pada era 1970-an.

Sinar Zaman dijual pada harga 50 sen sebelum disubsidikan oleh kerajaan dengan harga 30 sen sebagai galakan kepada rakyat untuk memupuk minat membaca.

Masih diterbitkan sehingga kini namun ia kini dikenali Mentari dan diterbitkan tiga kali setahun dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

"Sebagai sebuah perkhidmatan sokongan kepada kempen-kempen kerajaan, kita menyediakan bahan-bahan penerbitan yang bukan sahaja untuk rakyat tetapi juga para pegawai atau penceramah," ujarnya.

Menghasilkan kira-kira 150 tajuk penerbitan setiap tahun dengan kuantiti sebanyak tiga juta naskah termasuk buku dan risalah, beliau berkata, sekiranya berlaku pilihan raya umum maka angka tersebut akan naik berkali ganda.

Kesemua bahan-bahan penerbitan itu dimuatkan dalam Portal Maklumat Rakyat 1Klik dan sememangnya ia merupakan bahan-bahan popular di kalangan penyelidik, pensyarah dan penuntut.

Beliau menegaskan, setiap penerbitan bahan-bahan itu dewasa ini tidak lagi berbentuk propaganda atau terlalu bersifat kerajaan.

"Yang ingin kita salurkan adalah maklumat semasa yang tepat mengenai dasar-dasar negara dengan cara paling mudah dan difahami tanpa menjadikannya terlalu bersifat kerajaan," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved