Ahad, 14 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Antara kuasa dan akidah

Posted:

Antara kuasa dan akidah

Antara kuasa dan akidah

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

SEBENARNYA kita tidak perlu terkejut apabila Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan meluahkan perasaan setelah menjadi mangsa kecaman berikutan pendirian tegasnya dalam isu gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya.

Kita percaya kecaman bukan sahaja datang daripada pihak di luar Pas malahan di dalam parti sendiri Nasrudin menjadi sasaran dan segalanya kerana kepentingan politik mengatasi segala-galanya.

Adalah sesuatu yang aneh apabila umat Islam termasuklah Nasrudin yang mempunyai kuasa untuk bersuara tidak lagi boleh berbuat demikian semata-mata kerana ingin menjaga hati pihak tertentu.

Sebab itulah dalam isu gereja tersebut Pas dilihat berbeza pandangan, ada satu kelompok yang cuba terus berkompromi demi menjaga hati rakan-rakan dalam pakatan pembangkang manakala satu lagi kelompok bangun memberi amaran demi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.

Persoalannya, apakah kita sebagai umat Islam tidak kira apa pun fahaman politiknya harus melihat sahaja apabila ada satu pihak cuba memurtadkan umat Islam?

Apakah kita sebagai umat Rasulullah SAW hanya menjadi penonton sahaja apabila semakin banyak pihak yang semakin berani mencabar kesucian Islam?

Dan apakah kita sebagai hamba Allah sudah tertutup atau semakin hilang keberaniannya untuk berjihad demi mempertahankan agama Islam supaya tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak?

Mencari kekuasaan politik ada hadnya. Janganlah kita sanggup menggadaikan segala-galanya termasuk akidah umat Islam sekali pun hanya semata-mata mahu mencari keuntungan politik jangka pendek.

Apabila akidah umat Islam mula diganggu gugat dengan mainan duniawi, maka kita tidak boleh duduk diam atau menganggap ia satu kes terpencil.

Tidak kiralah parti mana pun kita wakili atau pertubuhan bukan kerajaan mana pun yang kita sertai, apa yang pasti selagi Islam agama kita, maka kesucian agama Allah itu perlu dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

Justeru jika ada mana-mana pemimpin Islam yang cuba bersekongkol atau berlembut dengan puak yang mahu merosakkan akidah umat Islam ini, mereka ini harus ditolak habis-habisan, apatah lagi pemimpin yang kononnya mendakwa mereka memperjuangkan Islam.

Nilai akidah umat Islam tidak boleh dihitungkan dengan jumlah kertas undi apatah lagi secebis kuasa politik. Sebaliknya ia adalah satu perkara yang perlu dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

Dalam soal ini, kita hairan kenapakah pemimpin-pemimpin Pas sanggup mengkritik dan mengecam pemimpin mereka sendiri semata-mata hanya pemimpin berkenaan mempertahankan kesucian Islam seperti mana dilakukan oleh Nasrudin dan Datuk Dr. Hasan Ali.

Kalau pun bak kata orang 'kebulur' sangat mahu berkuasa, jangan sampai kita terpaksa menyembah orang lain apatah lagi membiarkan sahaja apabila akidah umat Islam mahu digadaikan.

Penulis bukanlah berhasrat untuk mewujudkan api permusuhan apatah lagi menghasut umat Islam tetapi mahu seluruh umat Islam di negara ini sedar akan ancaman yang berada di hadapan mereka.

Kerakusan untuk berkuasa dan mencari keuntungan politik telah menyebabkan sesetengah pemimpin Islam sudah ditutup pintu hati dan dibutakan mata mereka untuk melihat ancaman yang menanti.

Malahan apa yang mengecewakan, mereka ini akan mengeluarkan 'fatwa' dan hujah berlandaskan ayat al-Quran dan hadis yang dipilih-pilih atau dipetik separuh-separuh untuk menghalalkan tindakan mereka.

Namun mereka perlu faham bahawa dalam soal akidah umat Islam diganggu gugat tidak ada istilah toleransi apatah lagi rundingan. Puak yang cuba melakukan perbuatan berkenaan harus 'diperangi'. Ini selaras dengan apa yang Allah SWT perintah kepada kita yang menjadi khalifah di muka bumi ini.

Memang benar Islam mahukan kita berbaik-baik dan bertolak ansur dengan kaum bukan Islam tetapi golongan mana yang dimaksudkan?

Kita hanya perlu bertolak-ansur dan berbaik-baik dengan kelompok bukan Islam yang tahu menghormati kesucian Islam dan tidak mengugat akidah umat Islam.

Tetapi bagi golongan yang bertindak sebaliknya, maka selayaknya mereka ini harus ditentang habis-habisan. Golongan ini tidak layak dibuat kawan apatah lagi sekutu untuk berkongsi kuasa politik.

Inilah perkara yang perlu disedari oleh sesetengah pemimpin Pas yang sudah diserapi dengan sindrom mahu berkuasa dan menjaga hati semata-mata ingin meraih undi dalam pilihan raya.

Mungkin mereka ini akan disanjung oleh bukan Islam sebagai pemimpin yang dilihat sebagai pembela semua kaum dan pejuang kebebasan serta hak asasi tetapi di kalangan orang Islam sendiri mereka akan menjadi kelompok yang dikecam dan mungkin dianggap sebagai pengkhianat kepada umat Islam.

Atas sebab itulah, peringatan harus diberikan kepada pemimpin-pemimpin seumpama itu, mencari kuasa politik dan berkawan dengan sekutu bukan Islam ada hadnya.

Tidak payahlah untuk menunjukkan kononnya mereka pemimpin yang bertoleransi dan bersikap terbuka sedangkan akidah dan kedudukan umat Islam semakin diganggu gugat.

Renungkanlah kenapa sejak kebelakangan ini, ada pihak-pihak yang begitu berani untuk mencabar kesabaran umat Islam bukan sahaja melalui anjuran majlis memesongkan akidah mereka malahan dilakukan secara halus termasuk menghina bulan Ramadan dengan iklan juadah yang cukup tidak masuk akal.

Ini belum lagi mengambil kira banyak kes lain yang menunjukkan bahawa umat Islam dari semasa ke semasa semakin tidak digeruni oleh pihak lain biar pun kita ramai.

Semua ini berlaku kerana kita berpecah belah, umat Islam yang mendabik dada sebagai golongan majoriti di negara ini seolah-olah menjadi buih-buih di pantai yang jumlahnya banyak tetapi tidak ada apa-apa kekuatan.

Tidak kisah kalau kita mahu berbeza fahaman politik, menyertai NGO berlainan atau tidak berada dalam mana-mana kelompok tetapi apabila kedudukan umat Islam mula diganggu gugat kita harus mengarak bersama-sama panji-panji 'Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah."

Inilah kalimah atau syahadah yang harus terbekam kukuh dalam sanubari umat Islam dan ia harus ditegakkan serta dipertahankan selagi kita berada di muka bumi Allah ini.

Oleh itu kepada sesetengah pemimpin Pas yang begitu dahagakan kuasa dan terlalu ingin menjaga hati pihak tertentu fahamilah apa yang mereka sedang lakukan bukan sahaja menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam malahan menjemput kemurkaan Allah.

Undi dan kuasa politik yang dicari di alam fana ini dengan cara membiarkan Islam diganggu-gugat tidak akan membawa apa-apa manfaat di akhirat kelak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Elak tragedi menjelang Aidilfitri

Posted:

Elak tragedi menjelang Aidilfitri

Elak tragedi menjelang Aidilfitri

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

SEHINGGA kini sebanyak enam kes kecederaan akibat bermain mercun buatan sendiri dilaporkan berlaku di Kelantan. Apa yang mengejutkan, sebahagian besar kes melibatkan kanak-kanak dengan mangsa termuda berusia dua tahun.

Kita bersyukur kerana, setakat ini belum ada kematian akibat bermain mercun dilaporkan dan berdoa supaya musibah itu dijauhkan pada saat umat Islam semakin 'gelora' hendak menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Di sini, ibu bapa perlu memainkan peranan menangani masalah anak-anak bermain mercun, lebih-lebih lagi membabitkan mercun buatan sendiri memandangkan kanak-kanak sekarang semakin tinggi kreativiti dan inovasi mereka.

Mereka seharusnya mengawasi tindak-tanduk anak-anak sepanjang Ramadan ini, bagi mengelak 'penyambung generasi' itu terbabit dalam sebarang kegiatan membakar atau membuat mercun. Ini kerana, hampir saban malam Ramadan ini, dentuman mercun kedengaran di kawasan-kawasan perumahan.

Mungkin anak-anak mengambil kesempatan pada saat kedua ibu bapa mereka tiada di rumah kerana menunaikan solat tarawih, mereka pula berpeleseran bersama-sama rakan bermain mercun yang boleh mengundang bahana.

Pada pihak berkuasa, pelbagai usaha telah dan sedang diambil bagi mengekang penjualan, pengedaran dan penyeludupan bahan terlarang tersebut. Buktinya, pelbagai rampasan bernilai ribuan ringgit dan tangkapan dilakukan sama ada menggunakan kereta mahu pun bas ekspres. Malah, sudah ada yang dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.

Mungkin juga penguatkuasaan perlu diperluas melibatkan pemantauan di kawasan-kawasan perumahan bagi mencegah kegiatan membakar mercun ini? Selain mercun, satu lagi masalah yang perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa adalah kegiatan anak-anak teruna mereka merempit.

Senario ini boleh dilihat, sebagai contoh di Jalan Telipot ketika umat Islam ke masjid, surau atau madrasah untuk beribadat. Sebelum ini pun pihak polis telah menangkap beberapa remaja kerana merempit pada malam Ramadan ketika menjalankan operasi di sekitar Jalan Taman Maju-Lundang.

Setakat ini, belum ada kes melibatkan mana-mana remaja maut kerana merempit semasa bulan mulia ini. Justeru, pencegahan perlu digandakan bagi mengelak episod sedih 'tangisan di Aidilftri.'

Seperkara lagi yang perlu diawasi ialah kejadian kebakaran menjelang hari lebaran. Ini kerana, Ramadan merupakan bulan ibadat dan juga bulan rezeki bagi sebahagian daripada kita.

Menurut Penguasa Bomba, Shahrin Yusmar Mat Yusof dari Bahagian Pengurusan Operasi dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, dalam tempoh 10 hari Ramadan, pihaknya menerima 33 kes kebakaran dan satu kematian membabitkan kerugian harta benda bernilai lebih RM800,000.

Lantaran itu, orang ramai khususnya suri rumah dinasihatkan supaya lebih waspada dalam urusan masak-memasak bagi mengelak kebakaran yang akhirnya memusnahkan segala impian semasa hari raya.

Pepatah ada mengatakan 'api semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan.' Ia seharusnya menjadi ingatan kepada semua pihak sepanjang Ramadan ini bagi mengelak tragedi 'tangisan di pagi syawal.'

Kebakaran juga ada hubung kait dengan kecenderungan anak-anak bermain mercun, bunga api, pemetik api dan sebagainya. Maka, semua pihak berperanan mencegah aktiviti tersebut.

Tragedi menjelang Aidilfitri juga boleh menjelma apabila orang ramai mengabaikan aspek kebersihan persekitaran sehingga membiarkan nyamuk aedes membiak.

Ketika ini, ancaman denggi dilaporkan berlaku di Kampung Aman, Telipot dan sekitarnya. Pihak Jabatan Kesihatan semakin kerap melakukan pemeriksaan dan semburan asap (fogging) di kawasan tersebut, menunjukkan seriusnya ancaman nyamuk aedes, punca kepada demam denggi yang boleh meragut nyawa.

Sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah baru-baru ini, penduduk jangan hanya membuat pembersihan kawasan kediaman apabila ada wabak.

Setakat ini belum ada laporan kematian mengenai denggi di Kelantan, tetapi perlu diingat tahun lalu wabak tersebut meragut 11 kematian dengan mencatatkan 3,578 kes. Musuh kecil, tetapi ancamannya cukup besar kepada kehidupan manusia terutama kepada mereka yang alpa.

Satu lagi perkara yang seharusnya diberi perhatian ialah kemalangan menjelang Aidilfitri. Dilaporkan, jumlah kenderaan yang akan masuk ke Kelantan sempena perayaan nanti, bertambah tiga kali ganda.

Dengan keadaan infrastruktur jalan di Kelantan yang tidak banyak berubah pada saat kerajaan negeri baru berfikir-fikir untuk membina lebih raya bernilai RM1.9 bilion, sudah tentu kita boleh menjangkakan kesesakan luar biasa berlaku di negeri ini, terutama bandar Kota Bharu.

Lantaran itu, pihak berwajib sama ada Jabatan Kerja Raya (JKR) mahu pun pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) perlu membuat penambahbaikan kepada jalan-jalan yang tidak rata, berlubang atau berlopak bagi mengelak tragedi menjelang syawal.

Pengguna jalan raya juga perlu merancang perjalanan dan mengamalkan budaya berhemah di jalan raya sebagaimana yang sering ditagih oleh pemimpin negara dan pihak berkuasa.

Marilah kita bersama-sama menjadikan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini cukup meriah dan bermakna bersama anggota keluarga tercinta sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah Yang Maha Esa selepas berjaya menempuh segala ujian dalam bulan Ramadan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved