Ahad, 14 Ogos 2011

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


‘Gajet’ bercucuk tanam UPM

Posted:

'Gajet' bercucuk tanam UPM

'Gajet' bercucuk tanam UPM

Oleh LAUPA JUNUS


Nur Qamarina Salman (kanan) menunjukkan peralatan asas berkebun kepada pelawat yang berkunjung ke ladang UPM baru-baru ini.


HARI ini, pertanian menjadi satu kerjaya yang semakin mendapat perhatian ramai. Ini berdasarkan kepada minat yang ditunjukkan melalui pelbagai program-program pertanian dan ramai yang minat untuk menceburinya sama ada secara serius atau sekadar untuk mengisi masa lapang.

Didorong oleh semangat melihat kejayaan orang lain atau sekadar gemarkan kedamaian dan keindahan alam semula jadi serta minat kepada pemeliharaan haiwan, bidang pertanian seakan satu tarikan baru kepada rakyat di negara ini.

Berkebun, bercucuk tanam dan menternak haiwan peliharaan mungkin agak merumitkan bagi sesetengah orang, tetapi sebahagian besar pula melihatnya sebagai aktiviti masa senggang yang menyeronokkan.

Apa jua faktor dan alasannya, pertanian sebenarnya menjanjikan pulangan lumayan setelah mengharungi satu tempoh kepayahan dan bidang ini juga menjanjikan suatu kepuasan.

Disebabkan itu sejak kebelakangan ini, banyak teknologi baru dan inovasi yang dihasilkan bagi memberi suntikan baru dalam sektor pertanian ini untuk terus maju seiring dengan negara-negara maju yang lain.

Perkembangan sektor pertanian kini boleh dilihat sebagai satu sinar baru kepada pekerjaan tradisi manusia sejak permulaan tamadun mereka lagi.

Perkembangan-perkembangan itu mencetuskan idea dan inisiatif kepada pereka cipta untuk menghasilkan inovasi daripada yang paling rumit kepada yang paling mudah dan canggih.

Sebatang cangkul direka dan dihasilkan kerana manusia perlu membajak tanah dan kini kerja-kerja tersebut disempurnakan oleh jentera yang lengkap dan menjimatkan masa.

Demikian peralatan pertanian lain dicipta dan dihasilkan bagi memenuhi permintaan aktiviti pertanian.

Berbeza pula dengan inisiatif oleh sekumpulan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah mewujudkan satu inovasi baru dengan mengumpulkan lapan peralatan pertanian asas dalam satu beg untuk dipakejkan sebagai satu gajet pertanian.

Inovasi tersebut merupakan ilham daripada sekumpulan petugas di Taman Pertanian Universiti (TPU) yang diminta untuk memikirkan satu idea menyelesaikan masalah membawa peralatan pertanian ke ladang.

Kumpulan tersebut yang dinamakan kumpulan Malaxis dibentuk pada tahun 2009 hasil didikan daripada kumpulan inovasi dan kreatif yang telah mengadakan sesi lampas minda bagaimana menghasilkan sesuatu yang inovatif dan kreatif.

Kumpulan tersebut terdiri daripada lapan ahli yang mempunyai pelbagai kepakaran terdiri daripada Kamarul Zaidi Abd. Ghani yang juga ketua unit buah-buahan di TPU, Hasnul Hadi Hussain (penyelaras agroteknologi) dan Nur Qamarina Salman (Penyelia Landskap dan Orkid).

Ahli kumpulan lain termasuk Nor Haimanshah Ismail (Penyelia Semaian Buah-buahan), Ahmad Rodhi Kamaludin (Penyelia Fertigasi), Muhd. Rizal Che Jid (penyelia biji-benih), Mohamad Faiz Mohd. Shapie (penyelia tanaman pelbagai) dan Mohd. Harlizan Mohd. Darus (Penyelaras Tanaman Industri).

Hasnul Hadi yang juga ketua kumpulan berkenaan berkata, cadangan mewujudkan satu kumpulan gajet pertanian asas memberi peluang kepada mereka yang gemarkan bidang pertanian untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

"Jika dilihat, set gajet ini mudah dibawa, sama seperti membawa laptop yang dibimbit dalam beg khas dan sesuai bagi mereka yang sukakan gaya kerja yang ringkas," katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan dan pelancaran tidak rasmi set Agrokits di Serdang baru-baru ini.

Beliau berkata, idea itu tercetus selepas kumpulannya bercadang untuk menghasilkan inovasi baru bagi membantu mereka yang sukakan pertanian sebagai aktiviti harian.

"Pada sesi tersebut, kami mengenalpasti antara masalah utama dalam penyimpanan dan pengendalian peralatan pertanian ialah kesukaran membawa peralatan yang banyak dan besar dengan menggunakan kereta atau motosikal.

"Ia memerlukan ruang penyimpanan yang luas, terdedah kepada risiko bahaya kecederaan jika berlaku kecuaian sama ada sebelum dan selepas pengendalian peralatan tersebut," ujar beliau.

Kumpulan tersebut, kata beliau kemudiannya menetapkan tujuh peralatan asas yang biasanya digunakan semasa aktiviti amalan ladang terutamanya kepada para pelajar jurusan pertanian dan ia boleh juga digunakan kepada mereka yang gemarkan aktiviti berkebun.

Peralatan tersebut ialah cangkul, pisau cantuman, serampang tangan, hand trowel, pencakar, gunting pangkasan dan L&key.

Sebuah beg bersaiz sebesar beg laptop direka khas untuk menyimpan peralatan tersebut supaya gajet pertanian itu mudah disimpan dan dibawa untuk berkebun.

Uniknya batang cangkul yang diperbuat daripada aluminium itu mempunyai keistimewaan tersendiri di mana ia tahan karat, ringan dan mudah untuk dibersihkan selepas aktiviti berkebun.

Batang cangkul ini juga boleh diselaraskan mengikut keselesaan pengguna ia bersama mata cangkul boleh ditanggalkan.

Nur Qamarina yang merupakan Setiausaha Kumpulan berkata, pihak mereka juga sedang menyiapkan satu manual penggunaan alat berkenaan yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada pengguna.

"Kami berharap idea seringkas ini dapat membantu pengguna menggunakannya serta mudah untuk dibawa berkebun di mana saja," ujarnya.

Beliau juga berharap pencinta - pencinta pertanian dapat memanfaatkannya dengan adanya peralatan seperti ini dan ia akan memudahkan aktiviti berkebun di samping memudahkan lagi proses pembelajaran dalam jurusan pertanian untuk melakukan aktiviti amalan ladang.

Set Agrokits telah dipatenkan pada tahun 2009 dan masih dalam proses mencari pengusaha yang mahu mengeluarkan produk itu secara komersial.

Cetusan idea Agrokits membawa lembaran baru kepada TPU yang aktif dalam pengeluaran anak pokok buah-buahan dan aktiviti amalan ladang kepada pelajar-pelajar UPM terutamanya bagi pelajar jurusan pertanian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Cara sesuai tanam bayam

Posted:

Cara sesuai tanam bayam

Cara sesuai tanam bayam


Bayam antara sayur yang popular ditanam kerana ia mempunyai banyak khasiat pemakanan.


TERDAPAT beberapa jenis bayam di negara kita. Antaranya ialah bayam hijau (Amaranthus spp.), bayam merah (Amaranthus gangeticus) dan bayam tricolor (Amaranthus tricolor). Semua bayam ini tergolong dalam keluarga Amaranthaceae dan berasal dari Amerika.

Bayam spinach (Spinacia oleraceae) pula mengandungi gen,fizikal dan rasa yang berbeza walaupun berasal dari keluarga yang sama.

Bayam spinach tidak sesuai ditanam di negara beriklim tropika seperti Malaysia kerana ia cepat berbunga dan tidak banyak daun.

Bayam kaya dengan vitamin A, C dan E, fosforus, zat besi, kalium, magnesium, beta karoten dan zink.

Selain itu, bayam juga merupakan sumber baik asid berlemak omega 3, niasin dan selenium.

Bayam juga dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan pesakit yang mengidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan mereka yang menghadapi masalah ginjal.

Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.

Penanaman

*Bayam sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai pH di antara 5.5 dan 6.5 adalah yang paling sesuai.

*Sediakan batas berukuran satu meter (lebar) dan panjang bergantung pada kawasan.

Tanah digembur bersama kompos dan bahan organik. Sebanyak empat alur boleh dibuat dengan jarak tanaman 20 sentimeter (sm) antara alur.

*Bayam ditanam terus menggunakan biji benih. Disebabkan biji benih terlalu kecil, gaulkan biji benih dengan pasir untuk menjarakkan biji benih semasa menabur benih di dalam alur batas.

*Tutup batas yang terdedah dengan jerami padi atau daun kering sebagai sungkupan untuk kekalkan kelembapan tanah dan mengawal rumpai.

*Selepas tiga atau empat hari, benih akan bercambah dan anak pokok akan mula kelihatan.

Penjarangan

*Penjarangan perlu dibuat selepas seminggu biji benih bercambah. Anak benih yang tumbuh terlalu rapat perlu dibuang atau dipindahkan ke alur yang tiada anak benih.

nAktiviti perlu dilakukan dengan hati-hati untuk mengelakkan kecederaan akar anak benih yang terlalu lembut.

*Penjarangan penting bagi mengurangkan persaingan mendapatkan cahaya matahari dan nutrien antara pokok. Jika anak pokok terlalu banyak, pokok yang tumbuh akan bersaiz kecil dan kurang daun.

Pengairan

*Bayam perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan dengan air bersih tanpa klorin.

*Pengairan boleh dilakukan dengan dua cara iaitu siram manual atau dengan sistem pengairan renjis bergantung kepada kemampuan petani.

Pembajaan

*Pembajaan menggunakan baja organik (yang dibeli atau buatan sendiri). Baja organik berproses diberi mengikut kadar yang disyorkan, biasanya antara 30g dan 50g sepokok dan ditabur pada minggu kedua selepas menanam.

Jika baja organik buatan sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali.

*Sebelum membaja rumpai yang tumbuh dibuang terlebih dahulu dan tanah digembur.

*Baja organik boleh ditabur di antara alur tanaman.

Kawalan rumpai

*Rumpai adalah musuh utama tanaman. Ia akan bersaing untuk mendapatkan ruang, cahaya matahari dan juga makanan. Selain itu, rumpai boleh menjadi perumah kepada serangga perosak.

*Rumpai perlu dikawal setiap seminggu sekali. Jangan biarkan rumpai hingga ia berbunga.

*Ia boleh dilakukan sama ada merumpai secara manual atau menggunakan mesin pemotong rumput.

Kawalan perosak dan penyakit

*Ulat ratus sering memakan daun muda bayam. Amalkan menyembur racun organik daripada campuran cili padi, bawang putih, daun naem, daun kesum, serai wangi, kemangi, air dan sabun. Sembur setiap hari bagi serangan kritikal, dan dua atau tiga hari sekali bagi serangan biasa.

*Penyakit hawar melecuh pula sering ditemui pada bayam jenis berdaun bulat, tetapi bayam berdaun bujur lebih toleran dengan penyakit ini. Amalkan tanaman bergilir sebagai kawalan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved