Sabtu, 11 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Melayu-Islam di ambang kehancuran

Posted:

Melayu-Islam di ambang kehancuran

Melayu-Islam di ambang kehancuran

Oleh Zulkifli Noordin

Umat Islam itu umpama lidi, bila ia diikat seberkas, ia menjadi kuat dan boleh menyapu segala sampah yang ada, besar atau kecil, tetapi bila dirungkai menjadi taburan lidi, habuk sebesar hama pun ia tidak mampu membuangnya".

Sebab itu kesatuan, perpaduan dan persaudaraan itu sangat dititik beratkan oleh Islam. Perkara pertama yang Rasulullah SAW lakukan selepas mendirikan Masjid Nabawi semasa peristiwa hijrah ialah menyatukan umat Islam Makkah-Auz-Khazraj menjadi Muhajirin dan Ansar yang bersatu sebagai satu umat - umat Islam.

Bangsa Melayu sangat bernasib baik kerana menjadi satu-satunya bangsa di dunia ini yang dikaitkan dengan agama. Ditakrifkan ciri Melayu sebagai wajib beragama Islam di bawah Perlembagaan Persekutuan. Satu-satunya bangsa yang diperakui agamanya berdasarkan undang-undang.

Namun malang umat Islam bangsa Melayu; yang punya Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab dan Satu Kiblat, tetapi gagal menjadi satu bangsa yang bersatu. Sedangkan Allah jelas menyebut bahawa umat Islam wajib bersatu padu di bawah naungan al-Quran.

Dan yang lebih malang, bukan sekadar tidak bersatu, ada kalangan umat Islam bangsa Melayu yang bersedia menjadi barua bukan Muslim, bukan Melayu semata-mata untuk memenuhi nafsu masing-masing; yang akhirnya menyebabkan bangsa Melayu itu menjadi lemah, lesu dan layu.

Pengkhianatan

Sejarah bangsa Melayu membuktikannya. Kejatuhan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka bukan kerana kekuatan Portugis. Tetapi hanya kerana pengkhianatan bangsa sendiri yang bernafsu mahu menjadi Bendahara. Maka pengkhianat-pengkhianat ini sanggup bersekongkol dengan penjajah. Akhirnya tumbang Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, tidak bangkit-bangkit sehingga hari ini.

Begitu juga kejatuhan kerajaan-kerajaan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu. Ia bukan kerana kekuatan British. Mereka hanya sedikit. Tetapi British pandai mengadu-domba bangsa Melayu, sehingga mencetuskan perang saudara di kalangan orang Melayu.

Akhirnya kerajaan-kerajaan Melayu tumbang, dan British yang jumlahnya terlalu sedikit berjaya berkuasa dan menjajah Tanah Melayu. Bangsa Melayu hanya terlopong menjadi bangsa merempat di negara sendiri.

Kesilapan paling besar yang dibuat oleh bangsa Melayu ialah apabila mereka terlalu ghairah mahu merdeka, mereka sanggup menggadaikan kewarganegaraan Tanah Melayu kepada bangsa asing.

Walaupun ditentang hebat, segelintir Melayu sanggup bersekongkol dengan British dan menerima prinsip "jos soli - hak kewargaan mutlak berdasarkan kelahiran". Dan hak ini diberi berserta dengan hak memiliki tanah, hak menentukan kerajaan pemerintah dan pelbagai hak lain.

Akhirnya, walaupun merdeka dari segi politik, tetapi menjadi hamba tambatan di negeri sendiri. Tepat seperti yang disebut dalam satu hadis Melayu, "menang sorak kampung tergadai!".

Dan kesan daripada itu, bangsa Melayu hari ini membayar dengan harga yang mahal akan kesilapan nenek moyang mereka. Dan hari ini, warisan pengkhianatan dan persekongkolan silam diteruskan oleh bangsa Melayu.

Kita lihat di hadapan mata kita hari ini bagaimana bangsa Melayu menjadi begitu lemah. Bukan sahaja mereka gagal memperkasakan kuasa politik yang sedia ada untuk manfaat dan kebajikan bangsa sendiri, malah hak mereka yang sedia ada pun habis dicabar dan tergadai.

Lihat bagaimana isu biasiswa yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan khas hanya untuk bangsa Melayu, akhirnya bukan sahaja bangsa lain mendapat habuan besar, hak Melayu sendiri terhakis; ramai anak Melayu menangis sepi tidak mendapat hak biasiswanya, dan dinafikan hak pendidikan yang dimaktubkan kepadanya.

Kita lihat pula isu perhimpunan haram yang hendak dibuat pada bulan Julai ini. Ada segelintir bangsa Melayu yang bersedia diperkudakan oleh himpunan haram yang diketuai oleh bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreevanasan. Sedangkan mereka tahu inilah kumpulan yang kuat menentang Islam, penganjur IFC, penyokong kes murtad Lina Joy.

Tetapi demi memenuhi nafsu ghairah kekuasaan, segelintir Melayu ini sanggup menjadi kelkatu yang rela diperkudakan kerana terpukau dengan sinaran palsu kekuasaan. Melayu-Islam menjadi lemah dan rosak akibat "tangan-tangan kotor" mereka sendiri.

Kerana apa? Adakah kerana Melayu tiada kuasa politik? Jawapannya tidak. Hakikatnya kuasa politik Melayu berkuasa mutlak. Kita punya majoriti mutlak dalam Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Muslim bangsa Melayu hari ini lebih daripada 130 orang, sudah boleh membentuk Kerajaan Persekutuan bersendirian tanpa perlu bangsa lain.

Dan dengan kuasa mutlak itu, kita bukan sahaja boleh membela dan memperkasakan bangsa Melayu, malah boleh memartabat dan mendaulatkan Islam.

Gagal

Tetapi kenapa itu semua gagal dicapai? Kerana umat Islam bangsa Melayu bukan sahaja tidak bersatu, malah bersedia bersekongkol dengan golongan kafir anti Islam, anti Melayu semata-mata untuk memenuhi nafsu mahu berkuasa. DAP tidak kuat. MCA tidak hebat. Gerakan tidak mantap. MIC tinggal nama.

Yang hebatnya UMNO, yang gagahnya Pas. Tetapi dek kerana sikap pengkhianatan dan persekongkolan songsang, kehebatan menjadi kebejatan, kegagahan menjadi kedayusan.

Malah ada yang sanggup menjual roh perjuangannya, tunduk kepada tuntutan rakan sekongkol. Akhirnya menjadi parti 'mayat hidup', tinggal nama tanpa roh perjuangan.

Lihat apa yang terjadi di Iraq, Afghanistan, dan sekarang Libya. Kerana nafsu segelintir yang mahu berkuasa, mereka sanggup bersekongkol dengan kafir untuk menjahanamkan negara sendiri. Akhirnya menderita, yang sengsara, yang merempat ialah umat Islam bangsa sendiri.

Lihat apa yang terjadi di Syria. Hanya kerana keghairahan mahu berkuasa, mereka sanggup merosakkan negara, menyebabkan kerajaan dan Angkatan Tentera Syria sibuk mempertahankan negara. Dan kesempatan itu diambil oleh Israel zionis laknatullah untuk membunuh dan menyembelih umat Islam Palestin di sempadan Golan-Syria!

Wahai umat Islam bangsa Melayu! Bangkitlah! Sedarlah! Kamu sedang menjadi kaum yang "self-destructive" menghancurkan diri sendiri. Jangan ulangi kesilapan silam.

Jangan diwarisi sikap pengkhianatan dan persekongkolan songsang ini. Kita sebenarnya kuat. Kita sebenarnya hebat. Kita sebenarnya gagah.

Apa yang penting sekarang semua wadah dan platform umat Islam bangsa Melayu, sama ada parti politik, NGO, pertubuhan atau individu-individu berpengaruh; wajib duduk satu meja dan mengadakan muzakarah dan perbincangan untuk memperbetulkan saf dan hala tuju perjuangan umat Islam bangsa Melayu.

Saya cadangkan diadakan Himpunan Melayu-Islam bagi tujuan mencari satu 'formula menang-menang' bagi memartabat, memperkasa dan membela agama dan bangsa.

Di mana sebenarnya kekuatan bangsa Melayu? Pada ekonominyakah? Atau kekayaannyakah? Sebenarnya kekuatan Melayu terletak kepada huruf "Mim" - Mim Lam Alif Ya Wau - Melayu. Tanpa huruf "Mim" bangsa ini akan jadi "Layu".

Oleh itu, formulanya mengembalikan kekuatan dan keperkasaan Melayu hanya satu. Survival bangsa Melayu hanya satu. Bersatu, berpadu di bawah naungan al-Quran.

Persoalan besar yang perlu ditanya oleh umat Islam bangsa Melayu hari ini ialah adakah Melayu mahu hidup hanya untuk berpolitik, atau Melayu mahu berpolitik kerana agama dan bangsa? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Jangan nanti kita menjadi hanya sebatang lidi yang tidak mampu berbuat apa-apa. Tetapi ikatlah lidi-lidi menjadi seberkas penyapu yang kuat, dan dengan penyapu itu umat Islam bangsa Melayu boleh menyapu semua sampah yang boleh menganggu gugat umat dan bangsa. Jika tidak, anasir luar akan dengan mudah mematah-riukkan kita menjadi hancur dan lebur.

Yang baik datang dari Allah, yang tidak kelemahan saya sendiri. Semoga Allah mengampunkan kita, dan memberi kekuatan ukhwah serta istiqomah demi kesinambungan umat Islam bangsa Melayu di dalam negara Tanah Melayu ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mereka hanyalah pewaris nabi palsu

Posted:

Mereka hanyalah pewaris nabi palsu

Mereka hanyalah pewaris nabi palsu

Oleh Maulana Arif

SEMUA nabi membawa tugas yang sama, iaitu menyeru manusia supaya menyembah Tuhan Yang Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa jua pun. Inilah yang dinamakan iman yang menjadi asas kepada semua agama yang diredai-Nya.

Mereka adalah daripada pelbagai latar belakang. Nabi Muhammad SAW asalnya peniaga. Nabi Daud AS dan anaknya Nabi Sulaiman AS adalah raja, manakala yang lain-lain adalah peniaga, peternak dan petani. Apa jua status sosial mereka, sama ada kaya atau orang biasa, tugas utama mereka ialah berdakwah kepada manusia supaya menyembah dan mentaati Allah SWT.

Ada yang membawa syariat baru dan ada yang sekadar meneruskan syariat lama. Syariat mungkin berbeza, tetapi asasnya tetap sama. Sembah dan taatlah kepada Allah SWT, serta janganlah menyekutukannya. Itulah iman.

Ada yang mempunyai ramai pengikut dan ada juga yang boleh dibilang dengan jari sahaja orang yang beriman kepada seruan mereka. Tugas mereka hanyalah berdakwah dan Allah jua yang menentukan kejayaan mereka. Allah tidak menetapkan angka sebagai ukuran kejayaan sebagaimana manusia moden pada hari ini berpandukan Petunjuk Utama Prestasi (KPI).

Kisah sebilangan nabi-nabi ini diwahyukan dalam al-Quran sebagai teladan kepada umat Muhammad khasnya, dan manusia amnya.

Betapa Nabi Nuh AS berdakwah selama lebih 900 tahun, tetapi hanya mempunyai 80 pengikut yang beriman dan akhirnya menaiki bahtera bersamanya untuk menyelamatkan diri apabila Allah menurunkan banjir yang dikatakan paling besar dalam sejarah dunia. Malah anak Nabi Nuh sendiri tidak menyahut seruan keimanan bapanya, lalu turut mati lemas.

Nabi Yunus AS pula terlalu kecewa apabila tidak seorang pun kaumnya mahu beriman. Beliau merajuk, lalu meninggalkan kaum dan kampung halamannya. Akhirnya Nabi Yunus ditelan oleh ikan besar setelah kapal yang membawanya dalam pelayaran dipukul

ribut, lalu dia terpilih melalui undian supaya terjun ke laut untuk meringankan muatan kapal yang hampir karam kerana terlampau sarat.

Di dalam perut ikan besar Nabi Yunus baru tersedar bahawa dia telah melakukan kesalahan kerana meninggalkan kaumnya setelah terlampau kecewa dakwahnya tidak mendapat sambutan. Lalu beliau bertaubat dan berdoa ''Laila hailla antasubhanaka inni kuntu minazalimin."

Dengan izin Allah, Nabi Yunus dimuntahkan dari mulut ikan dan akhirnya selamat kembali kepada kaumnya. Hasil dakwah fasa kedua, Nabi Yunus berjaya mengimankan kira-kira 100,000 orang kaumnya.

Nabi Muhammad juga pernah merasa kecewa kerana dakwahnya di Mekah tidak membawa hasil yang setimpal dengan usahanya, tetapi tidaklah baginda patah hati sampai meninggalkan kaumnya seperti Nabi Yunus. Baginda terus berdakwah selama 13 tahun di Mekah sehinggalah baginda diperintahkan berhijrah ke Madinah, di mana dakwahnya berterusan selama 10 tahun sebelum baginda wafat. Kemudian Islam berkembang pesat sehingga akhirnya tersebar ke seluruh dunia.

Iktibar daripada kisah-kisah nabi ini ialah kita mesti beristiqomah (tetap pendirian dan tindakan) dalam perjuangan mengembang dan memperkukuh agama yang diredai Allah. Angka atau hasil berbentuk fizikal tidak menjadi matlamat kerana ia urusan Allah.

Nabi Muhammad tidak pernah berganjak sekalipun ditawarkan dengan pangkat, kuasa dan kekayaan oleh kaum Quraish supaya menghentikan dakwahnya. Malah baginda terus berdakwah sekalipun ditekan, dihina, diejek dan akhirnya hampir dibunuh.

Inilah sikap pejuang agama yang tulen. Pada hari ini kita dapat menilai siapa pejuang Islam sebenar di Malaysia. Adakah mereka dari kalangan yang berserban, berjubah, berkopiah dan gemar memekik Allahuakbar? Lihatlah betapa rapuhnya semangat perjuangan mereka.

Mereka menetapkan kuasa memerintah negara sebagai KPI mereka. Kononnya untuk mendaulatkan pemerintahan Islam. Bagi mereka ini, apa jua yang kerajaan sedia ada buat adalah tidak Islam.

Setelah berpuluh tahun berjuang dan masih gagal untuk memerintah negara bagi mendaulatkan Islam, mereka lalu mengubah haluan. Tiba-tiba mereka mengatakan al-Quran tidak menggariskan corak pemerintahan Islam. Lalu mereka melaungkan bahawa yang ada ialah pemerintahan negara kebajikan. Bagi mencapai cita-cita menegakkan negara kebajikan, mereka bersekongkol dan tunduk kepada puak yang terang-terang memusuhi Islam dan puak yang diragui pegangan agama mereka.

Apakah mereka tidak belajar apa-apa daripada perjuangan para nabi yang dikisahkan dalam Quran? Adakah Nabi Muhammad berjaya membentuk masyarakat beriman dan menegakkan Islam dengan matlamat menubuhkan kerajaan? Tidak fahamkah mereka bahawa di akhirat kelak kita akan ditanya apakah yang telah kita buat semasa hidup di dunia? Kita tidak akan ditanya sama ada kita telah berjaya membentuk kerajaan Islam atau tidak. Atau ditanya berapa ramaikah rakyat Malaysia memakai kopiah dan suka bertempik ''Allahuakbar'' hasil perjuangan kita.

Mereka ini berjubah dan berserban kononnya mengikut sunah rasul. Dengan ijazah-ijazah pengajian agama yang dimiliki, mereka berasa merekalah pewaris nabi. Mereka sahajalah yang berhak bercakap soal agama. Sombong sungguh mereka ini. Disebabkan kesombongan mereka, Allah telah mendedahkan siapa sebenar mereka ini. Sekarang mereka pula yang dipimpin oleh orang-orang yang tidak memakai serban dan jubah. Apa lagi yang mereka mahu?

Di Malaysia yang penduduknya hanya kira-kira 60 peratus Muslim, sudah lama diinstitusikan agama Islam. Kita ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam. Kita ada Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri, mufti, kadi, Majlis Hal Ehwal Agama Islam, universiti Islam, sekolah rendah dan menengah agama, tadika Islam, kelas KAFA, Baitulmal, perbankan Islam dan piawaian halal. Pelbagai sudah dibuat untuk umat Islam.

Bandingkan Malaysia dan Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia. Adakah Indonesia yang dikatakan rakyatnya lebih 90 peratus Muslim menginstitusikan agama Islam sebagaimana di negara kita? Raja kita orang Islam. Perdana Menteri dan timbalannya juga orang Islam. Apa lagi yang tidak Islam? Dulu mereka berkata, undang-undang kita tidak Islam. Kita mesti laksanakan hukum hudud yang boleh menyebat penzina 100 kali atau merejam sampai mati.

Apakah di bawah negara kebajikan akan wujud hukum hudud terhadap penzina yang memerlukan empat saksi dari kalangan orang beriman? Kalau video pun tidak diterima sebagai bukti, mudahkah mahu mendapatkan empat saksi orang beriman. Yang pakai kopiah memang ramai, tetapi pastikah mereka ini orang beriman?

Usahkan berzina, malah orang beriman tidak mengumpat, tidak sombong, tidak memfitnah, tidak melemparkan gelaran buruk terhadap orang lain. Malah tidak bersahabat dengan syaitan, tidak bermuafakat dengan orang munafik dan kafir yang memusuhi Islam.

Ketahuilah bahawa undang-undang Islam hanya boleh ditegakkan di kalangan orang-orang beriman. Orang beriman, sekalipun terlanjur melakukan zina, mereka akan mengaku salah dan bertaubat. Mereka lebih takutkan Allah dan hukuman di akhirat daripada hukuman dunia. Tanpa paksaan dan penguatkuasaan, undang-undang Islam pasti wujud dalam setiap jiwa yang beriman. Maka serulah diri kita dan orang lain supaya beriman dengan sebenar-benar iman.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved