Sabtu, 11 Jun 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Setakat puncak Abel

Posted:

Setakat puncak Abel

Setakat puncak Abel

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my


PARA peserta bergambar di puncak Abel iaitu salah satu daripada tiga puncak yang terdapat di gunung Marapi.


AGAK mengecewakan kerana pendakian ke puncak (top) tertinggi di Gunung Marapi (2,891 meter/9,485 kaki dari paras laut (dpl) di Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia pada Mei lalu tidak kesampaian. Bertahun lamanya saya menanti peluang ini, namun jejak kami terhenti di puncak Abel, salah satu daripada tiga top di Gunung Marapi pada 7 Mei 2011.

Bagi pendaki tegar, tentulah segala cabaran akan diredah walaupun payah demi mencapai impian. Kami mengimpikan untuk menggapai puncak Merpati yang merupakan top Gunung Marapi, tetapi manusia hanya merancang, Tuhan menentukan. Kami reda dengan pencapaian setakat ini.

"Ini sudah dikira puncak kakak...," pujuk pemandu arah, Deddy Irawan (Ashenk), 25, kepada saya dan Jurimah Mohd Ariffin (Ju) yang berkeras mahu ke puncak Merpati. Kenapa kami gagal? Selain ketentuan Tuhan, faktor manusia dan cuaca juga perlu diambil kira. Hakikatnya pendakian kami bermula lewat iaitu sekitar pukul 8.25 pagi.

Dengan jumlah peserta sebanyak 18 orang, tentulah pendakian harus bermula seawal subuh. Perkiraan waktu yang sesuai adalah sekitar pukul 4 pagi. Dengan itu, kami dapat sampai ke kawasan puncak lewat tengah hari sekali gus mempunyai lebih banyak masa untuk ke puncak Merpati.

Oleh kerana lewat, kami terpaksa meredah panas pagi sepanjang laluan kebun sayur menuju ke pintu rimba. Di kiri dan kanan kami terhampar tanaman cili, karot dan kobis. Dari situ, kami menapak sekitar satu setengah jam mendaki bukit bukau kecil di jalan berbatu kerikil. Dari kejauhan juga, kami dapat melihat gahnya gunung Singgalang yang sebahagiannya diliputi awan tebal.

Pendakian agak perlahan kerana masing-masing baru memasuki sesi 'memanaskan' badan. Tatkala peluh mula mencurah, barulah kami mendekati pintu rimba.

Ketika ini, saya berjalan seorang diri kerana tidak mampu mengejar kumpulan di hadapan, dan tidak pula mahu menunggu kumpulan belakang.

Namun, saya tidak begitu risau kerana trek yang dilalui agak luas seperti jalan kampung. Sebelum sampai ke jambatan buluh yang merentangi sebatang anak sungai, saya terserempak dengan seorang pendaki Indonesia.

"Kamu nampak teman-teman saya di hadapan," tanya saya kepadanya yang juga berjalan seorang diri.

"Ada bu...tak jauh dari sini. Di selekoh itu saja," katanya sambil menunjukkan ke satu arah.

Selepas mengucapkan terima kasih, saya berlari-lari anak menuju ke arah itu. Alhamdulillah, saya bertemu dengan Ali Imran Hassan, Azroy Aziz dan Ereyana Farzura Nazri. Kami akhirnya bersatu sehingga ke cadas iaitu sempadan yang memisahkan hutan rimba dan kawasan batuan gunung berwarna kelabu kehitaman.

Dalam pendakian ini, kami tidak banyak berehat dan beberapa kali bertembung dengan pendaki Indonesia. Kami bertegur sapa dan itulah adat orang mendaki.

Kami tiba di cadas sekitar pukul 1 petang dan selepas makan tengah hari, kami terus mengatur langkah ke puncak. Kabus tebal dan udara dingin menyelaputi kami yang kelelahan menapak di atas batu-batu gunung berapi yang longgar. Kami perlu berhati-hati kerana jika tersilap langkah, pasti kami akan terjatuh berguling-guling ke bawah. Padahnya, hanya tuhan yang tahu.

Dalam kabus tebal itu, kami akhirnya tiba di sebuah puncak kecil yang di atasnya terbina sebuah tugu yang diperbuat daripada simen.

"Inilah tugu Abel," beritahu Ashenk kepada saya.

"Apa ... dia dikebumi di sini," soal saya sambil mendekati tugu tersebut.

"Tidak ... mayatnya tak bisa (tak boleh) dibawa keluar. Tak kelihatan ... jauh di dalam kawah," Ashenk membuka cerita.

Abel Tasman terkorban ketika mahu menyelamatkan seorang pendaki wanita yang hampir terjerumus ke dalam kawah gunung Marapi. Pendaki wanita itu terselamat, namun Abel terjatuh ke dalam kawah yang di dalamnya menggelegak lahar panas.

Ketika itulah, saya bertanyakan Ashenk tentang pendakian ke puncak Merpati. Menurutnya, ia tidak dapat dilakukan kerana kabus tebal dan badai (angin) kuat sedang melanda.

"Bahaya mendaki sekarang kerana badai kuat. Kabus pula tebal sehinggakan jalur (trek) tidak kelihatan.

"Kamu perlu menempuh rabung kecil yang di kirinya kawah dan di kanannya gaung. Kalau jalur tak bisa dilihat, bahaya ke sana," katanya sambil memberitahu kawasan yang kami pijak sekarang adalah puncak (summit) Marapi manakala puncak Merpati pula dipanggil top Marapi.

Memang benar, ketika itu kabus terlalu tebal dan badai pula berhembus kencang. Saya dan Ju saling berbincang dan hakikatnya kami benar-benar kecewa. Akur dengan nasihat Ashenk, kami memulakan perjalanan turun pada pukul 3.15 petang. Menuruni gunung lebih bahaya kerana batu gelongsor yang licin. Tiada pokok yang boleh dipegang membuatkan sesekali saya turun dalam mengengsot.

Kami tiba semula di cadas dan berehat seketika sambil mengeluarkan lampu suluh (headlamp) dari beg galas kecil untuk diletakkan di poket beg agar mudah dicapai apabila mahu menggunakannya. Ini kerana saya jangka kami akan berjalan malam.

Kami meninggalkan cadas sekitar pukul 4.24 petang dan berjalan tanpa henti kerana seboleh-bolehnya saya mahu sampai ke pintu rimba seawal yang boleh.

Memandangkan ada peserta semakin lemah dan sakit kaki, maka perjalanan turun menjadi perlahan.

Disebabkan itu, kami hanya berjaya sampai di tapak perkhemahan pertama dekat jambatan buluh sekitar pukul 7 malam. Di situ ada sekumpulan pendaki Indonesia sedang berkhemah, bermain gitar sambil mengalunkan lagu yang antara liriknya menyebut damainya berehat di lereng gunung Marapi dan Singgalang. Hilang penat tatkala mendengar lagu-lagu itu.

Hampir setengah jam kami berehat semata-mata mahu menunggu kumpulan belakang. Memandangkan mereka tak kunjung tiba, akhirnya kami terpaksa berjalan dahulu menuju ke tempat parkir angkutan kota (van) yang telah disewa. Seperti perjalanan awal, perjalanan akhir ini juga menempuh jalan kebun yang jauh. Kegelapan malam yang begitu pekat membuatkan perjalanan kami menjadi lambat dan saya hanya sampai di parkir pada pukul 9.35 malam.

Syukur kerana kembara penuh mencabar ini berakhir tanpa masalah. Saya terus membuka kasut untuk melegakan kaki yang 'lemas' selama 13 jam 10 minit! Saya tidak serik untuk datang lagi ke sini dan merancang untuk bermalam di gunung sebelum mendaki ke puncak Merpati pada tahun akan datang. Insya-Allah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berbasikal tempuh dingin malam

Posted:

Berbasikal tempuh dingin malam

Berbasikal tempuh dingin malam

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
pengarang@utusan.com.my


AHLI Kelab Mountain Bikes Perlis bersedia untuk menjalankan aktiviti malam dengan berkayuh basikal mengelilingi negeri Perlis ketika berkumpul di Kangar baru-baru ini. - utusan/Faizal Abu Hassan


JARANG sekali aktiviti riadah dilakukan pada ketika larut malam, sebagaimana kata orang tua-tua waktu 'embun jantan turun' paling sesuai untuk tidur atau kalau tidak pun, berada di rumah.

Namun, bagi sebahagian warga Perlis yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, waktu seumpama itu cukup sesuai untuk aktiviti riadah seperti berbasikal.

Walaupun jarum jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam, mereka tetap bersemangat mengayuh basikal secara berkumpulan tanpa mempedulikan diri yang kesejukan kerana menempuh dingin malam.

Tanpa mengira umur, malah semuda 10 tahun pun ada yang sanggup mengikut kumpulan berbasikal itu mengayuh pada lewat malam bermula pukul 12 tengah malam ke atas sebagai aktiviti riadah jika keesokannya hari rehat atau cuti sekolah.

Mohd. Fikri Ismail, 42, salah seorang yang terlibat dalam mengatur aktiviti berbasikal pada lewat malam memberitahu, kebanyakan peserta merupakan anggota Kelab Mountain Bikes (MTB) Perlis.

"Selain aktiviti kelab, kami merancang aktiviti sendiri pada waktu lapang seperti berbasikal pada lewat malam, disertai golongan muda sehingga yang berumur lebih daripada 50 tahun.

"Sesiapa sahaja boleh menyertai aktiviti ini kerana kami bukan berlumba, sekadar mengayuh (basikal) secara berkumpulan ke destinasi ditetapkan, pernah sampai sehingga 30 ke 50 kilometer," katanya yang merupakan seorang guru.

Menurutnya, aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh, malah merapatkan lagi hubungan sesama rakan dalam kumpulan tersebut, di samping melatih mereka berdisiplin.

"Contohnya pada malam ini (sewaktu sesi temu bual ini diadakan), kami hendak berbasikal dari Kangar ke Arau dalam jarak kira-kira 14 kilometer sehala dan kembali semula ke Kangar.

"Apabila menggunakan jalan raya atau jalan utama, kami ditetapkan supaya mematuhi peraturan jalan raya, selain basikal dan pemiliknya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan," ujarnya.

Menurutnya, setiap anggota disyaratkan memakai topi keledar, sarung tangan dan cermin mata (cerah) untuk mengelakkan mata dimasuki serangga ketika berbasikal," tambahnya.

Selain itu, katanya, ada di antara anggota kumpulan memasang pemantul cahaya (reflector) pada basikal sebagai ciri-ciri keselamatan tambahan.

Seorang lagi anggota kelab, Salehhodin Hamzah, 54, berkata, dia cukup gemar berbasikal pada waktu malam walaupun terpaksa pulang lewat ke rumah selepas aktiviti selesai.

"Berbasikal pada waktu malam cukup selesa kerana cuaca yang sejuk kurang memenatkan," katanya.

Beliau juga berkata, anggota kumpulan yang terlibat dapat berkumpul dan berbincang mengenai hobi berbasikal, selain berkongsi pengetahuan tentang dunia basikal,

"Melalui aktiviti ini, kami bukan sekadar tahu tentang selok belok basikal, malah ada di antara kami yang sudah pandai membaiki basikal sekiranya ia mengalami kerosakan kecil," katanya.

Mengenai jenis basikal yang digunakan, katanya, pelbagai jenama boleh dilihat mengikut harga serendah RM1,000 sehinggalah mencecah RM18,000 sebuah ke atas.

"Sebenarnya, harga basikal atau jenama bukan ukuran kerana semua orang boleh berbasikal mengikut kemampuan masing-masing, asalkan ada minat dan kemahuan," tambahnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved