Jumaat, 10 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Amalkan kesederhanaan berimbang

Posted:

Amalkan kesederhanaan berimbang

Amalkan kesederhanaan berimbang

SEBAGAI sebuah agama yang sempurna dan syumul, Islam telah mengutarakan beberapa asas bagi menjaga perpaduan dan mewujudkan persefahaman antara agama dan budaya yang berbeza.

Antara yang dituntut oleh Islam adalah amalan kesederhanaan di dalam pelbagai aspek kehidupan; daripada kefahaman keagamaan, hinggalah kepada hubungan individu dengan masyarakat sekitarnya, serta aspek-aspek pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara dan hubungan antarabangsa.

Dalam pada kita meraikan keseimbangan dan penjagaan hak-hak individu lain, bukanlah dengan jalan melupuskan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam.

Sebaliknya, pada masa yang sama Islam dijunjung dan dimartabatkan serta dibuktikan keunggulannya.

Prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam terus diberi perhatian untuk diterapkan di dalam pelbagai aspek kehidupan individu dan masyarakat dalam pembinaan dasar berkaitan pentadbiran negara, tanpa meminggirkan penganut agama lain untuk terus mengamalkan ajaran mereka.

Ummatan wasatan merupakan umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta berimbal dalam seluruh aspek kehidupan.

Berdasarkan kepada konsep ini, kita diseru agar mengimbangi antara tuntutan rohani dan jasmani serta hambatan dunia dan akhirat, kerana keseimbangan dan kesederhanaan ini amat penting dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian hidup, lantas menentukan kejayaan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Apabila membicarakan tentang tawarikh Islam di Nusantara, sebetulnya wujud pelbagai pendapat dan perbahasan.

Ada banyak teori tentang bagaimana dan bilakah Islam telah sampai ke rantau sebelah sini. Sama ada ia telah datang terus dari jazirah Arab, benua kecil India ataupun dari tanah besar China.

Namun, satu hakikat yang diketahui secara hakiki adalah ketibaannya secara aman melalui para pedagang dan mubaligh. Dua sumbangan besar Islam kepada Kepulauan Melayu adalah bahasa bertulis dan pemikiran saintifik.

Hasil gabung jalin pegangan kepada Mazhab Syafie, aliran Ahlisunnah Wal Jamaah dan budaya tempatan telah membentuk satu pendekatan yang amat unik kepada penganut Islam rantau ini.

Keunikan ini dapat dilihat dari metodologi dakwah digunapakai oleh para wali songo yang mengambil kira persekitaran sosiobudaya dan sosioekonomi kumpulan sasar mereka.

Masalah mula timbul apabila pengaruh asing mula menyerap dan menular di celah umat Islam di sini tanpa memahami dan mengambil kira persekitaran tempatan.

Ia telah menyebabkan bercambahnya ajaran yang bersifat tidak Islamik di rantau ini yang berasaskan keganasan dan sifat tidak toleran.

Membunuh diri misalnya bukan ajaran Islam. Malah, ia adalah haram walau apa pun justifikasinya.

Sememangnya, kita berasa pelik kenapa atas dasar mengislahkan umat, yang perlu dimusuhi dan diperangi adalah umat Islam itu sendiri.

Asas-asas ajaran serta doktrin asing ini perlu diperangi bagi memastikan keharmonian umat Islam di rantau ini terus utuh dan ukhuwah umat terus terpelihara.

Lembaran sejarah Rasulullah SAW juga telah menyaksikan bahawa dalam setiap aspek sama ada dakwah, pentadbiran negara, kehakiman, hubungan diplomatik mahupun amalan adat resam dan kebudayaan, Baginda tidak menunjukkan sikap ekstrem.

Malah, pendekatan yang diperkenalkan oleh Baginda SAW adalah pendekatan wasatiyyah kerana hanya dengan jalan ini Islam dapat diterima oleh semua bangsa.

Terkandung dalam kisah atau cerita Malaysia itu sendiri adalah manifestasi pelaksanaan cara dan falsafah wasatiyyah atau terjemahan hampir ke dalam bahasa Inggerisnya 'justly balanced'.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan 60 peratus warganegaranya menganut agama Islam.

Minoriti besar rakyat Malaysia sejumlah 40 peratus yang lain pula menganut pelbagai agama.

Hakikatnya, bukan sahaja agama yang dianuti warga Malaysia berbeza malahan bahasa, budaya dan taraf sosioekonomi juga tidak sama.

Kendatipun di Malaysia wujud kepelbagaian yang kompleks, kedudukan Islam telah dimaktubkan secara rasmi di dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh atau Perlembagaan Negeri.

Ia telah diperkemaskan lagi dengan penubuhan institusi-institusi bagi mentadbir dan melaksanakan undang-undang syariah serta memajukan kepentingan sosial serta ekonomi penganut Islam. Jelasnya, Islam di Malaysia bukan setakat agama ritual namun telah diamalkan sebagai cara hidup yang syumul.

Sekalipun Islam telah diberikan kedudukan perundangan dan pentadbiran yang 'preeminent' atau yang tertinggi di atas yang lain dek kerana statusnya sebagai agama persekutuan, juga selaku agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia serta menjadi kepercayaan yang telah memainkan peranan penting di sudut sejarahnya dalam pembentukan identiti kehidupan bernegara, agama-agama lain tetap diberi jaminan perlembagaan serta bebas diamalkan secara aman.

Di dalam mengurus perhubungan etnik dan agama di Malaysia, kerajaan semenjak merdeka telah memilih untuk dipandu falsafah integrasi berbanding asimilasi.

Beza kedua- dua falsafah pemandu ini amat besar.

Integrasi bermakna kepelbagaian dihormati, dikekalkan seterusnya diraikan. Ia selaras dengan prinsip ajaran Islam bahawa tidak ada paksaan di dalam beragama dan kepelbagaian adalah asas untuk kenal-mengenali sebagai satu kerahmatan.

Berbeza dengan kaedah integrasi, kaedah asimilasi melakurkan perbezaan bagi tujuan mencipta indentiti yang sama.

Malaysia menolak kaedah ini bagi membina negara kerana tidak bersesuaian dengan realiti yang ada.

Hasil daripada mengamalkan pendekatan wasatiyyah ini semenjak berdekad-dekad, Malaysia sebagai sebuah negara Islam demokratik telah muncul menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

Kita juga telah berjaya menyanggah tanggapan stereotaip selama ini tentang kononnya sesebuah negara Islam itu lazimnya tidak demokratik, bersifat autokratik, walau kaya dengan sumber asli namun gagal menguruskannya dengan baik, tiada pula keadilan sosial.

Lantaran itu, Alhamdulillah, kita bersyukur dan berterima kasih kepada bapa-bapa pimpinan terdahulu yang telah merentas denai dan menyuluh contoh teladan.

Jalan yang telah mereka pilih telah memastikan Malaysia bukan sahaja terus aman damai bahkan maju dan makmur.

Pendek kata, ajaran Islam adalah bersifat benar tetapi yang salah apabila umat itu gagal untuk mengikut ajaran Islam yang betul.

Sesungguhnya, kesederhanaan berimbang yang kita dambakan bukanlah kesederhanaan menurut tafsiran pihak luar atau pihak Barat yang terus cuba mencanai umat Islam mengikut tasawwur mereka.

Sebaliknya, wasatiyyah dalam permaknaan dan pengertian kita adalah, wasatiyyah yang dididik dan diteladankan oleh Nabi Muhammad SAW melalui rentetan sirah, antaranya semangat piagam Madinah dan perjanjian Hudhaibiyah serta kesederhanaan berimbang para Khulafa al-Rasyidin serta para sahabat yang kemudian.

Selain itu, di arena kebangsaan dan antarabangsa kita telah memperlihatkan bahawa kita bukan setakat beretorik dalam isu ini malah kita telah mengamalkannya secara istiqomah.

Di peringkat global, kita berbaik dengan semua negara sama ada negara Islam atau tidak, namun atas dasar prinsip, kita tidak akan sekali-kali lari dari menyatakan apa yang benar.

Kita akan terus memperjuangkan isu dan hak asasi rakyat Palestin untuk mendapatkan sebuah negara yang merdeka.

Memperjuangkan yang haq dan menegur yang batil.

Hasilnya, kita telah membentuk imej sebuah negara Islam berwibawa dan berkemampuan sehingga berupaya menghantar pasukan pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi melindungi umat Islam di Bosnia Herzegovina juga mengamankan negara Islam Somalia.

Kita juga telah menempatkan anggota misi pengaman di Selatan Lubnan dan menghantar doktor-doktor wanita ke Afghanistan.

Makanya, kenapa kita sebagai umat yang bermaruah sanggup membenarkan Islam dipandang remeh dan diperkotak-katik lantaran ketidakmampuan mengurus maslahah umat Islam itu sendiri?

Persoalannya di sini, kenapa pihak ketiga yang selalunya bukan negara Islam diberi kepercayaan dan sandaran untuk menjadi wasit rujukan atau pertelingkahan?

Kenapakah rasuah, salah tadbir, salah urus dan ketidakcekapan sering menandai pengurusan negara Islam? Sedangkan kita tahu ajaran Islam seperti mana terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya mampu menjadi panduan yang jelas.

Jawapannya adalah, kita sewajarnya memperbetulkan ehwal kita dahulu sebelum kita mampu menjadi obor petunjuk kepada umat manusia sebagaimana umat Islam satu ketika dahulu.

Kita perlu mengakui hakikat keperluan untuk berintrospeksi, seterusnya mengambil tindakan pembaikan.

Ternyata, masalah umat Islam adalah masalah dalaman yang walaupun tampak seolah sukar dikawal urus tetapi jalan penyelesaiannya memang ada dan memang wujud dengan kembali berpegang kepada ajaran Islam sebenar.

Mutakhir ini, keharmonian di kalangan penganut agama yang berbeza di Malaysia sedikit tercalar.

Ini berlaku kerana ada pihak yang mahu mempolitikkan agama sama ada di kalangan penganut Islam atau di kalangan bukan Islam.

Dalam sebuah negara yang berbilang kaum polemik tentang agama harus diurus dengan berhemah dan cermat.

Ini kerana perbincangan berkaitan agama mampu membakar perasaan semua pihak. Sememangnya di dalam sebuah negara yang demokratik setiap individu bebas menyuarakan pendapat asalkan tidak melanggar undang-undang.

Menyuarakan pendapat yang diketahui mampu membakar perasaan penganut agama lain akan mengundang kenyataan balas yang provokatif dan bukanlah satu tindakan bertanggungjawab.

Dari itu, semua pihak sewajibnya berhati-hati dan mengambil pendekatan yang bijaksana demi kestabilan nasional.

Malah, itulah yang dituntut dalam setiap ajaran agama.

Pada zaman ini, di mana masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya, tinggal dan berinteraksi sesama mereka di dalam sesebuah negara atau masyarakat antarabangsa, aspek perpaduan, toleransi seterusnya penerimaan total merupakan faktor utama yang menjadi penyokong kepada pembangunan negara dan keamanan dunia.

Sekiranya wujud perpaduan, toleransi dan penerimaan total antara kaum dan penganut-penganut agama yang berlainan, maka agenda-agenda pembangunan masyarakat yang direncanakan serta dilaksanakan dengan mudah yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Sebaliknya, sekiranya wujud kepincangan kesatuan dari aspek perpaduan, toleransi dan penerimaan total tersebut, maka itu akan membawa kepada keadaan huru-hara.

Apa yang mustahak, pada hari ini, kita telah mengihyakan Wasatiyyah sebagai "guiding principle" atau prinsip pedoman kepada gagasan 1Malaysia; 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Inilah falsafah dan formula yang akan merealisasikan aspirasi negara dalam mencapai Wawasan 2020.

Benarlah, Islam adalah agama rahmat kepada seluruh manusia. Dasar-dasar pemerintahan Islam tidak menolak kepentingan penganut agama lain.

Sejarah telah membuktikan bahawa di beberapa wilayah Islam misalnya, masyarakat bukan Islam juga terlibat dalam urusan pentadbiran.

Misalnya di Andalusia, terdapat wilayah-wilayah tertentu telah diperintah oleh kaum Yahudi.

Masyarakat Kristian dan Yahudi ketika itu telah menerima wilayah-wilayah ini sebagai wilayah Islam tanpa sebarang tekanan dan paksaan.

Aspek pengagihan kekayaan dan keadilan sosial juga merupakan faktor penting di dalam mewujudkan kestabilan dalam kalangan masyarakat, dan kestabilan ekonomi sesebuah negara.

Aspek ini telah diberi penekanan oleh kerajaan agar kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama kepada semua kaum yang ada di negara ini.

Pendek kata, dalam setiap usaha pembangunan dan kemajuan negara, kita telah lama menjurus kepada konsep negara berkebajikan.

Jika disoroti sejarah pemerintahan Islam pada zaman Khalifah- khalifah al-Rashidin, masyarakat bukan Islam diberikan layanan yang baik dan tidak dipinggirkan daripada menikmati kekayaan negara.

Berlaku satu peristiwa apabila Khalifah 'Umar al-Khattab r.a bertemu seorang tua keturunan Yahudi sedang meminta sedekah.

Beliau sangat bersimpati dengan keadaan orang Yahudi itu dan bertanya akan hal yang menyebabkan demikian.

Orang Yahudi itu menjelaskan keadaannya yang uzur menyebabkan beliau tidak berkemampuan untuk bekerja.

Pendek kata sejak dulu lagi kita telah memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat.

Malah perjuangan yang menjurus kepada negara berkebajikan juga telah lama diperjuangkan oleh kerajaan.

Maka adalah agak pelik dan ajaib apabila ada pihak yang mencanangkan dan menguar-uarkan mahu memperjuangkan negara berkebajikan.

Mereka sebenarnya baru berfikir untuk mewujudkan negara berkebajikan sedangkan kita sudah lama memperjuangkan negara berkebajikan ini.

Saya tak perlu menghuraikan dengan lebih panjang mengenai usaha kerajaan kerana ia telah dibuktikan menerusi pelbagai usaha seperti penubuhan Felcra, Risda, universiti dan pelbagai lagi.

Bukankah ini ke arah negara berkebajikan yang sudah lama kita perjuangkan?

Tidak perlulah mahu mengambil modal negara berkebajikan yang kerajaan sudah sedia perjuangkan dan ada hari ini.

Setelah mendengar jawapan itu, Khalifah 'Umar al-Khattab r.a. terus membawa orang Yahudi itu ke rumahnya dan kemudian menghantarnya ke Baitulmal. Di sana 'Umar al-Khattab r.a. memerintahkan supaya diberi bantuan kepada warga tua Yahudi tersebut. 'Umar al-Khattab r.a. berkata yang bermaksud: "Tidak ada keadilan sekiranya kita pungut jizyah daripada mereka ketika mereka masih muda dan meninggalkan mereka apabila mereka tua".

Demikianlah betapa indahnya diperlihatkan dalam cerita sahabat akan pendekatan perhubungan antara Islam dan bukan Islam atas prinsip wasatiyyah dengan semangat ehsan manusiawi yang tinggi.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya, ingin saya jelaskan sekali lagi bahawa pendekatan Wasatiyyah di Malaysia amat perlu di titikberatkan, ia bukanlah satu pilihan bahkan satu imperatif untuk memacu kita mencari hasanah di dunia dan hasanah di akhirat dalam konteks mencapai al-Falah.

Kesimpulannya, saya berharap agar konvensyen yang akan berlangsung selama dua hari ini, dimanfaatkan oleh kita semua, bagi mendalami konsep wasatiyyah dan sama-sama memikirkan jalan terbaik untuk melaksanakannya dalam segala aspek berkaitan kehidupan individual dan masyarakat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hak pengadu dalam undang-undang Qazaf

Posted:

Hak pengadu dalam undang-undang Qazaf

Hak pengadu dalam undang-undang Qazaf

Oleh SHAMSUL MUDA

BERIKUT adalah soal jawab mengenai hak yang diperuntukkan syarak kepada mangsa rogol atau liwat yang membuat aduan berlakunya jenayah tersebut tetapi gagal mengemukakan empat saksi.

Ia menjelaskan dalam keadaan ini, syarak memberikan kepada mangsa rogol atau liwat hak untuk didengari aduannya meskipun tidak mengemukakan empat saksi.

Dalam keadaan ini juga, pengadu tidak dikenakan hukuman qazaf jika terdapat bukti-bukti yang diterima yang menunjukkan berlakunya rogol atau liwat secara paksa.

Soalan: Apakah pengertian qazaf?

Para ulama berbeza pendapat dalam mendefinisikan qazaf seperti berikut :

i. Menurut Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan pegangan dua murid kanan Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad, qazaf ialah 'menuduh seseorang melakukan zina atau liwat' (Majid Muhammad (1997), al-Hudud Fi al-Fiqh al-Islami, Kuwait : Maktabah al-Falah, halaman 75).

ii. Pada pandangan Imam Abu Hanifah, qazaf ialah 'menuduh seseorang melakukan zina sahaja' (Ibid). Justeru, menurut beliau, perbuatan menuduh seseorang melakukan liwat, tidak boleh dikenakan hukuman qazaf iaitu 80 kali sebatan. Hukumannya ialah ta'zir iaitu hukuman yang dijatuhkan berdasarkan budi bicara hakim.

[Aduan mangsa rogol atau liwat yang disokong empat saksi]

Adakah seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, boleh dikenakan hukuman qazaf?

Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, TIDAK BOLEH dikenakan hukuman qazaf apabila dia dapat membawa empat orang saksi. Dalam keadaan ini, hukuman hudud akan dijatuhkan ke atas perogol atau peliwat, bukannya pengadu.

[Keadaan aduan mangsa rogol atau liwat yang TIDAK disokong empat saksi]

Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan rogol atau liwat, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, adakah akan dikenakan hukuman qazaf?

Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, hendaklah dilihat :

i. Jika dia tidak dapat membawa sebarang bukti (contoh-contoh bukti yang boleh digunakan akan dinyatakan selepas ini) yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, dia akan dikenakan hukuman qazaf kerana telah menuduh orang lain berzina atau meliwat tanpa sebarang bukti.

Firman Allah (Surah an-Nur : 4)," Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik".

ii. Jika dia membawa bukti yang menunjukkan berlakunya kejadian rogol atau liwat, dia dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman qazaf (Dalil kepada kenyataan ini akan dinyatakan selepas ini) meskipun gagal mengemukakan empat saksi.

[Proses ke atas aduan mangsa rogol atau liwat]

Adakah ini bermakna seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, tanpa membawa empat orang saksi, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf?

Ya. Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf walau pun gagal membawa empat orang saksi.

Berdasarkan keterangan ulama, boleh disimpulkan, setiap aduan rogol atau liwat perlu melalui proses berikut :

i Pihak berkuasa perlu mengumpul bukti-bukti yang menunjukkan mangsa betul-betul dirogol atau diliwat;

ii. Apabila terdapat bukti yang menunjukkan pengadu memang dirogol atau diliwat, pengadu akan dibebaskan tanpa dikenakan sebarang hukuman. Dalam keadaan ini, yang dikenakan hukuman ialah tertuduh seperti yang akan dijelaskan;

iii. Jika pengadu tidak mampu mengemukakan sebarang bukti, atau pihak berkuasa tidak menemui apa-apa bukti yang menunjukkan pengadu betul-betul dirogol atau diliwat, pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Ini kerana pengadu tersebut telah menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa sebarang bukti.

[Bukti-bukti yang boleh digunakan dalam kes rogol atau liwat]

Apakah bukti-selain empat orang saksi yang boleh digunakan bagi menunjukkan berlakunya jenayah rogol atau liwat?

Seperti yang disebutkan oleh sesetengah ulama zaman silam( Iaitu Imam al-Baji dalam kitabnya al-Muntaqa Syarh Muwatto' Imam Malik seperti yang akan dinyatakan dan Imam Abd. al-Bar dalam kitabnya al-Istizkar seperti yang telah disebutkan sebelum ini ), bukti tersebut seperti :

i. Mangsa datang melapor kes rogol atau liwat sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan kemaluannya berdarah jika dia seorang gadis;

ii. Mangsa didengari berteriak meminta tolong; atau

iii. Tertuduh dilihat membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya (tertuduh) secara paksa.

Pada zaman sekarang, kajian saintifik boleh digunakan sebagai bukti kes rogol atau liwat seperti laporan perubatan, ujian DNA, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya.

[Dalil mangsa rogol atau liwat yang membawa bukti selain empat saksi dibebaskan daripada hukuman qazaf]

Apakah dalil yang menunjukkan bahawa mangsa rogol atau liwat, tidak dikenakan hukuman qazaf bila menuduh seseorang merogol atau meliwatnya tanpa mengemukakan empat saksi, tetapi dengan membawa bukti seperti yang dinyatakan? ( Lihat jawapan bagi soalan 5)

Dalilnya ialah hadis Nabi s.a.w, qias dan keterangan ulama.

Dalil Pertama : Hadis Nabi s.a.w

Pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, seorang wanita yang dirogol seorang lelaki secara bersendirian, mendakwa lelaki berkenaan merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Setelah suspek ditangkap, wanita tersebut mengesahkan bahawa suspek tersebut adalah perogolnya.

Namun, apabila Nabi s.a.w memerintahkan supaya lelaki tersebut direjam (akan dinyatakan selepas ini bahawa berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki tersebut tidak dikenakan hukuman rejam ), seorang lelaki yang lain mengakui bahawa beliaulah yang sebenarnya merogol wanita berkenaan.

Hukuman akhirnya dijatuhkan ke atas lelaki yang mengaku merogol, sementara suspek serta wanita yang menjadi mangsaAkta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK TERLIBAT dalam perbuatan zina atau liwat, yang menuduh seseorang lain melakukan zina atau liwat. rogol dibebaskan.

Dalam peristiwa ini, Nabi s.a.w tidak menjatuhkan hukuman qazaf ke atas wanita tadi, meskipun beliau telah mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Dalil Kedua : Qias

Kes rogol sama dengan kes li'an iaitu seorang suami menuduh isterinya berzina. Dalam kes li'an, si suami boleh menuduh isterinya berzina, tanpa dikenakan hukuman qazaf meskipun tuduhan dilakukan tanpa disokong empat orang saksi.

Dalam keadaan ini, si suami dibebaskan daripada hukuman qazaf kerana beliau terpaksa melakukan li'an bagi menjaga nasab keturunannya.

Dalam kes rogol, mangsa rogol juga terpaksa menceritakan kejadian rogol bagi mengelakkannya disebat atau direjam disebabkan kehamilan luar nikah (Dalam mazhab Maliki, wanita yang hamil tanpa suami yang sah boleh disabitkan dengan kesalahan zina).

Oleh kerana, seseorang yang menuduh isterinya berzina, tanpa membawa empat saksi tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi menjaga nasab keturunannya, maka demikian juga mangsa rogol yang mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi, juga tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkannya disabitkan dengan kesalahan zina disebabkan kehamilan luar nikah. (Rujuk al-Muntaqa Syarh al-Muwatto' karangan Imam al-Baji, jilid 4, halaman 21)

Dalil Ketiga : Keterangan ulama

Antara ulama yang menyatakan dengan jelas bahawa mangsa rogol yang mengadu dirogol dengan membawa bukti lain selain empat saksi, tidak dikenakan hukuman qazaf, ialah Imam al-Baji.

Beliau berkata, (Al-Baji, Sulaiman Ibn Khalaf (1999), al-Muntaqa Syarh Muwatto' Malik, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Jilid 4, halaman 21) :

(Terjemahannya) - Jika kedua-dua orang saksi (Imam Al-Baji menyebut 'kedua-dua orang saksi' kerana sebelum petikan di atas beliau memperkatakan tentang wanita yang mendakwa dirogol tanpa membawa empat orang saksi. Maka 'dua orang saksi' diambil sebagai contoh bagi 'saksi yang kurang daripada empat orang') tidak melihatnya, iaitu wanita yang mendakwa dirogol dipaksa melakukan persetubuhan dan tidak juga menyatakan kemungkinan dia dipaksa melakukan persetubuhan, tetapi dia datang kepada pihak berkuasa sambil berpaut padanya iaitu pada tertuduh dalam keadaannya berdarah (maksudnya dalam keadaan kemaluannya berdarah) jika dia [seorang] gadis, atau datang sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan tidak berdarah jika dia seorang janda maka dalam kitab Ibn al-Mawaz [yang memetik] daripada Abdul Malik dan [ulama-ulama] selainnya, dinyatakan bahawa "dia tidak dikenakan hukuman hudud (iaitu hukuman qazaf) disebabkan tuduhannya ke atasnya (iaitu tertuduh)".

Kesimpulannya, hadis Nabi s.a.w, qias dan kenyataan ulama yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam kes rogol, mangsa mempunyai hak didengari aduannya, walaupun tidak membawa empat saksi.

Dalam kes rogol yang kebiasaannya berlaku secara tersembunyi, aduan mangsa diambil kira dan mangsa dibebaskan daripada hukuman qazaf, jika terbukti bahawa kejadian rogol benar-benar berlaku melalui pembuktian yang dinyatakan (Rujuk jawapan bagi soalan 5).

Anggapan banyak pihak bahawa seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat secara paksa oleh seseorang, tanpa mengemukakan empat saksi, terus dianggap telah melakukan kesalahan qazaf, adalah anggapan yang silap seperti yang dapat dilihat melalui hadis Nabi s.a.w, qias dan keterangan ulama yang dinyatakan.

[Hukuman ke atas tertuduh dalam kes rogol atau liwat yang disokong bukti]

Jika mangsa rogol atau liwat tidak mampu mendatangkan empat orang saksi, tetapi dapat membawa bukti-bukti seperti yang dinyatakan (Lihat Jawapan bagi Soalan 5), bagaimana dengan tertuduh?

Jika mangsa dapat mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, tertuduh dikenakan hukuman seperti berikut :

i. Membayar wang dalam jumlah yang sama dengan mas kahwin semasa kepada mangsa. Hukuman ini dikenakan dengan dua syarat, iaitu terdapat saksi yang melihat tanda-tanda berlakunya jenayah rogol atau liwat; dan mangsa bersumpah bahawa dia telah dirogol (Al-Baji (1992), jilid. 4, halaman 21).

ii. Hakim boleh mengenakan hukuman ta'zir - iaitu hukuman yang diserahkan kepada budi bicara hakim- ke atas tertuduh seperti hukuman denda, penjara, sebat, buang daerah dan sebagainya.

Hukuman ta'zir wajib dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan maksiat yang tidak ditentukan hukumannya oleh syarak (Zaydan, Abdul Karim (1992), Usul ad-Da'wah, Baghdad : Maktabah al-Quds, halaman 293).

[Perbicaraan Kes Qazaf menurut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Syariah Malaysia - Mahkamah yang berhak dari segi undang-undang mengadili kes qazaf]

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah manakah yang mempunyai kuasa membicarakan kes rogol atau liwat?

Menurut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kes yang tidak melibatkan Undang-undang Keluarga Islam, dan kes tersebut berada di bawah kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mahkamah yang berhak membicarakannya ialah mahkamah sivil atau jenayah, bukannya Mahkamah Syariah.

[Aduan mangsa rogol atau liwat yang tidak disokong empat saksi menurut Undang-Undang Syariah di Malaysia]

Mengikut Undang-Undang Syariah di Malaysia, adakah mangsa yang mengadu dirogol atau diliwat, akan dikenakan hukuman qazaf apabila gagal membawa empat orang saksi?

Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK TERLIBAT dalam perbuatan zina atau liwat, yang menuduh seseorang lain melakukan zina atau liwat.

Ini bermakna, akta ini tidak merangkumi mangsa atau orang yang melakukan zina atau liwat itu sendiri, yang mendakwa perogol merogolnya, atau menyatakan pasangannya melakukan zina dengannya.

SHAMSUL MUDA ialah Pegawai di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved