Selasa, 3 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Midtown Muhibbah makin dikenali

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

Pelanggan wanita tidak ketinggalan berkunjung ke Midtown Muhibbah untuk membeli barangan kemas yang ditawar dengan harga berpatutan.

BUKIT MERTAJAM 2 Dis. - Bandar Perda di sini kini menjadi lokasi orang ramai khususnya penduduk di utara Semenanjung untuk mendapatkan pelbagai jenis barang pada harga berpatutan selepas waktu pejabat.

Sebut sahaja barang dicari, pastinya boleh diperoleh di situ dengan adanya Midtown Muhibbah yang beroperasi dari pukul 9 malam hingga 2 pagi.

Mula dibuka dua minggu lalu, kawasan yang dipenuhi kira-kira 150 peniaga itu diurus tadbir oleh Persatuan Pergabungan Anak Bangsa Malaysia Bandar Perda.

Konsep yang diperkenalkan di situ cukup mudah iaitu berbelanja sambil bersantai kerana lokasinya mempunyai pelbagai kemudahan asas dan paling utama pengunjung berasa selesa.

Selain itu, pelbagai produk yang dijual merupakan barangan keperluan harian bermula daripada perhiasan diri hinggalah peralatan untuk kegunaan di rumah.

Harganya pula cukup murah berbanding lokasi lain di sekitar daerah ini menyebabkan Midtown Muhibbah semakin dikenali dan menjadi lokasi wajib jika berkunjung ke Seberang Perai.

Antaranya kasut, barangan elektrik, pakaian, langsir, pinggan mangkuk, basikal, permainan kanak-kanak, beg tangan dan aksesori wanita.

Pengerusi Persatuan Pergabungan Anak Bangsa Malaysia Bandar Perda, Mohd. Sudir Hashim berkata, pusat perniagaan tersebut mula mendapat sambutan daripada pelanggan terutama menjelang malam hingga menjadikan suasana di kawasan berkenaan meriah hingga ke awal pagi.

"Peniaga di sini tidak menang tangan berurusan dengan pembeli kerana barangan yang dijual berkualiti dan harganya pula rendah," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, lokasi itu merupakan penyeri malam bagi Bandar Perda yang menjadi laluan penting keluar masuk bagi mereka yang datang dari utara atau selatan Semenanjung.

"Suasana dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan yang dibawa khusus untuk memberi hiburan kepada pengunjung sesuai dengan konsep santai yang diperkenalkan.

"Malah mereka juga boleh menjamu selera di sini kerana terdapat beberapa premis menawarkan makanan pada harga berpatutan," katanya.

Pembeli juga jelas Mohd. Sudir, tidak perlu bimbang kerana peniaga bersedia menawarkan harga berpatutan agar mereka tidak berasa hampa apabila berkunjung ke situ.

"Selain itu, penyediaan kemudahan asas seperti tandas, ruang pejalan kaki yang selesa serta kemudahan bekalan elektrik dan air turut menarik minat peniaga lain untuk turut serta berniaga di sini," jelasnya.

Seorang peniaga aksesori wanita, Rozita Razali, 34, berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Saya pernah berniaga di tempat lain sebelum ini tetapi di Midtown Muhibbah, pendapatan saya berlipat ganda kerana menjadi tumpuan pembeli.

"Berniaga di sini juga selesa kerana selain kawasannya tidak becak, pengunjung juga boleh berlindung di tepi premis kedai jika hujan," katanya.

Bagi Mohd. Lutfi Hamid yang menjalankan perniagaan minyak wangi pelbagai jenama berkata, hasil pendapatan diperoleh agak tinggi kerana barangannya mendapat sambutan daripada pengunjung.

"Mungkin minyak wangi yang saya jual ini merupakan bahan tulen yang diimport dari luar negara menjadikan pembeli suka mendapatkannya.

"Di sini juga tiada banyak persaingan sesama penjual kerana pihak pengurusan telah menetapkan dari awal barangan apa yang perlu dijual oleh peniaga semasa proses permohonan dahulu," ujarnya.

Perkhidmatan yang turut disediakan ialah bekam dan urut yang diusahakan oleh Ramli Salleh dari Syarikat Ramli Maju Venture yang mempunyai pengalaman 10 tahun dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, seorang pelanggan, Norzihan Ali, 34, mengakui kerap mengunjungi pusat perniagaan tersebut bagi mendapatkan barangan yang masih elok dan 'baharu tiba' seperti kasut, barangan elektrik dan permainan kanak-kanak.

"Pelbagai barangan yang ingin diperoleh boleh didapati di sini pada harga yang mungkin tidak mampu dibeli di tempat lain.

"Tidak semua masyarakat di luar bandar seperti kami berkesempatan membeli barang sepanjang masa namun kedudukan lokasi ini yang dekat dengan penempatan memudahkan kami membelinya sepanjang masa," katanya.

Nelayan diminta guna alat moden

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

KUALA KEDAH 2 Dis. - Golongan nelayan diseru menggunakan pelbagai teknologi serta peralatan moden dalam kaedah penangkapan ikan dan pengurusan organisasi termasuk cara pemikiran baharu bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar) berkata, pencapaian kehidupan nelayan tidak harus lagi dilihat pada tahap menggunakan peralatan tradisional seperti serkap, bubu tempang, ran candik dan sempila.

"Pelbagai teknologi boleh diperoleh dengan bantuan khidmat nasihat dan latihan daripada Jabatan Perikanan dan juga Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Jabatan itu dan LKIM juga melaksanakan pelbagai program pembangunan bagi memastikan warga nelayan meneruskan usaha-usaha penangkapan ikan dengan lebih giat," katanya dalam Program Tukun Tiruan Negeri Kedah 2013 dan Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Negeri Kedah di Kompleks Perikanan Daerah Kedah Utara, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, Kedah sangat beruntung kerana diberi peruntukan paling besar bagi tujuan pembinaan tukun tiruan yang diharapkan akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat terutama dalam usaha mempertingkatkan hasil pendaratan ikan.

"Berdasarkan rekod, mulai 2000 hingga 2012, Jabatan Perikanan membina dan melabuhkan tukun tiruan di 11 lokasi di perairan Kedah manakala LKIM pula di 33 lokasi dengan kos keseluruhan RM7.37 juta.

"Setahu saya, nelayan di Kuala Kedah juga diberi perhatian khusus oleh kerajaan terutama dalam meningkatkan sumber ikan melalui pembinaan tukun tiruan bernilai RM2.5 juta tahun ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) boleh memainkan peranan penting dalam memupuk, membimbing para nelayan di samping menjadi penghubung dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

"Saya juga berharap pihak swasta dapat menumpukan usaha khidmat sosial korporat mereka untuk membantu kerajaan negeri dalam menggalakkan tahap kesedaran dan pendidikan masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar terutama pemulihan kawasan habitat pembiakan ikan di kawasan pantai.

"Keupayaan syarikat ini boleh digembleng, termasuklah mengadakan program penanaman pokok bakau di perairan pantai dan membina tukun tiruan sebagai sumbangan mereka kepada masyarakat nelayan di negeri ini," katanya.

Mukhriz juga mahu supaya warga nelayan di negeri ini mencontohi sikap nelayan negara maju dalam memulihara sumber perikanan pantai di samping sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Aspirasi kerajaan negeri adalah untuk membangunkan industri eko- pelancongan yang menguntungkan rakyat. Inisiatif tukun tiruan ini juga mampu menggalakkan perkembangan sektor tersebut.

"Apabila sumber perikanan terpelihara dan diuruskan dengan baik, para nelayan berpeluang menambah sumber pendapatan melalui pakej memancing, perkhidmatan sewa bot dan aktiviti riadah lain termasuk kegiatan selam skuba yang menambah nilai ekonomi dan pendapatan," katanya.

Contohi kegigihan peneroka Felda pertama

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Mansor Din memberi makan ikan di kolamnya di tanah rancangan Felda Bersia, Gerik, Perak, baru-baru ini.

GERIK 2 Dis. - Kegigihan seorang peneroka generasi pertama Felda Bersia dekat sini, Mansor Din, 79, wajar dijadikan contoh kepada generasi baharu di tanah rancangan Felda yang lain.

Mansor merupakan antara peserta terawal yang membuka tanah rancangan Felda Bersia kira-kira 50 tahun lalu dan kegigihannya sebagai peneroka telah mengeluarkan hasil lumayan dalam kehidupannya.

Hasil daripada keringatnya selama setengah abad, Mansor kini memiliki sebuah kediaman yang selesa di tanah rancangan berkenaan.

Apa yang mengagumkan, kerana sudah sebati dengan rutin hariannya yang 'tidak tahu duduk diam', dalam usianya sekarang, dia masih bertenaga untuk menoreh getah dan membuat kerja-kerja ladang.

"Biasanya setiap pagi saya bangun pukul 4 untuk menoreh getah dan pulang ke rumah 9 pagi. Pada sebelah petang pula, saya akan ke kolam ternakan ikan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan seperti talapia, puyu ara dan patin.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang memberi peluang menjadi peserta Felda Bersia kira-kira 50 tahun lalu dan hasilnya kini kehidupan saya lebih baik," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mansor yang kematian isterinya sejak 13 tahun lalu mempunyai empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara 44 hingga 56 tahun.

Anak-anaknya tidak lagi bergantung hidup dengan ladang yang diusahakannya, biarpun terus menetap di Felda Bersia.

Anak sulungnya, Ghazali, 56, seorang pesara polis kini mengusahakan perniagaan restoran berhampiran dengan kolam ikan yang diusahakan oleh Mansor.

Mansor, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Long Misai berkata, kehidupan selesa yang dinikmatinya sekarang tidak datang dengan mudah kerana dia terpaksa menempuh pelbagai cabaran terutama ketika mula-mula menjejakkan kaki ke tanah rancangan berkenaan 50 tahun lalu.

Menceritakan kepayahan hidupnya ketika itu, Mansor berkata, pada peringkat awal, dia dan ahli keluarganya bergantung kepada bantuan sara hidup sebanyak RM60 sebulan yang diberikan oleh Felda.

Menurutnya, ketika itu juga tiada kemudahan asas di kawasan berkenaan seperti hari ini.

"Peneroka diberikan sebuah rumah untuk setiap keluarga dan terpaksa berkongsi menggunakan paip air yang disediakan di tepi jalan dengan keluarga lain.

"Ketika itu persekitaran rumah peneroka penuh dengan hutan dan sering terserempak binatang buas seperti harimau dan babi hutan. Namun, saya dan rakan-rakan tetap tabah meneruskan usaha meneroka tanah demi masa depan yang lebih cerah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved