Selasa, 3 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Semua diminta turun padang

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 3 Dis. - Semua pihak diminta turun padang untuk bersama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tidak kira daripada segi tenaga mahupun kewangan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, semua agensi berkaitan termasuk istana juga harus memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa banjir di negeri ini.

Baginda bertitah, rakyat perlu menerima bencana alam yang sukar dijangka itu dan kerajaan pastinya akan berusaha membantu daripada segi bantuan peralatan dan makanan.

"Hujan lebat yang berterusan menyebabkan banyak tempat dilanda banjir dan ini sukar dijangka, malah kita juga bimbang sekiranya hujan tidak berhenti, keadaan akan menjadi lebih buruk.

"Bagaimanapun, buat masa ini, bantuan segera perlu diberikan kepada mangsa yang terjejas akibat situasi ini," titah baginda selepas melawat Pusat Pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Datuk Shamsiah Hussin; Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob.

Sebanyak 265 mangsa banjir daripada 54 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan itu ekoran rumah di sekitar Kampung Galing Besar dinaiki air.

Dalam lawatan itu, baginda turut meninjau dewan makan tempat penyediaan makanan kepada mangsa banjir, selain memberi sumbangan kepada mereka.

Tengku Abdullah bertitah, soal perparitan bukan satu-satunya faktor berlakunya banjir memandangkan hujan lebat berterusan melanda beberapa daerah di negeri ini.

Dalam pada itu, baginda mahu semua rakyat melakukan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat negeri ini daripada ditimpa musibah.

"Saya harap mangsa banjir bersabar dengan dugaan dialami dan semoga keadaan akan kembali pulih secepat mungkin," titah baginda.

790 penduduk dipindahkan di Maran

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

SEBAHAGIAN daripada mangsa banjir ditempatkan di Masjid Sungai Luit, Ran berikutan kampung mereka dilanda banjir.

MARAN 3 Dis. - Sebanyak 790 penduduk dari sembilan kampung di sini dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan kawasan kediaman mereka dinaiki air sejak awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Maran, pemangku Deputi Supritendan Sulaiman A. Hamid berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan berikutan banjir yang berlaku di kediaman mereka.

Menurutnya, antara kampung terlibat ialah Kampung Ulu Luit, Kampung Luit, Kampung Bak Bak, Kampung Baru Sungai Chedung, Kampung Kuin, Taman Sri Chedung, Kampung Baru Jara, Kampung Berkat dan Taman Maran Jaya.

"Tujuh pusat pemindahan dibuka ialah Dewan Perpaduan Maran, Balai Raya Ulu Luit, Balai Raya Kampung Bak Bak, Surau Bukit Kuin, Dewan Kampung Luit, Balai Raya Kampung Baru Jara dan Kompleks Rakan Muda Maran,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, Jawatankuasa Keselamatan Pengurusan Bencana Daerah telah menghantar bekalan makanan berupa beras, minyak, sardin, gula dan keperluan lain di pusat itu.

Menurut Sulaiman, pihaknya menjangkakan jumlah mangsa banjir akan meningkat dan operasi bersepadu diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), tentera, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan di pinggir Sungai Pahang segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Keadaan cuaca tidak menentu dan hujan sejak empat hari lalu boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan terbabit," ujarnya.

Berhenti berniaga jaga anak leukemia

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

ZULAINI Ibrahim (dua dari kiri) bersama tiga anaknya, (dari kiri) Mohamad Azim, Puteri Nur Zulaikha dan Mohd. Arsyad di rumahnya di Taman Kubang Buaya, Kuantan, Pahang, baru-baru ini. - BERNAMA

KUANTAN 3 Dis. - Seorang bapa, Mohamad Ali Mohamad terpaksa menutup gerai membaiki kasut bagi memberi tumpuan terhadap anaknya, Mohamad Azim Mohamad, 8, yang menghidap penyakit leukemia yang dikesan sejak April lalu.

Mohamad berkata, dia dan isteri, Zulaini Ibrahim kini menjaga sepenuh masa anak bongsunya itu yang turut menghidap radang paru-paru.

Tambahnya, keputusan itu dibuat kerana terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur setiap dua kali sebulan bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Perbelanjaan untuk ubat-ubatan dan ulang-alik ke hospital itu menelan belanja ribuan ringgit setiap bulan, mujurlah rumah yang kami duduki sekarang merupakan rumah pusaka, jika tidak kami telah dihalau," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Buaya di sini kelmarin.

Menurut bapa kepada enam anak itu, duit simpanan mereka habis namun demi membela nasib anak-anaknya, dia cuba sedaya upaya mencari sumber kewangan.

Katanya, melihat kepada keadaan Mohamad Azim, hatinya bertambah pilu ditambah pula kesihatan anaknya itu kini berada pada tahap kritikal.

Sementara itu, Zulaini berkata, dia seolah-olah hilang semangat untuk meneruskan kehidupan apabila anaknya disahkan menghidap penyakit tersebut.

"Saya sangka dengan berulang-alik ke HKL dapat membantu menyembuhkannya tetapi sebaliknya terjadi dan keadaan anak saya semakin teruk.

"Hati ibu mana yang sanggup melihat anak mereka sebegini, tetapi usaha kami terbatas kerana kami tiada sumber pendapatan," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa individu termasuk pakar kanser tampil menghulurkan bantuan perubatan namun keadaan anaknya itu tidak berubah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohamad di talian 010-9124946 atau boleh datang ke rumahnya di alamat A1774, Lorong Kubang Buaya 15, Kubang Buaya di sini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved