Selasa, 3 Disember 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pegawai Imigresen hadapi satu lagi tuduhan rasuah

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

K. VIKNESWARAN cuba mengelak wajahnya dirakamkan jurugambar di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

RASAH 3 Dis. - Selepas didakwa atas tiga tuduhan rasuah semalam, seorang pegawai Imigresen hari ini menghadapi satu lagi tuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini bagi melepaskan dua warga India yang disyaki menggunakan dokumen perjalanan palsu pada tahun lalu.

K. Vikneswaran, 32, yang bertugas di Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mengaku tidak bersalah selepas tuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Lelaki tersebut didakwa menerima sogokan sebanyak RM3,600 daripada R. Lakshumana Rao, 28, di restoran McDonald's, Nilai dekat sini pada kira-kira pukul 12.37 tengah malam, 24 Julai tahun lalu.

Wang suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan agar tertuduh melepaskan dua lelaki warga India yang dikenali sebagai Sudhakar dan Sreekanth Bongoni kerana disyaki menggunakan dokumen perjalanan palsu

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, P. Sevan yang mengendalikan pendakwaan memberitahu mahkamah, tertuduh turut didakwa atas tiga tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor semalam.

Beliau mencadangkan ikat jamin sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh bagi pertuduhan hari ini.

Peguam A. Ramasy yang mewakili tertuduh pula meminta mahkamah memberikan kadar ikat jamin lebih rendah berikutan tertuduh adalah seorang penjawat awam yang bergaji rendah.

Nursinah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes itu ditetapkan pada 16 Januari ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Semalam, Vikneswaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga tuduhan rasuah untuk melepaskan tiga lelaki warga India yang dipercayai menggunakan dokumen perjalanan palsu pada tahun lalu.

Vikneswaran didakwa meminta rasuah sebanyak RM4,000 dan RM2,500 daripada Rao sebagai dorongan untuk melepaskan Sudhakar dan Sreekanth yang dipercayai menggunakan dokumen perjalanan palsu melalui panggilan telefon antara pukul 4 petang, 18 Julai 2012 dan pukul 4.50 petang, 10 September 2012.

Tertuduh juga didakwa setuju menerima sebanyak RM2,500 daripada Rao sebagai dorongan melepaskan Satinder Pai yang turut dipercayai menggunakan dokumen perjalanan palsu di KLIA pada pukul 3.45 petang, 14 September 2012.

MyKad palsu: 13 suspek dipenjara

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

PETALING JAYA 3 Dis. - Tiga belas tertuduh warga Indonesia termasuk empat wanita, masing-masing dihukum penjara antara dua bulan dan sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki MyKad palsu atau milik orang lain.

Enam daripada mereka dihadapkan di hadapan Majistret Mohd. Nazri Omran manakala bakinya didakwa di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.

Mahkamah memerintahkan hukuman tersebut berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 23 November lalu.

Mohd. Nazri menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan ke atas Firman Mohd. Yunus, 18; Masud Kahamang, 36; Bakat Kamiran, 26, dan Kamil Idris, 26, manakala Musdalifah Yusup, 32, dijatuhi hukuman penjara empat bulan.

Bagaimanapun Ramlah Osman, 35, hanya dijatuhkan hukuman penjara dua bulan atas alasan tertuduh sedang mengandung empat bulan.

Sementara itu, Elena menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Mulianto Sida, 22; Matrami Ramli, 22; Haeruddin Arifin, 28; Rustam Nordin, 22, dan Rahmawati Abdul Rahim Suma, 43, manakala Yunus Jaya, 41, dan Busrul Basiran, 28, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan SMI, Taman Subang Mas, Subang Jaya, dekat sini antara pukul 12.01 tengah malam dan pukul 3 pagi, 23 November lalu.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh yang bekerja sebagai pembantu restoran, pekerja kilang dan bekerja sendiri itu adalah mengikut Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, Mohd. Zaidi Ibrahim dan Pegawai Pendakwa JPN, Norsheila Jamalluddin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved