Selasa, 3 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melaka jadi tumpuan pelancong

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Kota Santiago turut menjadi perhatian ramai apabila mengunjungi Bandar Hilir, Melaka.

MELAKA 2 Dis. - Sudah menjadi kelaziman pada setiap musim cuti persekolahan, orang ramai akan mengisinya dengan melancong ke destinasi yang menjadi impian mereka.

Melaka umpamanya, merupakan antara negeri yang menjadi tumpuan pelancong domestik sepanjang musim cuti persekolahan bermula 15 November lalu.

Sejak cuti itu bermula, ribuan kenderaan memasuki bandar raya ini dengan kebanyakan daripada hotel di sekitar Bandar Hilir habis ditempah malah hotel bajet berhampiran Melaka Raya juga turut dipenuhi pengunjung.

Pelbagai acara turut dianjurkan seperti Pameran Ikan Hiasan Antarabangsa Malaysia (Aquafair Malaysia) dari 21 hingga 24 November; Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang berakhir Ahad lalu dan Festival Seni dan Persembahan Melaka (MAPFEST) dari 22 hingga 24 November lalu.

Acara yang dianjurkan itu menjadi daya tarikan apabila ramai pengunjung mula memasuki bandar raya ini sejak cuti sekolah bermula dengan kesesakan kereta memasuki dua lokasi utama di Plaza Tol Simpang Ampat dan Plaza Tol Ayer Keroh.

Kawasan yang menjadi tumpuan mereka ialah di sekitar Bandar Hilir yang menempatkan pelbagai produk pelancongan dan kesan peninggalan sejarah sewaktu zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bandar Hilir mendapati kunjungan orang ramai di kawasan tersebut agak luar biasa walaupun pada hari bekerja.

Keadaan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas di jalan masuk ke bandar raya ini bermula dari Taman Rempah hingga ke Dataran Pahlawan.

Bukan sahaja ratusan kereta malah puluhan bas persiaran dan bas sekolah turut dilihat berada di merata tempat di sekitar Bandar Hilir.

Sudah tentu tumpuan pelancong ialah di sekitar kawasan bangunan Stadhyus, Kota AFamosa, Bukit St. Paul, Memorial Perisytiharan Kemerdekaan, Muzium Samudera, Jonker Walk, Pahlawan Walk, Menara Taming Sari dan pusat beli-belah di Dataran Pahlawan.

Bukan sahaja di Bandar Hilir yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara malah sekitar kawasan Ayer Keroh juga tidak terkecuali.

Hal ini kerana Ayer Keroh juga turut menempatkan pelbagai produk pelancongan yang menjadi tarikan utama.

Antaranya ialah Zoo Melaka dan Night Safari, Taman Tema Air Melaka Wonderland, Taman Burung, Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN serta Taman Seribu Bunga.

Tidak ketinggalan menjadi tumpuan pengunjung baik pada sebelah siang dan malam ialah Bot Melaka River Cruise yang membolehkan pengunjung menyusuri Sungai Melaka dari Taman Rempah hingga ke muaranya.

Menaiki bot yang diuruskan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu pada waktu malam turut memberikan pemandangan menarik bangunan-bangunan zaman peninggalan penjajah yang dilimpahi cahaya lampu.

Pemandangan Kampung Morten yang terletak di sepanjang laluan bot berkenaan turut menjadi tarikan dengan lampu yang menyinari rumah kampung lama yang masih dikekalkan dari dulu hingga sekarang.

Duck Tours, kenderaan amfibia yang boleh bergerak di darat dan laut adalah antara produk pelancongan yang tidak ketinggalan menjadi perhatian.

Orang ramai boleh menaikinya di hadapan Menara Taming Sari melalui jalan di Dataran Pahlawan hingga ke Pulau Melaka memasuki laut dan bergerak keluar ke jalan Eye On Malaysia.

Tumpuan orang ramai bukan sahaja di bandar raya ini malah di Umbai, Alai dan Muara Sungai Duyong kerana keenakan ikan bakar.

Begitu juga dengan populariti masakan asam pedas yang turut menjadi tarikan. Masakan asam pedas boleh dikatakan ditemui di sekitar bandar raya ini termasuk di Taman Kota Laksamana.

Sememangnya berkunjung ke negeri ini kurang sempurna jika tidak menikmati hidangan ikan bakar dan asam pedas yang menjadi mercu tanda di sini.

Bagi yang ingin merasai suasana mistik, kunjungan ke Pulau Besar dengan menaiki bot atau feri pelancong boleh pergi di Anjung Batu di Serkam.

Pulau Besar merupakan sebuah tempat yang banyak dikaitkan dengan kisah mistik dan legenda serta bersejarah khususnya dengan kisah awal penyebaran Islam di Nusantara.

Antara yang terdapat di sana ialah Makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail, Keramat Masin Tawar, Tasik Bunian, Perigi Nenek Musallimah dan Batu Lesung.

SDSI 2013 catat nilai jualan RM16 juta

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

IDRIS Haron (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil negeri Selangor yang dinobatkan pemenang terbaik keseluruhan dalam SDSI di MITC, Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.

MELAKA 2 Dis. - Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2013 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) selama tiga hari berakhir hari ini berjaya mencatat jumlah jualan bernilai RM16 juta.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10.1 juta melibatkan jualan kontrak dan RM5.9 juta jualan tunai.

Menurutnya, SDSI edisi kelapan itu juga menunjukkan peningkatan jumlah pengunjung yang ketara iaitu mencecah 150,000 orang berbanding 135,000 orang tahun lalu.

"Setelah lapan tahun menjadi tuan rumah SDSI, kematangan dalam penganjuran program yang berprestij ini dapat dibuktikan kerana berjaya menunjukkan peningkatan dari segi jumlah, pengunjung, jualan dan kontrak," katanya.

Beliau berucap dalam majlis perasmian penutup Showcase SDSI 2013 di MITC, Ayer Keroh, di sini semalam.

Dalam penganjuran kali ini, sebanyak 10 kategori produk dan perkhidmatan dipertandingkan termasuk pavilion terbaik yang disertai 590 usahawan dari seluruh negara.

Selangor dinobatkan sebagai pemenang terbaik keseluruhan dan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM125,000.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman.

Idris berkata, sejak program berkenaan diperkenalkan, ramai usahawan berdaya saing dilahirkan sehingga ada antara produk usahawan tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, SDSI adalah platform terbaik yang diusahakan kerajaan dalam memartabat golongan usahawan dalam pelbagai industri terutama makanan, perkhidmatan dan kraf tangan.

"Program seperti ini telah memperlihatkan iltizam kerajaan membangunkan para usahawan SDSI dalam program berunsurkan pembangunan produk yang mempunyai identiti tempatan yang boleh dikomersialkan hingga ke peringkat global.

"Setelah beberapa siri SDSI, produk yang dihasilkan usahawan memperlihatkan peningkatan kualiti dan inovasi dari segi pembungkusan, pelabelan dan lebih berdaya saing," katanya.

Henti 'turun padang' di saat akhir

Posted: 02 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 2 Dis. - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu menghentikan 'kerja politik murahan' iaitu hanya turun padang apabila tiba musim pilihan raya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat tidak suka melihat pemimpin mengamalkan budaya kerja seumpama itu.

"Kita mesti memastikan BN sentiasa bertindak cemerlang, bekerja setiap hari untuk rakyat," katanya dalam program bersama rakyat di Taman Senawang Jaya dekat sini hari ini.

Kata Mohamad, BN hendaklah menjadi juara rakyat dalam menyelesaikan apa juga permasalahan kehidupan mereka tanpa tertangguh-tangguh.

"Saya yakin dan percaya, jika kita mula bekerja dari sekarang kemenangan besar dalam PRU-14 menjadi milik BN. Kawasan peti undi di Senawang Jaya ini juga akan dimenangi dengan cemerlang.

"Oleh itu tempoh empat tahun dari sekarang tidak lama dan kita tidak boleh menunggu saat akhir untuk bertindak," tegasnya.

Selain itu kata beliau, kemenangan BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dalam pilihan raya lalu, amat besar maknanya dalam memperlihatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan BN, kerajaan dan UMNO.

Sehubungan itu, kata Mohamad, isu rakyat di kawasan tersebut hendaklah diberikan keutamaan dan segala kemudahan asas diselenggara dengan baik.

"Saya selaku ketua di negeri ini akan sentiasa memantau terutama di kawasan DUN Paroi ini yang terletak dalam UMNO Bahagian Rembau," katanya

Dalam masa sama, beliau menasihatkan petugas di Peti Daerah Mengundi (PDM) Senawang Jaya sentiasa fokus dalam mengenali masyarakat dan pengundi sekitar.

"Saya yakin orang tidak marah kepada parti dan kerajaan, tetapi ada perasaan yang terpendam dan tidak dapat diluahkan. Ini yang kita perlu tahu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved