Selasa, 3 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Peniaga, pengunjung rasa selesa

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

Operasi pembersihan yang dilaksanakan minggu depan diharap dapat menyelesaikan masalah persekitaran Pasar Keramat yang kotor dan menjadi tempat pembiakan tikus paling tinggi selepas Pasar Raja Bot.

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Selepas Pasar Raja Bot, tiba pula giliran Pasar Keramat ditutup bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di pasar berkenaan.

Ini berikutan pasar basah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu kelihatan kotor, selain menjadi antara tempat pembiakan tikus yang paling tinggi di ibu negara selepas Pasar Raja atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit.

Bagaimanapun operasi pembersihan yang sepatutnya bermula semalam dan hari ini terpaksa ditangguhkan pada hari Isnin dan Selasa depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, penangguhan itu dibuat selepas peniaga pasar berkenaan meminta agar tempoh seminggu lagi diberi kepada mereka.

Menurutnya, ini bagi membolehkan sebahagian peniaga menyelesaikan segala urusan dengan pihak pemborong.

"Operasi pembersihan tersebut bertujuan memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

"Selain DBKL, operasi turut melibatkan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dan peniaga pasar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia ke Pasar Keramat hari ini mendapati urusan perniagaan di pasar berkenaan berjalan seperti biasa.

Berdasarkan pemerhatian, sudah tiba masanya pasar yang wujud sejak 1970 -an diberi perhatian terutama dari aspek kemudahan infrastruktur dan kebersihan.

Selain struktur binaan dilihat tidak teratur, longkang tersumbat dan longgokan sampah di merata tempat memburukkan lagi keadaan pasar tersebut.

Hakikatnya, bukan tidak ada usaha daripada pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan peniaga pasar berkenaan ke lokasi lebih baik iaitu di Keramat Mall.

Namun sehingga ke hari ini status mengenai usaha memindahkan peniaga berkenaan terus menjadi tanda tanya.

Keadaan itu menyebabkan Pasar Keramat terus menerima pengunjung walaupun dari aspek kebersihan dan keselesaan kurang dititikberat.

Pada 12 November lalu, Pasar Raja Bot ditutup dua hari untuk kerja-kerja pembersihan selepas diarahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Arahan tersebut dikeluarkan ekoran pasar berkenaan menjadi antara tempat pembiakan tikus yang paling tinggi di ibu negara.

Kami sudah lama bersedia - Peniaga

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Kami tidak ada masalah jika pasar ini ditutup sementara untuk tujuan pembersihan demi kebaikan semua pihak".

Itu reaksi Kamarulzaman Awang, 49, penjual ikan di Pasar Keramat dekat sini ketika ditanya mengenai arahan penutupan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama dua hari bagi operasi pembersihan pada Isnin dan Selasa depan.

Menurutnya, peniaga amat menyokong usaha pihak berkuasa tempatan itu kerana pasar tersebut memang diakui kotor dan menjadi lokasi pembiakan tikus.

Kami sudah lama bersedia. Saya sudah memaklumkan kepada pelanggan tetap mengenai penutupan tersebut," katanya.

Bagi peniaga sayur, Mohd. Sofri Che Dan, 39, usaha DBKL itu amat dialu-alukan memandangkan keadaan pasar tersebut sudah lama tidak dibersihkan secara besar-besaran.

Katanya, selain kotor, pelbagai masalah lain termasuk longkang tersumbat turut dihadapi peniaga.

Kami sedia bekerjasama kerana ia bukan sahaja untuk keselesaan peniaga, tetapi juga pengunjung," katanya.

Turut sependapat dengan Mohd. Sofri, seorang lagi peniaga Husaimah Mudhar, 51.

Katanya, pada hari operasi tersebut dia akan turun padang untuk sama-sama menyertai kerja-kerja pembersihan.

Peniaga barangan runcit, Zuriyati Basri, 47, pula berkata arahan penutupan yang ditangguhkan pada Isnin dan Selasa depan memberi lebih masa kepada mereka untuk bersiap sedia lebih awal.

Katanya, ini termasuk memaklumkan kepada pelanggan tetap dan menangguhkan pengambilan stok barangan.

Sebagai peniaga yang sudah lama berniaga di sini saya menyokong apa sahaja usaha DBKL demi kebaikan peniaga dan pelanggan pasar ini," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Maslinda Abu Bakar, 47, berharap tahap kebersihan pasar itu akan kekal selepas kerja-kerja pembersihan dilaksana minggu depan.

Menurutnya, walaupun agak menyulitkan pelanggan untuk mendapatkan barangan basah, ia hanya sementara sahaja.

Kami juga berharap peniaga tidak mengabaikan aspek kebersihan demi kebaikan semua pihak," katanya.

Ganti paip air baharu atasi tekanan air rendah di Flat Seri Perlis 2

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Masalah tekanan air rendah yang dihadapi penduduk di Blok E Flat Seri Perlis 2, Selayang dekat sini berakhir selepas kerja-kerja penggantian paip air lama dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pada 28 November lalu.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, masalah tersebut berlaku disebabkan sistem paip dalaman yang tidak diselenggara secara berkala oleh pengguna.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak Syabas mendapati, aliran air di kawasan itu lemah disebabkan paip yang digunakan berusia hampir 30 tahun.

Terdapat juga mendapan di dalam paip hingga menyekat aliran air untuk sampai ke rumah pengguna.

Selepas penggantian paip air baharu ini, penduduk disaran melakukan pemeriksaan secara berkala terhadap sistem paip dalaman di premis masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai aduan pengguna di Flat Seri Perlis 2, Selayang berhubung masalah tekanan air rendah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disiarkan Utusan Malaysia pada 18 November lalu.

Tambah Priscilla, pada masa sama pengguna bertanggungjawab memastikan sistem paip dalaman sentiasa berada dalam keadaan baik, tidak tersumbat akibat pengaratan, pecah atau bocor hingga menyebabkan masalah gangguan bekalan air.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved