Ahad, 15 Disember 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


NUTP mahu bilangan guru kaunselor di sekolah ditambah

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan menjalankan ujian kesihatan mental dalam kalangan pelajar di samping berharap bilangan guru kaunselor di sekolah ditambah.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, seiring dengan langkah itu, Kementerian Pelajaran perlu mengisi keperluan guru kaunselor di sekolah-sekolah supaya ia selari dengan usaha membantu para pelajar yang bermasalah.

Katanya, pendekatan satu guru kaunselor untuk 500 pelajar yang dilakukan pada masa ini tidak lagi sesuai dan nisbahnya perlu dikecilkan kepada satu guru kaunselor bagi 300 atau 350 orang murid sahaja.

Nisbah yang kecil ini dapat membantu guru untuk lebih fokus menjalankan tugasan dalam membantu pelajar menangani tekanan mental dan emosi," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam semalam bahawa kementerian itu akan menjalankan ujian kesihatan mental bagi pelajar sekolah menengah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat mulai tahun depan.

Subramaniam dilaporkan sebagai berkata, setakat Disember 2012, daripada 19,919 pelajar dari 357 buah sekolah yang disaring dalam Program Minda Sihat seluruh negara, 7.45 peratus menghadapi kemurungan manakala 7.59 peratus menghadapi tekanan.

Sebelum menjalankan kajian itu, Hashim berkata, Kementerian Kesihatan perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada ibu bapa, pelajar dan guru sebelum ia diwajibkan kepada semua pelajar.

Bagaimanapun ini adalah satu langkah baik kerana ia dapat mengenal pasti pelajar yang berisiko mempunyai masalah kerana bukan semua pelajar terbuka untuk menceritakan masalah yang dihadapi kepada guru kaunselor di sekolah masing-masing," katanya. - BERNAMA

Sultan Ahmad Shah raikan sambutan ke-100 Sekolah Clifford

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Sebahagian tetamu yang menghadiri Majlis Perasmian Perayaan Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford di Kuala Lipis, Pahang, semalam.

KUALA LIPIS 15 Dis. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berbangga dapat meraikan sambutan ke-100 Sekolah Clifford yang pernah baginda bersekolah pada 1946 iaitu ketika berusia 16 tahun.

Baginda bertitah, menjejakkan kaki di Sekolah Clifford yang penuh bersejarah ini dapat mengimbau dan menggamit kembali 1,001 memori sewaktu belajar selama dua tahun.

"Inilah satu-satunya sekolah yang cukup bermakna bagi saya. Pada 1964, saya bersama paduka ayahanda Almarhum Sultan Abu Bakar hadir meraikan Jubli Emas.

"Pada 1975 pula saya sekali lagi hadir meraikan sambutan Jubli Intan dan hari ini dengan izin Allah SWT saya berkesempatan hadir untuk menyaksikan sambutan 100 tahun usia sekolah ini," titah baginda dalam Majlis Perasmian Perayaan Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford dan Pengisytiharan Nama Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini malam tadi.

Turut berangkat ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohamad Safian Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 100 Tahun Sekolah Clifford, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dan Yang Dipertua, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Clifford Lipis (LOCA), Shaaban Jaafar.

Lebih 1,000 bekas pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia termasuk penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hadir memeriahkan majlis walaupun dalam keadaan hujan.

Pada majlis tersebut, baginda turut mengisytiharkan dewan SMK Clifford sebagai Dewan Sultan Haji Ahmad Shah.

"Saya berharap sejajar dengan pengisytiharan tersebut, pelajar dapat menghayati dan meneruskan kecemerlangan serta kegemilangan dalam pendidikan pada masa akan datang.

"Saya juga berharap bekas pelajar Sekolah Clifford dapat memberi bantuan dalam apa jua bentuk dalam memastikan sekolah ini berada di landasan kecemerlangan dan gemilang di persada negara," titah baginda.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved