Ahad, 15 Disember 2013

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Nelson Mandela disemadikan

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Keranda membawa mayat Mandela (gambar kecil) diletak di atas trak tentera pada upacara pengebumian diketuai pasukan tentera di Qunu, selatan Johannesburg, semalam.- Agensi

JOHANNESBURG 15 Dis. - Upacara pengebumian tokoh anti Aparteid, Nelson Mandela diadakan di sini hari ini, sekali gus menutup kehidupan bersejarahnya yang berjuang selama beberapa dekad bagi memastikan demokrasi untuk penduduk berbilang kaum di Afrika Selatan terus hidup.

Penerima Hadiah Noble Keamanan itu yang meringkuk dalam penjara aparteid selama 27 tahun sebelum kembali memperjuangkan mesej kedamaian, dikebumikan dengan penuh penghormatan pada upacara kebangsaan dengan ritual tradisional etnik Xhosaaba Thembu.

Upacara diadakan di timur Cape itu disaksikan sebanyak 4,500 tetamu, termasuk ahli keluarga dan pemimpin Afrika Selatan serta tetamu luar, termasuk waris diraja Britain, Putera Charles dan aktivis hak asasi manusia Amerika Syarikat (AS), Reverend Jesse Jackson.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Kennedy Jawan dan Presiden Universiti Teknologi Kreativiti Lim Kok Wing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing turut hadir pada upacara berkenaan.

Pemimpin anti aparteid itu meninggal dunia di Johannesburg pada 5 Disember lalu pada usia 95 tahun dan menerima penghormatan terakhir daripada 100,000 rakyat serta pegawai di Bangunan Kesatuan, Pretoria, tempat Mandela diumumkan secara rasmi sebagai Presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan pada 1994.

Pada upacara pengebumian yang diketuai pasukan tentera itu, perjalanan membawa mayat Mandela bermula dari pangkalan udara Waterkloof di Pretoria dengan tembakan hormat sebanyak 21 kali oleh para pengawal.

Seramai 1,000 ahli Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) memberi penghormatan terakhir di pangkalan udara itu dengan menyanyi dan menari sebelum mayatnya diterbangkan ke penempatan nenek moyang Mandela di kampung Qunu, 700 kilometer dari selatan Johannesburg.

Balu Mandela, Graca Machel dan bekas isterinya, Winnie Madikizela-Mandela berjalan berasingan mengiringi keranda mayatnya, mengikut tradisi suku kaumnya.

Setiba di Qunu suku kaumnya menyambut mayat beliau dengan penyembelihan seekor kambing biri-biri sebagai tanda kepulangan anak kampung itu.

Mayat Mandela dilitupi kulit lembu yang dibuat khas untuk seorang yang mempunyai status serta berbudi tinggi, menurut seorang penduduk kampung itu.

Pada awal petang itu, pengunjung mula meninggalkan rumah Mandela selepas makan lewat malam dan beberapa ucapan penghargaan kepada para doktor yang menjaganya sebelum ini turut disampaikan.

Dalam upacara itu, nyanyian lagu agama Kristian, lagu dan tarian mengikut tradisi Xhosa diiringi pukulan dram Igbo serta sajak tentang kehidupan dan pencapaian Mandela turut dibaca dan dipersembahkan.

Mandela disemadikan di sebuah lereng bukit bertentangan dengan rumahnya berhampiran kubur-kubur ahli keluarganya yang lain.

Rakan lama Mandela, Desmond Tutu hadir pada upacara pengebumian beliau itu, sekali gus menamatkan kontroversi beliau tidak dijemput ke upacara tersebut.

Mandela berkhidmat sebagai Presiden dalam satu tempoh yang singkat sebelum berundur daripada jawatan itu pada 2004 apabila beliau memberitahu wartawan pada sidang media terakhirnya dengan berkata: jangan hubungi saya, saya akan hubungi anda.

Penampilan terakhirnya di khalayak umum adalah pada 2010 ketika pusingan akhir Piala Dunia Afrika Selatan di Stadium Soccer City, Johannesburg.

Mandela mula dimasukkan ke hospital pada 8 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru dan dibenarkan pulang pada 1 September lalu sebelum menerima rawatan intensif di rumahnya.

Pada 5 Disember baru-baru ini, Mandela menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Houghton, Johannesburg ketika berada bersama ahli keluarganya.

Kematiannya itu diumumkan oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma. - REUTERS/AFP/AGENSI

Kanak-kanak Syria diancam kematian

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Beberapa orang kanak-kanak Syria berdiri di luar khemah pelarian di bandar Aarsal di timur Bekaa, Lebanon, kelmarin. Beratus ribu kanak-kanak pelarian Syria diancam kematian akibat cuaca sejuk yang melanda timur Mediterranean minggu ini. - REUTERS

GENEVA 15 Dis. - Beratus-ratus ribu pelarian kanak-kanak Syria akibat perang saudara berdepan ancaman penyakit dan kematian ekoran ribut salji yang melanda kem-kem pelarian di Asia Barat.

Jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Roberta Russo memberi amaran, kebanyakan golongan itu hanya berbekalkan selipar dan baju T berdepan ancaman ribut Alexa di rantau itu yang membawa ancaman angin kuat, ribut salji dan suhu sejuk melampau.

Russo berkata, ribut tersebut merupakan yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad dan mengancam berjuta-juta pelarian Syria yang kini hanya berlindung di khemah-khemah dan tempat perlindungan buatan sendiri.

Jelasnya, golongan kanak-kanak paling berisiko menghidap penyakit pneumonia atau jangkitan paru-paru dan penyakit pernafasan yang boleh membawa maut.

"Kami sangat bimbang dengan kesan cuaca sejuk yang boleh meragut nyawa pelarian kanak-kanak Syria.

"Kami sedang bekerjasama dengan pihak hospital dan klinik bagi menghadapi persediaan peningkatan penyakit maut di kem-kem pelarian," katanya.

Menurut laporan aktivis tempatan, sebanyak 13 pelarian kanak-kanak di Syria maut akibat cuaca sejuk.

Kebanyakan keluarga yang tinggal di bandar Homs terpaksa bergantung kepada haba pembakaran sampah kerana tidak mempunyai bekalan elektrik, alat pemanas atau makanan panas.

Russo berkata, agensi bantuan berusaha keras memastikan nasib yang sama tidak berlaku di kem-kem pelarian Syria di Lebanon dan Jordan yang mempunyai lebih dua juta pelarian.

Ujarnya, di Lebanon sahaja, pihak agensi menyalurkan 255,000 selimut dan minyak serta arang batu kepada pelarian di sana.

"Namun, jumlah berkenaan masih tidak mencukupi kerana jumlah pelarian yang semakin bertambah, terutamanya di Lebanon dengan peningkatan daripada 100,000 orang pada 2012 kepada hampir sejuta orang pada bulan ini.

"Kami juga memberi peruntukan kepada 200,000 pelarian untuk membeli dapur bagi memasak makanan panas serta memanaskan tempat perlindungan mereka," katanya. - AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved