Ahad, 15 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penganjur, peserta dikenakan tindakan

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (tengah) menerima memorandum cadangan Kadar Nilai Cukai Pintu daripada UMNO Bahagian Lembah Pantai yang disampaikan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin selepas sesi taklimat bantahan cukai pintu di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 15 Dis. -Penganjur dan peserta Himpunan Bantah Kenaikan Cukai Pintu yang dijangka diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) esok bakal berdepan tindakan undang-undang kerana ia dibuat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sehingga hari ini tiada permohonan permit diterima daripada mana-mana pihak bagi menganjurkan perhimpunan tersebut.

"Bagi penggunaan mana-mana kawasan awam perlu mendapat kebenaran daripada DBKL.

"Mereka perlu mohon permit termasuk kepada pihak polis dan pihak polis akan merujuk kepada DBKL, jika berpuas hati, mereka akan dibenarkan berhimpun asalkan dalam keadaan aman.

"Namun sehingga kini tiada sebarang permohonan sampai kepada DBKL. Jika mereka mahu buat juga, mereka perlu berdepan dengan undang-undang dan kita akan bekerjasama dengan pihak polis," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Taklimat Bantahan Cukai Pintu anjuran Umno Bahagian Lembah Pantai, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Himpunan berkenaan dijangka diadakan pukul 11 pagi oleh Pakatan Rakyat (PR) bagi membantah kenaikan cukai pintu oleh DBKL yang melebihi 100 peratus bagi kawasan tertentu di ibu kota.

Difahamkan, kadar kenaikan baharu antara 70 hingga 300 peratus itu dianggap tidak munasabah dan menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk kerana ia dilakukan tanpa sebarang perbincangan dengan warga kota.

Ahmad Phesal menambah, sehingga kini, beliau menerima 55,000 surat bantahan daripada lebih 500,000 notis dihantar kepada pemilik hartanah Kuala Lumpur.

Katanya, beliau terbuka dalam menerima sebarang bantahan kerana ia adalah hak pemilik hartanah, namun perlu melalui saluran yang betul.

"Langkah UMNO Bahagian Lembah Pantai mengadakan taklimat bagi memberi penerangan berhubung isu ini merupakan langkah yang baik kerana mereka memerlukan penjelasan.

"Saya telah berbincang dengan Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menyediakan satu kaedah yang tidak membebabkan orang ramai.

"Ini terutamanya, pemilik kediaman kos rendah dan pemilik hartanah yang berpencen misalnya," katanya.

Sebelum itu, beliau menerima memorandum Cadangan Kadar Nilai Cukai Pintu daripada UMNO Bahagian Lembah Pantai, yang diwakili Raja Nong Chik sendiri.

Sementara itu, Raja Nong Chik, berkata, penganjuran taklimat berkenaan sebagai langkah lebih bertanggungjawab dalam membantah penilaian semula cukai pintu.

Beliau menyifatkan penganjuran himpunan yang dicetuskan oleh ahli Parlimen pembangkang merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab dengan menggunakan saluran yang salah.

"Mereka mempolitikkan isu seolah-olah apa yang dilakukan pihak kementerian dan DBKL tidak betul padahal penjelasan sudah diberikan. Mereka juga mengapi-apikan agar orang berhimpun, seterusnya akan menjejaskan imej ibu kota.

"Apabila ada kenyataan daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang mahu Menteri dan Datuk Bandar letak jawatan, pada saya dia yang perlu berbuat demikian terlebih dahulu.

Tambah Raja Nong Chik, beliau yakin DBKL akan mengambil kira semua bantahan penduduk secara telus.

"Bagi pihak penduduk, kita minta pihak DBKL mempertimbangkan kadar tertentu diberikan seperti cadangan yang dikemukakan dalam memorandum,"katanya.

Penduduk bersiap sedia hadapi masalah gangguan air

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Penduduk di beberapa kawasan di Lembah Klang dan Selangor bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan air pada Selasa ini.

Ini termasuk menyimpan bekalan air secukupnya menggunakan tong dan baldi bagi menghadapi gangguan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan terjejas termasuk di Kampung Baru mendapati kebanyakan penduduk sudah sedia maklum mengenai gangguan tersebut melalui notis awal yang dikeluarkan.

Penduduk di Jalan Hamzah, Jalan Raja Uda dan Jalan Salleh kebanyakannya sudah menyimpan bekalan air untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Seorang penduduk, Nazilah Latif, 30, berkata, mereka sekeluarga sudah menyimpan bekalan air secukupnya bagi menggelakkan aktiviti harian terjejas.

"Kami lebih suka mengambil langkah awal menyimpan bekalan air dan cuba menggunakan air secara berhemah,"katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Hamzah di sini.

Ibunya, Patimah Ibrahim, 72, pula berharap tempoh gangguan tersebut tidak berlarutan memandangkan keluarganya akan mengadakan kenduri pada hujung minggu depan.

"Saya juga berharap bekalan yang disimpan mencukupi,"katanya menetap di situ selama 40 tahun.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), dalam kenyataan akhbarnya semalam memaklumkan, kira-kira sejuta penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor bakal menghadapi gangguan air pada Selasa ini berikutan hentitugas sementara loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2.

Gangguan bekalan air akan bermula pada 8 pagi, Selasa ini, manakala tempoh pemulihan bekalan dijangka bermula pada 9 malam hari yang sama dan berterusan hingga 8 pagi 22 Disember (Ahad).

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal AwamSyabas, Priscilla Alfred berkata, hentitugas itu adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama seperti papan suis dan paip keluli.

Menurutnya, gangguan bekalan air melibatkan 217,694 akaun pengguna, termasuk di beberapa kawasan penting seperti Kelab Diraja Selangor, Pusat Sains Negara, Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Pihak Syabas akan membuat segala persediaan bagi mengurangkan kesan atau gangguan bekalan air kepada pengguna dengan memenuhkan semua kolam simpanan sebelum kerja henti tugas tersebut.

"Secara amnya, keadaan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan terlibat adalah secara berperingkat-peringkat bergantung kepada keadaan geografikal kawasan yang terlibat," katanya.

Menurut Priscilla, pihaknya menjangkakan kawasan yang tinggi dan jauh dari sumber air terutama di sekitar Petaling, Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam adalah kawasan bekalan air yang terakhir pulih sepenuhnya.

"Walau bagaimanapun, memandangkan gangguan bekalan air ini merupakan gangguan bekalan air berjadual dan notis awal telah dikeluarkan, Syabas tidak akan membekalkan lori tangki kecuali kepada pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved