Ahad, 15 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Ahli KPTM berkampung dua hari sumbang lima tan bantuan kepada mangsa banjir

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Ahli-ahli Kelab Pemilik Triton Malaysia bersama sebahagian daripada bekalan keperluan asas yang diagihkan kepada mangsa banjir di Jerantut, semalam.

JERANTUT 15 Dis. - Seramai 20 ahli Kelab Pemilik Triton Malaysia (KPTM) berkampung selama dua hari di sini bagi mengagihkan lebih lima tan bantuan kepada mangsa banjir.

Penyelaras program, Yusof Mat Saad berkata, bantuan keperluan asas dan pakaian itu telah disumbangkan oleh banyak pihak di sekitar Selangor.

"Sebanyak 45 ahli kelab bersedia turun padang untuk membantu mangsa banjir dan 25 orang lagi telah bergerak ke Kemaman, Terengganu untuk menghulurkan bantuan di sana.

"Selain bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak, susu, sardin dan pakaian, kami turut menyediakan khidmat mencuci kediaman serta sekolah yang terlibat dengan banjir," katanya yang ditemui pemberita di Felda Kota Gelanggi 1 di sini hari ini.

Menurutnya, satu kumpulan telah bergerak ke Kampung Pagi di kawasan Ulu Tembeling untuk menghantar bantuan kepada penduduk di sana.

"Kita akan bermalam di sana kerana jarak perjalanan yang jauh dan akan membersihkan sebuah sekolah yang terjejas teruk akibat bencana itu," katanya.

Sementara itu, Yusof berkata, pihaknya masih mengumpul bekalan kerana satu lagi program akan dijalankan hujung bulan ini untuk membantu mangsa banjir.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Mohd. Asrul Abd. Hamid berkata, khidmat sukarela yang ditunjukkan oleh ahli kelab berkenaan wajar dicontohi oleh semua pihak.

"Pada masa ini, mangsa banjir masih memerlukan bantuan dan kehadiran mereka ke sini amat dihargai," jelasnya.

Paip giat baiki Loji Bukit Kertau

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Shahaniza Shamsuddin mencuba masakan tradisional ketika melawat pusat penempatan banjir Kampung Pejing, Maran, Pahang, semalam.

MARAN 15 Dis. - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sedang giat membaiki Loji Bukit Kertau yang rosak akibat banjir sehingga menyebabkan lebih 4,000 penduduk kampung di Chenor Seberang di sini mengalami masalah bekalan itu sejak banjir melanda minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, loji tersebut rosak akibat dinaiki air menyebabkan muka sauk dipenuhi sampah sehingga jentera di dalamnya gagal berfungsi.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan penduduk di Chenor Seberang meliputi kira-kira 20 kampung seperti Kampung Nyak, Telok Melati, Kampung Bunian, Kampung Pejing, Kampung Pantai dan lain-lain menghadapi masalah bekalan itu.

"Ketiadaan bekalan itu menyebabkan mangsa banjir sukar membersihkan rumah dan perlu dicuci segera kerana bimbang lumpur yang ada di dalam kediaman mereka sukar ditanggalkan," katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan SK Pesagi, Pejing dan Kampung Nyak di sini hari ini.

Menurut Shahaniza, kerosakan loji air di Simpang Jengka kini dalam proses baik pulih apabila Paip mengupah tenaga profesional membersihkan loji itu malam tadi.

Rumah anak yatim jadi sekolah angkat DBP

Posted: 15 Dec 2013 10:00 AM PST

Sebahagian daripada kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka bersama anak yatim berganding bahu memunggah barang bantuan di Rumah Anak Yatim Maahad Tahfiz Muhammadi, Bukit Rangin, Kuantan, semalam.

KUANTAN 15 Dis. - Penghuni Rumah Anak Yatim Maahad Tahfiz Muhammadi (RAYMTM), Bukit Rangin di sini berasa bertuah kerana mereka bukan sahaja menerima bantuan banjir tetapi turut menjadi sekolah angkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Rombongan Skuad Kembara Bahasa, Hishamudin Md. Nor yang mengadakan misi bantuan sukarelawan ke sekolah tersebut hari ini.

Hishamudin berkata, usaha itu bertujuan mengeratkan hubungan yang terjalin selain memberi pendedahan kepada penghuni tersebut berkaitan bahasa dan pengetahuan.

"Kami prihatin dengan para pelajar maahad ini yang terdiri daripada anak yatim dan fakir miskin memandangkan mereka baru sahaja berhadapan banjir yang berlaku minggu lalu.

"Justeru, sebanyak 43 orang daripada skuad kami turun padang untuk memberi sumbangan berupa barangan, wang tunai RM6,000 serta tenaga kerja bagi membersihkan maahad ini yang terjejas teruk akibat bencana itu," katanya.

Dalam kejadian 3 Disember lalu, Rumah Anak Yatim Maahad Tahfiz Muhammadi yang menempatkan 16 pelajar dan tiga tenaga pengajar turut terkena bencana banjir sehingga kelengkapan belajar dan mengajar, buku, tilam serta almari mengalami kerosakan.

Sementara itu, Hishamudin berkata, sebagai sekolah angkat, antara pengisian dirancang ialah membawa para penghuni tersebut ke mana-mana program DBP di seluruh negara.

Dalam pada itu, pengasas maahad tersebut, Tengku Mohamad Tengku Jaafar bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang disampaikan oleh DBP.

"Saya amat berterima kasih kepada DBP kerana sanggup datang daripada jauh untuk membantu. Selain itu, kami juga ada menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang peka dengan kesulitan kami," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved