Rabu, 16 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Raja Nazrin beraya bersama rakyat

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

RAJA Dr. Nazrin Shah bersalaman dengan umat Islam pada satu majlis Jamuan Hari Raya Aidiladha di Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 15 Okt. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini berkenan untuk sama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah di Jalan Raja Musa Mahadi di sini hari ini.

Baginda yang tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 8.25 pagi turut diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Yang turut berangkat sama Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Selepas menunaikan solat dan mendengar khutbah, baginda kemudiannya turut berkenan menghadiri majlis santapan yang dianjurkan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini.

Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah turut berangkat sambil diiringi oleh isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Pada tahun ini, sebanyak lapan agensi utama kerajaan negeri menyumbang 341 ekor ternakan bernilai RM1.02 juta untuk dikorbankan sempena program Korban Perdana di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dilaksanakan setiap tahun.

Lapan agensi kerajaan negeri itu termasuklah Lembaga Air Perak yang menyumbangkan sebanyak RM203,000, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (RM203,000), Perbadanan Menteri Besar Perak (RM101,500) dan Perak Invest (RM17,500).

Selain itu, ternakan korban itu turut disumbangkan oleh Yayasan Perak sebanyak RM52,500, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (RM210,000), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM182,000) dan Perak Implementation & Coordination Corporation (RM52,500).

Suasana hambar Aidiladha

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

ZAINAH Hussin, 59, (kanan) dan Rohanah Ayob, 54, kelihatan tidak selesa apabila rumah mereka di Pulau Betong, Pulau Pinang, dilanda banjir, baru-baru ini. - BERNAMA

BALIK PULAU 15 Okt. - Suasana hambar dan kurang ceria menyelubungi mangsa-mangsa banjir di kawasan ini dalam meraikan kehadiran Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam di negara ini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, suasana itu dapat dilihat apabila kebanyakan mangsa banjir terpaksa membersihkan rumah masing-masing, selain banyak barangan dan perkakasan rumah rosak.

Katanya, ramai dalam kalangan mangsa banjir berkenaan dilihat tidak dapat membuat persiapan bagi meraikan kedatangan Aidiladha.

"Saya lihat ada mangsa-mangsa banjir ini yang masih membersihkan rumah masing-masing dan suasana di rumah mereka juga tidak ceria dalam menyambut hari raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahad lalu, hampir 1,000 penduduk di kawasan Balik Pulau terpaksa dipindahkan akibat banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah berkenaan ekoran pertembungan fenomena hujan lebat dan air laut pasang besar yang berlaku sejak awal pagi.

Bagaimanapun Muhamad Farid dalam pada itu menambah, ibadah korban tetap dijalankan seperti biasa memandangkan keadaan banjir yang sudah pulih.

"Bagi penduduk yang tidak terjejas, suasana meriah hari raya dapat dirasai dan ibadah korban tetap dilakukan termasuk di kampung-kampung yang terjejas dengan banjir ini," katanya.

Selain itu katanya, keadaan banjir di Balik Pulau juga sudah kembali pulih biarpun keadaan hujan lebat berlaku awal pagi tadi.

"Tiada lagi kawasan dan kampung-kampung yang dinaiki air dan kebanyakan penduduk sudah mula menjalankan rutin harian seperti biasa," ujarnya.

Yusmawati azam bangkit mantapkan Puteri Jerlun

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Yusmawati

ALOR SETAR 15 Okt. - Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerlun, Yusmawati Yaacob mahu menebus semula 'kehilangannya' dalam tempoh dua tahun bersama pergerakan itu untuk memperkukuhkan akar umbi bahagian tersebut terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Yusmawati, 33, pernah digugurkan daripada jawatan Ketua Puteri UMNO Jerlun dua tahun lalu, dipilih semula menyandang jawatan berkenaan pada pemilihan barisan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Sabtu lepas.

Beliau digugurkan pada Jun 2011 daripada jawatan tersebut ekoran kes yang sedang dihadapinya di Mahkamah Syariah ketika itu.

Katanya, beliau rugi selama dua tahun untuk berkhidmat bersama pergerakan Puteri UMNO, termasuk membantu parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun telah dilepaskan daripada kes berkenaan.

"Sepanjang tempoh itu saya pasrah dengan apa yang berlaku dan terbukti sokongan ahli akar umbi Puteri UMNO Jerlun terhadap saya tidak banyak berubah. Mereka masih mahu menerima saya sebagai pemimpin," katanya di sini hari ini.

Menurut Yusmawati, beliau berikrar akan membalas kepercayaan ahli Puteri UMNO Jerlun yang memilihnya semula menerajui pergerakan itu dengan berkhidmat dan bekerja lebih kuat lagi.

Katanya, antara fokusnya ialah bergerak bersama transformasi UMNO, selain memberi tumpuan untuk menambah keahlian Puteri UMNO Jerlun dan memperkuatkan lagi semangat mereka di peringkat akar umbi sebagai persediaan menghadapi PRU-14.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved