Rabu, 16 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sentiasa syukuri nikmat keamanan

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohd. Khalil Yaakob menyampaikan daging korban kepada penerima sambil diperhatikan oleh Idris Haron (dua kiri) dan Mohd. Ali Rustam (kiri) pada Program Korban Berkelompok sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Azim Bukit Palah, Melaka, semalam.

MELAKA 15 Okt. - Umat Islam diseru untuk sentiasa mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi dalam menghayati erti pengorbanan pemimpin terdahulu yang telah membawa dan menjadikan negara aman serta makmur pada masa ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, untuk mengekalkan keamanan negara yang dihuni masyarakat berbilang kaum selama lebih 56 tahun bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurutnya, kemakmuran dan keamanan yang dikecapi pada masa kini adalah bukti jelas bahawa wujudnya perpaduan dan keseimbangan sosial dalam kalangan masyarakat serta kestabilan politik di negara ini.

"Justeru, kita perlu terus bersyukur atas segala nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikurniakan Allah kepada kita selama ini.

"Allah juga telah berjanji bahawa jika kita bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya, maka kita akan sentiasa mendapat tambahan atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob serta lebih 6,000 jemaah di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini hari ini.

Yang hadir sama bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Mufti negeri, Datuk Rashid Redza Md. Salleh dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin.

Jelas Idris, umat Islam di negara ini juga perlu mensyukuri segala nikmat keamanan dan kemakmuran yang masih kuat terpelihara.

"Bersyukurlah kerana tiada pergolakan berlaku di negara kita seperti apa yang berlaku di Mesir, Libya dan Syria iaitu rakyatnya mungkin tidak dapat menyambut Aidiladha dalam keadaan tenang dan aman.

"Mereka mungkin mencari-cari tempat perlindungan tetapi kita di sini dapat menyambutnya dalam keadaan yang cukup makmur," ujarnya.

Sementara itu, sambutan Hari Raya Aidiladha disambut dalam keadaan sederhana tetapi meriah oleh seluruh umat Islam di negeri ini.

Solat sunat Aidiladha diadakan di Masjid Al-Azim di sini bermula pada pukul 8 pagi dihadiri hampir 6,000 umat Islam.

Suasana meriah tetap dirasai apabila kebanyakan jemaah bergotong-royong menumbangkan 14 ekor lembu sempena ibadah korban bagi diagihkan kepada fakir miskin sejurus selepas solat sunat Aidiladha.

Aidiladha di NS disambut penuh kesyukuran

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Mohamad Hasan turut membantu ahli kariah menumbangkan seekor lembu bagi ibadah korban sempena Aidiladha di Surau Tanjung, Kampung Kanchong, Seremban.

SEREMBAN 15 Okt. - Sambutan Hari Raya Aidiladha disambut penuh kesyukuran oleh seluruh umat Islam di negeri ini.

Di Kuala Pilah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 1,000 umat Islam di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti dekat sini.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani, selain beberapa kerabat di raja yang lain.

Sejurus selesai mengerjakan solat dan khutbah di masjid itu, baginda berdua kemudiannya berangkat ke majlis tahlil yang diadakan di Makam Diraja Seri Menanti sebelum menghadiri majlis korban yang diadakan di pekarangan masjid tersebut.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek serta beberapa pemimpin kerajaan dan masyarakat.

Sementara itu di Rantau, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyertai lebih 1,000 penduduk setempat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Rantau dekat sini.

Sempena Aidiladha kali ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau telah menyumbangkan enam ekor lembu yang mana tiga daripadanya diserahkan kepada masjid berkenaan sementara selebihnya diberi kepada Surau Tanjong, Kampung Kanchong.

Ditanya pemberita tentang sambutan Aidiladha kali ini, Mohamad mengajak umat Islam di negeri untuk terus meningkatkan perpaduan, selain mengambil iktibar di sebalik kisah peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

''Malah, jadikanlah ibadah korban ini sebagai medan dan jambatan untuk terus mempereratkan silaturahim serta menyuburkan lagi amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat dan saya percaya perkara seperti inilah juga yang disyariatkan oleh agama Islam.

''Kesepakatan dan perpaduan antara ummah adalah kunci kekuatan umat Islam, jadi marilah kita sama-sama menginsafi diri, sejauh mana dapat mengamalkan amalan dituntut oleh Islam. Berkorbanlah dengan penuh ketakwaan dan keredaan kerana Allah," kata beliau.

PD bercahaya, penuh aktiviti pelancongan

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Orang ramai mengunjungi Dataran Muzium Tentera Darat, Port Dickson sempena Malam Pencahayaan Persiaran Pahlawan Bandar Tentera Darat dekat Port Dickson, baru-baru ini.

TELOK KEMANG 15 Okt. - Port Dickson bukannya 'bandar mati' tetapi sebuah bandar yang 'hidup' dengan kisah '1,001' macam peristiwa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adalah tidak benar persepsi yang menyatakan Port Dickson 'mati' pada waktu malam, tiada aktiviti dan kurang bercahaya sehingga tidak ramai yang datang ke bandar pelancongan ini pada waktu malam.

''Port Dickson tidak pernah 'mati'. Jika kita datang ke sini pada waktu malam, banyak aktiviti boleh dilihat. Setiap yang kita lihat itu ada pelbagai cerita.

''Yang terbaharu, kita 'hidupkan' Port Dickson dengan pencahayaan untuk memperlihatkan ia semakin bertenaga untuk dikunjungi pelancong," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malam Pencahayaan Persiaran Pahlawan Bandar Tentera Darat di Dataran Muzium Tentera Darat, Port Dickson, dekat sini baru-baru ini.

Kata Mohamad, dengan konsep terbaharu itu bandar yang sebelum ini dipenuhi orang ramai pada waktu siang dan malam akan bertambah lagi tempat untuk dikunjungi selain wujudnya Waterfront PD.

Beliau turut berharap dengan adanya kawasan pencahayaan yang baharu itu pelancong akan melakukan riadah pada waktu malam sambil melihat persekitaran tentera darat.

''Kita telah menerima maklum balas daripada pengurusan tentera darat di sini untuk mengisi program pada waktu malam tertentu supaya dapat memberi nilai tambah kepada usaha pencahayaan yang dilakukan ini," katanya.

Jelas beliau, salah satu yang dicadangkan ialah membolehkan pelancong melihat tradisi ketenteraan pada majlis penamatan tugas pukul 10.30 malam selain upacara menaikkan bendera dan istiadat yang lain.

''Pelbagai acara akan disusun untuk menjadikan produk pelancongan berasaskan ketenteraan ini mendapat sambutan baik selain Muzium Tentera Darat yang tersedia ada ini," tegas beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved