Rabu, 16 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Peranan Muhammad Shafee tiada beza

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

Muhammad Shafee

PUTRAJAYA 16 Okt. - Kedudukan peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwa raya bagi kes liwat (Liwat II) melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada bezanya dengan peranan yang dimainkan oleh Karpal Singh ketika bertindak sebagai peguam bela kepada Ketua Pembangkang tersebut dalam kes Liwat I.

Dapatan itu terkandung dalam alasan penghakiman Mahkamah Rayuan ketika menolak permohonan pihak pembelaan agar Muhammad Shafee digugurkan daripada mewakili pendakwa raya dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Rohana Yusuf dalam alasan penghakiman bertarikh 11 Oktober lalu setebal 19 muka surat berkata, Karpal pada 22 Oktober 1997 telah menyatakan di Dewan Rakyat yang pengadu dan salah seorang saksi dalam kes liwat tersebut telah bertemu dengannya dan kenyataan beliau juga direkodkan oleh pihak polis.

Situasi tersebut secara tidak langsung telah menjadikan Karpal sebagai seorang saksi yang berpotensi namun peguam itu sepanjang perbicaraan mewakili pihak pembelaan.

"Oleh itu berdasarkan perbandingan dan pandangan kami, peranan Karpal Singh tidak terlalu berbeza daripada fakta-fakta yang dirujuk berkenaan isu-isu ini.

"Kami mengatakan demikian kerana walaupun sebagai saksi yang berpotensi, Karpal bertindak sebagai peguam semasa perbicaraan sedangkan dalam rayuan yang belum selesai (Liwat II), prosiding akan diteruskan tanpa saksi," ujar hakim itu.

Selain itu menurut Hakim Rohana, pihaknya tidak menemui sebarang merit berhubung alasan yang dikemukakan dalam permohonan berkenaan dan atas sebab-sebab tersebut, mahkamah menolak permohonan itu.

Menurut hakim itu, selepas perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi, tiada saksi lagi diperlukan dan Muhammad Shafee tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan mahupun pembelaan.

Pada 18 September lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan pihak pembelaan dan memutuskan Muhammad Shafee kekal mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwa raya bagi kes liwat tersebut.

Keputusan tersebut dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ramly Ali yang bersidang bersama Rohana dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh setelah berpuas hati pelantikan Muhammad Shafee itu adalah sah di sisi undang-undang.

Rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 dan 12 Disember depan.

Hakim Ramly dalam keputusan sebelum ini menyatakan, pelantikan Muhammad Shafee telah dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 di bawah Kanun Keseksaan serta Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menyatakan, pelantikan itu sah kerana Seksyen 379 yang antara lain memberi kuasa kepada pendakwa raya melantik seorang peguam mengendalikan kes jenayah, masih merupakan undang-undang yang baik.

Mahkamah berpendapat, Seksyen 376(3) yang menyatakan pendakwa raya boleh melantik mereka yang layak sebagai timbalan pendakwa raya, perlu dibaca secara harmoni dengan Seksyen 378 kerana kedua-duanya konsisten di antara satu sama lain.

Kuorum itu turut berpendapat, tiada bukti material yang mencukupi bagi menyokong hujahan peguam bela bahawa Muhammad Shafee merupakan saksi yang berpotensi dalam kes itu.

Pada 9 Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Anwar, 66, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya itu yang kini berusia 28 tahun di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

'Orang Romania kantoi edar dadah'

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

Ionut Alexandru Golongan ketika hadir di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 16 Okt. - Seorang pemandu warganegara Romania yang fasih berbahasa Melayu masih mampu ketawa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar syabu seberat 1,494.8 gram pada tahun lalu.

''Orang Romania 'kantoi' edar dadah di Malaysia digantung di leher sampai mati,'' kata Ionut Alexandru Golongan, 21, dalam bahasa Melayu sambil ketawa kepada pihak media selepas prosiding berakhir.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Golongan selepas mendapati keterangan pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

''Keterangan tertuduh adalah rekaan semata-mata dan tidak boleh diterima akal.

''Mustahil tertuduh tiada pengetahuan mengenai kandungan dadah di dalam beg kepunyaannya itu,'' kata Hakim Akhtar.

Lelaki tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di bahagian pemeriksaan unit bagasi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 11.55 pagi, 26 Jun 2012.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri tampil memberikan keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozanna Abd. Hadi manakala Golongan diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved