Rabu, 16 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Transformasikan jentera bahagian

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

Pembangunan pesat negeri Melaka boleh dilihat melalui bangunan-bangunan baharu dan kesesakan teruk sepanjang laluan ke kota Melaka.

Siapakah yang memulakan misi untuk membangunkan Melaka daripada keadaan ekonomi bagaikan sleepy hollow kepada ekonomi yang lebih baik dan maju? Tidak mungkin dalam tempoh satu dekad sahaja Melaka tiba-tiba boleh mencapai negeri maju.

Jika diselak sejarah, politik negeri Hang Tuah ini pernah berkecamuk dengan pertukaran satu demi satu Ketua Menterinya. Siapa yang berjaya menenangkan gelora darah wira-wira pemimpin Melayu Melaka?

Siapa yang mendapatkan kembali sokongan parti komponen Barisan Nasional dan dewan-dewan perniagaan sehingga dapat meyakinkan pelabur dari dalam dan luar negara datang membangunkan negeri itu?

Elok diimbas sejarah kerana fakta sejarah tidak boleh ditipu. Kira-kira tiga dekad lalu atau awal tahun 1980-an, perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Melaka dikatakan hambar dan kurang bersemangat.

Sikap itu berubah setelah ditubuhkan Graha Patriotisme iaitu sebuah institut khas untuk memberikan kursus motivasi dan rejuvenasi, minda dan semangat serta sikap kepada pegawai kerajaan dengan tema 'Perkhidmatan Awam Adalah Fardu Kifayah.'

Setelah wujud kestabilan politik dan perkhidmatan awam negeri Melaka kian mantap serta bermotivasi, barulah dapat digerakkan pembangunan perindustrian sebagai asas untuk memajukan Melaka pada peringkat awal.

Sejarah pembangunan Melaka sebenarnya diasaskan oleh Allahyarham Datuk Abdul Ghani Ali secara kecil-kecilan di kawasan perindustrian Batu Berendam. Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sebagai Ketua Menteri Melaka Keenam mengambil inisiatif membesarkan usaha Abdul Ghani bagi menjadikan Melaka sebuah negeri terkenal.

Rahim bukan sahaja membesarkan kawasan industri Batu Berendam tetapi juga mewujudkan kawasan perindustrian baru di setiap daerah seluruh negeri Melaka.

Rahim meningkatkan infrastruktur penting seperti jalan raya yang lengkap, bekalan elektrik dan air serta rangkaian telekomunikasi setelah pulang dari Kerajaan Pusat pada 1982. Kebetulan pada masa itu, Lebuh Raya Utara Selatan yang mempunyai jalan masuk ke Melaka melalui Alor Gajah dan Ayer Keroh dibuka.

Untuk memastikan penduduk Melaka dapat membekalkan tenaga kerja maka sistem pendidikan dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian, penambahan sekolah teknik, dan sekolah vokasional. Inisiatif juga diambil bagi mewujudkan Universiti Teknologi Mara dalam usaha menarik universiti lain datang ke Melaka.

Sejarah juga tercipta apabila pembangunan industri cukup hebat ditambah dengan perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri Melaka dengan Singapura. Strategi dan usaha menarik pelabur asing juga dijalankan dengan pemimpin Taiwan dan China supaya mereka membantu pembangunan negeri itu.

Kerajaan negeri pada masa itu, juga berjaya membawa Petronas membina loji penapis walaupun Melaka tiada sumber petroleum untuk merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

Setelah berjaya menjadikan Melaka negeri perindustrian, dengan nilai pelaburan berbilion ringgit, visi siapa yang memilih strategi baru untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan terhebat di Malaysia dengan memilih tema sejarah dan budaya?

Banyak usaha dibuat untuk mengembangkan potensi Melaka sebagai destinasi pelancongan. Kerana adanya kemantapan politik dan perkhidmatan awam, pembangunan yang hebat dan industri pelancongan yang dirintis oleh ketua menteri yang lalu maka ia meletakkan Melaka menjadi negeri maju dan hebat sekarang.

Semua yang dicapai hari ini adalah transformasi Melaka menjadi negeri maju ketika itu. Siapakah yang mentransformasi semua ini?

Tan Sri Mohd Ali Rustam pernah berkata "Sesungguhnya kehadiran Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam menerajui negeri Hang Tuah dalam satu dekad telah membawa perubahan kepada negeri yang dikenali sleepy hollow bertukar menjadi antara negeri yang maju. Tiada siapa dapat menafikan bahawa Melaka menjadi negeri yang pesat membangun terutama dalam pelancongan, perindustrian, infrastruktur, pendidikan dan agama." - petikan majalah Dewan Masyarakat, September 2003.

Jadi, janganlah membelakangkan sumbangan bekas-bekas pemimpin Melaka begitu sahaja. Daya fikir, tenaga dan inovasi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik tidak boleh dipandang sepi sejak dahulu hingga kini.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) itu terus ingin menyumbang bakti dalam membangunkan anak bangsa dan ekonomi Melayu/bumiputera.

Beliau berharap ahli-ahli UMNO tanpa perlu menunggu PRU-14 benar-benar turun menolong dan menjuarai rakyat, perjuangkan untung nasib, kesusahan, penderitaan dan kesempitan rakyat.

"Hari ini, kebanyakannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara, makin kuat mereka membela untung nasib orang Melayu, makin terpinggir UMNO dan makin kecil suaranya.

"Ini amat bahaya, UMNO perlu bangun semula. Turun ke bawah, bekerjasama dengan NGO ataupun pegawai kerajaan untuk membela rakyat. Biar pejabat UMNO lebih aktif, lebih hebat daripada pejabat wakil rakyat dan pejabat kerajaan, sentiasa sibuk nak tolong rakyat," ujar Rahim yang menawar diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Rahim berasal dari Masjid Tanah dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di dalam kawasan berkenaan. Beliau berharap isu-isu masyarakat setempat menjadi agenda utama mesyuarat bulanan bahagian dan cawangan sebagai bukti warga UMNO prihatin kepada masalah rakyat dan bukannya mengejar pangkat atau harta.

"Untung nasib nelayan, guru, pekebun kecil, ibu tunggal, penjaja-penjaja kecil dan lain-lain perlu jadi agenda setiap bulan. Transformasi jentera UMNO, turun lebih hebat daripada NGO dan jabatan kerajaan untuk bantu masalah rakyat," kata bekas Ketua Menteri Melaka (1982-1994) dan pernah memegang jawatan Naib Presiden UMNO, atas kapasiti Ketua Pergerakan Pemuda UMNO (1993-1996).

"Ubah imej UMNO itu sendiri, harap generasi muda UMNO dan generasi sedia ada menghayati perkara ini. Kena transformasi dari segi peribadi, barulah terasa kebangkitan semula UMNO. Betulkan diri kita, pasti orang akan kenang jasa kita pada PRU-14 nanti tetapi jika gagal, malapetaka datang bila-bila masa sahaja," jelasnya.

Bahagian Masjid Tanah menyaksikan persaingan tiga penjuru apabila Setiausaha Kerja UMNO Pusat, Datuk Ab. Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ismail Othman turut bertanding jawatan Ketua Bahagian UMNO berkenaan.

Perkasa wanita, ekonomi Melayu

Posted: 16 Oct 2013 11:29 AM PDT

MUKADIMAH DATUK Dr. Norraesah Mohamad adalah antara tokoh wanita yang berpengalaman luas dalam bidang ekonomi. Tidak ramai dalam kalangan golongan itu mampu membarisi jawatan terpenting dalam syarikat korporat ternama negara, di samping tidak melupakan soal membangunkan agenda ekonomi Melayu.

Pakar ekonomi negara ini sudah terjebak dalam bidang politik sejak 20 tahun lalu dan beliau mempunyai sebab mengapa masih mahu mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang disandangnya sejak tahun 2004.

Agenda mahu menggalakkan lebih ramai belia terlibat dalam keusahawan selain membantu peniaga kecil, Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad ini juga meluahkan tekad dan keazamannya untuk meluaskan kuasa wanita dalam politik dan ekonomi kepada Wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM.

UTUSAN: Kenapa Datuk masih mahu mempertahankan jawatan MT?

NORRAESAH: Api perjuangan saya untuk mencergaskan serta meningkatkan fokus parti dalam memartabatkan agenda Melayu masih membara. Rencana saya bertajuk Menang Bentuk Kalah Isi dalam Utusan beberapa tahun lalu (2011), bertujuan menyedarkan ahli-ahli parti terhadap kedudukan ekonomi Melayu yang meruncing. Kita punyai kuasa tetapi kuasa ini juga kian lusuh. Tambahan pula kekuatan ekonomi adalah faktor penting yang boleh menggugat kekuatan politik. Pengaruh ekonomi dalam politik tidak boleh dinafikan. Kekuatan ekonomi boleh membeli kuasa. Lebih getir lagi kini ada antara orang Melayu yang menidakkan pentingnya agenda memperkasakan ekonomi Melayu.

Saya ingin terus mempertahankan jawatan MT kerana ingin meyakinkan ahli UMNO dan Melayu bahawa memperkasakan ekonomi Melayu merupakan isu membangunkan sosio-ekonomi nasional dan bukan etnik seperti cakap-cakap nakal sesetengah orang. Mempertingkatkan ekonomi 67 peratus penduduk negara bererti meningkat ekonomi negara kita. Saya bersyukur presiden parti kita telah melancarkan inisiatif baharu untuk memperkasakan ekonomi bumiputera yang saya turut terlibat dalam persiapan inisiatif ini dan mahu teruskan komitmen dalam isu penting ini dengan pendekatan profesional dan berfakta.

Adakah Datuk rasa golongan wanita masih kurang dalam jawatan tertinggi UMNO?

Begitu jelas sekali bahawa wanita masih terlalu kurang dalam peringkat tertinggi parti. Pada pemilihan 2008 hanya saya seorang yang terpilih. Saya harap kali ini akan ada pertambahan. Saya dipilih sebagai Penasihat Antarabangsa Forum Ekonomi Dunia Islam ( WIEF) dan dilantik Pengerusi Jaringan Peniaga dan Pengusaha Wanita Islam WIEF. Penglibatan saya ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara contoh oleh negara-negara Islam lain termasuk negara bukan Islam apabila ramai wanita berjaya selain sikap kerajaan yang turut memartabatkan wanita dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan.

Seperti yang kita semua tahu, dunia mengiktiraf wanita sebagai aset modal insan yang amat penting. Wanita adalah 'Dana Baru' untuk pertumbuhan ekonomi. Malangnya, perwakilan UMNO yang dikuasai kaum bapa masih berat untuk mengundi Wanita ke MT sedangkan golongan wanitalah yang menjadi penggerak utama dalam setiap pilihan raya umum dan kecil. Saya berharap agar kali ini perwakilan akan memilih lebih ramai wanita dalam MT. Perspektif wanita dalam apa jua bidang harus diambil kira sebab kami mewakili 50 peratus daripada penduduk Malaysia dan 50 peratus daripada tenaga kerjaya negara.

Adakah Datuk bersetuju langkah transformasi UMNO perlu lebih penyertaan daripada golongan profesional?

Langkah paling utama dalam menjayakan proses transformasi UMNO adalah dengan tidak menyekat kemasukan ahli baharu termasuk golongan profesional. Walau bagaimanapun, golongan ini jangan pula merasakan mereka mempunyai 'kad kemasukan istimewa' untuk mendapat akses mudah ke jawatan tinggi di bahagian atau peringkat lebih tinggi. Proses naik tangga demi tangga harus dilalui kecuali seseorang itu dapat meloncat terus dengan kehebatan yang menyerlah. UMNO diakui telah pun dipenuhi ramai golongan profesional, namun tidak dinafikan memang terdapat perasaan kurang senang untuk membuka luas pintu kepada golongan profesional tetapi keadaan ini tidak berleluasa. Oleh itu amat penting bagi UMNO meningkatkan kualiti keahlian berbanding hanya kuantiti ahli. UMNO harus terbuka menerima masuk profesional kerana pengundi semakin terpelajar dan mereka inginkan pemimpin yang berkaliber tinggi dan boleh dicontohi.

Apakah perancangan Datuk untuk membantu mengukuhkan tahap ekonomi orang Melayu?

Perancangan saya yang utama adalah menyedarkan orang Melayu supaya jangan rasa selesa. Ahli UMNO perlu sentiasa mengadakan sesi taklimat bagi menerangkan kepada rakyat bahawa kerajaan sudah mengatur pelbagai strategi dan kemudahan untuk meningkatkan dan mengupayakan orang Melayu dalam bidang ekonomi.

Saya ingin mengajak orang Melayu bertekad dan bersungguh-sungguh dalam apa yang diusahakan dengan mengunakan peluang yang sudah tersedia. Saya mahu memberi fokus kepada golongan penjaja dan peniaga kecil. Mereka ialah pengundi yang amat besar, oleh itu UMNO atau kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada mereka kerana dengan bermula perniagaan kecil atau mikro mereka mampu mencapai peringkat komersial. Saya mahu anak-anak muda kita menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan. Syarikat saya sudah mengadakan sebuah rancangan realiti, Make the Pitch demi mencungkil bakat keusahawanan peserta dengan memperkenalkan model perniagaan masing-masing.

Bagaimanakah Datuk melihat ahli-ahli UMNO dalam menghayati perjuangan parti sebelum diterjemah kepada masyarakat luar?

Perjuangan saya dulu, kini dan selama-lamanya berasaskan kepada prinsip iaitu "Ilmu dan Keikhlasan pendokong perjuangan". Kita harus menerokai ilmu untuk menjadi pemimpin yang berkesan dalam dunia yang sentiasa berubah dan penuh cabaran. Kita mesti ikhlas dalam perjuangan, tidak mengharapkan imbuhan dan jawatan. Saya mahu UMNO benar-benar memancar lambang parti yang gagah, mulia dan indah. Gagahkan UMNO dalam Parlimen. Satukan barisan kepimpinan dengan objektif dan matlamat yang sama demi parti bukan individu.

Muliakan parti melalui pemimpin dan ahli yang tidak boleh diperlekehkan oleh pengundi dan pembangkang. UMNO mesti tunjukkan kepada rakyat integriti yang tinggi dan jati diri yang mulia. UMNO juga merupakan satu produk yang harus terbukti berkualiti, ada ketahanan, dan kemuliaan (integriti) yang menyerlah sebelum dapat dipasarkan. Perpaduan dalam parti dan keikhlasan berjuang adalah titik permulaan untuk menjadikan UMNO lebih gagah. Ahli UMNO harus menjadi orang yang dihormati, tidak sombong dan angkuh selain bersikap rendah diri dan bermoral.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved