Selasa, 6 Disember 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Cungkil bakat penulis muda

Posted:

Cungkil bakat penulis muda

Cungkil bakat penulis muda

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankb@utusan.com.my


Azmi Ibrahim (duduk, tengah) bergambar dengan pemenang Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah 2011 di Kota Bharu, baru-baru ini. - utusan/YATIMIN ABDULLAH


KOTA BHARU 5 Dis. - Pelajar sekolah menengah aliran sains di negara ini semakin cenderung melibatkan diri dalam penulisan kreatif termasuk puisi, cerpen dan esei yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan dimuatkan dalam majalah terbitan mereka.

Pengarah Bahagian Pembangunan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sallehuddin Abang Shokran berkata, perkembangan positif itu berdasarkan jumlah penyertaan pelajar sains yang bertambah tahun ini dalam majalah tersebut kerana sebelum ini kebanyakan penyumbang dimonopoli pelajar aliran sastera.

''Penambahan jumlah pelajar dalam bidang sastera membuktikan pelajar yang cemerlang dalam bidang sains dan teknologi juga mampu menghasilkan genre puitis termasuk cerpen, puisi dan penulisan esei, sekali gus mencetuskan idea-idea bernas daripada pelbagai kelompok berbeza.

''Walaupun ada kalanya ilham penulis tampil dengan pandangan pelik dan menimbulkan persoalan yang tidak terfikir oleh orang lain, namun ia mampu mewarnai bidang penulisan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada program Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah 2011 anjuran pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan dan Terengganu di DBP wilayah Pantai Timur, di sini baru-baru ini.

Sallehuddin menambah, anugerah tersebut antara program yang dikenali sebagai Tunas Bakti yang digerakkan DBP untuk menggilap bakat penulis muda di negara ini.

''Selain itu DBP juga akan mengadakan bengkel penulisan remaja di seluruh negara supaya para pemenang terus dibimbing dan menjadi penulis berjaya pada masa akan datang. Bidang penulisan kini antara kerjaya menarik diceburi kerana ada di kalangan penulis novel kini bergelar jutawan kerana bijak menghasilkan karya berkualiti dan komersial," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah DBP Kelantan, Azmi Ibrahim terkilan kerana jumlah penyertaan sekolah dalam program tersebut kurang mendapat sambutan di dua buah negeri di Pantai Timur.

''Kita menggesa pihak sekolah meningkatkan kesedaran di kalangan guru dan pelajar supaya menyertai pertandingan majalah antara sekolah-sekolah kerana ia akan melahirkan generasi pelapis dalam bidang penulisan kreatif.

''Agak mengecewakan kerana tahun ini DBP hanya menerima 34 penyertaan ke pertandingan itu walaupun terdapat lebih 200 buah sekolah menengah di kedua-dua buah negeri. Jumlah tersebut jelas menunjukkan sambutan yang kurang memberangsangkan walaupun selepas enam tahun penganjuran diadakan," katanya.

Azmi berkata, ramai di kalangan pelajar berbakat yang layak menjadikan pertandingan jika diberi peluang kerana ia mampu dijadikan medium mengasah minat masing-masing.


Sebahagian pelajar yang menghadiri majlis Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah 2011 peringkat Wilayah Timur DBP dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan dan Terengganu di Kota Bharu, baru-baru ini.


"Ini menunjukkan masih ada ruang yang boleh diperbaiki pada masa akan datang di samping komitmen pihak sekolah dan pelajar itu sendiri dengan memberikan respons positif," ujarnya.

Untuk menambah penyertaan pada masa akan datang, pihak DBP akan meningkatkan lagi kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri dalam usaha menggalakkan pelajar menghasilkan karya bahasa Melayu yang betul, di samping memberi pengiktirafan kepada sekolah yang berjaya menerbitkan majalah sekolah berkualiti.

"Walaupun penyertaan masih kurang, terdapat peningkatan dari segi penulisan merangkumi kategori bahasa, penerbitan dan karya kreatif melalui hasil penulisan esei, sajak serta cerpen, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan," ujarnya.

Dalam pertandingan tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas muncul johan kategori majalah terbaik dan menerima RM2,000. Kategori penerbitan pula dimenangi SMK Sultan Ibrahim 1 juga dari Pasir Mas (RM1,000), manakala SMK Machang muncul juara kategori bahasa (RM1,500).

Salah seorang pemenang, Nur Azlisuziana Che Ali, 17, dari SMK Guntong, Setiu, Terengganu ketika ditemui melahirkan rasa gembira apabila dua karyanya memenangi pertandingan tersebut.

Puisinya berjudul Kata-Kata Alamku dinobatkan sebagai johan kategori tersebut manakala cerpen berjudul, Mendung Di Hatinya meraih tempat ketiga yang melayakkan pelajar aliran sains itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM400 dan sijil penghargaan.

''Saya tidak menyangka akan memenangi dua kategori dalam pertandingan yang pertama kali saya sertai ini yang asalnya sekadar untuk mengisi ruang dalam majalah sekolah. Ia bagaikan suntikan semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya puitis yang memang saya minati.

''Walaupun belajar dalam aliran sains ia tidak menghalang kegiatan dalam bidang penulisan malah sebelum ini saya sering menyertai pertandingan pidato dan syarahan di sekolah," katanya yang bercita-cita menjadi novelis terkenal.

Full content generated by Get Full RSS.

Terengganu bentang bajet RM1.9b

Posted:

Terengganu bentang bajet RM1.9b

Terengganu bentang bajet RM1.9b


Ahmad Said membentangkan bajet negeri 2012 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalami. - bernama


KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Kerajaan negeri hari ini membentangkan cadangan Bajet 2012 berjumlah RM1.9 billion bagi memberikan lebih banyak limpahan manfaat ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pelbagai program kebajikan, rancangan pembangunan serta ekonomi yang terus memberi impak secara langsung kepada rakyat menuntut kepada sumber kewangan lebih besar.

Sehubungan itu, Bajet 2012 bertambah sebanyak RM62.07 juta (3.29 peratus) berbanding bajet tahun ini yang disifatkannya sebagai satu pengorbanan biarpun berdepan dengan defisit berterusan.

''Pelaksanaan pembangunan akan terus memberi manfaat dan menjana pendapatan kepada rakyat dalam jangka panjang dan seterusnya mengubah senario ekonomi negeri," ujarnya.

Katanya, bajet itu seiring dengan anggaran peningkatan hasil yang diperoleh, 90.48 peratus diunjurkan daripada sumber kerajaan Pusat khususnya Dana Khas dan pemberian tahunan manakala bakinya sumber negeri sendiri.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan Ucapan Bajet 2012 bertemakan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan: Bajet Kesejahteraan Rakyat dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Katanya, selaku pemerintah, kerajaan negeri memikul amanah untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan semua ini menuntut perbelanjaan yang terus meningkat.

''Kalau nak elak belanja besar, kita boleh sediakan peruntukan kecil tetapi kita mahu jayakan pelbagai perancangan selain tampung biaya pengurusan yang begitu tinggi," ujar beliau kepada pemberita kemudiannya.

Beliau memberi contoh, selama lebih tiga dekad, tidak sampai 10,000 rumah dapat disediakan, namun dalam tempoh tiga tahun lalu, 6,700 unit dibangunkan dan mencecah 10,000 unit yang disasarkan dua tahun lagi.

''Ia telah menelan kos lebih RM600 juta dan setiap satu akan dijual kepada rakyat dengan harga subsidi," ujarnya.

Di samping itu, katanya, kos pengurusan agak tinggi dengan pelbagai yayasan yang wujud untuk membela nasib rakyat dalam pelbagai bidang kehidupan seperti Yayasan Pembangunan Keluarga yang tidak terdapat di negeri lain.

Katanya, program-program yang disasarkan terus kepada rakyat sentiasa menjadi sasaran kecaman pembangkang bagi menutup kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menjelaskan bajet memberi penekan kepada tiga strategi utama iaitu memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

''Bagi memantapkan pembangunan modal insan berkualiti keutamaan tertinggi adalah kepada sektor pendidikan berjumlah RM60.3 juta," ujar beliau.

Katanya, ia bagi memastikan Terengganu terus mengungguli pembangunan pendidikan awal sehingga ke peringkat universiti dan kejayaan ini perlu diurus dengan baik.

Bagi memelihara kesejahteraan rakyat pula, kerajaan antara lain akan menggandakan usaha dengan pendekatan lebih agresif ke arah mensifarkan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada satu peratus pada 2013.

''Bajet 2012 memperuntukkan RM42.6 juta bagi program pembasmian kemiskinan, pembangunan kampung dan masyarakat di samping RM49.4 juta bagi pelbagai bantuan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat," ujar beliau.

Full content generated by Get Full RSS.

Kisah 3 gadis bebas leukimia jadi motivasi

Posted:

Kisah 3 gadis bebas leukimia jadi motivasi

Kisah 3 gadis bebas leukimia jadi motivasi


DARI kanan: Sharifah Maizanil Fauzlin Syed Mohamad; Maizatul Nurul Akmal Ismail dan Noor Fauzyah Noory pada majlis Perjumpaan Semula Bekas Pesakit Wad 6 Utara (Onkologi dan Hematologi) HUSM di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 5 Dis. - Tiga gadis yang disahkan bebas daripada barah leukimia membuktikan semangat waja adalah senjata utama yang membantu mereka pulih daripada penyakit yang ditakuti itu.

Sharifah Maizanil Fauzlin Syed Mohamad, 17; Maizatul Nurul Akmal Ismail, 18, dan Noor Fauzyah Noory, 19, adalah bekas pesakit barah darah putih atau leukimia jenis Acute Lymphoblastic (All) dan telah berjaya meninggalkan mimpi ngeri yang membelenggu mereka sebelum ini.

Walaupun risiko barah menyerang semula tetap ada, namun ketiga-tiga gadis ini lebih fokus untuk memburu kejayaan dalam akademik bagi membuktikan insan seperti mereka juga boleh mempunyai sasaran besar dalam hidup.

Sharifah Maizanil Fauzlin menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemahang, Tanah Merah tahun ini manakala Maizatul Nurul Akmal pula sedang mengambil jurusan Diploma Teknologi Makanan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan.

Sementara itu, Noor Fauzyah pula adalah pelajar tahun 2 jurusan Bahasa Arab Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya dan berazam mencapai cita-citanya menjadi seorang pensyarah.

Mereka ditemui semasa Majlis Perjumpaan Semula Bekas Pesakit-pesakit Wad 6 Utara (Onkologi dan Hematologi) HUSM bersama Pengarahnya, Datuk Dr. Zaidun Kamari di sini, baru-baru ini.

"Saya menghidap leukimia semasa berumur lapan tahun dari 2002 hingga 2006, walaupun ketika itu saya sentiasa lemah terutama semasa menjalani rawatan kemoterapi saya tetap kuatkan semangat kerana saya amat tidak suka menyusahkan orang lain.

"Ketika itu, setiap kali perlu membuang air, saya akan pastikan melakukannya di tandas tidak kira bagaimana keadaan dan bukannya di atas tilam sekalipun terpaksa merangkak ke bilik air," kata Sharifah Maizanil Fauzlin.

Gadis manis ini disahkan bebas penyakit barah sejak enam tahun lalu dan sejak itu menjalani kehidupan seperti remaja normal lain malah sering dipanggil pihak hospital menyampaikan ceramah motivasi kepada pesakit barah.

Maizatul Nurul Akmal yang berasal dari Bukit Payong Tepoh, Kuala Terengganu pula amat menyanjung tinggi pengorbanan ibunya, Nafisah Ali, 50, yang berulang-alik dari rumah ke hospital semasa menjaganya di HUSM Kubang Kerian dari tahun 2002 hingga 2005.

Katanya, kata-kata semangat yang diberikan ibunya di saat usianya sembilan tahun dan berdepan dengan leukimia menjadi azimat sehingga dia dapat menyambung persekolahan di darjah lima sekalipun hampir tiga tahun meninggalkan bilik darjah.

"Awal tahun ini doktor telah mengesahkan saya sudah bebas sepenuhnya dari kuman barah, saya berjanji belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa keluarga menjaga saya," katanya.

Noor Fauzyah dari Peringat, Ketereh pula berharap, semua pesakit barah terutama kanak-kanak dan keluarga tidak akan putus asa berdepan dengan penyakit ini kerana cahaya sentiasa menanti di hujung terowong.

"Jangan takut dengan proses pengambilan sum-sum tulang kerana ia mustahak bagi mengesan kuman barah sama ada ia benar-benar sudah tiada dalam tubuh kita, jika tidak kita akan terlepas rawatan yang perlu dan ini sudah tentu membahayakan diri sendiri," katanya yang baru sahaja disahkan bebas barah hujung tahun lalu setelah mula dikesan pada tahun 2002.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved