Selasa, 6 Disember 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Bersatu pertahankan maruah

Posted:

Bersatu pertahankan maruah

Bersatu pertahankan maruah

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


SULTAN Sharafuddin Idris Shah menjadi tumpuan semasa sesi bergambar bersama kakitangan Kumpulan Utusan sempena lawatan baginda ke Kompleks Percetakan Sri Utusan, Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya bersatu demi mempertahankan maruah bangsa dan agama daripada dicaci dan dihina.

Baginda bertitah, perpaduan itu penting bagi membolehkan orang Melayu dan umat Islam bangkit mempertahankan kesucian dan maruah bangsa serta agama.

"Beta tidak mahu melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini berpecah-belah. Bukan maksud beta orang Melayu itu bersatu untuk berperang dengan bangsa lain. Bukan juga bermaksud antara UMNO dan Pas perlu 'berkahwin' sebab bukan hak beta untuk mencampuri urusan politik.

"Tetapi kita (orang Melayu dan umat Islam) bersatu apabila agama dan bangsa kita dicaci dan dihina," titah baginda ketika mencemar duli berangkat melawat Kompleks Sri Utusan di Bandar Baru Bangi hari ini.

Baginda diiringi oleh Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Ramli Alhaj dan Setiausaha Sulit, Datuk Mohamad Munir Bani.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 10 pagi disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Pengurus Besar Pengeluaran, Ahmad Khairumuzammil Abd. Rahman.

Dalam lawatan yang mengembalikan nostalgia kunjungan baginda ke Utusan Melayu semasa menjadi Raja Muda pada 9 Mei 1974, Sultan Selangor diberi penerangan ringkas perkembangan semasa Kumpulan Utusan.

Baginda yang turut beramah mesra dengan kakitangan Utusan berkenan menekan butang operasi di meja kawalan mesin cetak yang mencetak 500 naskhah akhbar khas Utusan Malaysia lapan muka surat yang memuatkan pelbagai kisah menarik mengenai baginda.

Dalam titah baginda juga, Sultan Selangor menyeru kalangan korporat Melayu yang berjaya untuk membantu dan memberi sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia.

Titah baginda, akhbar ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menyedarkan masyarakat Melayu khususnya ke arah perpaduan bangsa serta mempertahankan agama Islam.

"Apabila beta bercakap tentang Melayu dan disiarkan Utusan Malaysia, rakyat kata beta orang Utusan Malaysia. Tapi beta tidak ada share (saham) pun dengan Utusan Malaysia.

"Begitu juga apabila beta menegur orang Melayu dalam kes derhaka terhadap Sultan Perak (Sultan Azlah Shah), ada kata beta orang UMNO. Sebenarnya tidak, sebab UMNO itu UMNO lah.

"Tetapi apa yang menjadi perhatian beta adalah supaya agama Islam dan bangsa Melayu itu dipertahankan. Orang Melayu kita biarlah beradab dan jangan kurang ajar," titah baginda.

Sementara itu, dalam perutusan baginda sempena lawatan berkenaan, Sultan Selangor bertitah, peranan akhbar di negara ini masih penting dan relevan walaupun mendapat saingan hebat daripada akhbar dalam talian seperti portal berita, laman blog dan medium-medium berita lain.

Titah baginda, kehadiran Internet juga menyebabkan hampir semua akhbar kini bersaing memperkenalkan versi dalam talian seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Full content generated by Get Full RSS.

Nik Aziz tidak akan bertanggungjawab

Posted:

Nik Aziz tidak akan bertanggungjawab

Nik Aziz tidak akan bertanggungjawab


Nik Aziz


KOTA BHARU 5 Dis. - Walaupun menegaskan nabi dan ulama tidak boleh disamakan, namun Datuk Nik Aziz Nik Mat (gambar) menegaskan, beliau tidak akan bertanggungjawab terhadap tindakan seorang penceramah, Shamsul Zaman Sukri atau 'Ustaz Budak' menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan nabi.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan tersebut berkata, beliau tidak berasa duka cita dengan tindakan penceramah Pas terbabit walaupun ia menyentuh soal akidah.

Berdasarkan pendirian itu, katanya, beliau berpendapat tidak perlu memberi nasihat kepada penyokong Pas supaya tidak terlalu taksub dengan pemimpin.

"Saya tidak tahu hujung pangkal 'budak' itu (Shamsul Zaman), jadi saya tak mahu jawab yang itu. Saya tidak bertanggungjawab, dia kena tanggungjawab, saya tidak hubungi budak itu, pihak lainlah yang menghubungi budak itu.

"Saya hendak jawab begini, kalau orang menyamakan saya dengan nabi adalah kufur, maka orang Islam tolak Islam juga kufur, sama ada tolak Islam berganti dengan demokrasi atau kebangsaan juga boleh membawa kepada kufur serupa jugalah. Saya tidak ada apa (dukacita), dia kata," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya di JKR 10 di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sebuah badan pemikir dan beberapa tokoh agama di negeri ini menyifatkan tindakan seorang penceramah Pas menyamakan Nik Aziz dengan nabi sebagai sesat dan membawa kepada kekufuran.

Mereka turut berpendapat bahawa ikon Pas tersebut perlu bertanggungjawab kerana beliau yang membuatkan penyokong parti tersebut taksub kepada pemimpin.

Ia ekoran pendedahan rakaman video ceramah Shamsul Zaman yang menyamakan Nik Aziz dengan nabi dengan bersandarkan hujah 'ulama adalah pewaris nabi' oleh sebuah portal, detikperubahan.com.

Full content generated by Get Full RSS.

Jangan cuit perasaan Melayu

Posted:

Jangan cuit perasaan Melayu

Jangan cuit perasaan Melayu

Oleh AZIAN AZIZ dan MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDDEN
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak menerima cenderahati daripada Jamaludin Yusof (tiga dari kanan) dan Ramli Norani (tiga dari kiri) selepas majlis sepetang bersama Perdana Menteri pada Perhimpunan Perdana Pekida di Dewan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 5 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak lagi mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mempertikaikan hak dan keistimewaan kaum itu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegas Perdana Menteri, apa yang termaktub dalam Perlembagaan telah membolehkan kerajaan memerintah dan membina sebuah negara yang adil serta saksama untuk semua kaum.

Beliau berkata, cubaan mempersoalkan dasar untuk membantu orang Melayu dan bumiputera tidak sepatutnya berlaku lagi kerana golongan itu tidak pernah mempersoalkan apa yang diperolehi kaum lain.

"Orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis dan bersikap pelampau kerana sejak merdeka orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang (dirasa) adil kepada mereka (bukan Melayu).

"Orang Melayu telah menghulur tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang aman, bersatu dan lebih makmur serta mengamalkan wassatiyyah (kesederhanaan) sejak dulu lagi.

"Jadi jangan sesekali cuba mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mengubah apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang sudah kita rundingkan waktu merdeka dulu, perkara ini akan dipertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Perdana Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida): Sepetang Bersama Perdana Menteri di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri lebih 10,000 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli Pekida turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Pengerusi Pekida, Jamaludin Yusof dan Timbalannya, Datuk Ramli Norani.

Perdana Menteri turut menyelar cubaan memburuk-burukkan imej dan peribadi pemimpin BN antaranya dengan menghina warna kulit seperti 'hitam metalik' dan sebagainya.

Hakikatnya kata beliau, mereka datang daripada golongan anak nelayan, anak petani yang susah tetapi berusaha keras sehingga berjaya menjadi pemimpin.

"Saya bangga mereka berjaya kerana bersungguh-sungguh mencari ilmu, kerana dasar yang kita perjuangkan selama ini. Inilah sistem yang kita bina selama ini dan selepas ini masa depan ramai lagi anak nelayan, buruh, petani akan lebih berjaya dan kita akan lakukan yang terbaik untuk mereka," katanya.

Menyentuh mengenai perhimpunan tersebut, Perdana Menteri menyifatkannya sebagai satu perhimpunan yang luar biasa, bersejarah serta terbesar bagi Pekida yang semangatnya sama seperti semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan perjuangan Pekida dalam mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam selama ini.

"Pekida adalah sebuah pertubuhan yang tidak pernah malap jauh sekali berkubur sebaliknya tetap menjadi pertubuhan yang ada kekuatan dan tidak dapat kita sangsi dan nafikan dari segi semangat, roh untuk berjuang habis-habisan mempertahankan apa yang difikirkan mulia dan suci.

"Saya yakin Pekida akan terus menegakkan pemerintahan yang mempertahankan maruah dan martabat umat Islam di Tanah Melayu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved