Selasa, 6 Disember 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Baiki jalan Bukit Angkasa

Posted:

Baiki jalan Bukit Angkasa

Baiki jalan Bukit Angkasa

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


PEMBANGUNAN yang pesat menyebabkan jalan di Bukit Antarabangsa digunakan digunakan dengan kerap oleh kenderaan berat hingga mempercepatkan kerosakannya.


KUALA LUMPUR 6 Dis. - Penduduk di sekitar Bukit Angkasa mendesak agar jalan-jalan di situ diperbaiki kerana keadaannya kini ibarat kain buruk yang compang-camping.

Jalan itu berlekuk-lekuk dan menggerutu menyebabkan tidak selesa apabila melaluinya. Masalah ini juga akan mempercepatkan kerosakan peralatan kenderaan seperti sistem suspensi, tayar dan sebagainya lantas meningkatkan kos yang kini sudah pun amat terasa.

Lebih membimbangkan jalan yang rosak teruk dan berlubang itu boleh membahayakan keselamatan pengguna.

Tinjauan Utusan Malaysia ke situ mendapati terdapat beberapa lubang besar di sesetengah kawasan jalan manakala permukaannya tidak rata, berlopak-lopak dan beralun.

Kelihatan juga kawasan yang ditampal tetapi itu pun sudah rosak, mungkin akibat kualiti kerja yang tidak menepati spesifikasi.

Jalan ini sepatutnya disenggara dengan baik memandangkan ia merupakan antara laluan utama bagi penduduk yang di tinggal di kawasan berhampiran seperti Perumahan Pantai Permai, Taman Bukit Angkasa dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi serta menjadi akses ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Rata-rata mereka yang ditemui merungut dengan keadaan jalan itu yang berlubang dan tidak diturap dengan baik sehingga menyebabkan tampalan kembali berlubang dalam masa yang singkat.

Seorang pengurus akaun, Khuzairi Ali, 38, berkata, jalan raya yang berlubang boleh membahayakan keselamatan pengguna terutamanya penunggang motosikal yang boleh terjatuh jika tidak sempat mengelak.

Katanya, pengalamannya yang pernah terlibat dalam satu kemalangan sehingga membuatkan dia koma selama 12 jam membuatkan dia fobia untuk menunggang motosikal lagi.

"Saya pernah terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal dan telah terlanggar lubang menyebabkan saya terjatuh.

"Namun, nasib baik saya masih selamat tetapi saya sudah tidak berani untuk menunggang motosikal lagi. Jadi jalan yang berlubang ini memang sangat berbahaya dan masalah ini tidak harus dipandang ringan," katanya.

Sementara itu, rakannya, Amran Zaidi, 48, berkata, jalan berlubang di kawasan tersebut bukanlah perkara baru tetapi masih tidak diturap dengan sepatutnya.

"Jalan yang diturap tidak kekal lama. Dalam masa enam bulan sahaja, jalan akan rosak semula.

"Saya rasa penggunaan bahan yang kurang berkualiti juga menjadi punca turapan tidak kekal lama. Di samping itu, pihak berkuasa juga sepatutnya menurap jalan sepenuhnya dan bukan sekadar menampal pada lubang besar sahaja," tegasnya.

Razali Amran, 37, pula berkata, jalan tersebut harus diturap semula sepenuhnya memandangkan ia merupakan jalan penting yang bersambung dengan NPE.

"Jalan ini juga sering sesak pada waktu puncak, jadi saya berharap agar pihak berkenaan dapat memikirkan cara terbaik seperti membesarkan jalan untuk mengatasi masalah ini," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bekalan air pulih semula

Posted:

Bekalan air pulih semula

Bekalan air pulih semula

Oleh AHMAD FADZLY ESA
kota@utusan.com.my

SHAH ALAM 6 Dis. - Bekalan air yang terganggu di sekitar Kuala Lumpur dan tujuh daerah di negeri Selangor dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat-peringkat mulai hari ini setelah kekeruhan air di Sungai Selangor turun ke tahap 300 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) dan kembali normal.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ruslan Hassan berkata, berikutan itu keempat-empat loji rawatan air di Sungai Selangor kembali beroperasi ke tahap maksimum iaitu melibatkan pengeluaran 2,680 juta liter sehari (JLH) bermula pukul 1 pagi ini.

"Pemulihan bekalan air mengambil masa yang panjang memandangkan Syabas tiada sumber bekalan air alternatif untuk menampung kekurangan di kawasan-kawasan yang terlibat.

"Berikutan perkembangan terbaharu itu, kami juga menurunkan tahap persediaan pelan tindakan kecemasan (ERP) daripada merah kepada hijau berkuat kuasa pukul 11 pagi hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ruslan bagaimanapun berkata, ekoran pengurangan pengeluaran air di loji-loji berkenaan semalam iaitu daripada 2,460 JLH kepada 1,000 JLH, Syabas menjangkakan para pengguna di kawasan terlibat masih akan mengalami masalah tekanan air rendah dan ketiadaan bekalan air terutamanya di kawasan tinggi dan kawasan yang terletak di penghujung sistem pengagihan bekalan air.

Semalam, Syabas dalam kenyataannya menyebut, tiga juta pengguna atau 60 peratus penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur dikhuatiri mengalami gangguan bekalan air berikutan langkah empat buah loji rawatan air mengurangkan pengeluaran.

Loji-loji berkenaan yang menggunakan sumber air Sungai Selangor terpaksa mengurangkan kapasiti pengeluaran setelah sungai berkenaan didapati mengalami kekeruhan luar biasa mulai pukul 10.30 pagi semalam.

Loji terlibat adalah Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang. Keempat-empat loji tersebut membekalkan air bersih sebanyak 2,460 JLH kepada 60 peratus penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur.

Full content generated by Get Full RSS.

Maklumat tender projek Greater KL

Posted:

Maklumat tender projek Greater KL

Maklumat tender projek Greater KL


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmed Phesal Talib (kiri) dengan wakil Syarikat Ekovast-MRCB JV, Lim Kang Hoo di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 6 Dis. - Para kontraktor yang berminat dengan tender-tender di bawah projek Greater Kuala Lumpur-Klang Valley kini boleh mendapatkan maklumat awal mengenai projek program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) itu melalui sistem Greater Kuala Lumpur-Klang Valley Tender Alert System (G-TAS).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sistem G-TAS itu akan berfungsi memaklumkan maklumat terkini tender projek kepada para kontraktor yang berminat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel dari semasa ke semasa.

"Jika sebelum ini para kontraktor yang berminat untuk mendapatkan tender projek perlu memantau notis tender melalui akhbar atau menghubungi pejabat kerajaan untuk mendapatkan maklumat terkini, sekarang mereka hanya perlu mendaftar di laman web Greater Kuala Lumpur-Klang Valley dan seterusnya akan memperoleh makluman melalui SMS dan e-mel," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran G-TAS di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.

Turut diadakan sempena majlis itu ialah Majlis Menandatangani Pelantikan Project Delivery Partner (PDP) bagi projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL), Greater Kuala Lumpur-Klang Valley di antara pihak kementerian dan Syarikat Ekovast-MRCB JV Sdn. Bhd.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, G-TAS boleh memainkan peranan menyelesaikan dakwaan kononnya ada kontraktor tidak dimaklumkan atau tidak memperoleh maklumat lengkap mengenai tender projek sehingga menimbulkan tohmahan kononnya kerajaan bersikap tidak terbuka dalam soal pemberian tender.

"Melalui G-TAS ini, semua maklumat mengenai tender projek di bawah program Greater Kuala Lumpur-Klang Valley boleh diperoleh sesiapa sahaja yang mendaftar dengan sistem berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, para kontraktor dialu-alukan supaya membuat pendaftaran di laman web http://www.kwpkb.gov.my/greaterklkv/gtas/.

"G-TAS akan memastikan kontraktor yang mendaftarkan diri menerima maklumat tender dengan pantas melalui SMS dan emel," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved