Jumaat, 16 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Penyambung kejayaan Felda

Posted:

Penyambung kejayaan Felda

Penyambung kejayaan Felda

Oleh KHAIRIL ANUAR AZIZ
DATUK KHAIRIL ANUAR AZIZ ialah Ahli Panel Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof)


Sekumpulan NGO yang terdiri daripada Perkasa, Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara dan Majlis Belia Felda Malaysia berarak ke Bangunan Felda bagi menyampaikan Memorandum Menyokong Transformasi Felda di Ibu Pejabat Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Abdul Razak Latif


Perjalanan yang bermula lebih 50 tahun lalu untuk menyusun semula sosio ekonomi rakyat kini telah mengubahkan taraf hidup golongan masyarakat luar bandar yang tidak berharta bertukar menjadi peneroka, kemudian peladang berjaya dan seterusnya bagi sesetengah golongan ini berstatus usahawan pula.

Bagi yang berjaya mereka, faham erti peluang yang diberikan. Tetapi bagi sesetengahnya pula, bukan mudah rupanya untuk mengajak orang Melayu di tanah rancangan Felda untuk terlibat dalam pelaburan saham.

Sebab itu, sekadar melontar cadangan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings di Bursa Malaysia, belum tentu para peneroka akan bersetuju.

Jangan salahkan mereka. Jumlah peneroka di seluruh negara ramai. Mereka ada keluarga dan perlu juga memikirkan masa depan generasi kedua dan ketiga Felda.

Banyak maklumat dan spekulasi yang mereka dengar. Apabila cerita tidak benar selalu diasak masuk ke dalam telinga mereka, satu dua perkara mungkin diterima oleh akal.

Sejak cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings dikemukakan dalam Bajet 2012, banyak pihak tiba-tiba bangkit - ada yang mempertahankan hak untuk tidak menyokong penyenaraian itu.

Ada pula yang mahu tunggu dan lihat kajian pakar perunding dahulu sebelum memutuskan setuju atau tidak penyenaraian tersebut.

Jika proses berjalan lancar, penyenaraian itu akan dilakukan pada April 2012. Tetapi semakin dekat tarikh itu, semakin giat pula pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Felda termasuk Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berusaha untuk menghalang penyenaraian itu.

Semalam berlaku perarakan dan demonstrasi oleh dua kumpulan NGO yang membantah dan yang menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holdings di Ibu Pejabat Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kenapa NGO yang membantah penyenaraian ini mahu campur tangan dalam usaha Felda meningkatkan pendapatan peneroka di samping menjaga kebajikan generasi kedua?

Mengapa mereka tidak mahu menerima hujah bahawa generasi Felda tidak boleh mengharapkan hasil komoditi dari ladang kelapa sawit atau getah bapa atau ibu mereka semata-mata.

Hakikat bahawa semua generasi kedua Felda harus buka mata ialah kini tiada lagi tanah rancangan baru dibuka. Dan adakah masa depan agensi Felda akan berterusan sebagai pengurus ladang semata-mata?

Kini tanggungjawab bagi kelestarian Felda terletak di bahu generasinya. Generasi muda kena bangun untuk menyambungkan kejayaan yang telah diraih oleh ibu bapa mereka dalam bentuk ekonomi baru.

Kalau dulu, kerajaan sediakan tanah, kini satu perancangan yang rapi dan teratur perlu disediakan untuk membangunkan generasi kedua dan seterusnya bagi menjamin kelestarian Felda.

Bagi saya, Felda harus dimajukan sejajar dengan perubahan global dan juga transformasi kerajaan. Dalam konteks ini perlu ada anjakan minda - baik kepada peneroka dan anak-anak mereka.

Cara kerja 50 tahun dulu dan 50 tahun kemudian amat berbeza. Dulu agensi Felda sediakan platform misalnya tanah dan bimbingan untuk membangunkan 112,635 peneroka. Tetapi 50 tahun akan datang, kerajaan perlukan perspektif yang berbeza untuk menguruskan Felda sama ada dari segi teknologi, kemahiran dan kepakaran.

Selaras dengan hasrat Model Baharu Ekonomi (MBE) ke arah negara berpendapatan tinggi, strategi meningkatkan nilai tambah bagi setiap produk yang dihasilkan adalah dengan menggalakkan aktiviti pemprosesan dan rantaian pembuatan.

Oleh sebab itu anjakan pertama yang dibuat oleh Perdana Menteri ialah memastikan Felda itu diangkat ke peringkat antarabangsa menerusi langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings.

Kejayaan penyenaraian demi kepentingan peneroka sudah terbukti. Jika dilihat perbandingan dari segi saiz, produk gula Felda adalah lebih kecil daripada kelapa sawit tetapi Felda telah memperolehi keuntungan RM300 juta daripada percubaan pertama menyenaraikan MSM Holdings ke dalam bursa.

Jadi apabila makanan asas gula yang tidak begitu besar dari segi peratusan pendapatan Felda boleh meningkat begitu baik, tidak ada sebab mengapa kelapa sawit yang merupakan teras pendapatan Felda, kalau diapungkan sudah pasti mampu memberi nilai tambah yang berlipat ganda dan menjadikan Felda peneraju global dalam industri kelapa sawit.

Memang Felda telah pun kukuh dalam aktiviti huluan dan bisnes Felda Global Ventures Holdings menjurus aktiviti hiliran sebenarnya telah membukakan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada generasi Felda. Malah aktiviti ini bakal mempelbagaikan lagi sumber pendapatan peneroka dan generasi seterusnya.

Kepelbagaian ini penting kerana Felda adalah agensi bagi pembangunan sosio ekonomi warga Felda dan tidak boleh bergantung kepada aktiviti huluan yang tidak menentu.

Menerusi penyenaraian ini, ia akan mewujudkan lebih banyak limpahan rezeki dan peluang. Oleh itu generasi baru Felda perlulah mengambil peluang ini dengan sebaik-baik mungkin.

Kini platform telah pun disediakan kepada warga Felda untuk mengambil kesempatan daripada pelbagai potensi peluang hasil daripada penyenaraian ini kelak.

Apa yang Perdana Menteri tekankan ialah generasi baru Felda perlu menganjak minda dan berubah sikap walaupun duduk di luar bandar dan menjadi model aset luar bandar yang berupaya mempelbagaikan pendapatan mereka.

Apakah generasi Felda tidak mahu mengulangi kejayaan bapa dan ibu mereka bagi melestarikan Felda ke peringkat pertumbuhan seterusnya ataupun mereka mahu mengikut segelintir pihak tertentu yang mungkin mempunyai agenda politik sempit atau kepentingan peribadi yang hingga sanggup menidakkan rezeki dan peluang orang lain untuk menikmati kejayaan yang diusahakan selama ini.

Generasi kedua, ketiga dan seterusnya mesti menyokong usaha murni ini bagi memastikan dana Felda sentiasa bertambah dan berjaya membawa Felda dan generasi baru misalnya, ke gerbang perniagaan dan pasaran antarabangsa yang mana segala manfaat dan peluang pekerjaan dapat dijanakan untuk mereka di dalam dan luar negara.

Dana yang sentiasa bertambah amat perlu bagi meneruskan segala usaha untuk pelbagai pembangunan infrastruktur, rohani dan jasmani, modal insan yang cemerlang dari segi sosio ekonomi negara khasnya dan rakyat serta warga Felda amnya. Segala ini memerlukan dana yang berterusan dan lestari.

Full content generated by Get Full RSS.

Pas lemah kerana tindakan sendiri

Posted:

Pas lemah kerana tindakan sendiri

Pas lemah kerana tindakan sendiri

Oleh Zulkiflee Bakar

KITA tidak perlu terkejut atau merasa kecewa apabila sekali lagi nama UMNO dikaitkan berikutan berlaku pergolakan dalam Pas.

Ia memandangkan begitulah sikap pemimpin-pemimpin Pas, mereka sentiasa melihat UMNO sahaja yang sentiasa berusaha melemahkan mereka.

Sebenarnya, Pas tidak sedar selama ini, parti itu lemah bukan kerana UMNO tetapi akibat tindakan mereka sendiri yang terlalu menjaga hubungan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Begitulah juga dalam isu melibatkan Datuk Dr. Hasan Ali yang kini hangat diperkatakan. UMNO tidak semena-mena dikaitkan apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengatakan Exco Kerajaan Negeri Selangor itu dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa terperangkap dengan agenda UMNO untuk melemahkan Pas.

Soalnya, apa kaitan UMNO dalam isu Hasan? Siapa sebenarnya yang membuat kenyataan bahawa Hasan digugurkan daripada menjadi calon Pas dalam pilihan raya umum nanti? Pemimpin Pas atau pemimpin UMNO?

Kenapa pula UMNO hendak menentukan nasib Hasan? Beliau bukannya wakil rakyat UMNO tetapi wakil rakyat Pas?

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Nasharudin amalan politik 'pelik' yang berlaku dalam Pas, apabila UMNO diseret bersama bagi menutupi pergolakan dalam Pas.

Sebenarnya kepimpinan Pas semakin resah apabila tidak mampu membendung isu pengguguran Hasan kerana ia mula menjadi topik yang paling merimaskan penyokong-penyokong Pas.

Mereka tertanya-tanya kenapakah seorang pemimpin yang memperjuangkan Islam dan kepentingan orang Melayu mahu 'disingkirkan' hanya semata-mata beliau lantang dalam isu berkenaan.

''Ana nak sampaikan pesan ahli di peringkat bawah, Hasan Ali ini bukan kecil anak. Di kalangan ahli Pas pun masih ramai yang sayangkan dia.... Pada ana bukan soal Hasan Ali rapat dengan UMNO atau tidak. Kalau UMNO yang lebih menghormati dia, apakah kita masih mahu salahkan Hasan Ali? Beliau pun manusia biasa.''

Demikian luahan salah seorang penyokong Pas yang ternyata kecewa dengan isu Hasan. Pandangan penyokong Pas ini dilihat 'lebih matang' berbanding sesetengah pemimpin Pas yang terus menyalahkan UMNO.

Inilah masalah Pas sejak dulu, kini dan selamanya, apa juga kemelut yang berlaku dalam parti itu segala-galanya ditunding jari kepada UMNO.

Kita masih ingat bagaimana setiap kali muktamar Pas atau Perhimpunan Agung UMNO, pemimpin Pas akan membuat kenyataan bahawa ahli-ahli Pas lebih terbuka mengkritik parti itu berbanding pemimpin dan ahli UMNO.

Tetapi apa yang berlaku kepada Hasan jelas menunjukkan seolah-olah di dalam Pas tidak boleh ada pejuang atau sebarang usaha untuk menegur kesilapan kepimpinan, jika itu berlaku pemimpin yang terlibat akan dikaitkan dengan UMNO.

Akibat pandangan dangkal inilah yang menyebabkan usaha menyatukan orang Melayu gagal apabila Pas menolak pelawaan UMNO bagi tujuan berkenaan dengan alasan pemimpin Pas yang melaksanakan usaha tersebut adalah boneka UMNO.

Pemimpin-pemimpin Pas perlu faham bahawa Pas bukanlah parti yang sempurna, kenyataan Hasan tidak ada kaitan dengan UMNO, beliau membuat kenyataan berkenaan sebagai tindak balas terhadap politik dalaman Pas.

Oleh itu kenapakah UMNO hendak dipersalahkan? Apakah Pas fikir UMNO merancang segala-galanya yang berlaku dalam parti itu bagi melemahkan Pas menjelang pilihan raya?

Kalau itulah tafsiran pemimpin-pemimpin Pas, ternyatalah mereka salah. Ia memandangkan apa yang berlaku kepada Pas adalah salah parti itu sendiri.

Pas lemah bukan kerana UMNO tetapi Pas lemah kerana kegelojohan mereka berpolitik dan terlalu ghairah mencapai impian untuk menawan Putrajaya bersama PKR dan DAP.

Cuba fikirkan, apakah UMNO yang mendesak Pas mengubah hala tujunya daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara kebajikan? Bukankah Pas berbuat demikian kerana tidak mahu perjuangan negara Islam menggugat hubungan dengan PKR dan DAP.

Kalau Pas benar-benar konsisten dan percaya bahawa perjuangan mereka menegakkan Islam akan diberkati Allah SWT, kenapakah menggugurkan perjuangan negara Islam?

Apabila tindakan itu dilihat mula menimbulkan konflik di kalangan penyokong-penyokongnya maka UMNO dipersalahkan kerana dikatakan memutar belitkan tindakan berkenaan? Bijakkah tindakan ini?

Pas perlu faham UMNO tidak perlu berbuat apa-apa untuk melemahkan Pas kerana Pas sendiri pun sudah cukup lemah sebaik sahaja berkawan dengan PKR dan DAP.

Ia memandangkan mereka tidak berupaya melawan kehendak pemimpin-pemimpin PKR dan DAP yang dilihat jauh lebih konsisten dalam mempertahankan prinsip perjuangan mereka, jadi jangan salahkan UMNO akibat kejahilan' sendiri.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved