Isnin, 5 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


‘‘Jangan sekali-kali tikam belakang’’

Posted:

''Jangan sekali-kali tikam belakang''

''Jangan sekali-kali tikam belakang''

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my


Musa Aman


PENAMPILAN Datuk Seri Musa Aman agak 'low profile' sepanjang tiga hari 'berkampung' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lepas. Jarang dilihat beliau menemui atau pun ditemui pihak media.

Memasuki bangunan yang meletakkan Ibu Pejabat UMNO dari arah selatan pun, fokus langkah kakinya sambil diiringi beberapa pegawai hanyalah untuk segera menuju ke Dewan Merdeka.

Low profile dan berfokus adalah dua sifat yang dipegang oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang juga Ketua Menteri Sabah itu. Dan taklah canggung kiranya jika gambaran perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang menetapkan empat sasaran oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya dicapai dengan tempias sebahagian besarnya bertitik tolak daripada prestasi UMNO Sabah.

Buktinya terang lagi bersuluh. Daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sabah dalam pilihan raya umum 2008 (PRU12), UMNO menyapu bersih kesemua 13 kerusi yang ditandingi, PBS (tiga), UPKO (empat), PBRS (satu), LDP (satu) dan SAPP (dua). Pembangkang yang diketuai DAP cuma satu kerusi.

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, daripada 60 kerusi yang dipertandingkan, UMNO berjaya menguasai 32 kerusi, MCA (satu), PBS (12), UPKO (enam), SAPP (empat), LDP (tiga) dan PBRS (satu). DAP sekali lagi hanya satu kerusi.

Dari segi keanggotaan UMNO di seluruh negara sehingga 30 November lalu, Sabahmerekodkan jumlah anggota tertinggi iaitu 487,447 orang daripada keseluruhan 3,297,358 orang.

Kesemua rekod baik pada PRU12 itu sekali gus menggambarkan UMNO Sabah cukup bersatu dan ampuh serta bersedia mengembalikan kedudukannya sebagai parti bermaruah. Malahan bukti pengiktirafan turut diterima daripada Perdana Menteri atas faktor kebolehan wakilrakyat Sabah.

Antara wakil rakyat Sabah yang dilantik di peringkat persekutuan ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis), Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Papar) dan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin (Beaufort).

Bagi parti komponen BN pula, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Kota Marudu) daripada PBS dilantik menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Tan Sri Bernard Dompok (UPKO-Penampang) dilantik Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Tan Sri Joseph Kurup (PBRS-Pensiangan) Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Datuk Liew Vui Keong (LDP-Sandakan) Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Diajukan sedikit pujian daripada penulis mengenai pencapaian serta prestasi UMNO Sabah itu, Musa yang bercakap dari bilik penginapannya di sebuah hotel selepas penggulungan Presiden UMNO Sabtu lepas memberitahu, UMNO negeri akur dengan komitmen untuk terus bekerja keras bagi menjamin kemenangan besar BN Sabah pada PRU13 nanti.

Ditanya sekali lagi tentang Sabah yang acap kali 'dinobatkan' sebagai kononnya deposit tetap BN oleh pembangkang, Musa menegaskan: "UMNO Sabah menerima ini sebagai tanggungjawab cukup besar tentang bagaimana kaedahnya untuk mempertahankan kesemua kerusi Parlimen dan DUN selain merampas dua kerusi daripada pembangkang.

"Ini bukan suatu keangkuhan atau privillege tetapi sebagai tanggungjawab besar."

Di negeri di bawah bayu itu, UMNO ditubuhkan pada 1990 oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba berikutan pergolakan politik di negeri itu yang menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan keluar daripada BN. PBS kemudiannya kembali menyertai BN selepas Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan sistem giliran Ketua Menteri. Komponen BN Sabah terdiri daripada PBS, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) serta MCA termasuklah Parti Maju Sabah (SAPP). SAPP bagaimanapun keluar daripada campuran BN pada 17 Sept 2008 dengan alasan BN telah hilang "semangat BN".

Ditanya formula yang dipraktikkan oleh UMNO negeri sehingga berjaya mencapai kejayaan seperti hari ini, Musa dengan nada rendah diri berkata: "Turun padanglah dan beri perkhidmatan kepada rakyat. Apabila Ahli Parlimen dan ADUN dipilih oleh rakyat, maka kita janganlah alpa. Periksalah dan selesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat. Bukan sekali turun tapi berkali-kali.

"Seperti mana yang saya selalu tekankan kepada wakil-wakil rakyat Sabah ialah YB itu bukan semata-mata Yang Berhormat tapi Yang Berkhidmat untuk rakyat," kata beliau.

Meskipun tidak disebut oleh Musa, namun ramai termasuk penganalisis politik beranggapan bahawa sikap bersederhana, toleransi dan sanggup berkongsi kuasa bersama parti komponen BN selama ini, menjadi kunci utama kejayaan UMNO bertapak kukuh di Sabah. Meskipun begitu, UMNO tidak pernah sesekali mengorbankan kepentingan orang Melayu serta menafikan hak mana-mana kaum di negeri itu. UMNO dilihat boleh bertahan di Sabah adalah kerana parti itu bersifat sederhana tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu.

Komitmen UMNO inilah menyebabkan pembangkang 'naik gerun' dan mengalami kesukaran untuk melebarkan sayap ke negeri di bawah bayu itu berikutan sokongan padu yang diterima parti daripada rakyat.

Ditanya mengenai isu-isu yang dijangka dimainkan pembangkang pada PRU13, Musa berkata, antaranya mungkin soal royalti minyak di Sabah dan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Pernah pegawai negeri di Sabah didakwa kononnya terbabit dalam perebutan tanah adat di Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud. Dikatakan ada pihak tidak bertanggungjawab telah menuduh pihak kerajaan 'menggadai' 480 hektar tanah NCR kepada syarikat swasta bagi perancangan membina hotel bertaraf lima bintang. Yang jelas mereka (pembangkang) mahu menipu.

Begitupun, kata Musa, semua itu berjaya ditangani dengan baik. Ini terbukti menerusi pelbagai usaha pembasmian kemiskinan secara agresif dan skim bantuan kepada rakyat. Program yang dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek sosio ekonomi antaranya projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Agropolitan dan projek Mini Estet Sejahtera (Mesej). Ia bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat miskin dan memperbaiki taraf hidup mereka.

Musa menaruh keyakinan tinggi DAP serta sekutu-sekutunya dalam pembangkang tidak akan mendapat tempat di Sabah.

"Ini bukan kerana kita (UMNO dan BN) terlalu kuat atau kerana kita bongkak, tetapi kerana kita dapati pembangkang di Sabah tak mempunyai kekuatan," katanya.

Ditanya kemungkinan ada calon di luar bahagian akan diletakkan sebagai calon winnable candidate oleh Presiden parti, Musa sambil tersenyum berkata, sama ada keperluannya daripada bahagian berkenaan atau tidak, yang penting sekali dia hendaklah diterima oleh pengundi.

"Dalam konteks ini, saya memberi amaran kepada kepemimpinan UMNO Sabah baik di cawangan dan bahagian agar jangan sekali-kali tikam belakang . Kita mesti terus berikhtiar untuk pastikan kemenangan parti," kata Musa.

Full content generated by Get Full RSS.

LIMA rangsang industri tempatan

Posted:

LIMA rangsang industri tempatan

LIMA rangsang industri tempatan

Oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my


PESAWAT Sukhoi SU-30 semasa melakukan demonstrasi aerobatik dan persiapan juruterbang sempena LIMA 2011 di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang, baru-baru ini.


SEPANJANG lima hari, ruang udara Pulau Langkawi khususnya di sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bakal digegarkan dengan pesawat-pesawat canggih yang membuat pertunjukan.

Tidak kurang hebatnya di kawasan perairan sekitar Awana Porto Malai, iaitu lokasi bagi segmen air yang akan menempatkan serta memperlihatkan kecanggihan kapal dan bot moden termasuk kapal selam.

Itulah daya tarikan utama untuk orang ramai setiap kali berlangsungnya pameran dwi tahunan LIMA.

Di Malaysia, meskipun terdapat pameran pertahanan lain tetapi ia tidak sehebat apa yang ada LIMA.

Keseronokan dan keghairahan yang dinikmati di LIMA tidak sama seperti pameran-pameran lain.

Begitulah hebatnya LIMA.

Namun, LIMA bukan sekadar 'hiburan' atau santapan mata kepada pengunjungnya.

Penganalisis pertahanan, M. Ghazemy Mahmud berkata, LIMA sebenarnya berjaya merangsang selain menerap teknologi canggih ke dalam industri tempatan.

Katanya, meskipun bukan mudah serta memakan masa lama untuk menerap teknologi dari luar masuk ke dalam industri tempatan, kesannya sudah ada dan dapat dilihat sekarang.

Sebagai contoh, kini sudah ada universiti tempatan menawarkan kursus-kursus ijazah dalam bidang aeroangkasa dan maritim.

Begitu juga dengan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pertahanan serta pembuatan kapal, peralatan atau aset tentera.

"Ini semua hasil penganjuran LIMA sejak 20 tahun dulu.

"LIMA merangsang industri tempatan dan penerapan teknologi mula mendatangkan kesan," katanya yang juga Pengarang majalah pertahanan, Asian Defence Journal.

M. Ghazemy menambah, pengusaha tempatan sepatutnya mengambil peluang itu dengan menjalin kerjasama dengan syarikat- syarikat gergasi dari luar.

"Bukan bermakna mereka (syarikat tempatan) perlu bekerjasama dalam skala besar atau berkos tinggi.

"Syarikat-syarikat gergasi ini ada anak- anak syarikat di bawahnya yang boleh dijalin kerjasama. Jangan terus cari projek besar. Mulakan secara kecil dulu," ujarnya.

Bagaimanapun, peluang itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Itu yang membuatkan beliau sedikit terkilan kerana syarikat-syarikat tempatan masih terlalu bergantung kepada projek kerajaan.

Mereka tidak berusaha atau tiada keyakinan untuk melabur di luar menggunakan duit kocek sendiri.

"Sudah masuk kali ke-11 LIMA dianjurkan. Sepatutnya syarikat-syarikat tempatan sudah lebih matang.

"Jika orang luar boleh membawa masuk teknologi mereka ke mari, kenapa kita tidak boleh bawa teknologi kita ke luar?" tegasnya.

Seharusnya syarikat-syarikat pertahanan tempatan tidak sekadar menjadi jaguh kampung.

Gunakanlah sepenuhnya peluang yang ada di LIMA untuk membantu negara menjadi peneraju utama industri pertahanan.

Pameran LIMA 2011 berlangsung dari 6 hingga 10 Disember ini merupakan yang terbesar sejak pameran dwi tahunan itu diperkenalkan pada 1991.

Sebanyak 403 syarikat dari 35 buah negara menyertai pameran kali ini yang menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding edisi lalu.

Kehadiran pesawat dari luar negara pula meningkat lebih dua kali ganda berbanding penganjuran dua tahun lalu dari 11 kepada 26 buah manakala lawatan kapal perang tentera laut luar negara bertambah dari 10 kepada 12 buah kapal.

Antara pesawat tempur yang bakal dipamerkan adalah F-18 Super Hornet, Eurofighter Typhoon, Rafale dan Sukhoi SU-30 MKM.

Sepanjang LIMA 2011, pameran di MIEC dibuka kepada tetamu kerajaan dan pelawat perdagangan dari 6 hingga 8 Disember manakala bagi pengunjung awam, pameran akan dibuka pada 9 dan 10 Disember dengan caj masuk sebanyak RM10.

Sementara pameran statik, demonstrasi kapal dan bot di Awana Porto Malai dibuka kepada semua pelawat sepanjang LIMA 2011 berlangsung.

Kapal-kapal yang bakal dipamerkan termasuk kapal pemusnah USS Curtis Wilbur dari Amerika Syarikat serta ROKS Gang GamChan dari Korea dan kapal selam kedua negara, KD Tun Razak.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved