Jumaat, 23 Disember 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk masih tidak puas hati

Posted:

Penduduk masih tidak puas hati

Penduduk masih tidak puas hati

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
kota@utusan.com.my


PENDUDUK yang kelihatan marah meluahkan rasa tidak puas hati mereka dalam pertemuan dengan Abdul Khalid Ibrahim pada Program Perjumpaan Bersama Penduduk Kampung Sri Aman di Kuala Selangor semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI


KUALA SELANGOR 23 Dis. - Meskipun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap isu pemilikan tanah di Kampung Sri Aman di sini telah selesai, namun masih ada penduduk yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu.

Ini kerana, kerajaan negeri hanya bersetuju untuk memberi pemilikan tanah kepada 111 penduduk meskipun penduduk mendakwa jumlah sebenarnya adalah seramai 149 orang.

Abdul Khalid berkata, selepas bancian yang dibuat oleh Pejabat Tanah Kuala Selangor setahun lalu, pihaknya mendapati sebanyak 111 penduduk layak menerima tanah berkeluasan 4,000 kaki persegi di kampung tersebut.

Jelasnya, mereka yang terpilih untuk menerima pemilikan tanah tersebut hanya perlu membayar wang premium sebanyak RM1,000 walaupun harga pasaran tanah tersebut bernilai kira-kira RM20,000.

"Mereka bagaimanapun diberi pilihan sama ada untuk menerima pemilikan tersebut atau sebaliknya dan sekiranya enggan menerima tanah tersebut, mereka diberi pilihan untuk menjualnya dengan harga pasaran kepada kerajaan negeri.

"Untuk itu, mereka diberi masa selama dua minggu bermula hari ini untuk membuat keputusan tetapi kerajaan negeri menasihati mereka agar menerima pemilikan tanah tersebut," katanya kepada pemberita selepas Program Perjumpaan Bersama Penduduk Kampung Sri Aman di sini, hari ini.

Laporan akhbar sebelum ini menyebut penduduk Kampung Seri Aman membantah cadangan pembinaan projek perumahan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan penempatan mereka.

Penduduk sebaliknya mendesak Menteri Besar mengotakan janji pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu iaitu memberi geran tanah kepada mereka.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu berkata, mereka yang tidak terpilih menerima pemilikan tanah tersebut tetap diberi peluang untuk memilikinya dengan membuat bayaran sebanyak RM5 sekaki persegi.

Sementara itu, seorang penduduk, P. Loganathan, 56, kecewa kerana namanya tidak terpilih sebagai penerima pemilikan tanah tersebut walaupun dia telah lebih 50 tahun menetap di situ.

"Saya tidak faham mengapa saya tidak terpilih untuk memiliki tanah tersebut dan hari ini Menteri Besar beritahu, kami yang tidak terpilih ini perlu membayar RM5 sekaki persegi sekiranya mahu memiliki tanah tersebut dan ini tidak adil kerana kami tidak mampu untuk membayarnya.

"Contohnya, sekiranya tanah tersebut berukuran 4,000 kaki persegi, ini bermakna kami perlu membayar sebanyak RM20,000 untuk memilikinya, kami mana ada duit sebanyak itu," tegasnya.

Seorang lagi penduduk, R. Anthonysami, 53, berkata, Abdul Khalid ternyata gagal menyelesaikan masalah penduduk dengan baik walaupun menabur pelbagai janji ketika berkempen semasa pilihan raya umum lalu.

"Ketika berkempen pada pilihan raya lalu, mereka janji mahu beri geran pada kami, tapi hingga hari ini janji itu tidak dikotakan, saya sudah serik mengundi calon wakil rakyat seperti ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Festival Keluarga 'Twins of Faith' bermula hari ini

Posted:

Festival Keluarga 'Twins of Faith' bermula hari ini

Festival Keluarga 'Twins of Faith' bermula hari ini

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pengunjung Festival Keluarga 'Twins of Faith' yang berlangsung selama dua hari sehingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya berpeluang mendengar kisah hidup penceramah jemputan kembali kepada Islam.

Penceramah berkenaan, Raya Shokatfard berkata, kisah hidupnya yang leka diulit kemewahan sehingga terpesong akidah akan dipertontonkan melalui dokumentari bertajuk 'Journey Back to Islam'.

"Kisah saya bermula sejak penghijrahan dari negara asal iaitu Iran ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1969.

"Apabila berada di AS, saya leka dengan kemewahan yang dikecapi sehingga sedikit demi sedikit pegangan Islam terhakis sehingga tidak mengamalkan cara hidup seorang Muslim.

"Namun, apabila tersedar, saya mula mencari semula cahaya yang selama ini hilang. Saya mula mendalami agama-agama lain, namun saya dapati kebanyakan agama lain mempercayai kewujudan tuhan yang lebih dari satu, tidak seperti Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain Raya, Festival Keluarga Twins of Faith anjuran Mercy Mission Malaysia (MMM) turut menampilkan penceramah, Muslim Belal, pengacara televisyen Wardina Safiyyah dan angkasawan negara, Dr. Faiz Khaleed.

Raya berkata, beliau bersyukur kerana diberi hidayah untuk kembali kepada Islam dan sanggup berkongsi kisah hidup itu bagi menjadi pengajaran dan pedoman kepada umat Islam.

"Selain daripada kisah hidup, saya juga akan memberikan ceramah mengenai cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh seorang ibu yang bekerja," ujarnya.

Sementara itu, Belal yang merupakan bekas penyanyi rap akan berkongsi pengalaman sehingga mengambil keputusan memeluk Islam.

Beliau juga akan mengupas cabaran dan rintangan yang dilalui dalam mencari kebahagiaan yang tidak ditemui dalam hidupnya.

Kata beliau, hatinya mula terbuka untuk mendalami Islam setelah diberikan sedikit pendedahan oleh kenalannya.

"Biarpun kehidupan di London dilimpahi dengan kemewahan, muzik dan bebas, saya rasakan ada kekosongan di hati. Kebahagiaan seolah-olah kosong dalam diri saya.

"Justeru, selepas mendalami dan menganut agama Islam, kebahagiaan itu dapat saya temui. Jadi, sudah sampai masa untuk saya membantu mengembangkan syiar Islam," katanya.

Seorang lagi penceramah, Sheikh 'Alaa ElSayed berkata, festival itu bertujuan mendidik masyarakat mendekati Allah dan membantu ummah.

"Apa yang cuba saya sampaikan nanti adalah jalan keluar kepada isu-isu terkini mengenai masalah yang melibatkan ummah dan keluarga," ujarnya.

Dalam pada itu, MMM melalui Institut AlKauthar akan menganjurkan kursus dua hari, 'Home Sweet Home' yang akan dikelola oleh Sheikh 'Alaa ElSayed pada 31 Disember dan 1 Januari ini dan Projek Mercy Mission Madinah Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman sesawang www.mercymissionworld.org.

Full content generated by Get Full RSS.

MPK berjaya selesai 1,000 aduan sampah

Posted:

MPK berjaya selesai 1,000 aduan sampah

MPK berjaya selesai 1,000 aduan sampah

KLANG 23 Dis. - Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya menyelesaikan sebanyak 1,000 aduan mengenai sampah semenjak pengambilalihan daripada syarikat pengurusan sisa pepejal Alam Flora Sdn. Bhd. beberapa bulan lalu.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA) MPK, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya juga berjaya menyelesaikan masalah sampah di lapan 'kawasan hitam' ekoran gerak kerja agresif yang dilakukan majlis sejak pengambilalihan beberapa bulan lalu.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan dilakukan mengikut rutin di mana sebanyak 27 unit pemantauan di Klang Utara dan Klang Selatan sentiasa bergerak di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini kami telah senaraikan lapan kawasan hitam antara Jalan Tengku Kelana (pusat bandar), Jalan Damai, Batu Belah, Simpang Empat, Sungai Udang, Ambang Botanik, Jalan Gudang Nenas dan Jalan Sungai Nibong serta di Zon Pelabuhan Klang dan beberapa kawasan lain.

"Bagaimanapun masalah di kawasan tersebut telah berjaya diselesaikan hasil gerak kerja agresif yang dilaksanakan," katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Norfiza menjelaskan, peningkatan tahap kebersihan itu juga mengambil kira beberapa faktor antaranya kerjasama penduduk dan pemimpin setempat yang segera melaporkan isu sampah di kawasan masing-masing.

Menurutnya, selain itu, pengutipan sampah juga dilakukan mengikut waktu ditetapkan dan pihaknya juga bertindak melalui aduan yang diterima daripada penduduk setempat.

"Isu kebersihan kini tidak lagi menjadi masalah kritikal melalui pemantauan dan kerja pembersihan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah Klang," ujarnya.

Tambah Norfiza, MPK menyediakan dua talian aduan iaitu Talian Aduan Sampah di Klang Utara 016-272 0406 (Kamachy) manakala di Klang Selatan 016-250 6796 (Razif).

"Bagi Talian Aduan Pembersihan, penduduk diminta menghubungi 019-224 5387 (Klang Utara) dan 016-382 4471 (Klang Selatan) serta pejabat 03-3372 6781," katanya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved