Jumaat, 23 Disember 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Impian ibu,anak tak selari

Posted:

Impian ibu,anak tak selari

Impian ibu,anak tak selari

SAYA Puan Saadiah seorang ibu yang mempunyai seorang anak gadis berusia 17 tahun dan baru sahaja menduduki SPM.

Tujuan saya menulis kepada Puan Aniz adalah untuk mendapatkan tips, bimbingan dan panduan dalam memilih bidang pengajian juga kerjaya bagi anak saya.

Saya ada terbaca di laman web Puan betapa pentingnya pemilihan kerjaya ini kerana ia saling berkait nanti dengan kesejahteraan hidup di kemudian hari.

Sememangnya tidak dinafikan kerjaya yang dipelopori berlandaskan minat, kemampuan dan personaliti diri individu mampu meningkatkan produktiviti dan tidak mustahil individu mampu mencapai kecemerlangan di bidangnya, begitulah juga harapan saya untuk anak saya yang dikasihi.

Sebagai ibu sememangnya saya menginginkan yang terbaik buatnya namun apabila dilihat kembali terkadang dalam keterbatasan ilmu berkemungkinan apa yang saya lihat dan inginkan bukanlah sesuatu yang menjadi impian anak itu tadi.

Dan besar harapan saya dalam e-mel yang ringkas ini Puan dapat memberi sedikit panduan bagi saya sebagai seorang ibu membantu anak gadis memilih pengajian dan insya-Allah kerjaya yang tepat buatnya.

Puan Saadiah

Ipoh

TERIMA kasih atas kiriman e-mel Puan Saadiah yang begitu prihatin akan masa depan dan kebajikan anak gadisnya. Sememangnya apa Puan sebut ada kebenarannya. Pemilihan bidang pengajian dan kerjaya bersesuaian amat penting.

Bayangkan sahaja seorang individu ini dipaksa bekerja dalam bidang yang tidak diminati . Walaupun memiliki potensi tetapi lambat laun jika tidak ditangani akan menerbitkan kebosanan, tiada hati dan semangat bekerja.

Tidak mustahil pekerjaan yang dihasilkan sekadarnya sahaja berbanding individu yang memiliki passion, minat dan kemahuan yang mendalam. Di sinilah insya-Allah akan membantu secara tidak langsung dari sudut perkembangan kerjaya, pembangunan diri malah kemajuan serta produktiviti syarikat. Bukankah sangat bagus jika maklumat dan ilmu sebegini diketahui oleh para ibu bapa; dapat membantu anak-anak membuat pemilihan pengajian seterusnya kerjaya yang lebih tepat; majikan pula dapat memaksimumkan potensi pekerja.

Rahsia atau panduannya sangat mudah Puan Saadiah. Antara faktor yang boleh dilihat sendiri adalah minat atau kecenderungan anak Puan, potensi iaitu dari segi kemampuan diri beliau dan akhir sekali personalitinya. Insya-Allah apabila anak Puan berminat secara mendalam dengan sendirinya beliau akan berusaha menjadi yang terbaik dan tidak mudah putus asa.

Diiringi doa, sokongan dan bimbingan Puan, saya percaya dia mampu melangkah lebih jauh.

Keduanya, potensi diri atau kemampuannya contoh mudah daripada kelebihan IQ atau kecerdasan mindanya. Ini kerana tidak semua anak itu dilahirkan dengan tahap kepintaran sama. Maka berpandukan kemampuan minda ada kursus bersesuaian boleh kita usulkan untuknya.

Akhir sekali, personaliti diri anak itu tadi, sama ada beliau seorang peramah, prihatin, pendiam, optimis, tekun, teliti, mendengar kata dan sebagainya.

Tidak adil anak berpersonaliti pendiam, pemalu diusulkan kursus yang menuntut beliau berada di hadapan.

Ada analisis yang boleh mengesani tahap keserasian ketiga-tiga aspek ini iaitu SDS atau Self Directed Search sebuah Inventori Analisis untuk mengenal pasti tahap kesesuaian kerjaya bertepatan dengan minat, potensi dan personaliti diri individu.

Semoga sedikit sebanyak panduan dan tips yang dikongsikan dapat memberi gambaran dan maklumat untuk pihak Puan membantu anak gadis Puan memilih kerjaya masa depan yang lebih sukses, harmoni dan adil untuk dirinya.

Aniz Hj. Anwar

Full content generated by Get Full RSS.

Norlina, Roslan berbakti untuk anak-anak HIV

Posted:

Norlina, Roslan berbakti untuk anak-anak HIV

Norlina, Roslan berbakti untuk anak-anak HIV

Oleh MERAN ABU BAKAR


ROSLAN Zakaria dan Norlina Alawi.


KATA orang, rumah tangga akan lebih bahagia apabila dikurniakan dengan cahaya mata. Namun berapa ramaikah? Seorang, dua orang atau tiga orang?

Bagaimana pula jika anda dikurniakan dengan tujuh orang anak kandung dan 33 orang anak angkat? Masih bahagiakah?

Namun, itulah sebenarnya kebahagiaan berumah tangga bagi pasangan Norlina Alawi dan Leftenan Kolonel Roslan Zakaria.

Norlina telah memulakan kebajikan membela nasib kanak-kanak pesakit HIV/AIDS sejak tahun 2001.

Pada peringkat awalnya, beliau telah memberi perlindungan kepada seorang wanita berumur 23 tahun yang hamil tujuh bulan yang disahkan menghidap HIV positif. Wanita tersebut kemudian telah melahirkan anak lelaki.

Di atas naluri keibuan, Norlina tekad mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan seterusnya menjadikan anak susuan beliau.

Kasih sayang dan sifat keibuan yang mendalam terhadap anak-anak pesakit HIV/AIDS yang terbiar, beliau telah menubuhkan Pusat Perlindungan Pernim Berhad.

Norlina dan suami yang ditemui di kediaman mereka, Mahligai Qaseh di Kampung Cheras Baru ternyata cukup bahagia dan gembira dengan kehadiran anak-anak yang diamanahkan kepada mereka.

Norlina, 40, yang merupakan pengasas dan Yang Dipertua Pernim (Persatuan Kebajikan Anak kepada Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia) menamakan keluarga mereka sebagai Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad.

Berasal dari Kluang, Johor, Norlina berkata, pada peringkat awal, suaminya nampak kekok dengan keadaan rumah mereka apabila didiami ramai kanak-kanak yang diambil sebagai anak angkat dan tiga orang cucu mengikut undang-undang yang sah.

''Mula-mula dahulu dia (suami) marah-marah juga bila rumah berselerak dan bising bila balik kerja. Tetapi lama-lama dia dah faham dan sekarang dia pula yang akan berkejar-kejar dan bergurau senda dengan anak-anak di sini yang kami anggap sebagai anak sendiri.

''Bukan itu saja, malah dia pula yang akan bersama-sama menolong mengemas rumah, membasuh pinggan dan sebagainya,'' ujar Norlina yang telah 22 tahun mendirikan rumahtangga bersama Roslan, 46.

Perkahwinan Norlina dan Roslan dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Noor Emylia Erna, 20; Nur Aini, 18; Nur Syaheera, 16; Noor Nadia Nabila, 14; Muhammad Ridhwan, 12; Nur Elisa Sofea, sembilan tahun dan Muhammad Fitri, lima tahun.

Menurut Norlina, perkenalan dengan suaminya tidak lama, iaitu hanya seminggu sebelum mereka mengambil keputusan mendirikan rumahtangga. Mereka bertunang selama tiga bulan sebelum dinikahkan.

Dalam keluarga, kesemua adik beradiknya seramai sembilan orang diasuh dengan ketat oleh ibu bapa yang amat menitik beratkan pelajaran agama.

Norlina tidak boleh bebas keluar rumah. Hidup diatur oleh keluarga dan tidak boleh keluar malam. Justeru apabila ada lelaki yang ingin berkawan dengannya, mereka perlu bertunang terlebih dahulu.

Walaupun tidak berkawan lama dengan suaminya sebelum berkahwin, Norlina berkata, rumahtangga mereka aman bahagia hingga ke hari ini dan insya-Allah hingga ke akhir hayat.

''Suami saya seorang yang amat memahami dan bertimbang rasa. Walaupun dia suka bertelagah dan mengkritik, namun akhirnya dia akan mengalah.

''Dahulu semasa mula-mula kenal, dia seorang yang berbeza. Pendiam dan tidak banyak cakap. Sekarang dia 'sporting' dan banyak bercakap,'' ujar Norlina lagi.

Sementara itu, menurut Roslan pula, beliau tertarik kepada Norlina pada pandangan pertama. Oleh itu, beliau tidak menunggu lama dan menganggap itulah jodohnya.

Menurutnya, supaya sesebuah rumahtangga itu aman, suami haruslah melaksanakan tanggungjawabnya pada rumahtangga seperti menyediakan segala keperluan, berbuat baik kepada isteri dan anak-anak, bertolak ansur dan memahami.

''Elakkan sifat mengongkong kerana kita harus mempunyai sifat percaya kepada isteri dan begitu juga sebaliknya.

''Jika berlaku pergaduhan atau debat, salah seorang harus mengalah. Biasanya sayalah yang mengalah.

''Sekarang fokus saya adalah pada anak-anak tidak kira anak kandung atau anak angkat supaya mereka berjaya di dalam pelajaran, menjadi manusia sempurna untuk agama, bangsa dan negara,'' katanya yang mahukan anak-anak menjadikan beliau dan isteri sebagai idola untuk rumahtangga bahagia.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved