Jumaat, 23 Disember 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Cacat bukan penghalang raih 9A

Posted:

Cacat bukan penghalang raih 9A

Cacat bukan penghalang raih 9A

Oleh SAFINA RAMLI
pengarang@utusan.com.my


Muhammad Hadi Darus (berkerusi roda) dijulang oleh kawan-kawannya selepas menerima keputusan cemerlang PMR di Pendang, semalam. – BERNAMA


PENDANG 22 Dis. - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang di sini membuktikan kecacatan bukanlah penghalang untuk mencapai keputusan cemerlang apabila meraih sembilan A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini.

Muhammad Hadi Darus, 15, yang menulis dengan menggunakan kaki kerana mengalami kecacatan pada kedua-dua belah tangan sejak kecil berjaya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.

Dia yang merupakan anak kedua daripada lima beradik berkata, ejekan yang diterima pada waktu kecil menjadikan dia lebih bersemangat untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.

"Masa kecil dulu ada yang ejek saya sebab cacat tetapi ejekan mereka menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya.

"Sekarang tiada lagi yang ejek saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu saya sehingga berjaya dalam peperiksaan ini," katanya ketika ditemui di SMK Sungai Tiang di sini hari ini.

Muhammad Hadi yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah berkata, dia hanya mengikuti tuisyen di sekolah setiap hari dan mengulang kaji pelajaran setiap malam.

"Saya pun tidak sangka akan dapat sembilan A kerana saya tidak yakin sewaktu menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.

"Saya berharap akan dapat memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di Alor Setar bagi mendalami Bahasa Arab yang merupakan mata pelajaran kegemaran saya,"katanya.

Dalam pada itu, turut berkongsi kegembiraan dengan Muhammad Hadi di SMK Sungai Tiang ialah pasangan kembar, Nur Asyiqin Azmi dan Nur Aisyah Azmi, 15, yang berjaya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup.

Mereka yang belajar di kelas yang sama sejak darjah satu juga berkongsi cita-cita untuk menjadi doktor suatu hari nanti.

Nur Asyiqin berkata, amalan membaca surah Yassin dan al-Quran setiap hari membantu mereka untuk mendapatkan fikiran dan hati yang tenang sewaktu menghadapi peperiksaan.

"Kami bercadang mahu melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kami tidak kisah jika tidak mendapat MRSM yang sama kerana kami rasa sudah sampai masanya kami berdua berpisah jika perlu demi mengejar cita-cita kami," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kembar seiras gembira peroleh 8A

Posted:

Kembar seiras gembira peroleh 8A

Kembar seiras gembira peroleh 8A


Arni Mohamad Ismail (tengah) ibu yang paling gembira apabila dua anak kembarnya, Fareed Danial Ahmad Kahar (kiri) dan Fareed Danish Ahmad Kahar mendapat 8A dalam PMR di SMK Anderson, Ipoh, Perak semalam.


IPOH 22 Dis. - Pasangan kembar, Fareed Danial Ahmad Kahar dan adiknya, Fareed Danish, 15, bukan sahaja seiras, tetapi turut berkongsi kegembiraan apabila masing-masing memperoleh 8A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Lebih menarik, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu turut mendapat keputusan sama iaitu 4A 1B sewaktu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum ini.

Fareed Danial berkata, dia dan adiknya mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran serta mengakui mereka mempunyai naluri yang kuat antara satu sama lain.

Menurutnya, dia tetap bersyukur dengan keputusan tersebut walaupun akan berpindah ke Subang Jaya, Selangor kerana mengikut ibu mereka, Arni Mohamad Ismail, 42, yang bertukar tempat kerja ke sana.

Katanya, mereka bangun seawal pukul empat pagi sewaktu bulan Ramadan lalu untuk mengulang kaji pelajaran sambil ditemani datuk, Ismail Saidi, 70, dan nenek mereka, Umi Salmah Mohd. Sah, 69, yang menjaga pasangan kembar itu sejak kecil.

''Rahsia kami hanya belajar bersungguh-sungguh dan percaya kepada Tuhan selain sentiasa berdoa memohon kejayaan daripada-Nya.

''Namun, sewaktu dalam peperiksaan, kadang-kadang apabila saya ragu untuk menjawab soalan, saya akan tunggu jawapan yang saya rasa betul yang dipilih oleh adik saya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fareed Danish pula tidak menyangka akan memperoleh keputusan yang sama dengan abangnya kerana pencapaian mereka agak berbeza ketika peperiksaan percubaan.

''Sebelum ini, dalam peperiksaan percubaan PMR lalu, saya mendapat 6A 2B sementara abang pula 4A 4B, sebab itu kami tidak sangka boleh sama-sama memperoleh 8A," katanya yang berminat bermain gitar dan futsal.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang jurutera elektrik berkata, mereka merancang untuk meneruskan pelajaran dalam aliran sains selepas ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Raih keputusan cemerlang walaupun terpaksa belajar berbaring

Posted:

Raih keputusan cemerlang walaupun terpaksa belajar berbaring

Raih keputusan cemerlang walaupun terpaksa belajar berbaring

MELAKA 22 Dis. - Keputusan 5A, 3B dan 1C dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini menjadi hadiah tidak ternilai kepada seorang ibu yang anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Hanya air mata kegembiraan terpancar di wajah Haslina Hassan, 41, sebaik sahaja berkongsi keputusan PMR bersama anaknya, Hazman Shahir Samsul Kamar, 15, yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) Jenis Kedua.

Hazman dilahirkan normal dikesan menghidap penyakit genetik yang boleh menjurus kepada kelemahan dan kerosakan otot secara berperingkat itu sejak berusia lapan bulan sekali gus menyebabkan dia tidak dapat berjalan dan hanya mampu terbaring.

Berkongsi kejayaannya itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Dol Said, Alor Gajah itu, berkata, kejayaannya tersebut menjadi bukti kecacatan fizikal bukanlah halangan untuk mengecapi apa jua kemungkinan.

"Untuk berjaya, seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya dan mempunyai iltizam yang tinggi. Terima kasih tidak terhingga terutamanya kepada ibu, guru-guru dan kawan-kawan yang banyak membantu saya di kelas.

"Kepada kawan-kawan yang normal fizikal mereka, bersyukurlah dengan apa yang mereka ada dan gunakanlah anugerah kurniaan Allah itu sebaik-baiknya," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar keputusan PMR 2011 yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohamad Yusoff Osman di Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada sidang itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo menyampaikan Anugerah Khas kepada Hazman

Hazman mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Geografi, Pendidikan Islam, Matematik, Kemahiran Hidup Bersepadu - Kemahiran Teknikal dan B bagi Bahasa Melayu, Sejarah, Sains serta C bagi Bahasa Arab.

Bercerita lanjut, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, walaupun terpaksa terbaring sepanjang masa, dia memastikan akan mengulang kaji pelajaran lebih daripada tiga jam setiap hari.

"Di sekolah pula, saya belajar dalam keadaan terbaring di atas kerusi roda khas. Jika tak sempat salin nota di papan hitam, saya akan pinjam nota daripada rakan-rakan," katanya yang bercita-cita menjadi pereka grafik terkenal.

Sementara itu, Haslina yang tidak bekerja kerana perlu memberi perhatian sepenuh masa menjaga anaknya itu berkata, Hazman seorang yang sangat cekal apabila berusaha mencari ilmu seperti rakan-rakan lain tanpa mengira kekurangan yang dialami.

"Selagi mampu, saya akan memastikan Hazman terus mendapat kejayaan dalam bidang pendidikan supaya hidupnya menjadi lebih bermakna," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved