Ahad, 2 Oktober 2011

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Warna-warni Pesta Nukenan Bario

Posted:

Warna-warni Pesta Nukenan Bario

Warna-warni Pesta Nukenan Bario

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my


MAKANAN tradisional masyarakat Kelabit berasaskan tumbuhan dan haiwan hutan.


BERPELUANG menjejakkan kaki ke perkampungan Bario yang terletak di daerah Utara Timur Sarawak merupakan pengalaman yang sangat unik.

Manakan tidak, kawasannya yang dikelilingi pergunungan dan berbukit-bukau dengan catatan suhu serendah 12 darjah Celsius memberi persekitaran cukup dingin dan nyaman.

Sambil menikmati kemanisan nanas Bario, pengunjung pasti akan terpesona melayan keindahan alam semulajadinya.

Bario mempunyai sebanyak 14 buah kampung dengan jumlah penduduk lebih kurang 2,000 orang yang majoritinya terdiri daripada suku etnik Kelabit.

Kunjungan rombongan media ke sana menerusi program Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bertujuan membuat liputan beberapa projek komuniti di bawah kendalian organisasi itu.

Ia juga adalah bersempena sambutan festival makanan dan kebudayaan masyarakat Kelabit Bario dikenali sebagai Pesta Nukenen 2011.

Nukenen membawa maksud makanan dalam bahasa Kelabit dan pesta berkenaan merupakan perayaan tahunan yang mula dianjurkan sejak tahun 2005.

Bermula 21 hingga 23 Julai lalu, pesta yang cukup meriah dengan pelbagai jenis makanan eksotik itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga anak jati Bario, Datuk Seri Idris Jala.

Menurut beliau, penganjuran acara yang masuk tahun ke enam itu menyasarkan matlamat mempromosi makanan masyarakat Kelabit kepada orang luar.

''Menerusi festival ini, kita mahu pengunjung serta pelancong mengenali dan menghargai makanan tradisional di sini.

''Kesemua makanan yang dipamer ini disediakan daripada hasil hutan seperti tumbuh-tumbuhan dan juga haiwan.

''Sememangnya masyarakat Kelabit di Bario ini berpegang kepada adat menghargai tetamu melalui makanan.

''Mereka biasanya akan menyambut tetamu dengan hidangan makanan kerana ia dianggap sebagai perkongsian kehidupan dan juga kasih sayang,'' katanya ketika ditemui selepas merasmikan pesta berkenaan di Bario baru-baru ini.

Melihat kepada produk makanan yang dijual di lebih 20 gerai di tapak pesta itu, ia sememangnya unik dan jarang ditemui.

Kebanyakannya dihasilkan daripada pelbagai spesies sayur-sayuran dan buah-buahan hutan selain disajikan di dalam daun dan juga buluh.

Tidak cukup dengan itu, haiwan seperti ikan, daging rusa, kijang dan musang turut disediakan dalam aneka resipi.

Menurut salah seorang penduduk kampung, Debora Alau Ayu, 31, festival itu dilihat mampu membantu masyarakat setempat meningkatkan pendapatan di samping memperkenalkan makanan tradisi orang Kelabit.

''Gerai saya menjual ikan pekasam dan aneka sayur-sayuran seperti daun ubi, asparagus, umbut nenas dan umbut rebung.

''Ia disediakan secara gorengan dan direbus bersama garam. Rasanya sangat sedap dan pasti membuka selera,'' jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Rebita Lupong, 44, memberitahu, gerainya menjual nasi pulut, sayur kulat batang, bubur daun timun, bubur ikan dan tomato goreng.

''Di samping itu, saya turut menyediakan hidangan Laba Bada atau daging musang rebus yang biasanya di makan bersama nasi.

''Untuk pencuci mulut, para pengunjung disediakan giru dan gurau senaan yang diperbuat daripada ubi,'' katanya.

Bagi Diana Falong, 47, pula, dia telah tiga kali menyertai Pesta Nukenan dan sangat teruja untuk mempamerkan masakannya kepada para pelancong.

''Saya menyediakan masakan nasi bersama lauk siput tekuyong dan sayur-sayuran seperti tengayen, lanau dan juga busah kludoh atau bunga kantan.

''Ikan gesar iaitu daging ikan yang dilecek juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan mendapat permintaan tinggi,'' katanya.

Sesuatu yang unik mengenai Pesta Nukenan, para pengunjung boleh mencuba sendiri masakan-masakan yang dihidangkan sebelum membelinya dengan harga yang sangat murah.

Selain pengunjung tempatan, pesta tersebut turut dihadiri para pelancong dari luar negara seperti England, Denmark dan Australia.

Bukan sekadar makanan, pesta berkenaan turut menjual pelbagai produk keluaran Bario seperti beras Bario, garam Bario dan produk kraftangan.

Produk kraf yang dijual pula adalah merangkumi topi, gelang tangan, gelang kaki, rantai leher, bakul anyaman dan juga sumpit.

Semua kelebihan yang terdapat di sana menyempurnakan lagi Bario sebagai destinasi pelancongan dan istirehat unik.

Apa yang diharapkan, menerusi penganjuran program festival seperti itu, ia dapat memberitahu dunia bahawa Bario bukan sekadar kawasan tanah tinggi biasa sekali gus menarik lebih ramai pelawat berkunjung ke sana.

Tanam timun cara mudah

Posted:

Tanam timun cara mudah

Tanam timun cara mudah

TIMUN (Cucumis sativus) merupakan sayuran yang sangat popular di Malaysia. Ia termasuk dari sayuran jenis buah dan dipercayai berasal dari timur India. Buah timun yang masih muda dimakan mentah, ia juga dimasak atau dibuat acar atau jeruk.

Timun mengandungi mineral besi, fosforus, kalsium, magnesium, vitamin A,B1,B2,niasin,vitamin C .

Pokok timun adalah herba semusim yang tumbuh menjalar dan memanjat serta mempunyai sulur paut yang kuat dan tidak bercabang.

Ia adalah jenis monoecious yang berbunga dua jantina.

Terdapat pelbagai jenis timun tetapi yang biasa ditanam ialah jenis tempatan iaitu berwarna hijau, jenis putih besar dan timun gherkin.

Dari segi khasiat ubatan, timun dimakan sebagai ubat melawaskan buang air kecil, menyejukkan badan, merawat batu karang dalam hempedu dan sakit kerongkong, membaiki tekanan dan perjalanan darah.

Ia boleh mengubati masalah kulit seperti terbakar atau melecur dan untuk melicinkan kulit dan awet muda.

Persediaan tanah

Timun akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir dan mempunyai saliran yang baik.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara satu dan 1.2 meter, tinggi batas 23 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas di tambak dengan bahan ystem tahi ayam atau kompos antara satu dan tiga kg/meter persegi, bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.

Penanaman

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 sm antara barisan.

Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang.

Jika ditanam terus, gali lubang sedalam 2.5 sm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus.

Selepas seminggu anak benih yang bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat ,tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah dikeliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah

Sungkupan

Amalan meletak sungkupan pada batas penanaman amat digalakkan. Ia dapat mengurangkan pertumbuhan rumpai, mengekalkan kelembapan batas, mengurangkan hakisan.

Terdapat banyak bahan yang boleh dijadikan sungkupan antaranya rumput kering, jerami padi kering atau sistem agrosheet.

Penyediaan junjung

Timun memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian.

Sistem ystem boleh digunakan iaitu dengan memacakkan kayu berukuran 5 sm x 5 sm x 6.5 meter panjang setiap jarak tiga meter, kemudian regangkan dawai kasar antara puncak kayu beluti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas, gunakan paku untuk memasang dawai. Tali sistem diguna bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu

Pengairan

Pokok timun memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup untuk pertumbuhan yang lebih subur, Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sistem memungut hasil.

Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.

Pengawalan rumpai

Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang.

Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah disesuatu kawasan.

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu

Pemangkasan

Pemangkasan tidak perlu dilakukan kecuali bila terdapat terlalu banyak daun atau dikenali sebagai mabuk daun.

Kawalan perosak dan penyakit

Serangga perosak yang biasa menyerang timun ialah afid . kumbang daun dan lalat buah, serangan biasanya pada daun, bunga dan buah muda. Jika serangan teruk menyebabkan daun rosak dan 'berkerekot' dan buah berubah bentuk, menjadi terbantut dan busuk.

Daun dan buah yang diserang perlu dimusnahkan, kebersihan kawasan dijaga dan sembur racun perosak yang sesuai jika perlu.

Penyakit yang biasa menyerang ialah kulapok berdebu, ia menyebabkan tompok misilia putih dan berdebu pada permukaan daun, daun bertukar kekuningan,perang ,kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil saiznya

Serangan kulapok downy ialah pada daun,terdapat bintik berbentuk bersiku siku ,berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Pungutan hasil

Pokok timun akan mula berbunga selepas tiga atau empat minggu ditanam.

Hasil dituai selepas 10 hari selepas pendebungaan berlaku atau lima dan enam minggu selepas ditanam. Timun dikutip sebelum ia cukup tua apabila mencapai panjang antara antara 15 dan 20 sm.

Buah muda mempunyai kulit kasar, warna hijau tua dan berkilat. Peringkat kematangan yang sesuai untuk pasaran ialah

nWarna buah hijau gelap kepada hijau cerah dan berkilat

nTiada duri pada buah

nBenang sari dihujung buah telah tanggal

nBentuk timun lurus dan sekata,warna ¾ bahagian keseluruhan permukaan berwarna hijau sederhana gelap, tekstur buah rapuh dan bebas dari penyakit, rosak dan kekotoran.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved