Selasa, 13 September 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Masjid Melayu Lebuh Acheh

Posted:

Masjid Melayu Lebuh Acheh

Masjid Melayu Lebuh Acheh

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


Masjid Melayu Lebuh Acheh masjid tertua di Pulau Pinang yang terletak di Georgetown.


PULAU PINANG 12 Sept. – Jika menjelajah ke seluruh Tapak Warisan Dunia di sini, mata pengunjung pastinya tidak akan terlepas daripada melihat sebuah masjid yang begitu unik seni binanya.

Itulah Masjid Melayu Lebuh Acheh, iaitu masjid tertua di negeri ini dibina pada 1808.

Ia dilengkapi menara bersegi lapan, kolah wuduk, tandas, perigi, anjung dan kawasan makam yang mencerminkan gabungan pengaruh seni bina Moorish (seni bina yang berasal dari utara India) dan China.

Masjid Lebuh Aceh merupakan antara tempat menarik yang selalu dikunjungi oleh pelancong asing dan tempatan.

Selain itu, ramai masyarakat Acheh dari Indonesia melawat ke situ kerana berasa terikat dari segi emosi berikutan ia dibina oleh nenek moyang mereka.

Berdasarkan fakta sejarah, pembinaan Masjid Melayu Lebuh Acheh bermula pada 1792 apabila Tengku Syed Hussain Al-Aidid, seorang kerabat diraja Acheh dari Sumatera membuka sebuah perkampungan masyarakat Islam di Lebuh Acheh di sini.

Hasil kekayaan yang dimiliki, Syed Hussain dengan kerjasama kaum keluarga dan pengikutnya mendirikan sebuah masjid, menara, kediaman, deretan rumah kedai, madrasah al-Quran dan pejabat perdagangan di perkampungan berkenaan.

Hasil usahanya itu secara tidak langsung telah mewujudkan sebuah pusat pengajian agama Islam dan pusat perdagangan antarabangsa yang bukan sahaja terkenal pada ketika itu tetapi juga yang terulung dan terawal di Pulau Pinang.

Selepas meninggal dunia pada pertengahan abad ke-19, jenazahnya disemadikan di sebuah makam di sebelah masjid tersebut termasuk kubur-kubur kaum kerabatnya.

Meskipun Syed Hussain sudah tiada, perkampungan tersebut terus berkembang maju dan mencapai tahap kegemilangannya sehingga akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Sehinggakan perkampungan itu dikenali sebagai 'Jeddah Kedua' di rantau ini.

Ia kerana kawasan itulah lokasi pengumpulan ratusan bakal-bakal haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand sebelum berlepas ke tanah suci Mekah.

Setiap kali musim haji tiba, pekarangan dan persekitaran Masjid Melayu Lebuh Acheh menjadi sibuk bukan sahaja dipenuhi bakal-bakal haji yang menunggu dokumen perjalanan diproses tetapi juga dibanjiri oleh saudara-mara dan sahabat handai yang menghantar mereka.

Ketika itu, hampir kesemua rumah di kawasan masjid mendapat permintaan tinggi untuk disewakan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, segala urusan haji terhenti semasa Perang Dunia Kedua dan disambung semula pada 1949.

Dengan tertubuhnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia pada awal 1970-an, perkhidmatan pengurusan haji di perkampungan itu telah dihentikan.

Selain menjadi pusat perniagaan Melayu dan pusat haji, kawasan perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh juga menjadi pusat pengajian agama Islam yang terulung di Pulau Pinang.

200 rumah dilanda banjir kilat

Posted:

200 rumah dilanda banjir kilat

200 rumah dilanda banjir kilat

Oleh SAHBULAH DARWI
utusankedah@utusan.com.my


Beginilah keadaan banjir kilat yang melanda Taman Desa Barat di Alor Setar, kelmarin.


ALOR SETAR 12 Sept. – Kira-kira 200 buah rumah di tiga taman perumahan di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah di sini yang didiami lebih 500 penduduk, ditenggelami air setinggi setengah meter setelah dilanda banjir kilat semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 hingga 7 pagi itu, rumah penduduk di Taman Desa Barat, Taman Sri Mewah dan Taman Sri Pajar dinaiki air selepas hujan lebat selama hampir 10 jam sejak pukul 7 malam.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Setia Bersatu, Mahjuddin Jusoh, 60, yang mewakili taman perumahan terlibat berkata, banjir tersebut disebabkan masalah longkang tersumbat hingga aliran air melimpah ke kawasan rumah dalam tempoh singkat.

"Banjir ini juga disebabkan pembinaan sebuah taman perumahan baharu bersebelahan yang dahulunya adalah kawasan tadahan air hujan.

"Apabila ia dibina lebih tinggi daripada tapak perumahan lama, aliran air mengalir ke arah rumah di Taman Desa Barat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mahjuddin berkata, tiga taman tersebut adalah sebahagian daripada tujuh taman perumahan yang bernaung di bawah KRT Setia Bersatu yang sering menghadapi masalah banjir kilat sejak 2009.

"Dalam kejadian semalam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun kehidupan penduduk terjejas selain mengalami kerosakan harta benda," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat laporan kejadian banjir pada 18 Ogos 2009 dan memohon pihak berkuasa memasang longkang konkrit berbentuk U bagi mengatasi masalah perparitan dan air bertakung.

Tambah beliau, ia dimaklumkan kepada Majlis Perbandaran Alor Setar (MPAS) dan pejabat Pegawai Kemajuan Negeri Kedah namun sehingga hari ini masih tiada tindakan diambil.

"Kami berharap pembinaan longkang konkrit itu dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang," katanya.

Festival Kuih Bulan dalam kalendar Perak

Posted:

Festival Kuih Bulan dalam kalendar Perak

Festival Kuih Bulan dalam kalendar Perak

IPOH 12 Sept. - Festival Kuih Bulan akan disenaraikan dalam kalendar Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 sebagai satu acara tarikan pelancong ke bandar raya Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pendekatan itu diambil kerana pesta tersebut unik di kalangan masyarakat Cina itu serta mampu menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, prapelancaran TMP 2012 akan diadakan di sini pada 24 September ini.

"Kerajaan negeri akan melihat keperluan untuk menambahkan bajet bagi sektor pelancongan dalam usaha menjayakan program yang dirancang sempena TMP itu.

"Kerajaan negeri yakin acara pesta kuih bulan dan tanglung seperti yang diadakan malam ini menarik kerana ia menjadi lambang perayaan kepada kaum Cina di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Pesta Kuih Bulan dan Tanglung 2011 peringkat negeri Perak di tapak Bazar Bulat Ipoh, di sini malam tadi.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zambry berkata, kerajaan negeri akan menjadikan pesta itu sebagai acara tahunan untuk disambut dengan meriah.

Menurut beliau, pesta kuih bulan dan tanglung amat penting bagi masyarakat Cina kerana ia melambangkan sesuatu yang cukup bermakna dalam kehidupan mereka.

"Bulan itu juga melambangkan perpaduan dalam keluarga dan pembentukan masyarakat," ujar beliau.

Zambry berkata, Perak sebuah negeri yang bertuah kerana mempunyai rakyat yang berbilang bangsa dan memiliki budaya masing-masing.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved