Selasa, 13 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kenapa persoalkan tauliah ceramah?

Posted:

Kenapa persoalkan tauliah ceramah?

Kenapa persoalkan tauliah ceramah?

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

APABILA bercakap tentang tauliah ia dilihat seakan-akan menjurus kepada suatu persepsi yang negatif ketika ini. Apa tidaknya, syarat-syarat seseorang yang mahu memberikan ceramah agama, beliau mestilah seorang yang diberi tauliah ataupun diiktiraf pengetahuan keagamaannya, dikatakan dibuat semata-mata untuk mengekang politik Pas.

Lebih buruk lagi, tindakan pihak berkuasa agama sesebuah negeri yang meletakkan syarat tersebut, lazimnya dikaitkan dengan ideologi politik UMNO apabila keinginan mereka dikatakan 'disekat' melalui syarat berkenaan.

Namun sejauh manakah tanggapan ini benar ataupun ia sekadar dakyah yang mengandungi tuduhan tidak berasas sama sekali.

Untuk menjelaskan kekeliruan tersebut, persoalan tentang tauliah diajukan kepada pengamal undang-undang berpengalaman, peguam syarie Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain.

Tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menurut beliau, adalah pelantikan bagi sesiapa sahaja yang berminat untuk mengajar atau memberi kuliah agama Islam di negeri Selangor.

Peraturan ini dibuat agar ajaran mereka dapat diketahui dan dipantau oleh JAIS.

"Ia adalah berdasarkan perkara 8 Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 iaitu Jawatankuasa Tauliah turut mempunyai kuasa untuk menetapkan syarat atau sekatan kepada penerima tauliah," ujar Mohd. Zaidi.

Katanya, tauliah ini penting bagi setiap penceramah kerana ia telah menjadi undang-undang dan peraturan yang wajib dipatuhi.

Seperti undang-undang lain juga wajib dipatuhi oleh setiap individu tanpa mengira pangkat dan kedudukan dan tiada siapa yang boleh mempersoalkan kesahihan perlaksanaan bahkan mereka yang melanggarnya boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut beliau, Selangor bukan satu-satunya negeri yang memperuntukkan undang-undang yang mensyaratkan seseorang penceramah agama mesti mempunyai tauliah.

Malahan katanya, negeri-negeri lain seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Serawak juga memperuntukan syarat yang sama kepada sesiapa yang ingin berceramah tentang agama Islam di negeri-negeri tersebut.

Bahkan sesetengah negeri memperuntukkan denda maksimum sehingga RM5,000 dan penjara tiga tahun bagi mereka melanggar peraturan mengenai tauliah tersebut.

"Perkara yang perlu dibuktikan oleh Pihak Pendakwa Syarie dalam kes membabitkan perlanggaran peraturan tauliah adalah berlakunya ceramah atau apa-apa pengajaran mengenai agama Islam oleh orang yang disyaki secara jelas dan nyata tanpa tauliah. Atau jika dengan tauliah tetapi melanggar syarat-syarat atau sekatan yang dikenakan kepada penerima tauliah tersebut," kata Mohd. Zaidi.

Misalnya pengajaran yang tidak bersumberkan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah ataupun berbaur politik sehingga boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat.

Sememangnya undang-undang dan peraturan yang mensyaratkan tauliah, menurut Mohd. Zaidi, antara lain adalah untuk memantau ajaran-ajaran yang bercanggah dengan hukum syarak agar umat Islam tidak diresapi dengan ajaran sesat yang boleh menjejaskan akidah mereka.

Beliau berkata, dengan adanya pemantauan tauliah ini, pengajaran agama yang disampaikan dapat dipastikan selaras dengan dasar-dasar pihak berkuasa agama dan hukum syarak yang bersumberkan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.

"Sememangnya telah jelas tentang larangan oleh Sultan Selangor kepada semua Jawatankuasa surau dan masjid di negeri Selangor agar tidak membenarkan kesucian tempat ibadat orang Islam tersebut dicemari oleh golongan ahli politik yang menggunakannya untuk mencari pengaruh parti masing-masing.

"Ini kerana masjid dan surau adalah tempat untuk kita mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amal ibadat secara jemaah bukannya mencaci maki musuh politik sehingga menimbulkan keresahan dan ketidakselesaan kepada jemaah yang akhirnya boleh membawa kepada kehancuran ummah.

"Saya juga berpendapat bahawa syarat tauliah yang dikenakan itu amat bertepatan dengan kaedah 'fiqh sadd az-zarai' iaitu menutup jalan kerosakan di mana tindakan melarang ahli politik menggunakan masjid dan surau untuk berceramah politik untuk mencegah berlakunya perpecahan ummah," ujar beliau.

Malah mengikut prinsip ini juga sesuatu yang harus (mubah) boleh menjadi haram dan dilarang jika membawa kerosakan.

Oleh itu ahli politik Pas perlu melihat larangan yang dikenakan ini secara holistik dan dengan minda yang terbuka serta tidak berprasangka buruk kerana larangan tersebut bukan dikenakan kepada pimpinan Pas sahaja tetapi kepada semua parti politik.

Jika kita melihat kepada ketaksuban terhadap pengaruh politik kepartian pada hari ini, sekiranya ahli politik dibenarkan menggunakan masjid dan surau untuk berceramah politik, nescaya parti yang dipimpin oleh orang bukan Islam pun akan (bahkan pernah) menggunakan surau dan masjid untuk berkempen.

Jika ini berlaku secara berleluasa, sama-samalah kita renungkan apa yang akan berlaku kepada rumah Allah di muka bumi ini? Sudah pasti ia dicemari dengan maki hamun, fitnah, pembohongan yang berterusan dan akan mengundang kemurkaan Allah SWT, tegas Mohd. Zaidi.

Sebagai pengamal undang-undang Syariah selama 15 tahun di Selangor, beliau sering berurusan dengan pihak JAIS khususnya bahagian Penguatkuasaan dan juga Pendakwaan.

"Secara jujur saya menyatakan bahawa saya tidak melihat sebarang unsur pengaruh parti politik ke atas sebarang tindakan penangkapan mahupun pendakwaan yang dilakukan oleh pihak JAIS. Mereka sangat berhati-hati, telus, berprinsip dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam setiap tindakan penguatkuasaan undang yang di ambil ke atas orang yang disyaki melakukan sebarang perlanggaran undang-undang di negeri Selangor," katanya lagi.

Sewaktu UMNO menerajui kerajaan Selangor tiada kedengaran pemimpin Pas ditangkap mahupun didakwa atas kesalahan mengajar tanpa tauliah sedangkan pada masa itu hampir sebahagian besar surau dan masjid di negeri Selangor dikuasai oleh penyokong Pas.

Mereka menggunakan masjid serta surau untuk berceramah, berkhutbah, tazkirah, usrah dan sebagainya untuk menguatkan pengaruh PAS di kalangan masyarakat Islam di Selangor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri ini di bawah pimpinan UMNO pada tahun 2008.

Oleh yang demikian di mana logiknya dakwaan yang menyatakan bahawa UMNO telah mempengaruhi JAIS untuk mengekang aktiviti Pas di masjid dan surau dalam negeri Selangor sedangkan kuasa eksekutif tidak ada lagi pada UMNO malah kuasa tersebut sekarang dipegang oleh Pas.

Tiada untungnya JAIS mendengar arahan parti pembangkang dalam melaksanakan urusan pentadbirannya kerana EXCO yang bertanggungjawab tentang hak ehwal agama adalah dari parti Pas, sudah tentu tindakan tersebut akan mengundang kesusahan kepada diri mereka sendiri.

"Oleh itu saya melihat sebarang tuduhan dan tohmahan yang dibuat oleh pimpinan Pas terhadap JAIS sebenarnya ibarat meludah ke langit jatuh ke muka sendiri kerana mereka yang menguasai JAIS pada masa ini. Hakikat ini perlu difahami secara rasional bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya.

Pemimpin Pas dan sesiapa jua yang tidak berpuas hati dengan tindakan JAIS yang menguatkuasakan undang-undang mengenai ketidakpatuhan terhadap tauliah mengajar di Selangor perlu ingat bahawa undang-undang tersebut bukan baru digubal tetapi telah wujud sejak enakmen terawal lagi iaitu Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 1952 melalui peruntukan Seksyen 166 yang menyebut dengan jelas mengenai keperluan mendapatkan kebenaran bertulis dari kadhi jika mengajar agama Islam di Selangor.

Malahan kegagalan mematuhi perkara tersebut boleh dikenakan tindakan denda ataupun pemenjaraan.

Tiada alasan bagi mereka yang berkelulusan tinggi mahupun yang berjawatan cuba membawa teori konspirasi apabila mereka ditangkap kerana sesiapa pun tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika mereka didapati bersalah.

Kontrak nasional, keselamatan rakyat

Posted:

Kontrak nasional, keselamatan rakyat

Kontrak nasional, keselamatan rakyat

DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia

Kontrak sosial adalah elemen utama kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan yang mentransformasikan Malaysia sebagai negara satu bangsa di era sebelum penjajahan mulai tahun 1511 menjadi negara pelbagai bangsa di era merdeka sejak 31 Ogos 1957.

Dengan ini, kontrak sosial dalam konteks Malaysia adalah kontrak nasional yang melambangkan ikrar dan permuafakatan bangsa Melayu, Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India serta lain-lainnya untuk mewujudkan negara majmuk yang aman, damai, makmur dan bersatu padu.

Dengan ini juga, kontrak tersebut bukan bertujuan untuk memelihara, mengekal atau menonjolkan ketuanan Melayu seperti didakyahkan oleh pelbagai pihak yang fobia dengan istilah kontrak sosial di era Malaysia merdeka.

Sebaliknya, kontrak nasional inilah yang melunturkan dominan Melayu di Malaysia kerana menurut kajian keselamatan, sesebuah negara majmuk "cannot be created without destroying, or at least overlaying, old ones." (Buzan 1991:72).

Maksudnya, pembinaan sebuah negara majmuk seperti Malaysia memerlukan pengorbanan pihak yang menjadi penduduk asal dan mereka yang menjadi warganegara menerusi kuat kuasa Perlembagaan.

Pengorbanan ini penting bagi mengelakkan pertelingkahan kaum dan konflik jati diri membabitkan semua warganegara kerana negara majmuk adalah sentiasa terdedah kepada masalah ini jika ia tidak di atasi secara proaktif dan secara berperlembagaan.

Namun hakikat ini adalah suatu kebenaran yang sentiasa dipertikaikan - a constantly contested reality. Ini kerana kegagalan memahami semangat dan falsafah kontrak nasional menerusi perspektif negara majmuk dengan rakyatnya yang berbilang agama, bangsa, sosio-budaya dan berbeza taraf ekonominya.

Sebenarnya kewujudan kontrak nasional di Malaysia adalah dimanifestasikan oleh Perlembagaan Persekutuan serta pelbagai dokumen yang berkaitan dengan pembentukannya.

Antaranya adalah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 dan 131 memorandum daripada pelbagai pihak yang disampaikan kepada para penggubal Perlembagaan Persekutuan pimpinan Lord Reid.

Di peringkat politik, wujud empat jawatankuasa yang menyumbang kepada pembentukan kontrak ini. Pertama, Jawatankuasa Siasah UMNO pimpinan Tun Razak Hussein; kedua, jawatankuasa di peringkat MCA; ketiga, jawatankuasa di peringkat MIC.

Keempat adalah Jawatankuasa Siasah Sementara Perikatan yang menghalusi seluruh perakuan daripada UMNO, MCA dan MIC sebelum disalurkan kepada pihak penggubal perlembagaan berkenaan.

Tunku Abdul Rahman (25 Disember 1965) pula menegaskan, parti-parti pembangkang - Parti Negara, Parti Buruh dan Semangat Pulau Pinang - menyokong penuh usaha Perikatan memperjuangkan kemerdekaan menerusi jalan perlembagaan. Ini bermakna mereka juga memberikan semangat kepada kewujudan kontrak nasional di Malaysia.

Akhir sekali, semangat dan falsafah kontrak ini adalah terkandung dalam pelbagai perakuan dan persetujuan yang dicapai oleh Jawatankuasa Tiga Pihak atau Tripartite Working Party terdiri daripada wakil Perikatan, Raja-Raja Melayu dan pihak British yang menuntas serta merincikan Perlembagaan Persekutuan sebelum ia dikuatkuasakan.

Huraian ini membuktikan bahawa kontrak nasional di Malaysia adalah terbentuk berasaskan semangat dan falsafah permuafakatan bangsa Melayu, bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya menerusi proses pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Hakikat ini menepati intipati teori yang dipelopori oleh Thomas Hobbes, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau bahawa kontrak sosial wujud apabila terdapat permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai pihak terhadap tuntutan masing-masing untuk membolehkan mereka membina satu masyarakat atau negara secara aman, damai dan harmoni.

Dalam konteks Malaysia, kontrak ini muncul dalam bentuk permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai pihak untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara satu bangsa di era penjajah kepada negara pelbagai bangsa di era merdeka.

Inilah sebabnya Perlembagaan Persekutuan menjadi instrumen undang-undang yang melahirkan warganegara Malaysia yang majmuk. Inilah sebabnya Perlembagaan ini perlu dipelihara bagi menjamin permuafakatan bangsa dan survival negara.

Hakikatnya demikian kerana Perlembagaan Persekutuan inilah yang menyebabkan bangsa Melayu dan Bumiputera mengiktiraf keturunan Cina, India dan lain-lainnya sebagai warganegara.

Hakikatnya juga demikian sebab Perlembagaan inilah juga yang menyebabkan keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya mengiktiraf bangsa Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk asal dan perlu diberikan keistimewaan secara Perlembagaan, walaupun paling minimum.

Inilah sebabnya Perlembagaan Persekutuan memaktubkan pelbagai peruntukan bagi mencerminkan permuafakatan rakyatnya dan bagi meregulasikan perpaduan bangsa, keharmonian agama, keadilan ekonomi serta keselamatan nasional berasaskan prinsip-prinsip universal yang disesuaikan dengan keperluan tempatan.

Inilah juga sebabnya kajian keselamatan menyifatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen undang-undang tertinggi yang dibentuk untuk menjamin survival dan keselamatan nasional Malaysia sebagai negara majmuk.

Lantas bila sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dicabar ke peringkat maksimum sehingga mencetuskan tragedi 13 Mei 1969, adalah wajar peruntukan berkenaan dipinda untuk menjamin perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival negara.

Lantas adalah malang bila tindakan ini dipropagandakan oleh parti-parti pembangkang kononnya sebagai usaha melindungi keselamatan politik pemerintah dan untuk melumpuhkan amalan demokrasi di Malaysia.

Tetapi, mulai akhir 1990-an, bila para sarjana keselamatan antarabangsa memperluaskan konsep keselamatan untuk merangkumi keselamatan masyarakat atau societal security, tindakan kerajaan Malaysia ini terbukti proaktif dan mendepani zaman.

Oleh sebab itu, persepsi negatif mengenai pindaan ini perlu dirobah menerusi kewujudan satu badan bebas untuk menyelidik seluruh aspek keselamatan masyarakat dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulannya, Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen kontrak nasional yang menyebabkan Malaysia menjadi negara majmuk. Ia juga satu dokumen susunan masyarakat yang menjamin kesejahteraan bangsa, kemakmuran ekonomi, keselamatan nasional dan kelangsungan negara.

Oleh sebab itu, kerajaan perlu segera mewujudkan badan bebas untuk menyelidik secara berterusan dan mendalam seluruh impak Perlembagaan Persekutuan kepada keselamatan masyarakat, keselamatan negara dan survival Malaysia sebagai negara majmuk di hari muka.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved