Selasa, 13 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kek lapis Sarawak di Melaka

Posted:

Kek lapis Sarawak di Melaka

Kek lapis Sarawak di Melaka

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


Elda Nabilla Osman mengacau tepung yang menjadi bahan untuk menghasilkan kek lapis di syarikat Adynda Homemade Cake House,Ujong Pasir, Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 12 Sept. - Kek lapis cukup sinonim dengan Sarawak hingga menjadikan ia produk makanan tarikan kepada pelancong yang datang ke negeri itu.

Tidak hairanlah industri kek lapis di Bumi Kenyalang berkembang pesat apabila diusahakan oleh ramai penduduk di negeri tersebut.

Bagi mereka yang sempat berkunjung ke Kuching, Sarawak, peluang itu akan digunakan untuk membeli kek lapis yang boleh didapati di merata-rata tempat.

Malah, bagi usahawan dari Semenanjung yang ingin memasarkan produk kek lapis Sarawak sudah tentu mereka perlu terbang ke negeri itu untuk mendapatkan kek tersebut.

Keunikan kek lapis Sarawak kerana ia mempunyai lebih 40 jenis dengan pelbagai perisa dan warna selain rasanya yang cukup mengujakan.

Kek lapis Sarawak bukan sekadar kek untuk dimakan tetapi ia lebih daripada itu kerana kek tersebut ada seninya yang tersendiri hingga menjadi tarikan masyarakat dari seluruh dunia.

Bagi penduduk di Melaka, mereka kini tidak lagi perlu terbang ke Bumi Kenyalang untuk mendapatkan kek lapis Sarawak yang terdapat dalam pelbagai jenis, perisa dan warna.

Sebaliknya, mereka boleh membelinya di Lorong 1 Taman Kampung Attap, Ujong Pasir, Banda Hilir dekat sini.

Ia diusahakan secara kecil-kecilan oleh sepasang suami isteri, Adillah Jamaluddin, 29, dan Elda Nabilla Osman, 26.

Di bawah syarikat Adynda Homemade Cake House, pasangan itu menjadikan rumah kediamannya sebagai tempat untuk membuat kek lapis.

Kek lapis yang diusahakan oleh pasangan itu tidak disangsikan keaslian sama seperti yang diperolehi dari Bumi Kenyalang kerana isteri Adillah berasal dari Kuching, Sarawak.

Mertuanya pula, Osman Mohamad, 53, dan Maimunah Bidin, 50, adalah pengusaha industri kek lapis Sarawak sejak 30 tahun lalu.

Tidak hairanlah peluang itu digunakan oleh Adillah menggunakan kepakaran isteri serta mertua untuk mengusahakan industri kek lapis secara kecil-kecilan buat sementara waktu.

Berbekalkan modal sebanyak RM15,000, pasangan itu membeli peralatan membuat kek lapis seperti dua buah oven ketuhar bersaiz besar, acuan, mesin uli tepung, peti sejuk beku dan bahan-bahan ramuan.

Adillah berkata, dia dan isterinya mula mengusahakan kek lapis Sarawak sejak dua bulan lalu.

''Idea ini datang apabila saya melihat permintaan terhadap kek lapis Sarawak begitu tinggi. Secara kebetulan mentua saya memang mengusahakan kek lapis di Kuching.

''Setelah berbincang, mereka bersetuju terutama bapa mentua saya yang cukup mahir memasak kek lapis dan mereka juga sanggup menetap sementara di rumah saya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, sebahagian daripada bahan-bahan ramuan kek lapis didatangkan khas dari Kuching kerana ada beberapa jenis bahan tidak mudah untuk didapati di kedai atau pasar raya di sini.

Antara bahan yang terpaksa dibeli di Kuching adalah cokelat paste, serbuk keju, 36 pewarna cecair, pembungkus, kraker keju dan acuan 16x8 inci.

Buat masa ini pasangan itu mengusahakan sembilan jenis kek lapis iaitu cheese layer, cadbury layer, mix fruits, sisik ikan, masam manis, chocolate cheese, tembikai, strawberry chips dan chocolate chips.

''Setiap kek lapis dijual pada harga serendah RM25 hingga RM35," ujarnya lagi.

Dia mengakui bukan mudah untuk membuat kek lapis kerana ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana membakarnya memakan masa selama sembilan jam bagi menyiapkan sebuah kek lapis.

''Paling rumit ketika menyediakan 16 lapisan kek lapis dengan 16 warna kerana ia perlu dibakar selapis demi selapis," katanya.

Selain itu, katanya, penyediaan sukatan bahan-bahan kek lapis dilakukan secara berhati-hati kerana sukatan menjadi penentu kualiti kek yang dihasilkan.

Bagi kek-kek yang telah siap katanya, ia akan dipotong mengikut ukuran jaluran mengikut corak yang diminta oleh pelanggan.

Adillah berkata, sejak mengusahakan kek lapis, ia mendapat sambutan yang agak menggalakkan walaupun tidak dipromosi secara besar-besaran.

Katanya, keupayaan yang ada agak menyukarkan baginya untuk menerima banyak tempahan yang semakin bertambah setiap hari.

Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan atau membeli kek lapis Sarawak boleh menghubunginya di talian 010-2150898 atau 010--2150868 atau email: adynda.cakehouse@gmail.com.

Kebersihan NS dipertingkat

Posted:

Kebersihan NS dipertingkat

Kebersihan NS dipertingkat

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


Uzir Abdul Malik (kiri) melihat pengendalian tong sampah kepadatan 120 liter yang akan dibekalkan kepada orang ramai secara berperingkat di Seremban, semalam.


SEREMBAN 12 Sept. – Sebanyak 200,000 tong sampah dengan muatan 120 liter akan dibekalkan kepada orang ramai secara berperingkat bermula bulan depan oleh SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM).

Pengarah Eksekutifnya, Dr. Uzir Abdul Malik berkata, sebagai permulaan pihaknya juga akan mengedarkan 80,000 tong sampah kepada penduduk di sekitar daerah ini dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, langkah itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan SWM dalam menguruskan sisa pepejal ke tahap yang lebih efektif selain meningkatkan mutu perkhidmatan syarikat berkenaan secara berterusan.

Malah katanya, langkah itu juga dibuat selepas pihaknya memperuntukkan hampir RM22 juta bagi membeli 40 lori mengutip sampah berteknologi tinggi demi mempertingkatkan tahap kecekapan operasi kutipan sisa pepejal di negeri ini selain Melaka dan Johor.

"Pada masa sama, ia juga akan memberikan kemudahan untuk pihak kami mengendalikan sampah-sampah dengan menggunakan lori sampah berteknologi baru yang kini telah digunakan di beberapa kawasan di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Uzir berkata demikian pada majlis Pemaparan Nombor Aduan Sisa 1-800-88-7472 pada semua kenderaan SWM di Seremban 2 dekat sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengurus Wilayah Negeri Sembilan dan Melaka SWM, Dr. Al Ashari Othman.

Mengenai pemaparan nombor aduan sisa, Uzir memberitahu, sebanyak 68 kenderaan kompaktor dan 12 kenderaan lain akan memaparkan nombor aduan sisa yang akan dilakukan secara berperingkat oleh SWM.

Jelasnya, talian ini akan disambungkan secara terus ke pusat khidmat pelanggan SWM yang berpusat di Kuala Lumpur setiap hari bagi menerima semua aduan bagi kawasan SWM meliputi negeri ini, Johor dan Melaka.

"Ia akan beroperasi setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam dan segala aduan ini akan disalurkan kepada pihak kami untuk melakukan tindakan susulan," katanya.

Karate remaja: Melaka sasar 2 pingat emas

Posted:

Karate remaja: Melaka sasar 2 pingat emas

Karate remaja: Melaka sasar 2 pingat emas


Mohd. Ali Rustam bergambar bersama maskot, peserta dan ahli jawatankuasa Kejohanan Karate Junior dan Kadet Dunia selepas majlis pra pelancarannya di perhimpunan bulanan di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, semalam.


MELAKA 12 Sept. - Melaka menyasarkan dua emas pada Kejohanan Karate Remaja dan Kadet Dunia Ke-7 di sini 13 hingga 16 Oktober ini.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) , Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, acara yang dijangka mampu meraih emas negeri itu ialah masing-masing satu dalam acara kumite kadet dan junior.

"Sebelum ini kita tak pernah memenangi sebarang menang pingat pada kejohanan ini.

"Namun dengan persediaan rapi para peserta bertanding tambahan pula sebagai tuan rumah, kita harap dapat memenangi dua pingat emas kali ini," katanya selepas mengumumkan kejohanan itu sewaktu berucap pada perhimpunan pagi bulanan kerajaan negeri di sini hari ini.

Hadir sama,Timbalan Presiden 1 Makaf, Datuk Mohd. Noor Nordin Abdullah.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri berkata, ini adalah kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Karate Remaja dan Kadet Dunia selepas Maghribi dan berbangga kerana Melaka dipilih mewakili negara.

"Kerajaan negeri dan Makaf akan berganding bahu menganjurkan bersama kejohanan dwitahunan ini. Hingga hari ini 915 peserta daripada 53 buah negara telah mengesahkan penyertaan mereka.

"Antaranya ialah Perancis, Croatia, Jepun, Jerman, Arab Saudi, Sepanyol, Switzerland, Australia, Turki, Itali, Korea dan Kazakhstan," tambahnya.

Empat kategori yang dipertandingkan pada kejohanan itu ialah perseorangan bawah umur 21 tahun, perseorangan junior (17-18 tahun), kadet (15- 16 tahun) dan junior (perseorangan) serta kategori kadet perseorangan dan junior berpasukan

Kejohanan empat hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengenai peruntukan untuk menganjur kejohanan itu, Mohd. Ali berkata, ia dianggarkan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM5.22 juta.

Tambahnya, sehingga hari ini, sebanyak RM2 juta telah diperoleh melalui sumbangan pihak swasta di negeri ini dan kerajaan negeri sedang menunggu kelulusan permohonan baki RM3.22 juta daripada kerajaan Pusat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved