Selasa, 13 September 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


DMMC hospital pelancongan kesihatan

Posted:

DMMC hospital pelancongan kesihatan

DMMC hospital pelancongan kesihatan


Adnan Yaakob diperhatikan Ahmad Shukri Ismail (dua kanan) memotong riben sempena Perasmian Pusat Perubatan Darul Makmur di Taman Kempadang Makmur, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 13 Sept. - Pusat Perubatan Darul Makmur (DMMC) yang beroperasi hari ini melakar sejarah tersendiri dengan menampilkan konsep pelancongan kesihatan yang pertama di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, DMMC yang dibina dengan kos RM65 juta adalah pusat perubatan berkonsepkan resort itu mempunyai persekitaran yang lebih selesa dan jauh daripada kesibukan bandar.

"Lokasinya di Kempadang Makmur iaitu kira-kira 10 kilometer dari bandar dilihat begitu strategik dan memenuhi keperluan pesakit.

"Sebagai permulaan, DMMC mempunyai 123 katil dan 21 doktor pakar dalam bidang-bidang kritikal seperti ortopedik dan pakar bedah tulang belakang," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Terbuka DMMC di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir, Pengarah Bersama DMMC, Tok Kai Boon dan Tok Kai Son; Pengarah Perubatan DMMC, Prof. Madya Dr. Zamzuri Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Pelancongan dan Warisan, Hal Ehwal Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff.

Menurut Ahmad Shukri, setakat ini DMMC merupakan hospital swasta terbesar di negeri ini dan merancang membuka hospital keduanya di Jengka yang dijangka siap sepenuhnya pada 2014.

"Keperluan perubatan pada masa kini mendorong hospital itu membuka sebuah lagi hospital di Felda Jengka 8 dengan menumpukan kepada pesakit di luar bandar terutama para peneroka.

"Dengan kos RM70 juta, hospital enam tingkat itu akan memuatkan 150 katil dan akan menawarkan caj perkhidmatan yang jauh lebih rendah berbanding caj biasa," jelasnya.

Tambah beliau, perkhidmatan di hospital itu tidak hanya ditawarkan kepada pesakit tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menikmati pelancongan kesihatan.

Katanya, lebih menarik, pihaknya akan membina sebuah hotel bertaraf empat bintang berhampiran hospital di Jengka dan ia memudahkan orang ramai untuk mengunjunginya.

"Tambahan pula, lokasi DMMC di Jengka begitu strategik iaitu berhampiran Taman Negara dan Gua Kota Gelanggi," ujarnya.

Talian Internet kafe siber ditamat

Posted:

Talian Internet kafe siber ditamat

Talian Internet kafe siber ditamat

KUANTAN 13 Sept. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menamatkan talian Internet di 30 kafe siber di sekitar daerah ini kerana didapati terlibat dengan aktiviti perjudian.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima permohonan daripada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membuat pemotongan talian ke atas 34 premis berkenaan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut

"Namun hanya 30 kafe siber sahaja ditamatkan talian Internet dan selebihnya masih dalam proses siasatan Telekom Malaysia (TM) sama ada terlibat dengan perjudian atau tidak," katanya ketika menjawab soalan Datuk Pang Tsu Ming (BN-Semambu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tambahnya, selain itu, SKMM dengan kerjasama MPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sedang menyiasat 6 kafe siber yang disyaki terlibat dengan operasi judi haram.

Dalam pada itu, Mohd. Sharkar berkata, bagi tempoh Januari tahun lepas hingga Julai tahun ini, sebanyak 106 premis diserbu kerana disyaki menjalankan premis perjudian mesin berkomputer.

"Hasil serbuan itu berjaya merampas sebanyak 896 komputer yang digunakan untuk tujuan perjudian.

"Seramai 434 pelanggan termasuk penjaga premis ditahan untuk proses dokumentasi dan 16 ahli sindiket diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan," katanya.

Jelasnya, sebanyak 70 premis telah dipohon bagi membatalkan lesen perniagaan kepada MPK manakala 71 premis dipohon bagi pemotongan bekalan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

207 penjawat awam disiasat SPRM

Posted:

207 penjawat awam disiasat SPRM

207 penjawat awam disiasat SPRM

KUANTAN 13 Sept - Seramai 207 penjawat awam di negeri ini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan pelbagai peringkat jawatan dari tempoh 2006 hingga Julai 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Fong Koong Fuee berkata, daerah ini mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 48 orang diikuti Raub 40 orang, Bentong (30), Pekan (22), Maran (18), Temerloh (15), Rompin (10), Lipis (lapan), Jerantut (tujuh), Bera (lima) dan Cameron Highlands (empat).

"Dalam tempoh sama sebanyak 351 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu sejumlah 64 kes perbicaraan dikendalikan yang mana 64 orang disabitkan atas kesalahan rasuah di mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Ng Keong Chye (BN-Ketari) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 36,341 orang didaftarkan sebagai pengundi baru di Pahang tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, Parlimen Pekan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 7,255 orang diikuti Jerantut (3,099), Temerloh (2,967), Paya Besar (2,508), Kuantan (2,403), Raub (2358), Kuala Krau (2,309), Maran (1,818), Lipis (1,525) dan Cameron Highlands (1,245).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved