Selasa, 13 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Keceriaan Merdeka di Gong Guchil

Posted:

Keceriaan Merdeka di Gong Guchil

Keceriaan Merdeka di Gong Guchil

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my



BESUT 12 Sept. – Gong Guchil, kira-kira lima kilometer dari Pekan Jerteh adalah sebuah perkampungan tradisional yang lazimnya tenang dengan berlatarbelakangkan sawah, dusun serta bukit-bukau di kejauhan.

Ia menampung kira-kira 1,100 penduduk yang mendiami penempatan seluas lima kilometer persegi dengan kebanyakan rumah tidak berpagar, simbol kepada kesejahteraan kehidupan silam tanpa suatu batas pemisah antara mereka.

Di sini masih subur dengan kegiatan kesenian tradisional kerana masih ada penggiat yang mewarisinya di sini termasuk kumpulan wayang kulit Mas Gerga Jiwa dengan persembahan yang lazim muncul apabila ada undangan dan permintaan.

Tradisi kehidupan pakat masih tebal dengan semangat kekitaan yang diserlah melalui amalan gotong-royong dalam pelbagai gerak kerja termasuk dalam usaha memaju dan meningkatkan taraf hidup dan menceriakan hari-hari mereka.

Nadi penggerak kampung itu ialah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, diterajui oleh Zahari Mohd Din, seorang kakitangan Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh yang sentiasa berbangga dengan kampungnya.

Apabila kedengaran oleh Zahari tentang adanya pertandingan Keceriaan Merdeka 2011, dia terus memutuskan penyertaan kampungnya.

Tiada halangan bagi kampung dan penduduk menyertainya kerana beliau tahu mereka akan sepakat untuk menjayakan tanpa perlu mengerah atau mengupah, tidak perlu juga berbelanja besar.

"Masa agak singkat, kami hanya mula menceriakan persekitaran dengan suasana sambutan perayaan pada 21 Ogos lalu. Kami bergotong-royong melakukannya selepas sembahyang tarawih dengan kegiatan berpusat di wakaf pinggir surau.

"Memang kami tahu tiada hadiah untuk pertandingan peringkat negeri. Ia cuma bagi memilih wakil ke peringkat kebangsaan tetapi kami tetap ingin menyertainya biarpun mungkin banyak kampung tidak bersedia untuk turut serta.

"Bagi kami ia suatu kebanggaan untuk bersama dalam suasana sambutan kemerdekaan, selain berusaha meningkatkan imej kampung kami," ujarnya.

Malah Zahari menegaskan dalam sambutan kemerdekaan, bagi yang mengerti, hadiah sebenar ialah keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini tanpa boleh diukur dengan wang ringgit.

Kampung Gong Guchil telah dipilih menjuarai kategori kampung tradisional peringkat negeri dan bakal dinilai untuk menentukan johan kebangsaan yang menawarkan hadiah RM10,000 bagi kategori itu.

Kampung itu adalah antara 19 penyertaan dalam pertandingan Keceriaan Merdeka bagi memilih wakil-wakil negeri dalam tujuh kategori.

Program bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan menyemai semangat patriotik yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan negeri dan penilaiannya berakhir pada 8 September lalu.

Pertandingan dibahagikan kepada kategori bangunan swasta, pintu gerbang, kampung tradisional, sekolah, bangunan kerajaan, taman perumahan dan kediaman yang hadiah wang tunai antara RM2,000 hingga RM10,000 di peringkat kebangsaan.

Pengarah Penerangan Negeri, Azizah Awang berkata, program ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada rakyat, sama ada individu dan organisasi yang memperlihatkan semangat patriotik yang tinggi dalam menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan.

"Tidak mudah untuk menjayakan ini sekiranya tiada kesedaran dan kesediaan anggota masyarakat untuk bersama dan kita berbangga dengan penyertaan mereka.

"Pertandingan ini sebahagian daripada program Semarak Merdeka yang turut diisi dengan Kembara Ramadan, kempen kibarkan Jalur Gemilang dan pertandingan Foto Merdeka," ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Panel Penilai, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, biarpun jumlah penyertaan bagi program pertama ini agak kecil namun komitmen yang ditunjukkan boleh menjadi contoh dan rangsangan bagi penyertaan lebih luas pada masa depan.

Panel penilai mula turun padang membuat penilaian pada 5 September lalu dengan daerah Besut merupakan kawasan pertama dilawati.

Ia membabitkan Pejabat Majlis Daerah Besut, Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud II, Taman Perumahan Pelagat Tiga dan Kampung Gong Gucil, Jertih.

Mohd. Iskandar yang juga Penolong Pengarah Penerangan negeri menjelaskan, secara umum penilaian dibuat berasaskan kemampuan peserta menterjemahkan semangat kemerdekaan melalui daya kreativiti.

Panel penilai terdiri daripada wakil Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian dan Biro Utusan Malaysia Terengganu.

"Panel membuat penilaian dalam beberapa aspek termasuk kreativiti, kepelbagaian reka bentuk menggunakan Jalur Gemilang.

"Jumlah pemasangan Jalur Gemilang yang menonjolkan suasana keceriaan dan kemeriahan, hiasan pintu gerbang, penggunaan bahan unik untuk hiasan, sepanduk, tugu dan keindahan kawasan sekitar," ujarnya.

Bagi kategori sekolah, lima buah sekolah dinilai di seluruh negeri termasuk SK Kerteh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga Kemaman, SK Tengku Bariah Kuala Terengganu dan SK Landas Hulu Terengganu.

Bagi kategori kediaman individu pula ia melibatkan rumah Mohd. Ridzuan Mohamad (Meraga Beris Kemaman), Che Ku Maznah Awang (Pengkalan Pandang Kemaman) dan Tengku Chik Tengku Ngah (Beladau Kolam, Kuala Terengganu).

"Kesungguhan tujuh peserta menzahirkan erti merdeka dalam pertandingan membolehkan mereka dipilih dan berpeluang menang pada peringkat kebangsaan," ujar Mohd. Iskandar.

Selain Kampung Gong Guchil yang dicalonkan bagi kategori Kampung Tradisi dan Anjung Bestari, panel telah memilih SK Tengku Bariah (kategori sekolah), Kolej Islam Sains dan Teknologi, Hulu Terengganu (Bangunan Swasta); Pejabat Majlis Perbandaran Dungun (Bangunan Kerajaan) dan Perumahan Bukit Sawa, Marang (Taman Perumahan).

Sementara itu, Mohd. Ridzuan dari Kampung Meraga Beris pula berjaya melayakkan diri bagi kategori Individu Kediaman.

Penilaian oleh panel peringkat kebangsaan terhadap wakil-wakil negeri ini akan dilakukan selama dua hari bermula esok.

Diberkas seludup 750 liter petrol

Posted:

Diberkas seludup 750 liter petrol

Diberkas seludup 750 liter petrol

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Abdul Rahim Che Ghani (kanan) menunjukkan minyak petrol yang berjaya dirampas di Kampung Bator, Bachok pada sidang akhbar di IPD Bachok, semalam.


BACHOK 12 Sept. – Polis mematahkan cubaan menyeludup bahan api subsidi ke negara jiran selepas menahan seorang lelaki bersama 750 liter petrol bernilai RM1,500 yang diisi di ruang tempat duduk belakang sebuah kereta di Kampung Bator di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan (DSP) Abdul Rahim Che Ghani memberitahu, pihaknya terpaksa mengejar kereta Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran WKL 9851 itu selama beberapa minit sejurus pemandunya menyedari kehadiran polis pukul 1.30 pagi.

Menurutnya, suspek bagaimanapun gagal mengawal kenderaan yang dipandunya apabila tayar belakang kereta berkenaan tiba-tiba pecah.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati sebanyak 25 tong diisi dengan 30 liter minyak disusun padat di ruang tempat duduk belakang yang diubah suai.

"Suspek sanggup menyabung nyawa apabila memecut laju sedangkan kereta yang dipandunya sarat dipenuhi bahan api yang mudah terbakar," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di sini hari ini.

Menurutnya, polis percaya bekalan minyak itu diperoleh dari daerah Pasir Puteh untuk dihantar ke sempadan selatan Thailand menggunakan jalan pintas Beris Lalang-Jelawat-Bator.

Katanya, suspek juga memilih waktu awal pagi bagi mengelak kegiatannya dihidu oleh pihak berkuasa.

Abdul Rahim berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama dan maklumat orang ramai terutama Kelab Rukun Tetangga (KRT) melaporkannya kepada pihak polis apabila mendapati keadaan kereta dan pemandunya yang mencurigakan.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek yang ditahan itu positif dadah dan siasatan kes masih diteruskan.

"Barangan rampasan akan dihantar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Tourism Malaysia Kelantan tarik pelancong Singapura

Posted:

Tourism Malaysia Kelantan tarik pelancong Singapura

Tourism Malaysia Kelantan tarik pelancong Singapura


Zurina Abdul Samad (berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Perdana Resort, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 12 Sept. – Tourism Malaysia negeri ini akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia di Singapura untuk memasarkan produk pelancongan Kelantan terutama dari segi aspek makanan dan kebudayaan.

Pengarahnya, Zurina Abdul Samad berkata, promosi itu akan dilancarkan selewat-lewatnya awal bulan hadapan dengan membawa tiga chef terkenal dari Kelantan serta pasukan kebudayaan untuk mengadakan demonstrasi dan pertunjukkan di negara tersebut.

Menurutnya, sasaran itu adalah untuk membawa lebih ramai lagi pelancong dari Singapura ke negeri ini.

"Pelancong dari Singapura yang paling ramai ke negeri ini. Selain itu, bagi kategori Eropah, pelancong dari Perancis paling ramai ke negeri ini dengan statistik menunjukkan hampir 500 orang ke Kelantan bagi Julai dan Ogos lalu.

"Perkembangan positif itu disebabkan pelancong Perancis menjadikan Kelantan sebagai transit sebelum ke Pulau Perhentian," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Tourism Malaysia Kelantan di Perdana Resort di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain Zurina berkata, pihak Tourism Malaysia Kelantan menyarankan pengusaha dan pemilik inap desa negeri ini supaya lebih aktif dan kreatif dalam memajukan produk pelancongan di kawasan mereka untuk menarik lebih ramai pelancong.

Katanya, sehingga kini negeri ini mempunyai lapan buah inap desa namun hanya dua sahaja yang mendapat sambutan.

"Ada juga inap desa yang langsung tidak dikunjungi oleh pelancong. Kami sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab hanya memberikan bantuan sepatutnya dan selebihnya perlu diusahakan oleh pemilik itu sendiri.

"Kita memang membuat kerja-kerja promosi tetapi pemilik inap desa perlu berusaha dari segi menambah baik kediaman dan menyediakan aktiviti yang menarik untuk pengunjung," ujarnya.

Tambah beliau, dua daripada lapan inap desa yang aktif di negeri ini adalah Homestay Seterpa, di Kota Bharu dan Homestay Pulau Suri di Tumpat di mana penduduk dan pengusaha sentiasa bekerjasama menjadikan kampung mereka menjadi tarikan pengunjung.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved