Selasa, 13 September 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tunggu bas di tengah panas

Posted:

Tunggu bas di tengah panas

Tunggu bas di tengah panas

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
kota@utusan.com.my


PENDUDUK perumahan sekitar Pasar Borong Selayang menunggu kedatangan bas di bawah pokok atau terpaksa berteduh di stesen minyak berdekatan kerana tiada pondok bas disediakan di situ.


SELAYANG 12 Sept. – Memang penat jika terpaksa menunggu bas dalam keadaan berdiri sehingga beberapa jam kerana ketiadaan tempat menunggu bas yang disediakan, ditambah dengan cuaca panas dan hujan tidak menentu.

Masalah ini dihadapi oleh penduduk yang tinggal berdekatan kawasan Pasar Borong Selayang dekat sini yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam iaitu bas untuk berurusan, terutama ke tempat kerja.

Lantaran itu, Stesen Minyak Petronas Batu 8, Jalan Ipoh menjadi tempat perhentian bas kerana ia berdekatan dengan kawasan kediaman mereka.

Mereka yang merupakan pengguna tetap perkhidmatan bas di sini, terpaksa menunggu pengangkutan itu dalam keadaan berdiri beberapa lama kerana ketiadaan kemudahan pondok bas di situ.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Stesen Petronas Batu 8 mendapati, hanya lima buah bas yang menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur berhenti di kawasan ini dalam masa empat jam, justeru, rata-rata penumpang terpaksa membazirkan masa mereka kira-kira satu jam menunggu ketibaan bas.

Ini membuatkan penumpang berlebihan dan setelah penat berdiri menunggu, mereka terpaksa pula berdiri di dalam bas.

Seorang pengguna, Nurani Ahmad Zailani, 40, merayu agar kemudahan pondok menunggu bas yang sempurna disediakan di situ kerana ramai pengguna tinggal berdekatan stesen minyak berkenaan.

"Apabila hujan, kami terpaksa mencari tempat berteduh untuk mengelakkan diri daripada basah.

"Kadang-kadang apabila musim hujan, kami terpaksa berteduh di dalam kawasan stesen Petronas berdekatan sehingga ada kalanya tidak dapat menaiki bas yang tiba," katanya.

Sementara itu, J. Dhinesh (gambar), 19, yang turut mengakui dia pengguna tetap bas turut mendesak agar dibina sebuah pondok menunggu bas di situ.

"Walaupun ada pondok bas disediakan di kawasan ini tetapi ia agak jauh manakala tempat ini merupakan tumpuan kepada penduduk yang tinggal berdekatan untuk menunggu bas kerana faktor jarak yang dekat.

"Selalunya saya terpaksa menunggu hampir satu jam untuk menaiki bas yang menuju ke Kuala Lumpur.

"Apabila hari hujan, saya akan menunggu di dalam kawasan stesen Petronas, tetapi akhirnya ditinggalkan bas yang hendak dinaiki kerana pemandunya tidak nampak penumpang yang menunggu di kawasan tersebut," katanya.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Pangjipi, 50, berkata, setiap hari dia akan menunggu di kawasan itu untuk menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

"Tetapi apabila tiba waktu hujan, saya terpaksa berteduh di kawasan terdekat iaitu Stesen Petronas.

"Kadang-kadang saya terpaksa menunggu bas berjam-jam dalam keadaan berdiri kerana bas yang hendak dinaiki lambat tiba," ujarnya.

Katanya, dia berharap muncul pihak yang prihatin akan membantu penduduk dengan membina sebuah pondok bas di situ.

Jalan baru diperlukan – Fuad

Posted:

Jalan baru diperlukan – Fuad

Jalan baru diperlukan – Fuad

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertahankan projek pembinaan jalan yang melibatkan pengambilan sebahagian tanah penduduk di Kampung Sungai Penchala dan menegaskan ia adalah untuk pembangunan jangka masa panjang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail (gambar) berkata, kawasan tersebut dijangka akan mengalami pembangunan yang pesat, menyebabkan pihaknya perlu menyediakan jalan penghubung bagi keselesaan dan kemudahan penduduk dan penghuni kelak.

Menurutnya, DBKL mengambil langkah proaktif dengan pembinaan jalan berkenaan walaupun tidak banyak tanah yang dibangunkan lagi.

"Oleh kerana itu, DBKL bersetuju membayar pampasan sebanyak RM110 bagi setiap 1 meter persegi berdasarkan penilaian harga tanah yang dibuat oleh Jabatan Penilaian Harta sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai rungutan penduduk Kampung Sungai Penchala berhubung pembinaan jalan baru berkenaan.

Sebelum ini DBKL telah mengenal pasti jajaran baru untuk dijadikan jalan utama sepanjang kira-kira 500 meter dari Kampung Sungai Penchala ke Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) iaitu melalui Jalan Datuk Sulaiman, melibatkan pengambilan tanah sebanyak lapan lot yang telah digazetkan pada 26 Mei lalu.

Projek itu turut menyebabkan penutupan Jalan Datuk Sulaiman 1 yang digunakan oleh penduduk Sungai Penchala ke TTDI sejak 30 tahun lalu.

Ahmad Fuad berkata, berdasarkan harga tersebut DBKL telah membelanjakan hampir RM2.9 juta untuk membayar pampasan kepada lapan pemilik tanah yang terbabit dalam projek berkenaan, sekali gus menafikan ia sebagai wang ihsan seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Katanya, hanya seorang daripada lapan pemilik tanah masih tidak bersetuju menerima wang pampasan selepas mengadakan perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

"Salah seorang daripada mereka pula mendapat pampasan sebanyak RM1.5 juta memandangkan keluasan tanahnya yang diambil sebanyak 850 kaki persegi dan terletak di selekoh projek jalan raya yang hendak dibina.

"DBKL menawarkan untuk menggantikan dengan tanah di kawasan berhampiran tetapi individu itu menolaknya dan menerima wang pampasan yang diberikan," katanya.

Tambahnya, projek berkenaan masih dalam peringkat reka bentuk dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun hadapan.

10,000 serbu rumah terbuka Johan

Posted:

10,000 serbu rumah terbuka Johan

10,000 serbu rumah terbuka Johan


JOHAN Abd. Aziz (baju merah) melayan kanak-kanak yang turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Semenyih kelmarin.


KUALA LUMPUR 12 Sept. - Hampir 10,000 orang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz bertempat di Klinik Kesihatan Beranang, semalam.

Johan berkata, beliau gembira dan terharu kerana penduduk Semenyih tanpa mengira bangsa telah memberikan sambutan di luar jangkaan pihaknya terhadap majlis itu.

"Pelbagai kaum dan bangsa menghadiri jamuan ini. Walaupun majlis bermula pada pukul 11 pagi, tetapi orang ramai sudah mula membanjiri seawal pukul 10 lebih lagi," katanya.

Tambah beliau, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati makanan tradisional, termasuk lemang, ketupat dan rendang tetapi turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis popular seperti Jamal Abdillah dan Nubhan AF.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan ahli persatuan artis veteran Malaysia diketuai Datuk Aziz Satar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved