Selasa, 13 September 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Cukai 6 peratus ditangguh - Rais

Posted:

Cukai 6 peratus ditangguh - Rais

Cukai 6 peratus ditangguh - Rais

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
pengarang@utusan.com.my


Dr. Rais Yatim (tengah) bermesyuarat dengan pengerusi syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia mengenai caj cukai sebanyak 6 peratus ke atas pengguna prabayar di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam. - bernama


KUALA LUMPUR 12 Sept. - Cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadual Khamis ini, ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri di sini hari ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Menurut Rais, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan kajian sama ada cukai tersebut akan dikenakan terhadap pengguna yang membeli pek permulaan talian prabayar atau mengenakannya setiap kali pengguna membuat tambah nilai kredit.

"Saya rasa lega apabila mereka bersetuju menangguhkannya dan kementerian akan membuat beberapa kajian tentang isu yang dibangkitkan seperti waktu terbaik bagi melaksanakan cukai perkhidmatan tersebut," katanya.

Menurutnya, kajian berhubung caj tersebut akan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat komunikasi terlibat yang turut sama akan membincangkan kadar yang sepatutnya dikenakan.

"Jadi, isu-isu yang berbangkit ini akan saya bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri kelak untuk menghuraikan dengan lebih jelas berkenaan data dan fakta yang lengkap," katanya.

Rais berkata, beliau juga akan menyarankan kepada kerajaan untuk memberi penghargaan di atas sumbangan dan peranan yang dibuat syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut terhadap cukai perkhidmatan selama ini.

"Jumlah yang disumbang syarikat-syarikat itu terhadap cukai perkhidmatan amat besar dan boleh saya anggarkan jumlahnya bernilai hampir RM6 bilion bermula dari 1998 sehingga kini kepada hampir 26 juta pengguna talian prabayar di negara ini," katanya.

Justeru itu, Rais berharap isu cukai perkhidmatan tersebut tidak lagi dibangkitkan kerana syarikat telekomunikasi terbabit sudah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan caj tersebut.

PM lancar Universiti Perdana

Posted:

PM lancar Universiti Perdana

PM lancar Universiti Perdana


Najib Tun Razak ketika menghadiri majlis pelancaran Universiti Perdana di Serdang, semalam. Perdana Menteri turut menyaksikan majlis penyerahan watikah pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Canselor pertama universiti berkenaan. – BERNAMA


SERDANG 12 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Universiti Perdana dan mengumumkan kerajaan akan menyediakan biasiswa yang besar kepada rakyat Malaysia yang dipilih menuntut jurusan perubatan di kedua-dua sekolah perubatan universiti itu.

Biasiswa itu adalah bagi penuntut Sekolah Graduan Perubatan Universiti Perdana (PUGSOM) dan Sekolah Perubatan Perdana University-Royal College of Surgeons in Ireland (PU-RSCI), kata Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini diumumkan sebagai Canselor pertama universiti itu.

Dalam ucapannya, Najib menyifatkan pembukaan universiti itu di sini sebagai langkah yang dapat meletakkan Malaysia dalam peta dunia bagi menyediakan pendidikan dan penyelidikan serta perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.

"Saya berharap bahawa dalam usahanya mencapai tahap bertaraf dunia itu, universiti ini akan berusaha menjalin hubungan dengan institusi tempatan dan bakat-bakat tempatan," katanya.

Pengambilan pertama seramai 105 penuntut akan mengikuti pengajian mereka di fakulti sementaranya di ibu pejabat Mardi di sini sementara menunggu kampus tetapnya siap pada 2013.

PUGSOM menawarkan buat pertama kalinya di Malaysia, program kemasukan mahasiswa selama empat tahun berdasarkan kurikulum Amerika Syarikat, dengan kerjasama Sekolah Perubatan University Johns Hopkins.

Sekolah Perubatan PU-RCSI pula menawarkan program lima tahun berdasarkan kurikulum konvensional, dengan kerjasama Royal College of Surgeons di Ireland.

Najib berkata, universiti baru itu, yang disifatkannya sebagai hasil satu kerjasama berpandangan jauh antara konsep perkongsian awam-swasta kerajaan dan sektor korporat, merupakan satu mercu tanda buat Malaysia.

"Secara peribadi, saya amat teruja dan begitu yakin ianya akan memberikan hasil yang amat besar dalam mendidik dan memajukan satu generasi baru profesional perubatan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan kepakaran bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di seluruh dunia," katanya.

Perdana Menteri berkata, Universiti Perdana akan menjadi institusi yang menakjubkan, dengan mempunyai dua sekolah perubatan, dan merupakan hospital latihan swasta pertama di Malaysia.

Ia mempunyai 600 katil pelbagai fungsi khas dan sebuah Pusat Penyelidikan Sains Kehidupan bagi meletakkan Malaysia ke hadapan dalam penyelidikan klinikal, katanya.

Najib berkata, Hospital Latihan Universiti Perdana dicadangkan dibuka pada 2013 bagi menempatkan penuntutnya yang memasuki tahun-tahun klinikal mereka, dan ia akan dikendalikan oleh Johns Hopkins Medicine International.

"Dengan menawarkan kemudahan terkini bagi tujuan diagnostik dan rawatan, ia akan menjadi antara institusi utama dalam memacu Malaysia ke arah pelancongan kesihatan, sebagai satu model perubatan persendirian dalam era abad ke-21 dan satu simbol antarabangsa bagi kecemerlangan dalam perkhidmatan kesihatan," kata Perdana Menteri.

Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti Perdana, Tan Sri Dr. Mohan Swami berkata, separuh daripada penuntut universiti itu adalah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam. – BERNAMA

Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama

Posted:

Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama

Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama

Oleh Zuhairi Ali


Najib Tun Razak menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, semalam. – BERNAMA


BANDAR SERI BEGAWAN 12 Sept. – Malaysia dan Brunei bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk sektor minyak dan gas menerusi satu perjanjian serta tiga Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Rundingan Tahunan ke-15 antara ketua kerajaan kedua-dua negara di sini malam ini.

Kerjasama itu dimeterai dalam MoU yang membolehkan Petronas serta Syarikat Petroleum Nasional Brunei (PetroleumBRUNEI) meneroka bersama sumber minyak di dalam Blok N dalam wilayah Brunei menerusi kontrak berkongsi hasil pengeluaran.

Kerjasama itu dimeterai dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, di sini malam ini.

Kedua-dua pemimpin dalam kenyataan bersama mereka yang dikeluarkan selepas pertemuan empat mata turut membincangkan pelaksanaan projek bersama membina Jambatan Sungai Pandaruan yang menghubungkan Limbang di Malaysia dengan Temburong, Brunei.

Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah pada pertemuan itu turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembinaan jambatan berkenaan yang ditandatangani oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor dengan Menteri Komunikasi Brunei, Datuk Seri Setia Awang Abdullah Begawan.

Shaziman dan Awang Abdullah dijadual menghadiri majlis pecah tanah projek berharga RM25 juta itu di Temburong esok.

Projek itu memberi makna yang besar kepada rakyat di sempadan kedua-dua negara sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan di kawasan tersebut khususnya pada waktu puncak.

Pada masa ini, kerajaan Malaysia dan Brunei bekerjasama menanggung kos operasi feri di sungai tersebut dengan caj minimum RM8 untuk kenderaan persendirian dan maksimum RM150 untuk kenderaan berat.

Turut sama dalam delegasi Malaysia sempena Rundingan Tahunan ke-15ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. – Utusan

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved