Sabtu, 10 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


YPU cuba selamatkan T-Shoppe

Posted:

YPU cuba selamatkan T-Shoppe

YPU cuba selamatkan T-Shoppe

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 9 Sept. - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan cuba sedaya upaya 'menyelamatkan' rangkaian kedai serbaneka, T-Shoppe sedia ada daripada berdepan kemungkinan 'gulung tikar' akibat kerugian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, walaupun dua buah T-Shoppe iaitu di Gong Kapas dan Marang telah ditutup, ia tidak memberi kesan kepada premis lain jenis itu yang terus menampakkan daya maju dan merangsang lagi usaha meningkatkan jumlahnya.

Beliau menekan aspek lokasi yang sesuai dan strategik di samping kos sewaan yang tidak membebankan perlu menjadi pertimbangan usahawan.

Menurutnya, beberapa buah lagi kedai serbaneka itu akan dibuka di negeri ini termasuk di Wakaf Tapai, Marang selain di Pengadang Baru dan di Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dekat sini.

"Dengan beroperasinya tiga T-Shoppe ini akan melengkapkan kesemua 18 buah kedai seumpama itu di negeri ini selain tiga buah yang sedang beroperasi di Kedah dan sebuah lagi di Melaka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azmi berkata, YPU sedang melakukan proses pemantapan serta pengukuhan kualiti T-Shoppe termasuk perancangan membuka sebuah premis seumpama itu di setiap negeri pada masa akan datang.

Mengenai penutupan dua premis T-Shoppe iaitu di Gong Kapas dan Marang, beliau menjelaskan, masalah itu berlaku di sebabkan kekangan kadar sewa terlampau tinggi yang dikenakan pemilik premis tersebut khususnya di Gong Kapas.

"Umpamanya di Gong Kapas, kita terpaksa tutup (T-Shoppe) kerana pemilik premis naikkan sewa sehingga RM8,300 sebulan.

"Biarpun terpaksa ditutup, kita akan tempatkan barangan, kelengkapan serta operatornya ke T-Shoppe lain iaitu di Pengadang Baru, Wakaf Tapai dan juga Paka, Dungun," ujarnya.

Penutupan dua rangkaian premis T-Shope dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Menurutnya, setiap kedai T-Shoppe perlu memperoleh keuntungan sekurang-kurangnya RM1,500 untuk bulan pertama dan jumlah itu meningkat kepada RM2,000 pada bulan kedua selepas beroperasi.

RM51 juta untuk bina, baiki rumah

Posted:

RM51 juta untuk bina, baiki rumah

RM51 juta untuk bina, baiki rumah


Ramzi Abdul Rahman (kanan) bertanya khabar dengan Orang Kelainan Upaya (OKU) pada Majlis Jamuan Hari Raya 1Malaysia di Bangunan UMNO Kuala Krai, semalam.


KUALA KRAI 9 Sept. - Nasib penduduk miskin di kawasan Kelantan Selatan terus terbela apabila Kerajaan Pusat menyalurkan kira-kira RM51 juta bagi membina dan membaik pulih sebanyak 6,000 rumah sejak tahun 1994 sehingga tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Ramzi Abdul Rahman berkata, projek membina dan membaik pulih rumah tersebut melibatkan kawasan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan sebahagian Tanah Merah.

Beliau berkata, sebahagian rumah tersebut dibina baru dengan peruntukan RM33,000 sebuah manakala yang dibaik pulih menggunakan perbelanjaan kira-kira RM3,000 sebuah.

''Selain itu, sebanyak 1,388 buah rumah yang daif sedang dibaik pulih dengan peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak RM4.9 juta dan dari jumlah tersebut, 176 buah di kawasan Kuala Krai telah pun siap sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya 1Malaysia di Bangunan UMNO Bahagian Kuala Krai di sini hari ini.

Kira -kira 4,000 orang menghadiri majlis jamuan itu yang turut dihadiri Pengerusi MIC negeri, M. Kuppusamy dan Ketua Wanita MCA negeri, Lee Liew Loo.

Ramzi berkata, Kesedar terus memberi keutamaan kepada projek membina dan membaik pulih rumah kerana rata-rata masyarakat di kawasan berkenaan terpaksa mendiami rumah yang daif disebabkan kemiskinan.

"Selain itu pada masa sekarang kita mengenal pasti kira-kira 200 buah rumah di kawasan Kuala Krai untuk dibaik pulih dan dibina pada fasa kedua nanti.

"Rumah tersebut dikenal pasti didiami mereka yang bekerja tetapi memperoleh pendapatan yang tidak seberapa dan perlu menanggung keluarga yang ramai," katanya.

Dengan bantuan Kesedar itu katanya, diharapkan sebahagian mereka dan keluarga masing -masing dapat mendiami rumah yang lebih selesa.

Pertubuhan Kebajikan E-Kasih bantu 150 keluarga

Posted:

Pertubuhan Kebajikan E-Kasih bantu 150 keluarga

Pertubuhan Kebajikan E-Kasih bantu 150 keluarga


SEBAHAGIAN ibu tunggal dan golongan miskin bersama penderma pada majlis jamuan hari raya di Pejabat Pembangunan Wanita, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 9 Sept. - Pertubuhan Kebajikan Perlindungan E-Kasih Kelantan menyampaikan sumbangan kepada 150 orang warga emas, ibu tunggal dan anak yatim miskin di tiga kawasan di negeri ini iaitu Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Pengerusinya, Noor Yusoff berkata, ia merupakan sumbangan kedua daripada pertubuhan tersebut selepas aktiviti yang sama dilakukan pada Ramadan lalu.

Beliau berkata, senarai penerima sumbangan itu dikenal pasti ketika ahli pertubuhan itu mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan.

"Seramai 150 penerima tertinggal nama mereka dalam senarai ketika lawatan pertama dulu, kemungkinan kita terlepas pandang kumpulan ini untuk menerima bantuan yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Hari Raya dan sumbangan pakaian serta wang tunai di Pejabat Pembangunan Wanita, di sini hari ini.

Noor berkata, pertubuhan itu amat prihatin dengan keadaan kehidupan keluarga terlibat terutamanya dalam suasana menyambut hari raya.

''Kami melancarkan kutipan derma di kalangan rakan serta usahawan, individu dan memperoleh sumbangan yang diperlukan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved