Sabtu, 10 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mogadishu melakar memori duka

Posted:

Mogadishu melakar memori duka

Mogadishu melakar memori duka

Oleh Metra Syahril Mohamed


SEBAHAGIAN mangsa kebuluran yang berlindung di Kem Maalin, Mogadishu, Somalia.


BERMULA bicara, marilah kita sedekahkan al-Fatihah untuk Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, 39, jurukamera Bernama TV, Allahyarham terkorban ketika membuat liputan misi bantuan kemanusiaan ke Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Apa yang pasti, detik berdarah 2 September lalu itu akan tetap bersemadi di ingatan semua 54 peserta misi terbabit yang sedari awal lagi telah dimaklumkan akan risiko bahaya yang bakal dihadapi sepanjang berada di negara 'Tanduk Afrika' itu.

Begitulah Somalia, negara yang sejak sekian lama berhadapan dengan konflik bersenjata. Sememangnya, tatkala menjejakkan kaki ke Mogadishu pada 29 Ogos lagi, bunyi tembakan senjata api sentiasa menemani hening malam. Ini sedikit sebanyak mencetuskan rasa bimbang akan sebarang kemungkinan.

Namun, tiada siapa menyangka, tiada siapa menduga, bunyi tembakan yang didengari hampir saban malam itu, hinggap di susuk badan Noramfaizul yang merupakan ketua media bagi misi berkenaan. Kejadian pada pukul 5.40 petang (10.40 malam waktu Malaysia) itu turut mencederakan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, 26.

Pelbagai teori dibentangkan mengenai tembakan itu. Namun, sehingga kini, segalanya masih belum terjawab. Matlamat misi ini cuma satu iaitu membantu mangsa kebuluran di Somalia yang sejak sekian lama tidak dilanda kemarau.

Berjuta-juta rakyat mendepani kebuluran dan risiko kematian jika tiada sebarang usaha digerakkan untuk membantu mereka, baik dari segi bantuan makanan mahupun bekalan ubat-ubatan.

Sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle, Mogadishu pukul 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia), hujan renyai-renyai menyambut ketibaan misi ini yang membawa bersamanya 7.5 tan ubat-ubatan, makanan serta pakaian.

Wajah-wajah penduduk tempatan yang menunggu di pintu masuk lapangan terbang bagaikan melakar seribu satu kesyukuran dengan ketibaan misi kemanusiaan itu yang memberi harapan untuk kelangsungan hidup mereka.

''Kami amat menghargai bantuan ini. Ia akan menjadi landasan persaudaraan antara Somalia dan Malaysia."

Demikian ringkas ucapan pembuka Timbalan Menteri Perikanan dan Alam Sekitar Somalia, Ahmad Hassan Adam yang mewakili kerajaan negaranya ketika menyambut ketibaan pasukan misi kemanusiaan itu di lapangan terbang.

Tugas pertama misi ini bermula keesokan harinya ketika umat Islam menyambut Aidilfitri. Bantuan berupa pemberian tudung, kopiah, kain sarung, kurma, biskut dan sedikit wang dihulurkan sebaik selesai mengerjakan solat sunat Aidilfitri di perkarangan Masjid Isbahasyiga kira-kira satu kilometer dari penginapan pasukan sukarelawan di Hotel Naasahablood.

Ia cukup menginsafkan. Ini kerana, bantuan ringkas yang dihulurkan itu diserbu ribuan penduduk tempatan yang tersirat harapan mereka untuk melihat Somalia kembali aman sejahtera. Harapan itu juga dilahirkan oleh dua generasi muda iaitu Abdul Salam Hussein, 19, dan Abdul Rahman Eidow Omar, 15. Kedua-dua remaja ini turut berharap untuk menjejakkan kaki ke Malaysia bagi melanjutkan pengajian atau mendapatkan pekerjaan bagi membantu keluarga yang kesusahan.

Kembali aman

Bagi dua anak muda ini, Somalia harus kembali aman dan mereka tidak mahu lagi mewarisi kemiskinan yang membelenggu keluarga masing-masing lantaran keadaan negara yang tidak stabil. Menjenguk ke kem perlindungan sementara mangsa kebuluran di Kem Darul Shifa' di sebelah petangnya pula, keadaan cukup mengharukan. Seorang ibu bernama Malekha Mahdi, 51, menceritakan bagaimana dia dan enam lagi anaknya terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer untuk sampai ke Mogadishu bagi mendapatkan bantuan makanan.

''Tiada makanan dan air di tempat tinggal saya di Bulaabdala. Kemarau yang berpanjangan ini cukup menyiksakan. Kami harus tabah dan sebab itu saya dan anak-anak berjalan kaki untuk ke Mogadishu mencari bantuan," ceritanya penuh sayu.

Memasuki ke lembaran baru 31 Ogos, ketika negara menyambut kemerdekaan ke-54 tahun, misi bantuan kemanusiaan ini bergerak ke Kem Bad-Badoo yang menempatkan 12,000 keluarga. Sepanjang perjalanan melewati khemah-khemah usang yang menempatkan mangsa kebuluran itu, kaum ibu kelihatan menjerit dan merayu agar mereka diberikan makanan dan air bersih.

''Beri kami air, beri kami air. Ada makanan untuk kami?" Demikian rayuan mereka yang cukup menyayat hati sesiapa yang memandang. Sebenarnya, jeritan dan rayuan meminta bantuan itu kedengaran di mana sahaja misi ini 'berlabuh' di kem perlindungan mangsa kebuluran bagi menghulurkan bantuan.

Makanan menjadi keutamaan mereka ketika ini. Ramai yang kebuluran sehingga nasi yang terjatuh di atas tanah pun sanggup dikutip kerana bagi mereka, ia adalah rezeki untuk terus hidup. Demikianlah senario kebuluran di Somalia yang secara puratanya mencatatkan kematian 200 orang setiap hari. Ia diakui sendiri oleh Penasihat Teknikal kepada Menteri Kesihatan Somalia, Dr. Abdi Awad Ibrahim.

Beliau menjangka, situasi di Somalia akan bertambah buruk apabila segala sistem termasuk sistem kesihatan dan pengurusan persekitaran di negara itu dilihat gagal berfungsi dengan baik.

Menurutnya, selain kekurangan ubat untuk menangani masalah pesakit akibat kebuluran, Somalia kini berhadapan dengan masalah sistem bekalan air bersih dan memburukkan lagi keadaan, sistem saliran serta pengurusan sampah sarap tidak terurus selain kelemahan dalam sistem sanitasi.

''Bencana kemarau yang melanda menyebabkan 3.5 juta penduduk berhadapan dengan kebuluran dan ia pasti akan bertambah. Kanak-kanak dan wanita, khususnya, menghidap cirit birit serta makanan tidak seimbang. Bayangkan, 200 orang meninggal dunia setiap hari akibat cirit birit dan konflik bersenjata.

''Situasi ini dijangka bertambah buruk ekoran ketiadaan sistem bekalan air bersih, sistem saliran dan pengurusan sampah sarap yang teruk," katanya yang seakan 'pening' memikirkan nasib rakyat Somalia.

Somalia mencapai kemerdekaan pada 1 Julai 1960 dan pada suatu ketika, ia boleh dikatakan sebagai sebuah negara yang sejahtera dan membangun. Namun, ekoran konflik bersenjata pada 1991, negara ini bagaikan 'neraka' dunia yang menakutkan. Di mana sahaja khususnya di ibu kotanya iaitu Mogadishu, konflik berpanjangan itu masih berbekas sehingga kini. Runtuhan bangunan akibat serangan senjata api masih kelihatan di kebanyakan tempat yang seakan terbiar tanpa sebarang usaha pembangunan semula.

Membolosi hampir setiap sudut Mogadishu, segala-galanya terbiar begitu sahaja. Sistem aliran trafik, pengurusan sampah sarap, kualiti jalan raya, keselamatan dan kebersihan persekitaran yang tidak terurus umpama memberi erti bahawa Somalia negara yang 'tidak bertuan'.

Perang saudara

Melangkah masuk ke daerah Shibis, dekat Mogadishu pula, bandar industri yang banyak menempatkan hotel bertaraf lima bintang ini juga hancur dek perang saudara yang tercetus sejak 1991 itu lagi. Stadium Konis, stadium nasional kedua Somalia, turut bertukar menjadi tanah kosong yang menyedihkan.

Begitu juga di Jalan Shabele yang menempatkan banyak pejabat serta kediaman rasmi duta asing ke negara ini. Segala-galanya kini kosong dan 'tidak bernyawa'. Berjalan-jalan di sekitar pantai Lido yang terletak berhampiran Shabele pula, pantai yang indah ini turut tidak terkecuali menerima tempias konflik bersenjata yang berlaku.

Konflik sebegini yang berlarutan selama tiga dekad memburukkan lagi keadaan kebuluran di Somalia biarpun berjuta tangan menghulurkan bantuan serta tanda simpati kepada nasib yang melanda negara ini.

Semuanya itu seperti tidak bermakna kerana kestabilan negara perlu diutamakan dalam usaha membangunkan semula Somalia. Inilah ikhtibar yang perlu dihayati oleh semua bahawa peperangan tidak akan membawa sebarang manfaat. Malah, ia akan membawa kehancuran bukan hanya kepada bangsa tetapi negara.

Mesej inilah yang ditekankan oleh Presiden Kelab 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 sewaktu di Mogadishu.

Menurut Abdul Azeez, ketamakan mengejar kuasa dan jawatan di Somalia menjadi punca negara itu huru hara sehingga menyebabkan rakyatnya menderita.

Pada 2 September 2011, sebaik selesai membuat liputan mengenai sosioekonomi penduduk di Mogadishu, misi bantuan kemanusiaan ini kemudiannya bergerak ke sebuah lagi kem perlindungan sementara dengan bantuan perubatan serta makanan diberikan kepada mangsa kebuluran.

Seorang kanak-kanak, Amar Husin Hasan yang berusia tujuh tahun tidak terkecuali menerima rawatan daripada pasukan perubatan misi ini. Mendapat kecederaan di kepalanya yang melarat sehingga bernanah, dengan kepakaran pasukan perubatan, Amar Husin kini mampu tersenyum riang apabila nanah di kepalanya dapat dibuang melalui pembedahan kecil. Tahniah kepada Dr. Shamim Rahman, Dr. Jaseemuddeen Abu Baker dan Dr. Rajveer Singh Saren atas pembedahan tersebut.

Namun, dalam keghairahan membantu mereka yang susah, berita Noramfaizul ditembak begitu merentap hati semua peserta misi ini. Sepanjang malam yang menyedihkan itu, rasa bimbang mula menyelubungi. Bimbang sama ada serangan tembakan itu akan merebak ke arah sesiapa sahaja yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.

Komunis mahu kuasai Malaya

Posted:

Komunis mahu kuasai Malaya

Komunis mahu kuasai Malaya


ABDUL Rahim Noor menunjukkan buku Siapa Menabur Angin Akan Menuai Badai tulisan Soegiaro Soeraja tentang komunisme di Indonesia.


MINGGUAN MALAYSIA: Mengapa Tan Sri begitu terpanggil untuk bercakap mengenai serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong?

RAHIM NOOR: Sebelum saya mengulas lanjut, saya ingin menyentuh tentang penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM). Bibit-bibit penubuhannya bermula di Singapura pada tahun 1925 atas nama Overseas Communist Party. Ia kemudiannya dipinda menjadi PKM dan diisytiharkan penubuhannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1930 dengan disaksikan disaksikan wakil Comintern (Communist International) iaitu Ho Chi Minh dari Hanoi. Permulaan pergerakan ideologi komunis di Asia Tenggara wujud dengan adanya bimbingan Comintern berpangkalan di Moscow yang melantik aktivis muda dari China, Vietnam dan Indonesia. Maka di Indonesia muncul nama-nama seperti Tan Malaka, Alimin Prawirodirdjo dan Mokhtaruddin Lasso - tiga pemuka agung yang bergerak untuk memperluaskan kuasa dan pengaruh komunis.

Di Malaya ketika itu, pengaruh terhadap ideologi komunis adalah di kalangan orang Cina yang hanya kira-kira sejuta atau dua juta adalah disebabkan perkembangan di negara asal mereka. Ketika itu China diasak oleh kuasa luar seperti Eropah dan Jepun. China diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa tersebut menjadikan orang Cina di sini menjadi satu tempat yang senang disusupi oleh idea-idea dari negara China. Selain sokongan moral, orang Cina di sini turut pergi ke sana semasa perang untuk membantu demi ibu pertiwi, mereka mengumpulkan derma dan sumbangan sehingga akhirnya Parti Komunis China beroleh kemenangan pada tahun 1949. Kepintaran Comintern tadi berjaya memikat hati penduduk Cina di sini untuk bersimpati dengan perjuangan komunis di China akhirnya mereka menjadi komunis apatah lagi selepas penubuhan PKM.

Bagi orang Melayu, pengaruh paling besar adalah dari Indonesia, di mana nama-nama besar yang saya sebut tadi memainkan peranan merangsang pemikiran golongan berhaluan kiri di sini supaya menerima ideologi komunis. Malah Presiden Sukarno (yang juga berfahaman komunis) menjadi idola ketika itu kerana ucapannya yang berapi-api membakar semangat orang Melayu. Apatah lagi Malaya dan Indonesia sememangnya serumpun dan amat rapat. Pergerakan menyebarkan ideologi komunis yang subur di situ memberikan kesan yang amat besar kepada penduduk di sini apalagi ia dikaitkan dengan tuntutan kemerdekaan.

Terdapat cubaan menyerap ideologi komunis menggunakan nasionalis malah golongan agama tidak terkecuali. Adakah perkara ini yang mengelirukan banyak orang?

RAHIM NOOR: Penubuhan PKM bersesuaian dengan gelombang komunis global mahu seluruh dunia menjadi merah. Ajaran, konsep dan taktik perjuangan mereka berasaskan kepada falsafah Marxis iaitu matlamat menghalalkan cara. Falsafah itu juga terkandung dalam seruan Lenin ketika penubuhan Comintern pada tahun 1919, malah dalam manifesto komunis juga tertera benda yang sama.

Untuk Mohamad Sabu yang memuji Mat Indera, Rashid Maidin dan beberapa nama lain, saya menyeru bacalah Das Kapital oleh Karl Marx yang menjadi kitab kepada orang komunis. Tolong juga baca manifesto komunis di mana falsafahnya adalah demi mencapai cita-cita maka matlamat menghalalkan cara walaupun kena berbaik dengan puak agama, tetapi apabila telah menang, ajak mereka menyertai kita, jika enggan maka hapuskan.

Di Malaya ditubuhkan United Front yang membentuk kerjasama antara nasionalis, puak berhaluan kiri, pro Sukarno dan juga golongan agama. United Front ini menjadi platform menyebarkan ideologi komunis, ada juga yang terpengaruh menyertai PKM terus. Sebab itu Mokhtaruddin Lasso boleh menerajui Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) walaupun mereka taat kepada ajaran komunis. Begitu juga anggota berhaluan kiri yang lain seperti Rashid Maidin dan Abdullah CD. Ibarat musang berbulu ayam. Justeru saya minta Mohamad Sabu baca juga ucapan-ucapan Lenin semasa perasmian Cominten sebelum buat komen mengenai Mat Indera.

Saya juga minta dia baca perlembagaan PKM yang antara lain tujuannya mencipta negara Republik Rakyat Malaya, bacalah walaupun dia mungkin tidak suka membaca. Untuk mencapai hasrat itu maka seperti yang saya sebut tadi wujud musang berbulu ayam dan orang seperti Timbalan Presiden Pas jangan cepat terkeliru, dia mungkin bijak berpolitik, tetapi jangan mudah terperangkap dengan sepak terajang komunis. Tidak semua orang sedar akan taktik siasah musuh dalam selimut yang dipakai komunis. Apatah lagi ketika itu semangat mahu memerdekakan negara begitu berkobar-kobar sekali. Jika benar tiada musang berbulu ayam mengapa Mokhtaruddin Lasso didatangkan dari Indonesia untuk jadi pengasas PKMM.

Ekoran kenyataan Mohamad Sabu ada juga yang menyokong kononnya anggota polis ketika itu anjing British, oleh itu tindakan menyerang dan membunuh mereka sepatutnya dihalalkan?

RAHIM NOOR: Orang macam Mohamad Sabu, bila tengok polis tangkap seolah-olah kita anjing British. Saya sendiri pernah dikatakan bapa anjing sedangkan tidakkah anda semua tahu bahawa tugas polis amat universal tidak kira sama ada polis di negara komunis, atau di Amerika atau di Amerika Latin atau di Afrika. Sumpah polis pada hari pertama bekerja amat ringkas iaitu untuk taat setia menegakkan undang-undang dan melaksanakannya demi keselamatan serta ketenteraman awam. Siapa pun pemerintah kalau guna undang-undang yang sama pasukan polis itu akan melaksanakan undang-undang itu termasuk kalau Menteri Dalam Negerinya ialah Mohamad Sabu. Kecuali Akta Polis 1967 dipinda menetapkan perkara-perkara lain, maka polis juga tertakluk kepada pindaan itu seperti misalnya ketua Polis Negara hendaklah timbalan presiden Pas dan Pesuruhjaya Pas negeri menjadi ketua polis negeri, maka polis akan terima. Polis tidak akan memberontak, polis tidak kudeta dan juga tidak mengkudeta walaupun kerajaan itu anti rakyat atau diktator kerana sumpahnya untuk setia melaksanakan undang-undang demi keamanan rakyat.

Bagaimana keadaan ini dalam kes serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong?

RAHIM NOOR: Dalam kes membaham Bukit Kepong, polis meluru untuk mempertahankan premis dan mempertahankan diri. Bukan kerana membela kerajaan British, bukan juga kerana menjadi hamba abdi British. Tindakan itu adalah kerana undang-undang, jika mereka tidak mempertahankan keadaan siapa pula yang akan mengawal keselamatan di kawasan itu. hanya kerana ketika itu kita belum merdeka maka kerajaan yang ada adalah kerajaan British.

Oleh itu Mohamad Sabu jangan cakap benda-benda yang tidak benar. Kalau tak tahu jangan bercakap, memang bila anda bercakap orang akan tergelak tetapi adakah anda mahu orang tergelak apabila bercakap tentang nyawa polis yang terkorban? Saya nasihatkan janganlah rakus nak menang, nak cari pengaruh, nak lebih kerusi dalam Parlimen sehingga polis menjadi bahan untuk anda hentam sehingga ke satu peringkat polis dikatakan satu jabatan daripada UMNO.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved