Ahad, 11 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kakak mati ditembak komunis

Posted:

Kakak mati ditembak komunis

Kakak mati ditembak komunis

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my


Sekiranya dapat saya kembalikan masa, nescaya saya akan bersama arwah ayah untuk berjuang menentang komunis dan menuntut bela di atas kematian kakak saya yang dibunuh kejam oleh komunis
Omar Ali
Anak kepada seorang Konstabel Khas


ALOR GAJAH 10 Sept. - "Sekiranya dapat saya kembalikan masa, nescaya saya akan bersama arwah ayah untuk berjuang menentang komunis dan menuntut bela di atas kematian kakak saya yang dibunuh kejam oleh komunis."

Demikian luahan Omar Ali, 62, yang merupakan anak kepada seorang Konstabel Khas (SC) yang berjuang menentang kemaraan komunis di Simpang Renggam, Johor pada zaman darurat.

Menurutnya, tahun 1948 akan terus diingati kerana pada tahun berkenaan, kakaknya, Mahani yang umurnya baru menjangkau 12 tahun telah ditembak mati oleh komunis yang menyerang berek dihuni beberapa keluarga dan anggota keselamatan di Estet Sembrong, Simpang Renggam.

"Biarpun tidak dapat melihat dan mengenali kakak kerana semasa kejadian saya belum dilahirkan, namun perasaan marah dan dendam terhadap komunis masih kekal membara," katanya.

Beliau berkata, serangan komunis dilancarkan pada waktu subuh semasa ibu dan enam adik-beradiknya sedang tidur manakala bapanya SC Ali Buntar sedang menjalankan rondaan.

Katanya, dalam serangan itu pihak komunis telah melepaskan tembakan secara rambang dari bahagian bawah berek berkenaan menyebabkan beberapa orang termasuk kakaknya terbunuh.

"Semasa serangan berlaku, anggota keselamatan mengarahkan semua penghuni berek meniarap namun taktik kotor komunis yang melakukan serangan dari bawah berek menyebabkan ramai terbunuh termasuk kakak saya yang dadanya ditembusi peluru komunis," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini, kelmarin.

Omar berkata, bukan sahaja kakak, malah abangnya, Daud yang berada dalam berek berkenaan juga cedera terkena tembakan di buku lali dan menderita sehingga menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 60 tahun.

"Dalam kejadian itu, ayah saya dan rakan-rakannya berjuang bermati-matian bagi mempertahankan keluarga masing-masing, maruah negara dan agama sehingga butiran peluru terakhir dan parang panjang digunakan sebagai pengganti menentang komunis," katanya.

Sementara itu, Omar yang pernah bekerja di Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menghabiskan kira-kira lapan tahun membuat kajian mengenai ideologi komunisme dan meneliti laporan kejadian serangan komunis mendakwa tidak ada satu fakta yang boleh menobatkan komunis sebagai pejuang.

Katanya, tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menjunjung perjuangan komunis dan mengangkat mereka sebagai wira boleh disifatkan sebagai buta sejarah.

Beliau berkata, Mat Sabu perlu mempelajari sejarah dan memahami ideologi komunisme yang dibawa Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum melabelkan mereka sebagai pejuang atau wira.

Pekerja kilang maut dirempuh van

Posted:

Pekerja kilang maut dirempuh van

Pekerja kilang maut dirempuh van

JASIN 10 Sept. - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah van di Kilometer 24.2 Jalan Melaka-Muar, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, mangsa, Rahmat Abu Saar (gambar), 29, yang berasal dari Taman Koperasi Risda, Serkam Darat dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Muar, Johor.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah van yang datang dari arah Sungai Rambai tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki ke Jalan Pahlawan.

"Pada masa sama, motosikal ditunggangi Rahmat yang datang dari arah Merlimau gagal mengelak lalu dilanggar van terbabit.

"Mangsa yang tercampak di atas jalan, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Che Suza berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, ibu mangsa, Nyarose Nan, 53, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jasin semalam berkata, anak kedua daripada empat beradik tersebut tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar bekerja.

"Arwah seorang anak yang pendiam dan tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketika saya menghantarnya ke pintu rumah, pukul 6.30 pagi.

"Saya mengetahui kejadian apabila polis menghubungi suami pukul 7 pagi memberitahu anak kemalangan," katanya.

Ganti paip lama atasi gangguan bekalan air

Posted:

Ganti paip lama atasi gangguan bekalan air

Ganti paip lama atasi gangguan bekalan air

SEREMBAN 10 Sept. - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) sedang menjalankan kerja-kerja menggantikan paip lama di Taman Telawi dekat sini bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sering dihadapi penduduk taman berkenaan.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan kerja menggantikan paip usang di kawasan berkenaan yang sering pecah dan bocor adalah bagi memastikan penduduk menerima bekalan air berkualiti secara efisien.

Menurutnya, inisiatif itu juga selari dengan hasrat kerajaan negeri dan Sains mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di negeri ini.

"Projek ini melibatkan penukaran paip jenis High Density Polythlene (HDPE) kepada paip jenis Mild Steel (MS) berdiameter 150 milimeter (mm) sepanjang dua kilometer di taman berkenaan.

"Kerja yang telah dimulakan sejak 26 Julai lalu dijangka siap dalam tempoh terdekat ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Azlan, Sains memohon maaf kepada penduduk terlibat di atas kesulitan dan gangguan bekalan air sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

"Orang ramai yang memerlukan bantuan bekalan air diminta menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved