Ahad, 11 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Episod-episod pembohongan Pas

Posted:

Episod-episod pembohongan Pas

Episod-episod pembohongan Pas

DATUK DR. MASHITAH IBRAHIM ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

BAGI menutup malu Pas kerana terhimpit dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja 3 Ogos lalu, Datuk Mustafa Ali cuba mengalih pandangan dan menuduh UMNO sebagai dalang di sebalik isu itu. Bagi UMNO Selangor, ini satu pembohongan, dan sudahpun memulakan proses menyaman Setiausaha Agung Pas itu.

Dalam pada itu, seorang pemimpin Pas, Dr. Che Rosli Che Mat menyelar Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kerana banyak mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai projek pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng. Che Rosli, seorang pakar sains nuklear, mendapati Fuziah menggunakan fakta palsu. Che Rosli juga mengkritik Harakah kerana menyiarkan laporan tidak benar. Tapi Penerangan Pas Pusat dan kalangan pemimpin Pas tidak senang dengan tindakan Ahli Parlimen Pas Hulu Langat ini. Ini semua bermaksud apa? Pas lebih senang rakyat terus dibohongi dengan maklumat palsu daripada diberikan fakta sebenar.

Terbaru, Jamilah Abu Bakar, yang melihat ibu bapa dan adiknya ditembak komunis 61 tahun lalu, memberitahu bahawa Naib Yang Dipertua Pas Pulai, Zaaba Ibrahim, telah memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kerajaan semasa melawat ke rumahnya Ahad lalu bagi pihak Mat Sabu. Jirannya, Mokhtar Jalok, 72, berkata pemimpin Pas itu berbohong kerana dia kenal Zaaba bukan kakitangan awam tapi peniaga besi buruk.

Jamilah dan keluarganya tidak mahu berjumpa Mat Sabu kerana sakit hati dengan pembohongan Timbalan Presiden Pas itu mengenai peranan dan jasa pahlawan Melayu yang menentang komunis. Mat Sabu berkeras mengatakan komunis adalah wira, seolah-olah polis dan tentera adalah tali barut British.

Sebelum ini, Mat Sabu terbabit dalam kontroversi pasca-Bersih. Dia mendakwa cedera dilanggar kereta polis. Rakaman polis yang ditonton jutaan penduduk Malaysia menerusi TV menunjukkan beliau tidak dilanggar kereta polis, malah jatuh longkang kerana motornya terbabas. Dia menafikan versi polis tapi ramai percaya dia berbohong.

UMNO tidak perlu berbuat apa sebenarnya. Sejak akhir-akhir ini, pemimpin Pas seperti Mat Sabu dan parti pembangkang lain bagaikan menggali kubur sendiri atas percakapan dan tindakan yang menyakiti hati rakyat. Episod terbaru ini pasti menyebabkan Pas kehilangan banyak sokongan dan undi orang Melayu.

Padahal Pas beria-ia benar mahu menggantikan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu dan pernah menguar-uarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai bakal Perdana Menteri. Ini sekadar mimpi kerana Pas sudah menjadi parti terkecil dalam Pakatan Rakyat. Hakikatnya, populariti UMNO semakin melonjak dan Pas pula merudum.

Hari ini, UMNO mempunyai 79 kerusi di Parlimen, Pas hanya ada 24 sahaja. UMNO juga memenangi empat pilihan raya kecil berturut-turut, mengalahkan calon Pas di Galas (4 November 2010), Tenang (30 Jan. 2011), Merlimau (6 Mac 2011), dan Kerdau (6 Mac 2011). Undi yang Pas perolehi di DUN-DUN bermajoriti Melayu dalam Pilihan Raya Kecil 2010 dan 2011 semuanya semakin menguncup berbanding yang diperolehinya pada 2008.

Bilangan kerusi Pas di Parlimen adalah paling sedikit. Apabila bersekongkol dengan DAP dan PKR bermakna Pas tidak mungkin lagi dapat bertanding kerusi Parlimen yang mencukupi dalam pilihan raya untuk membolehkannya menjadi parti terbesar di Dewan Rakyat. Ini juga bermakna sampai bila-bila pun Pas tidak boleh menubuhkan negara berkebajikan. Inilah realiti yang harus disedari semua ahli dan penyokong Pas.

Ramai berkata, punca populariti Pas menjunam sekarang adalah kerana kerjasama politiknya dengan PKR dan DAP. Pemimpin Pas pernah menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan sesiapa saja, waima syaitan, untuk menjatuhkan UMNO. Belum sempat berpakat dengan syaitan, baru dengan PKR dan DAP pun, Pas sudah longlai dan tidak konsisten dalam perjuangannya. Kerana mahu ambil hati kawan, Pas sanggup gadai prinsip perjuangan.

Kerana ingin mengecap sedikit kuasa, Pas tidak lagi mempertahankan konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai hukum hudud, malah bersekongkol dalam soal penjualan arak, judi dan rumah urut di Selangor. Untuk pilihan raya umum 2004 dan 2008, Pas tidak lagi mengangkat Dokumen Negara Islam seperti 1999, tapi menjunjung pula Buku Jingga, yang sarat dengan janji palsu yang tidak tertunai.

Janji palsu terbesarnya ialah hudud. Pas menentang UMNO di Kelantan pada 1990 dan Terengganu pada 1999 kerana tidak melaksanakan undang-undang Islam. Bila dapat memerintah, Pas memberi pelbagai alasan kenapa tidak melaksanakan hudud. Antaranya, sekatan Kerajaan Persekutuan, mahu memberi masa kepada rakyat terutama bukan Islam memahami konsepnya dan tidak cukup pelaksana seperti peguam dan hakim.

Sebagai Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi pernah berkata hudud tidak penting untuk dilaksanakan kerana ia cuma 0.00001 peratus daripada syariah Islam. Di muktamar Pas ke-57 lalu, dia baru sedar negara Islam tidak disebut dalam al-Quran. Dalam keadaan sekarang, kerana bersekongkol dengan PKR dan DAP yang sememangnya menolak undang-undang syariah, maka janji Pas ini tidak akan tertunai sampai bila-bila.

Dan dalam keadaan beginilah, bagaikan orang mabuk baru bangun tidur, Pas membuat kenyataan mahu kembali mempertahankan hak orang Melayu meskipun selama ini menolak perjuangan berasaskan bangsa. Dulu, Pas menolak hak keistimewaan orang Melayu. Pas juga menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang banyak menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Adakah Pas sudah berubah sikap dan pendirian mengenai kedua-dua perkara ini? Bolehkah orang Melayu mempercayai Pas lagi? Pemimpin Pas kutuk bangsa sendiri, malu jadi Melayu kononnya. Pas anggap orang Melayu yang tidak menyokong calonnya sebagai jahiliah. Sejak 1950an lagi orang Melayu dikafirkan, dan masyarakat Melayu berpecah-belah kerana fatwa yang songsang. Mat Sabu pula menghina pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak serta anggota keselamatan, yang sebahagian besarnya Melayu, menentang komunis untuk mencapai kemerdekaan.

Kenapa tiba-tiba Pas mahu jadi jaguh perjuang orang Melayu? Jika benarlah Pas sungguh-sungguh hendak menjadi parti mewakili Melayu, kenapa Pas tidak memperjuangkan hak orang Melayu di Pulau Pinang, yang dilayan bagaikan orang Melayu di Singapura, dan di negeri-negeri lain? Kenapa pemimpin Pas sanggup 'bisu dan pekak' walaupun DAP sering mengganggu gugat urusan agama Islam?

Malah, dalam kertas kerjanya di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa - Jaminan Pas pada 19 Februari lalu, Abdul Hadi sangat kabur dalam penjelasannya mengenai pengupayaan bangsa Melayu. Tiada saranan khusus bagaimana meningkatkan keupayaan dan penguasaan orang Melayu. Dia cuma berkata perjuangan Pas untuk memakmurkan "seluruh penghuni bumi termasuk binatang dan alam sekitar."

Pas jelas adalah sebuah parti oportunis, dan hanya gilakan kuasa. Dulu Pas mahu lelong Putrajaya, sekarang mahu menguasai Putrajaya pula. Tapi Pas tahu bahawa ia akan kehilangan kira-kira 34 kerusi Parlimen jika gagal mendapat semula sokongan pengundi Melayu dalam PRU-13 nanti. Kerana itulah ia mahu kembali menjadikan pengundi Melayu sebagai 'power base'nya.

Pada 2008, hampir semua kawasan yang Pas berjaya catat prestasi baik adalah di kawasan majoriti bukan Melayu. Oleh itu, bila nak undi orang Cina dan India, dia kata tidak bangga jadi Melayu.

Bila nak undi Melayu, dia sebut Ketuanan Islam pula. Kononnya pemimpin UMNO tidak Islamik, kepimpinan negara mewarisi pemikiran penjajah dan akan menerima nasib yang sama seperti pemimpin Mesir dan Tunisia.

Pemimpin Pas apabila bercakap, sering merujuk diri dan kerja mereka dengan apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Kelantan pula disebut sebagai Serambi Mekah, dan Kota Bharu pula sebagai Kota Islam. Ini adalah strategi melengkapkan gambaran Islamik kepada pemimpin Pas dan negeri yang mereka perintah.

Tapi di manakah Islamiknya pemimpin Pas jika suka berbohong dan cakap berbelit-belit? Apakah merit parti yang menggunakan nama 'Islam' tapi memberi janji palsu, memberi gelaran buruk dan hina Muslimin lain? Ingatlah, Nabi Muhammad menggunakan agama untuk mengislamkan orang-orang kafir. Tapi Nik Aziz dan Abdul Hadi menggunakan agama untuk mengkafirkan orang yang sudah Islam. Itu bezanya.

Membanteras anasir militan

Posted:

Membanteras anasir militan

Membanteras anasir militan

Oleh DATUK MOHAMAD FUZI HARUN
PENULIS ialah Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.


Operasi polis di kampung Sungai Cincin di Gombak, Selangor ke atas kumpulan al-Qaeda pimpinan Ayman Al-Dakkak pada Januari 2010.


SELEPAS genap 10 tahun tragedi serangan 11 September 2001 atau 911 ke atas Amerika Syarikat (AS) oleh kumpulan al-Qaeda, tiada tanda-tanda menunjukkan ancaman kumpulan tersebut akan berakhir.

Walaupun hampir semua pimpinan tertinggi al-Qaeda berjaya ditangkap atau dibunuh termasuk Osama bin Laden pada 1 Mei 2011 namun, beberapa serangan berani mati terus dilancarkan oleh kumpulan gabungannya yang memegang ideologi sama seperti al-Qaeda iaitu Salafiah Jihadiah.

Malaysia turut dikaitkan dengan tragedi serangan 911 apabila empat daripada perancang operasi atau dikenali sebagai operatif-operatif al-Qaeda yang terlibat pernah mengadakan perjumpaan sulit di Kuala Lumpur pada Disember 1999 dengan bantuan anasir-anasir kumpulan Jemaah Islamiah (JI) tempatan.

Malah beberapa hari selepas tragedi 911, media antarabangsa telah menyiarkan laporan-laporan mendakwa Malaysia sebagai 'Launching Pad' kepada operatif-operatif al-Qaeda yang terlibat.

Namun ia dilihat sebagai usaha negara-negara Barat untuk menutup kelemahan masing-masing kerana gagal mengesan dan mengambil tindakan mencegah serangan tersebut walaupun mereka sebenarnya mempunyai maklumat terperinci mengenai beberapa operatif yang terlibat.

Beberapa operatif al-Qaeda yang terlibat termasuk Khalid Al-Mihdhar, ketua kumpulan yang merampas pesawat Amerika Airlines Flight 77, pesawat yang merempuh Bangunan Pentagon di Washington, AS, memang pernah memasuki Malaysia pada Disember 1999.

Sepanjang berada di Malaysia sehingga awal Januari 2000, mereka dibantu oleh anasir-anasir JI tempatan. Kondominium tempat mereka menginap di Bandar Sungai Long adalah milik anggota kanan JI negara ini iaitu Yazid Sufaat yang pernah menjalani latihan di kem Al-Qaeda di Afghanistan pada 1999 sehingga 2001.

Malah Yazid Sufaat juga pernah berbai'ah dengan Osama di Kandahar, Afghanistan. Di samping Yazid Sufaat, terdapat 10 lagi anggota JI tempatan yang pernah berbai'ah dengan Osama.

'Mastermind' di belakang serangan 911 adalah Khalid Syeikh Mohamad, ketua operatif al-Qaeda yang juga pernah memasuki Malaysia sejak 1993 untuk mengadakan pertemuan dengan Hambali, anggota kanan JI Malaysia.

Menurut rancangan awal Khalid yang dibentang kepada Osama pada Mac 1999, serangan tersebut turut melibatkan rancangan merampas pesawat di Thailand, Korea Selatan, Hong Kong dan Malaysia.

Namun Osama berpendapat rancangan tersebut terlalu besar dan akhirnya menumpukan kepada serangan di AS saja.

Insiden 911 juga telah mendorong pihak polis di rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia melancarkan operasi tangkapan ke atas anasir-anasir JI di negara masing-masing yang merupakan kumpulan gabungan al-Qaeda.

Beberapa rakyat Malaysia yang merupakan anggota kanan al-Qaeda termasuk Mohammed Nazir Lep dan Mohd. Farik Amin turut ditangkap oleh pihak berkuasa asing.

Mohammed Nazir berasal dari Muar, Johor manakala Mohd. Farik dari Kajang, Selangor adalah dua rakyat Malaysia yang dipilih menyertai kumpulan Al-Qaeda untuk melancarkan serangan ala 911. Namun kedua-duanya ditangkap bersama Hambali di Bangkok pada Ogos 2003 dan kini kesemuanya ditahan di Teluk Guantanamo.

Sejak 2001, PDRM telah menahan seramai 202 anasir militan yang majoritinya terdiri daripada JI dan al-Qaeda.

Jumlah itu termasuk 74 anasir militan (21 daripadanya adalah anggota al-Qaeda) yang ditangkap di Malaysia sejak penubuhan Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) pada Mac 2009.

Ini menunjukkan ancaman al-Qaeda dan JI masih wujud, walaupun tahap ancaman tersebut semakin menurun.

Apa yang jelas, daripada tangkapan yang dibuat sejak 2009, menunjukkan terdapat anasir-anasir al-Qaeda yang menyusup masuk untuk transit di Malaysia dan cuba merekrut pelajar-pelajar asing dan rakyat tempatan untuk menyertai kumpulan mereka.

Di samping anasir al-Qaeda dari luar negara, polis juga terus memantau 20 bekas anggota JI yang pernah menjalani latihan ketenteraan di kem al-Qaeda di Afghanistan.

Tangkapan seramai 11 anggota kumpulan al-Qaeda yang diketuai oleh Ayman Al-Dakkak di Gombak pada 21 Januari 2010 jelas membuktikan bahawa usaha merekrut anggota baru Al-Qaeda adalah satu proses yang berterusan.

Banyak pihak berpendapat ancaman al-Qaeda akan berkubur dengan pembunuhan Osama. Namun apa yang jelas kini negara menghadapi ancaman penyebaran ideologi Salafiah Jihadiah al-Qaeda yang masih terus disebarkan secara meluas melalui Internet.

Ini amat membimbangkan PDRM kerana terdapat pemikir yang menunjukkan sudah ada individu-individu terutamanya remaja terpengaruh untuk melancarkan serangan ganas bersendirian selepas terpengaruh dengan ideologi Salafiah Jihadiah.

Kecenderungan remaja dan golongan pelajar untuk terpengaruh dan menjadikan al-Qaeda sebagai simbol perjuangan tidak boleh diketepikan.

Ini terbukti dengan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis pada Julai 2010 ke atas Mohd. Fadzullah, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Dia yang terpengaruh dengan ideologi Salafiah Jihadiah telah menubuhkan kumpulan Tandzin Al-Qaeda Asia Tenggara pada 2008 dan berjaya merekrut lima penuntut UTM Skudai.

Dua daripada anggota kumpulannya yang juga penuntut UTM telah ditangkap di Thailand pada 2007 dan kini menjalani hukuman penjara selama 28 tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam aktiviti keganasan di negara tersebut.

Mohd. Fadzullah dan anggota-anggotanya menjadikan Osama dan al-Qaeda sebagai idola mereka.

Trend ancaman kumpulan al-Qaeda kini yang melibatkan sel-sel kecil, beroperasi secara berasingan dan tidak mempunyai struktur organisasi dan hubungan dengan kepimpinan induk al-Qaeda amat membimbangkan.

Ini menyukarkan pihak polis untuk mengesan aktiviti dan perancangan anggota sel ini.

Setakat ini pihak polis masih berjaya mencegah sebarang serangan oleh anasir-anasir militan di Malaysia walaupun terdapat rancangan untuk melancarkan serangan di negara ini.

Kejayaan itu banyak dipengaruhi oleh kemampuan polis mengesan dan menangkap anasir-anasir militan tersebut sebelum mereka berada di peringkat akhir serangan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, tahanan-tahanan yang ditahan di bawah ISA juga menjalani proses pemulihan sebelum dibebaskan kembali. Setakat ini kaedah yang digunakan mampu menangani ancaman kumpulan-kumpulan militan.

Selain Malaysia, Singapura juga menggunakan akta sama dalam menangani ancaman kumpulan JI dan al-Qaeda.

Pihak polis juga amat berharap dengan langkah membatalkan pemberian visa waktu ketibaan (VOA) kepada pelawat-pelawat dari negara-negara berisiko mampu membantu polis mengawal kehadiran anasir militan asing khususnya al-Qaeda ke Malaysia.

Begitu juga dengan perlaksanaan sistem biometrik di semua pintu masuk negara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved