Ahad, 11 September 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kemudahan canggih hospital baharu

Posted:

Kemudahan canggih hospital baharu

Kemudahan canggih hospital baharu


Abdul Rahman Mohamad (dua dari kiri) bersama Suhaimi Ibrahim (dua dari kanan) melihat model hospital baru di Kuala Lipis. baru-baru ini.


KUALA LIPIS 11 Sept. - Masyarakat daerah ini bakal menerima kemudahan perubatan lebih baik dengan pembinaan hospital baru yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Ketua UMNO Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, hospital bernilai RM97 juga itu menyediakan kemudahan perubatan canggih yang bakal memberi keselesaan kepada penduduk di daerah ini.

Menurutnya, pembinaan hospital itu yang terletak bersebelahan dengan tapak sedia ada dilaksanakan berikutan hospital sekarang ini tidak berupaya menampung jumlah pesakit yang ramai.

"Kemudahan perubatan baru itu lebih sempurna kepada penduduk di sini sekali gus menaikkan status bandar ini ke tahap lebih moden," katanya kepada pemberita selepas melawat bangunan baru hospital itu, di sini kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suhaimi Ibrahim; Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat dan Pengarah Hospital Lipis, Dr. Sharifuddin Saad.

Menurut beliau, hospital itu menempatkan 128 katil selain mempunyai klinik doktor pakar, kemudahan pembedahan kritikal, wad bersalin, balai pelawat, unit diabetik, unit sajian makanan, unit kecemasan trauma dan parkir bertingkat.

Jelasnya, bagi bangunan hospital sedia ada pula, ia akan dikekalkan dan dinaik taraf untuk klinik pesakit luar, klinik kecemasan, wad kanak-kanak dan dewasa.

Katanya, projek rakyat itu dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dalam membela kebajikan dan kehidupan rakyat luar bandar.

Tambahnya, pembinaan hospital tersebut merupakan sebahagian daripada projek kerajaan bagi menyediakan kemudahan dan prasarana kepada penduduk di sini.

Dalam pada itu, Dr. Sharifuddin berkata, purata pesakit yang menerima rawatan di hospital itu adalah seramai 90 orang sehari termasuk kes kecemasan dan dijangka meningkat kepada 200 orang dalam tempoh dua tahun ini.

Tambahnya, sehingga kini, kes yang kritikal membabitkan pembedahan masih dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) Temerloh dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan beban itu dapat diatasi apabila hospital baru itu beroperasi tidak lama lagi.

Di manakah semangat kemerdekaan negara di kalangan rakyat jelata?

Posted:

Di manakah semangat kemerdekaan negara di kalangan rakyat jelata?

Di manakah semangat kemerdekaan negara di kalangan rakyat jelata?

SAMBUTAN Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia 16 September ini diasak pelbagai cabaran dan keharmonian masyarakat sedikit tercalar berikutan isu kenyataan seorang pemimpin pembangkang yang mengangkat penyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai hero.

Apakah di sebalik niat Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang tahu sejarah sebenar Bukit Kepong, tetapi kemungkinan memilih sikap berpura-tahu tidak tahu demi kelangsungan politiknya.

Bukan isu Mat Sabu yang ingin diperkatakan tetapi soal masyarakat yang dilihat sedikit hambar dalam menyambut sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini seolah-olah tidak terasa disebabkan tumpuan masyarakat kepada Aidilfitri.

Walaupun pelbagai agensi kerajaan terutama Jabatan Penerangan melakukan program semarak kemerdekaan, sambutan yang diterima hanya bersifat sementara memandangkan ia dijalankan pada bulan Ramadan.

Tidak begitu ramai pihak yang tampil 'berdiri' di plaza tol dan jalan utama negeri ini untuk mengedarkan Jalur Gemilang.

Lebih mengecewakan premis-premis perniagaan seolah-olah 'tidak tahu' bahawa Ogos merupakan bulan yang patut diraikan sebagai tanda kebebasan negara kita daripada penjajah.

Bagi segelintir pemilik premis yang mengibarkan Jalur Gemilang, saya ucapkan tahniah kerana semangat patriotisme masih tebal walaupun tidak ramai yang mahu berbuat demikian.

Selain premis perniagaan, tidak banyak kawasan kampung yang mengibarkan bendera keramat itu kecuali bendera parti politik yang sentiasa berkibar tidak kira masa.

Semua itu berlaku kerana kita seolah-olah merasakan tiada apa yang istimewa lagi mengenai 31 Ogos dan 16 September.

Kemungkinan sebahagian besar di kalangan daripada kita memahami, tarikh itu negara merdeka dan ia akan disusuli dengan perarakan di Dataran Merdeka bukan di bandar kampung dan pedalaman.

Hakikat sebenarnya erti kemerdekaan itu sudah semakin pudar dalam jiwa terutama generasi muda.

Bagi mereka, tiada apa-apa yang istimewa mengenainya malah sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dianggap lebih signifikan dan menarik.

Kemerdekaan yang disambut dianggap oleh mereka sebagai salah satu pesta dalam 'kalendar' kegembiraan atau cuti umum.

Generasi muda akan terus leka dengan keseronokan mereka tanpa mempedulikan betapa pentingnya usaha dilakukan oleh wira dan pemimpin terdahulu untuk mengisi kemerdekaan.

Kita lupa bagaimana kemerdekaan harus dituntut dengan keringat, darah dan air mata pejuang-pejuang kemerdekaan.

Sama ada hendak diakui atau tidak, banyak pihak bersalah dalam soal ini kerana penghayatan kemerdekaan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Sepatutnya, semangat nasionalisme di kalangan rakyat khususnya generasi muda yang akan mengemudi negara ini pada masa depan harus dipupuk supaya negara ini tidak lagi dijajah oleh bangsa asing.

Mungkin tidak salah mereka berbuat demikian tetapi semangat yang ada juga harus ditonjolkan pada tanggal 31 Ogos kerana 'pesta ulang tahun kemerdekaan' berlandaskan demokrasi tidak akan wujud tanpa sebuah kemerdekaan.

Justeru semua episod malang ini harus dihentikan. Semua pihak terutama ahli politik, ketua jabatan, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak berkuasa tempatan dan veteran penjawat awam di negara ini tanpa mengira fahaman politik mereka wajar kembali kepada matlamat sebenar kemerdekaan.

Kita belum terlambat lagi untuk meraikannya kerana sambutan Hari Malaysia pada Jumaat ini wajar dihayati dengan penuh keinsafan. Justeru, tepuk dada tanya selera, apakah sumbangan anda sebagai rakyat terhadap negara.

52 murid ikuti program motivasi UPSR

Posted:

52 murid ikuti program motivasi UPSR

52 murid ikuti program motivasi UPSR


A. Rahman A. Majid (berdiri tengah, belakang) bersama guru dan murid tahun enam selepas program Mohon Restu Titisan Ilmu di Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 11 Sept. - Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Kota Gelanggi 2 di sini, menganjurkan program motivasi bagi mempersiapkan 52 murid sekolah itu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula Selasa ini.

Guru Besar sekolah tersebut, A. Rahman A. Majid berkata, program yang dikenali sebagai Mohon Restu Titisan Ilmu membabitkan penyertaan guru, jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid terbabit.

Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan ialah solat hajat, bacaan Yasin dan ceramah motivasi.

"Sebelum ini pihak sekolah membawa murid Tahun Enam mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah, Lanchang bertujuan untuk percambahan ilmu dan menenangkan fikiran menerusi kegiatan rekreasi," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, program itu adalah cetusan Unit Kaunseling dan Bimbingan sekolah tersebut untuk merangsang semangat murid Tahun Enam untuk menghadapi peperiksaan berkenaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Kecemerlangan UPSR sekolah, Tan Yahya Tan Ibrahim berkata, sebelum ini murid terbabit mengikuti kelas bimbingan peperiksaan sepanjang tahun yang dibiayai oleh PIBG dan pengurusan Felda.

Tambahnya, pihak sekolah turut mengundang guru cemerlang, pakar motivasi dari Pejabat Pelajaran Jerantut dan Felda bagi memberi bimbingan serta teknik menjawab soalan peperiksaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved