Rabu, 7 September 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Mat Indera militan PKM

Posted:

Mat Indera militan PKM

Mat Indera militan PKM


Mat Indera


Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera adalah anak Johor yang terlibat dengan gerakan-gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu beroleh kemerdekaan.

Beliau pada awalnya, seperti individu-individu lain juga telah berjuang atas platform masing-masing, dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Bezanya, Mat Indera melibatkan diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.

Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam.

Apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM telah diharamkan.

Oleh itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Perjuangan melalui parti dan gerakan (UMNO) yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan melibatkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pasca merdeka di negara ini.

Bagaimanapun Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.

Tindakannnya terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

Ini berlainan dengan para pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Kemuncak penglibatan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu adalah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.

Fakta yang diperolehi daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas tersebut terhadap pegawai-pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.

Sebagai seorang daripada pemimpin rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang diharamkan, Mat Indera adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan tersebut.

Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.

Sedangkan ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara.

Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk dari 'Malayan Union' British sebelum itu.

Komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan 'People's Democratic Republic of Malaya' yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.

Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.

Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.

Akhirnya Mat Indera telah berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan teroris yang diharamkan sehingga ke hari ini.

Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berpelembagaan.

Berdasarkan fakta-fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera adalah dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Regimen ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.

Dia bukan seorang 'pejuang' untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun.

Sehingga hari ini, ketika rakyat negara ini sudah merdeka dan berkerajaan sendiri sejak 1957, gerakan PKM tetap diharamkan. Gerakan itu diharamkan kerana cita-cita komunisme yang bertentangan dengan ajaran Islam, ketuhanan dan bersifat menindas perbezaan pendapat dalam sistem demokrasi, walaupun sudah ada perjanjian perletakan senjata parti itu di Betong (Thailand) dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ) segala kajian, penulisan dan catatan yang berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, adalah data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Penulisan dan catatan tersebut adalah menjadi bahan-bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik yang diamalkan olek kerajaan Malaysia kini, untuk mengayakan lagi khazanah maklumat dan rakaman-rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi demi generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan masa akan datang.

DATUK ABDUL GHANI OTHMAN Menteri Besar Johor

Pas, PKR bukan tempat bergantung

Posted:

Pas, PKR bukan tempat bergantung

Pas, PKR bukan tempat bergantung

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Mohammad Sabu memerhatikan Mustapa Ali memberi kenyataan tentang erti pejuang kemerdekaan sebenar di pejabat Pas Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, kelmarin.


''UMNO adalah harapan orang Melayu. Segala-galanya yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan UMNO. Kita telah menangkis Malayan Union, kita telah mencapai kemerdekaan, kita telah mengisi kemerdekaan ini dengan pembangunan, kita telah meningkatkan ekonomi dan pelajaran orang Melayu dengan menggunakan kekuatan yang kita dapati daripada UMNO."

Inilah fakta mengenai sumbangan UMNO kepada orang Melayu tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka yang dibentangkan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika menyampaikan amanat di Perhimpunan Agung UMNO pada April 1987.

Fakta inilah yang terpaksa diakui oleh Pas melalui sidang media oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali kelmarin yang bertujuan mempertegaskan penolakan parti itu terhadap ideologi dan perjuangan komunis.

Malahan Mustafa mengakui bahawa melalui perjuangan UMNO, negara mampu mencapai kemerdekaan dan fakta ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja yang bergelar orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Justeru apabila Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu cuba menafikan bahawa Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman adalah pejuang bangsa maka tidak salahlah kalau orang menganggap beliau buta sejarah, dangkal fikiran dan mencari publisiti murahan.

Sememangnya tindakan menafikan sumbangan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya dalam memerdekakan negara bukan sahaja boleh dianggap jahil malah satu tindakan politik jumud.

Tidak kira sama ada orang Melayu itu berada dalam parti politik apa sekali pun, apa yang jelas mereka tidak mampu memadamkan sejarah terhadap jasa besar UMNO kepada negara ini.

UMNO adalah parti keramat yang bukannya ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan atau berikutan perasaan tidak puas hati mana-mana pemimpin kerana tidak mendapat jawatan tetapi seperti mana kata seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO kepada penulis, UMNO lahir kerana doa orang Melayu yang mahu menuntut kemerdekaan ketika itu.

''Oleh itu UMNO bukan sebarang parti, ia ditubuhkan melalui niat dan perjuangan yang suci demi memartabatkan orang Melayu, membela maruah bangsa dan mempertingkatkan syiar Islam di negara ini," kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dalam pertemuan dengan penulis pada Isnin lalu.

Atas sebab itulah, UMNO harus terus dipelihara dan dijaga oleh semua orang yang mengaku dirinya Melayu. Berbeza fahaman politik sehingga berhasrat mewujudkan gerakan bagi menggantikan peranan UMNO sebagai parti utama kepada orang Melayu bukanlah langkah yang bijak.

Sebaliknya ia akan membuka laluan kepada terhapusnya kekuatan dan kekuasaan politik orang Melayu yang sekali gus menggugat kedudukan Islam di negara ini.

Orang Melayu perlu memahami bahawa selama ini apa juga yang dinikmati dan diraih adalah hasil perjuangan UMNO yang bukan sahaja bertanggungjawab memperjuangkan kemerdekaan tetapi juga menyusun strategi serta langkah bagi memastikan orang Melayu tidak merempat di tanah air sendiri.

Atas sebab itulah, orang Melayu tidak boleh terpedaya dengan mainan politik mana-mana pihak terutamanya Pas kononnya mereka mampu menjadi lebih baik daripada UMNO dan sudah bersedia menggantikan peranan UMNO.'

Impian seumpama ini hanyalah sekadar mimpi di siang hari kerana Pas tidak ada kekuatan mempertahankan prinsip seperti mana UMNO dan Pas tidak dominan seperti mana UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Pas bagaikan sesumpah yang boleh menukar wajah mengikut perjalanan politik yang dilaluinya. Sebab itulah Pas bersedia mengorbankan perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Tetapi UMNO tidak berbuat demikian, UMNO tidak pernah berganjak seinci pun daripada perjuangannya dalam memartabatkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini namun dalam yang sama tidak menindas kaum-kaum lain.

Fakta inilah yang harus dipegang oleh semua orang Melayu agar mereka tidak mudah terpedaya dengan mainan politik alaf baru yang cuba menafikan kepentingan UMNO untuk terus kekal berkuasa di negara ini.

Pengekalan kedudukan UMNO sebagai tunjang utama pemerintahan negara bukan semata-mata kerana kuasa politik atau kedudukan tetapi bagi mengelakkan negara ini menjadi huru-hara memandangkan tidak ada parti Melayu seperti UMNO dan juga mana-mana parti komponen lain yang boleh menggantikan BN.

Walaupun pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP cuba meniru amalan politik BN tetapi setakat ini mereka tidak begitu berjaya, perbezaan idelogi dan berlainan falsafah perjuangan membantutkan usaha berkenaan.

Apa yang paling malang, orang-orang Melayu yang berada di dalam PKR dan Pas telah diperalat untuk melemahkan UMNO melalui percaturan dalam perebutan kerusi dalam pilihan raya.

Lemahnya UMNO hanya akan mengakibatkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini tidak tergugat.

Percayalah orang Melayu tidak boleh bergantung kepada PKR dan Pas bagi mempertahankan kedudukan mereka kerana kedua-dua parti itu tidak ada kekuatan politik seperti mana UMNO kecapi dalam BN.

Bagaimanapun, dalam kita berhujah soal betapa penting orang Melayu mengiktiraf jasa dan mempertahankan kedudukan UMNO, kita juga harus memperingatkan pemimpin-pemimpin di dalam UMNO sendiri supaya jangan ada antara mereka terus bercakaran untuk merebut jawatan dan kedudukan.

Dari segi kerusi pilihan raya, UMNO kini masih boleh dianggap rapuh, masih kehilangan kuasa di Kelantan sejak 1990, terlepas takhta di Kedah, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor pada pilihan raya umum lalu sepatutnya memberikan pengajaran berguna kepada pemimpin UMNO.

Pilihan raya umum akan datang dikatakan menjadi medan perhitungan utama bagi menentukan survival parti terbesar orang Melayu itu.

UMNO tidak boleh lagi mengulangi kekalahan dalam pilihan raya umum 2008 kerana ia boleh mengakibatkan kedudukan orang Melayu tergugat.

Justeru kepada pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO terutamanya di peringkat bahagian usahlah terlalu kemaruk untuk mempertahankan kedudukan sehingga ia akhirnya merugikan parti.

Penulis membangkitkan perkara ini kerana mendapati di sesetengah negeri walaupun ketua-ketua bahagian tertentu sudah ditolak rakyat, mereka masih mahu mempertahankan kedudukan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam soal ini, sudah sampai masanya, pemimpin-pemimpin tersebut memikirkan mengenai survival UMNO dan orang Melayu, bukannya kepentingan peribadi.

Pilihan raya umum kali ini amat penting bagi UMNO, parti itu tidak boleh lagi berhadapan dengan kemerosotan perolehan kuasa sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

Semakin kurangnya jumlah kerusi milik UMNO dalam kedua-dua dewan berkenaan maka semakin longgarlah cengkaman parti Melayu itu untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved