Rabu, 7 September 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Wajah baru Chow Kit

Posted:

Wajah baru Chow Kit

Wajah baru Chow Kit

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my


PEMBANGUNAN semula Pasar Raja Bot (gambar kiri) yang sesak sekarang akan mengambil Pasar Queen Victoria (kanan) di Melbourne, Australia sebagai model contoh.


KUALA LUMPUR 7 Sept. – Pasar Raja Bot di Chow Kit yang berusia 56 tahun bakal dibangunkan semula, dengan pasar terkenal yang menjadi tumpuan pelancong, Pasar Queen Victoria di Melbourne, Australia menjadi model pembangunannya.

Pelan pembangunan pasar tersebut kini dalam proses terakhir penambahbaikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum pembangunan berkenaan boleh dimulakan.

Mengikut perancangan, projek yang akan dilaksanakan di atas tapak seluas 1.82 hektar dengan peruntukan sebanyak RM25 juta itu akan dimulakan pada awal tahun hadapan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, pasar tersebut akan hanya mempunyai satu tingkat bangunan di bawah satu bumbung besar.

Katanya, para peniaga di Jalan Raja Husin, Jalan Raja Bot dan Jalan Raja Alang akan ditempatkan di dalam pasar tersebut dan tiada lagi peniaga akan dibenarkan berniaga di luar atau di bahu-bahu jalan.

Beliau berkata, 1,500 lot niaga akan diwujudkan di dalam pasar itu dan ia akan dipecahkan kepada beberapa seksyen termasuk seksyen untuk barangan basah bagi menampakkan suasana seragam, kemas dan tersusun.

Katanya, medan selera akan ditempatkan di pintu masuk utama bagi memudahkan pengunjung menjamu selera sebelum atau selepas mereka membeli-belah.

"Kita turut akan membuat lapan pintu masuk bagi memudahkan orang ramai mengunjungi pasar tersebut dan mengelak berlakunya kesesakan terutama pada waktu puncak.

"Kita juga akan sediakan satu tempat khas sebagai kawasan pemunggahan barang supaya tidak berlaku keadaan kelam-kabut seperti yang berlaku sekarang. Ini juga bagi memudahkan kita mengawal kebersihan pasar itu," jelasnya.

Mengenai tempat letak kereta yang sering menjadi masalah di ibu negara, Ahmad Fuad berkata, pihaknya sedang mengkaji jalan terbaik untuk kemudahan dan keselesaan semua pihak.

"Masalah ini (parkir) memang sering dibangkitkan oleh peniaga mahupun pengunjung dan kita akan mencari penyelesaian terbaik kepada perkara itu," tegasnya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mendapatkan pandangan semua pihak terutama peniaga dalam membangunkan semula pasar itu dan diharapkan peniaga akan memberikan kerjasama mereka supaya projek ini berjalan lancar.

Peniaga harus jaga sikap, etika

Posted:

Peniaga harus jaga sikap, etika

Peniaga harus jaga sikap, etika


Ahmad Fuad Ismail (kiri) menunjukkan pelan Pasar Raja Bot yang baru.


KUALA LUMPUR 7 Sept. - Para peniaga yang akan ditempatkan di pasar baru bagi menggantikan Pasar Raja Bot di Chow Kit di sini harus mengubah sikap dan cara berniaga supaya bersesuaian dengan pemodenan pasar itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, usaha kerajaan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi peruntukan bagi membangunkan semula pasar usang berusia 56 tahun itu harus dihargai.

Menurutnya, para peniaga tidak boleh lagi berniaga mengikut cara mereka, sebaliknya perlu akur dengan peraturan yang ditetapkan dan sentiasa menjaga kebersihan.

"Kita akan berusaha mempercepatkan pembinaan pasar ini supaya peniaga akan dapat berniaga secepat mungkin dan kita harap komitmen kerajaan ini dibalas dengan peniaga menjaga etika dan sikap mereka," katanya.

Ahmad Fuad berkata, apabila pasar itu siap kelak, masalah yang dihadapi kini seperti sangat daif dan dihimpit pelbagai masalah seperti kekotoran, tidak tersusun dan pelbagai lagi, akan berakhir.

Justeru, tegasnya, adalah tanggungjawab setiap peniaga di situ kelak untuk memastikan imej pasar itu sentiasa di tahap terbaik.

Katanya, apabila pasar itu sentiasa bersih, kemas dan menarik, bukan sahaja orang tempatan akan mengunjunginya, malah ia boleh dipromosikan dan menjadi antara produk pelancongan terbaru di ibu negara.

Jauh dari sasaran zon bersih

Posted:

Jauh dari sasaran zon bersih

Jauh dari sasaran zon bersih

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
kota@utusan.com.my


SAMPAH-sarap, termasuk sisa makanan di lorong belakang di kawasan Bukit Bintang telah mengundang kehadiran monyet.


KUALA LUMPUR 7 Sept. – Agak mengejutkan apabila ternampak seekor monyet sedang menyelongkar timbunan sampah untuk mencari sisa-sisa makanan di kawasan Bukit Bintang.

Selain timbul tanya tanya dari mana datangnya haiwan itu, kesimpulan yang boleh dibuat terhadap kehadiran monyet itu ialah tentunya kawasan itu dipenuhi sampah.

Situasi itu juga memberi gambaran bahawa beberapa kawasan di Bukit Bintang masih jauh daripada mencapai status zon bersih yang disasarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Walaupun kebanyakan ruang hadapan premis-premis perniagaan di kawasan itu nampak bersih tetapi lorong-lorong belakang masih kotor dan dipenuhi longgokan sampah-sarap.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati antara kawasan yang mungkin terlepas pandang ialah di kawasan flat Jalan Bedara dan Jalan Beremi.

Kawasan itu dipenuhi dengan longgokan sampah manakala longkangnya tersumbat teruk.

Utusan Malaysia difahamkan, sampah-sarap yang bertaburan di situ berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab penyewa rumah yang kebanyakan terdiri daripada warga asing.

Seorang peniaga gerai berdekatan berkata, sampah yang dibuang di lorong belakang flat berkenaan telah mencemarkan seluruh kawasan Bukit Bintang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Amin Nordin Abd. Aziz berkata, warga asing memang dikenal pasti sebagai antara punca Bukit Bintang sukar kelihatan sentiasa bersih.

"Mereka yang tinggal di kawasan tersebut tidak menitikberatkan soal kebersihan dan membuang sampah sesuka hati, yang mungkin kerana sudah terbiasa dengan amalan itu," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, soal sikap adalah antara cabaran besar yang dihadapi oleh pihaknya dalam isu kebersihan dan kemudahan awam di ibu negara.

Katanya, kejayaan kempen kebersihan di kawasan itu yang perlu dicapai dalam masa enam bulan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, banyak bergantung kepada kerjasama penduduk selain tindakan dan penguatkuasaan pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved