Rabu, 7 September 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


DVD haram RM80,000 dirampas

Posted:

DVD haram RM80,000 dirampas

DVD haram RM80,000 dirampas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 6 Sept. - Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri merampas 11,000 keping cakera video digital (DVD) haram yang dianggarkan bernilai RM80,000 dalam operasi di sebuah pasar raya di Jalan Tampoi, di sini, petang semalam.

Penolong Pegawai Penguatkuasanya, Hardigor Hodin berkata, dalam operasi mulai pukul 3 petang itu, pihaknya menemui 7,000 keping DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B dan 4,000 DVD lucah dan menahan dua lelaki.

Beliau berkata, operasi yang terdiri daripada tujuh anggota penguat kuasa KDN itu turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan seorang remaja 17 tahun disyaki penjual DVD berkenaan bagi membantu siasatan.

"Mereka ini disyaki sudah lama menjalankan kegiatan di sini dan tahun ini sahaja sudah diserbu sebanyak dua kali.

"Ini merupakan operasi pertama yang dilakukan selepas Aidilfitri dan ia akan dijalankan secara berterusan bagi membanteras kegiatan ini secara menyeluruh di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di Kompleks KDN di Setia Tropika, di sini.

Hardigor berkata, dua lelaki yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 18 (4) (a) serta 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 kerana menjual DVD tanpa sijil perakuan B yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak lebih RM30,000.

Beliau berkata, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 5 (1) (a) kerana menjual DVD lucah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM50,000.

"Orang ramai diminta menghubungi 07-2269642 atau 07-2269643 sekiranya ada maklumat," katanya.

3 rumah terbakar angkara khianat

Posted:

3 rumah terbakar angkara khianat

3 rumah terbakar angkara khianat


Ahli DEWAN Undangan Negeri Tiram, Datuk Maulizan Bujang (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Zahorrain Said di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, semalam.


JOHOR BAHRU 6 Sept. - Tiga buah rumah teres dua tingkat di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang dekat sini, musnah dalam satu kebakaran awal pagi ini, yang disyaki angkara perbuatan khianat.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu turut memusnahkan beberapa buah kenderaan milik tiga keluarga terbabit terdiri daripada tiga kereta, sebuah van dan tiga motosikal.

Seorang mangsa, Ahmad Yaacob, 58, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya yang terdengar bunyi seseorang membaling sesuatu ke arah rumah mereka.

Katanya, dia yang membuka pintu melihat bahagian hadapan rumahnya dipenuhi asap tebal.

"Saya kemudian menyuruh ketiga-tiga anak saya keluar melalui pintu belakang. Jiran-jiran beritahu pada waktu kejadian itu, mereka ternampak seseorang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di depan rumah saya sebelum membaling sesuatu ke kawasan rumah.

"Sebelum ini, anak lelaki saya pernah menerima ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan lisan daripada seorang wanita yang ingin membakar rumah saya selepas anak lelaki saya tidak membenarkan dia tumpang di sini (rumah).

"Dia pernah berkata ingin menumpang di rumah ini dalam dua tiga hari sementara menunggu untuk mendapatkan rumah sewa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Zahorrain Said, 38, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan jiran-jiran.

"Saya menyuruh isteri dan tiga anak keluar melalui pintu belakang sebelum bertindak mematikan bekalan elektrik dan menyelamatkan dokumen penting. Saya cuba untuk mengeluarkan kereta, tetapi gagal kerana api sudah marak," katanya.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Mohd. Salleh Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pukul 1.50 pagi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Katanya, api berjaya dikawal dalam tempoh sejam dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM200,000.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved