Utusan Online - Politik |
Dr. Rani tetap mahu beri ceramah agama Posted: Dr. Rani tetap mahu beri ceramah agamaSHAH ALAM 7 Sept. - Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Rani Othman tetap akan menyampaikan ceramah agama di negeri ini walaupun tauliahnya tidak lagi disambung oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas tamat tempoh pada bulan lalu. Selain memberikan alasan menyampaikan ajaran Islam adalah tuntutan agama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu memberitahu, beliau berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan cara JAIS menarik balik tauliah ceramahnya. ''Mereka hanya hantar surat mengatakan yang tauliah ceramah saya yang tamat pada Ogos lalu tidak disambung tanpa memberikan sebarang alasan yang munasabah sedangkan saya ada memohon untuk memperbaharui permit tauliah saya. ''Sepatutnya mereka perlu maklumkan sebabnya, adakah saya melakukan sebarang kesalahan semasa menyampaikan ceramah sebelum ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tauliah ceramahnya yang tidak disambung oleh JAIS setelah tamat tempoh pada bulan lalu. Rani berkata, bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut, beliau akan membuat kunjungan ke pejabat JAIS dalam masa terdekat ini. ''Sebenarnya peraturan yang dikenakan oleh JAIS iaitu sesiapa yang ingin menyampaikan ceramah agama di Selangor perlu mempunyai tauliah adalah bagus dalam usaha membendung ajaran sesat. ''Cuma saya tidak puas hati mereka tidak memberi alasan mengapa tauliah saya tidak disambung," katanya. |
Mat Sabu lari daripada tanggungjawab Posted: Mat Sabu lari daripada tanggungjawabKUALA LUMPUR 7 Sept. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu disifatkan sebagai orang yang lari daripada tanggungjawab apabila beliau enggan berdebat dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung isu tragedi serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) berkata, sebagai individu yang menimbulkan isu tersebut, Mohamad atau Mat Sabu wajar menjadi pihak yang sepatutnya berdebat dengan Khairy dan bukan menyerahkan tugas itu kepada orang lain. "Dia (Mat Sabu) yang timbulkan isu, tapi dia minta orang lain untuk menjawab bagi pihaknya. Saya anggap ini adalah merupakan usaha beliau untuk lari daripada tanggungjawab," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Semalam, Khairy mendedahkan bahawa kerajaan Pas Kelantan memaklumkan debat antara beliau dan Mat Sabu dibatalkan kerana Timbalan Presiden Pas itu enggan berbuat demikian. Terdahulu, Kerajaan Pas Kelantan mengesahkan telah menghantar jemputan rasmi kepada Khairy dan Mohamad untuk berdebat berhubung isu tragedi serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong. Namun, ia ditolak oleh Mat Sabu yang kemudiannya bertindak mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berdebat dengannya atas alasan Timbalan Presiden UMNO itu terlalu kerap mengkritiknya berbanding Khairy setelah isu tersebut didedahkan pada 26 Ogos lalu. Saifuddin dalam pada itu berkata, keengganan Mat Sabu untuk berdebat dengan Khairy juga boleh ditafsirkan sebagai Timbalan Presiden Pas itu tidak menghormati jemputan kerajaan negerinya sendiri. Ujarnya, ini kerana Khairy telah pun menerima jemputan kerajaan Pas Kelantan untuk berdebat namun Mat Sabu menolak jemputan berkenaan. "Pada masa sama, kita juga boleh menganggap kerajaan negeri Kelantan tidak menghormati Timbalan Presiden Pas itu kerana meletakkan Mat Sabu untuk berdebat dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan