Utusan Online - Pahang |
Posted: 20 rumah dipukul ributOleh ALI MAHMOOD Ahli Dewan Undangan Negeri Kemayan, Mohd. Padil Osman (dua dari kiri) melawat rumah Norwadatil Anita Mohamad (tiga dari kiri) yang rosak akibat ribut di Felda Tementi, semalam. BERA 10 Sept. - Sebanyak 20 rumah di tiga tanah rancangan di sini rosak akibat angin kencang dan ribut semalam, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM100,000. Kejadian berlaku pukul 6.30 petang menyebabkan atap rumah di tanah rancangan Felda Sebertak, Felda Tementi dan Felda Rentam rosak kerana diterbangkan angin. Mangsa, Norwadatil Anita Mohamad, 40, berkata, kejadian kali kedua berlaku itu mengakibatkan rumahnya rosak dipukul angin. "Semasa kejadian, empat anak saya bermain di dalam bilik tidur sebelum atap dan bumbung bilik itu diterbangkan angin. "Keadaan itu menyebabkan hampir semua barang dalam bilik itu basah," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini. Menurutnya, bumbung bengkel membuat kuih di belakang rumahnya turut diterbangkan angin dan semua peralatan dan mesin basah. Seorang lagi mangsa, Zainidah Pono, 40, memberitahu, sebelum berlaku kejadian itu, dia melihat putaran angin kencang berpusing-pusing menghala ke rumahnya. Katanya, dia kemudian masuk ke rumah kerana bimbang keselamatan diri dan takut dihempap pokok yang terletak di hadapan kediamannya. "Saya merasa takut melihat atap rumah kelihatan berombak-ombak sebelum tercabut dan diterbangkan angin," ujarnya. Dalam pada itu, Pengurus Felda Tementi, Mohamed Basri Mansar berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan terhadap mangsa yang mati atau cedera dalam kejadian tersebut. Katanya, sembilan rumah yang rosak akan dibaiki segera oleh koperasi tanah rancangan itu. |
1,500 penduduk hadiri Tahlil Perdana Posted: 1,500 penduduk hadiri Tahlil PerdanaSanak-SAUDARA si mati membanjiri perkuburan sempena Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Perdana di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mat Kilau, Jerantut, baru-baru ini. JERANTUT 10 Sept. - Seramai 1,500 penduduk menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Perdana anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Mat Kilau di tanah perkuburan kampung berkenaan di sini, baru-baru ini. Program itu diadakan sempena Aidilfitri bagi memberi peluang kepada penduduk menziarahi dan mendoakan ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia. Ketua Kampung Melayu Mat Kilau, Annuar Awang Chik (gambar) berkata, usaha itu merupakan aktiviti bulanan bagi memberi peluang kepada waris terbabit mengadakan tahlil selain membersihkan kawasan tanah perkuburan. "Program ini amat penting dalam memberi kesedaran serta memperbaiki akhlak anak-anak serta golongan muda selain mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga dan kariah di kawasan ini. "Kita memilih mengadakan program ini pada hari raya kedua bagi membolehkan waris yang tinggal di luar kampung ini berpeluang menyertainya," katanya di sini. Pengerusi Pengurusan Tanah Perkuburan kampung itu, Abdul Razak Jamaluddin berkata, program berkenaan dilaksanakan pada Sabtu setiap bulan oleh ahli kariah di kawasan perumahan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP), Kampung Melayu, Kampung Mat Kilau dan taman perumahan berdekatan. Katanya, program itu bertujuan memperingati orang yang sudah meninggal dunia dan memberi peluang kepada waris mereka yang tinggal jauh kembali menziarahi kubur ahli keluarga masing-masing. "Program ini secara tidak langsung mempertemukan rakan-rakan yang tinggal jauh dan tidak berkesempatan berhari raya lantaran kesibukan dan waktu cuti yang singkat," katanya. |
Posted: Hayati sejarah negaraKUALA LIPIS 10 Sept. - Sambutan Bulan Kemerdekaan perlu dihayati secara mendalam terutamanya mengenai perjuangan wira bangsa pada masa lalu. Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat berkata, golongan muda khususnya harus memahami sejarah kemerdekaan dan mengenang jasa pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi mempertahankan tanah air. "Justeru, golongan muda tanpa mengira kaum perlu mengambil bahagian dalam pelbagai program yang menjurus kepada pemahaman sejarah kemerdekaan negara yang sebenar," katanya di sini, semalam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan