Jumaat, 19 Ogos 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


TMESA terus menabur jasa

Posted:

TMESA terus menabur jasa

TMESA terus menabur jasa

Oleh KAMARUDIN HAMZAH
utusanterengganu@utusan.com.my


Sebahagian pelajar yang menerima bantuan di bawah program Sponsor A Student anjuran TMESA di Besut, Terengganu, baru-baru ini.


BESUT 18 Ogos - Kepayahan hidup yang terpaksa dilalui merupakan suatu lumrah ketika meniti kedewasaan bagi kebanyakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud di sini pada masa silam.

Hampir kebanyakan mereka adalah senasib kerana latar kehidupan keluarga yang miskin tetapi sebilangan mereka yang telah berjaya dalam kehidupan sentiasa mengenang dan mengingati dari mana mereka bermula.

Di sekolah itu, mereka berjaya mengejar kecemerlangan dalam pelajaran dan menggapai cita-cita yang mana sebilangannya memegang jawatan tinggi dan terhormat di sektor kerajaan dan swasta di samping usahawan atau ahli perniagaan yang berjaya.

Masa lalu akan sentiasa mengingatkan mereka tentang sekolah dan sahabat dan melalui Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA), ia lebih menyatukan mereka.

TMESA merupakan salah sebuah persatuan bekas pelajar di negeri ini yang paling banyak menyumbang untuk warga sekolahnya melalui pelbagai program dan pendekatan.

Baru-baru ini TMESA menyalurkan bantuan kepada pelajar dari golongan keluarga miskin menerusi program Sponsor A Student (SAS).

Penyampaian disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud.

Seramai 140 pelajar miskin yang dipilih dari 14 buah sekolah menengah menerima sumbangan TMESA bagi tahun keenam dan ketujuh itu berupa wang tunai sebanyak RM200 setiap orang.

Presiden TMESA, Datuk Ir. Che Mohamad Che Jusoh (gambar) berkata, selain wang tunai, pelajar tersebut akan dibawa mengikuti lawatan yang ditaja TMESA ke ibu negara bagi membuka minda dan menambah pengetahuan.

"Semua perbelanjaan ditanggung oleh TMESA hasil keprihatinan dan sumbangan ahli yang mahu berbakti bagi menyemarakkan semangat para pelajar.

"Sumbangan ini dibuat dengan penuh kesedaran dan keinsafan dengan harapan dapat membantu anak bangsa yang kurang bernasib baik supaya mereka juga mempunyai peluang yang sama untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran," tambahnya.

Che Mohamad berkata, TMESA yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu kini mempunyai lebih daripada 500 ahli yang terdiri daripada bekas pelajar sekolah rendah dan menengah Tengku Mahmud.

Katanya, dalam tempoh itu TMESA telah mengeluarkan sumbangan berjumlah RM522,000 kepada 460 pelajar hasil derma ikhlas yang diperolehi daripada ahli, orang perseorangan dan syarikat-syarikat korporat.

Pelajar yang dipilih bukan hanya terdiri daripada pelajar sekolah menengah di daerah Besut sahaja sebaliknya TMESA melangkaui sumbangan dan keprithatinannya kepada pelajar di daerah lain.

"Sebagai orang yang telah berjaya, ahli-ahli TMESA mahu menjadi model untuk dicontohi oleh semua pihak termasuk guru-guru dan anggota masyarakat dalam memikul tanggung jawab untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Kami tidak mahu menjadi 'kacang lupakan kulit' tetapi mahu menyumbangkan sebahagian daripada kesenangan yang diperolehi hasil pendidikan yang kami terima ini bagi membantu pelajar yang memerlukan, "katanya.

Selain itu menurutnya, usaha yang dilakukan oleh TMESA itu bertujuan membalas jasa dan khidmat guru-guru yang tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu sehingga mereka berjaya menjadi 'manusia'.

Katanya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), TMESA ingin menggerakkan kesedaran masyarakat untuk bersama-sama menyumbang bagi membantu golongan pelajar miskin itu

Pada masa sama tambahnya, bimbingan, galakan yang berterusan serta menanam sikap disiplin dan mementingkan nilai-nilai murni perlu juga diberikan kepada golongan pelajar tersebut.

Menurut Che Mohamad, di pihak pelajar yang menerima bantuan pula perlu sedar bahawa sumbangan yang diberikan bukan sekadar membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka tetapi sebenarnya untuk menyuntik semangat mereka.

"Kita tidak mahu disebabkan oleh faktor kemiskinan keluarga ramai yang tercicir dan tidak dapat meneruskan pelajaran mereka sedangkan pelajaran merupakan satu perkara penting untuk mencorakkan hidup pada masa depan.

"Perkara ini perlu ditekankan kerana merekalah yang akan menjadi pelapis sama ada dalam bidang politik, korporat dan juga kerajaan dan semestinya generasi mereka perlu kuat, maju dan berdaya tahan serta berdisiplin, "katanya.

Menurut beliau, pelajar perlu sedar dan insaf bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab penting dan memikul harapan besar kedua ibu bapa dan keluarga yang telah banyak berkorban demi mereka.

Akhirnya tambah beliau, pelajar berkenaan akan menjadi generasi yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran, inovatif dan memilik jati diri yang akan sentiasa berasa terpanggil untuk memberi khidmat kepada masyarakat dan negara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Dekati pemandu bas, teksi

Posted:

Dekati pemandu bas, teksi

Dekati pemandu bas, teksi

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


Abd. Ghani Che Kassim (kiri) memberi nasihat kepada pemandu-pemandu bas ekspres selepas melancarkan Operasi Hari Raya 2011 di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 18 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri memperkenalkan kaedah baru bagi menurunkan kes kemalangan pada perayaan Aidilfitri ini, dengan mendekati pemandu-pemandu kenderaan awam terutama bas ekspres dan teksi di terminal utama sebelum mereka bertolak.

Pengarahnya, Abd. Ghani Che Kassim berkata, setiap hari pegawai dan anggota JPJ akan mengadakan pertemuan dengan beberapa kumpulan pemandu untuk menyampaikan taklimat berhubung langkah-langkah keselamatan sepanjang perjalanan.

"Pertemuan anggota JPJ dengan pemandu di terminal-terminal bas serta stesen utama itu diadakan untuk memberi maklumat mengenai tahap keselamatan kenderaan dan kesesakan lalu lintas.

"Pemandu juga akan diberi semangat, kata-kata nasihat dan dorongan positif supaya mereka lebih mempunyai keyakinan untuk membawa penumpang melalui pemanduan berhemah menuju ke setiap destinasi," katanya selepas melancarkan Operasi Hari Raya Aidilfitri 2011 di terminal bas Lembah Sireh di sini, hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, beliau menemui lebih 20 pemandu dan memberikan tips serta taklimat mengenai operasi yang telah dimulakan sejak empat hari lalu, di samping mengingatkan mereka supaya berhati-hati terutama di laluan utama yang sering terjadi kemalangan iaitu Kuala Krai - Gua Musang, Machang - Jeli dan Pasir Puteh - Bukit Yong.

"Sehubungan itu, kenderaan awam dinasihatkan lebih berhati-hati kerana membawa penumpang dalam jumlah yang ramai dan memastikan sistem brek dan tayar dalam keadaan yang baik sebelum bertolak daripada terminal dan stesen bas masing-masing," ujarnya.

Menurut Abd. Ghani, melalui operasi tersebut juga JPJ akan meneruskan rondaan di atas jalan raya selama 24 jam di laluan sesak dan padat untuk mengingatkan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya.

"Selain itu, JPJ meneruskan penyamaran yang akan dilakukan oleh anggota yang tidak dicam oleh pemandu bas ekspres. Anggota terbabit akan menaiki bas bersama penumpang lain dan mencatat segala kesalahan yang dilakukan sepanjang perjalanan," katanya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, menurut beliau, JPJ memberi tumpuan kepada lima depoh utama bas iaitu bas ekspres Transnasional di Kubang Kerian, manakala Mutiara, Perdana dan Budaya di Panchor serta Mahligai di Kadok.

"Di setiap terminal terbabit, setiap bas akan diperiksa sistem brek dan tayar menggunakan alat pengukur ketebalan. Di samping itu pemandu pula diwajibkan menjalani ujian air kencing bagi memastikan mereka bebas najis dadah," katanya.

Bagi membantu melancarkan perjalanan, katanya, semua kenderaan berat seperti lori muatan pasir, batu dan kayu balak, dilarang berada di atas jalan raya selama empat hari iaitu pada 27 dan 28 Ogos serta 3 dan 4 September ini.

"Mana-mana kenderaan berat yang ditahan pada tarikh-tarikh tersebut akan ditahan dan kenderaan mereka disita dan dibawa ke depoh tertentu sementara pemandunya akan disaman," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Budayakan amalan dampingi al-Quran

Posted:

Budayakan amalan dampingi al-Quran

Budayakan amalan dampingi al-Quran

KOTA BHARU 18 Ogos - Masyarakat Islam di negara ini perlu membudayakan amalan mendampingi al-Quran pada setiap waktu dalam menghadapi pelbagai cabaran akhir zaman termasuk serangan daripada musuh Islam.

Pendakwah bebas yang juga juruhebah radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Zamri Zainal Abidin berkata, penghinaan terhadap agama Islam contohnya melalui paparan ayat-ayat al-Quran palsu yang banyak terdapat di Internet hanya dapat ditangani jika generasi hari ini mengenali al-Quran.

Justeru beliau berkata, masyarakat tempatan sepatutnya tidak malu membawa al-Quran untuk dibaca dan dikaji sepanjang masa sebagaimana dilakukan sesetengah penduduk negara Arab.

"Pengalaman saya sendiri di Mesir apabila menaiki pengangkutan awam, kita akan berasa malu dengan diri sendiri jika tidak membawa al-Quran di tangan. Penduduk di sana tidak kira tua muda, yang menutup aurat atau tidak, kebanyakannya akan memegang al-Quran kemana sahaja untuk dibaca.

"Berlainan pula dengan kita di sini yang berasa susah kalau terpaksa membawa al-Quran ke mana-mana," katanya semasa menyampaikan ceramah sempena sambutan Nuzul Quran di Masjid Telipot di sini, semalam.

Zamri berkata, kitab suci yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada bulan paling mulia itu adalah panduan terpenting yang membentuk akidah dan akhlak sebenar umat Islam.

Jelasnya, hari-hari terakhir Ramadan tahun ini yang masih berbaki perlulah diisi sepenuhnya dengan bacaan al-Quran dan juga amal ibadat lain.

"Untuk menjadi 'ahli al-Quran' ada empat syarat yang harus dipenuhi iaitu seseorang perlulah sentiasa membaca al-Quran, yakin dengannya, beramal dengan segala hukum di dalamnya dan bertadabbur atau mengkaji cerita dan peringatan yang dibawa.

"Al-Quran turun untuk menyatukan semua ilmu manusia kepada mentauhidkan Allah, tidak kira miskin kaya, bijak pandai yang mempunyai darjah doktor falsafah ataupun orang yang tidak bersekolah, semuanya membaca al-Quran dan isi kandungan yang sama," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved