Jumaat, 19 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jihad ekonomi Melayu bumiputera

Posted:

Jihad ekonomi Melayu bumiputera

Jihad ekonomi Melayu bumiputera

TERIMA kasih kepada Gabem kerana menjemput saya merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi yang bertemakan Satu Jihad Ekonomi Bumiputera.

Kita dalam satu suasana yang menampakkan bahawa rata-rata masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu ingin kepada suatu pembentukan masyarakat yang adil dan saksama dalam erti kata bahawa kalau sebut tentang pengagihan kekayaan negara, biarlah pengagihan itu dapat menepati prinsip keadilan, dapat melambangkan bahawa jika orang Melayu dan bumiputera merupakan majoriti dalam negara kita, maka tidak adil kalau kekayaan negara kita tidak mencerminkan kedudukan kaum bumiputera yang majoriti dalam negara.

Itulah merupakan pemikiran dan intipati, bukan baru ini tetapi 40 tahun dahulu. Waktu kita melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan afirmatif yang pertama dalam sejarah negara bermula pada awal tahun 70-an, kerana apa? Kerana orang Melayu tidak sanggup menjadi bangsa yang terpinggir di bumi negara mereka sendiri.

Kini 40 tahun lebih sudah berlalu, dalam kita berkonvensyen seperti ini, elok kita lakukan proses retrospektif melihat di mana kita berada sekarang, untuk kita bertanya pada diri, apa kejayaan kita dan apa kelemahan dan kekurangan serta penambahbaikan yang perlu kita lakukan.

Sebagai sebuah kerajaan, saya telah menyatakan lebih awal lagi bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir, yang penting adalah untuk kita mendengar isi hati rakyat, mendengar bisikan naluri rakyat.

Apa sebenar rakyat hendak, sebab itu saya beri jaminan bahawa Majlis Tindakan Agenda Bumiputera akan memberi pertimbangan yang serius kepada resolusi konvensyen yang kita adakan pada hari ini.

Sebab kita hendak lakukan yang lebih baik. Kita ada idea, perancangan, agenda dan fokus yang lebih tetapi penambahbaikan idea-idea dalam konvensyen seperti ini perlu dijadikan input untuk pertimbangan kerajaan.

Tuan dan puan-puan sekelian, percayalah, kerajaan amat komited kepada dua perkara, pertama, kita komited bahawa kita tidak hendak mereka memperlekehkan negara kita kerana negara ini dalam apa juga keadaan dipimpin orang Melayu sebagai teras pemerintahan negara dan UMNO adalah merupakan tunjang kerajaan yang ada hari ini.

Itu merupakan hakikat dan di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita komited untuk mentransformasi negara ini sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Kerana kalau negara maju, kemakmuran itu boleh kita agihkan, kalau negara kita tidak ada pertumbuhan ekonomi, tidak berkembang lima (hingga) enam peratus setahun, bagaimana hendak agih kepada semua, kepada negeri-negeri, hendak beri peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Semuanya datang daripada punca kekayaan hasil negara. Kalau negara kaya, Insya-Allah, tunggak kedua, untuk mempastikan kekayaan diagihkan secara adil dan saksama.

Ada orang kata sudah sampai masanya, tidak perlu lagi tindakan afirmatif, ada kata tidak perlu lagi kuota, sudah sampai masa kita mengamalkan masyarakat meritokrasi sepenuhnya. Ada yang kata begitu dalam kalangan orang Melayu yang dipanggil liberal.

Saya kata bahawa bukan Melayu kaya, dia kerja kuat, ya memang betul tetapi mereka kaya kerana negara kita stabil, ditadbir urus dengan baik.

Sejak dulu lagi, siapa beri lesen beras, lesen bank, lesen gula, sebab itu mereka berjaya, kerana kepimpinan UMNO, orang Melayu adil tetapi jangan mereka tidak bertimbang rasa kepada orang Melayu.

Mereka juga kena berlaku adil kerana orang Melayu sudah berada dalam keadaan disadvantage, sebahagian besar kita berada di luar bandar, pinggir bandar yang masih memerlukan pertolongan daripada kerajaan melalui dasar-dasar yang menguntungkan semua pihak. Sebab kalau kita hendak laksanakan meritokrasi sepenuhnya, tak adil.

Ada sebuah kampung di Hulu Tembeling, Pahang namanya Kampung Bantal dan sebuah lagi Kampung Pagi, kalaulah anak Kampung Bantal dan Pagi hendak berjaya berbanding anak yang membesar di Lembah Klang, kalau kita tidak beri pertimbangan tertentu, anak Kampung Bantal dan Pagi tidak mungkin dapat merasai tempat yang lebih baik dalam negara kita.

Sebab itu kita mesti adunkan antara meritokrasi dan keadilan sosial. Kalau tak ada meritokrasi, langsung tak ada meritokrasi, apa akan jadi kepada negara kita? Kita akan menjadi sebuah negara mediokcrity, maknanya kita tidak mengejar kecemerlangan.

Anak di luar bandar tidak boleh kita pinggirkan, perlu diberi peluang, sebab itu hala tuju dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kita adunkan meritokrasi dan keadilan sosial.

Kita perlu mencari hala tuju yang boleh diterima oleh majoriti rakyat. Sebab itu agenda untuk kita memperjuangkan kedudukan Melayu bumiputera dalam bidang ekonomi, merupakan agenda yang kita amat komited untuk menjayakannya.

Kita sentiasa memikirkan idea-idea baru, dua tahun lalu kita lahirkan Skim Jejak Jaya Bumiputera di mana kita kenal pasti syarikat-syarikat yang boleh disenaraikan di bursa saham tetapi memerlukan sedikit pertolongan daripada kerajaan.

Kalau dia dapat sedikit pertolongan kerajaan, dia boleh memenuhi kriteria Suruhanjaya Sekuriti dan disenaraikan. Setakat ini, nilai saham yang telah kita disenaraikan menghampiri RM 1 bilion yang tidak mungkin dapat disenaraikan.

Dalam masa terdekat ini, kita akan bentangkan syarikat ini yang sudah disenaraikan dan akan disenaraikan. Ini satu cara baik kerana cara dulu, ia tidak dapat bertahan, tidak mapan.

Saya hendak beritahu, jangan terkejut RM60 bilion saham yang diagihkan kepada bumiputera pada masa dahulu, hari ini tinggal dua bilion saja pegangan.

Kenapa? Sebab tidak ada kemampuan hendak pegang saham, tidak sustainable, jadi kalau beri saham , kalau kita tanya mengapa jual saham. Dia kata mengapa tidak boleh jual, harga saham naik, saya jual. Betul juga. Tetapi bila dia jual saham apa dia guna kekayaan dia? Tambah beli rumah ke, tambah kereta atau tambah hak lain?

Maknanya tidak sustainable. Jadi di bawah hala tuju baru kita hendak gunakan prinsip meritokrasi tetapi di kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Kalau kita hendak tolong syarikat-syarikat disenaraikan, mesti terbukti kewibawaannya sebagai pengusaha yang komited dan tulen.

Saya kata kepada mereka, bukan siapa yang anda kenal tetapi anda tahu bagaimana.

Syarikat-syarikat yang disenaraikan itu bukan orang yang saya kenal atau siapa yang kenal mereka, tetapi kita ambil mereka kerana sudah ada track record.

Kalau kita hendak tolong mesti tolong orang yang benar-benar akan menjadi pengusaha yang berjaya kerana dia mempunyai sistem nilai yang positif dan komited. Kerana apa, mereka berjihad untuk berjaya dalam bidang itu.

Lanjutan daripada itu, di bawah program Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) kita sedang dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat bumiputera yang ada kemampuan untuk berjaya dan kita akan membantu syarikat tersebut menjadi sebagai syarikat yang berpotensi menjadi lebih besar.

Kalau pulangannya RM100,000 tahun ini, kita mahu ia naik kepada RM1 juta, sehingga RM100 juta dan peringkat domestik kepada pemain antarabangsa.

Kita akan bentangkan program ini untuk kenal pasti dan bantu jadi lebih berjaya lagi. Ini akan kita umumkan dalam masa dua tiga bulan akan datang.

Kita sedang membuat pangkalan data insya-Allah program ini satu pendekatan baru berdasarkan kepada prinsip meritokrasi, tiada lagi soal kroni atau siapa yang kamu kenal. Bukan rakan atau kawan kita tetapi benar-benar boleh berjaya orang itulah kita bantu.

Pernah dulu ramai datang, datuk boleh tandatangan tak surat. Saya kasihan, bukan tidak mahu tolong tetapi kadang-kadang apabila saya tandatangan dan bila diperiksa belakangnya bukan bumiputera.

Kebanyakannya makan atas angin. Sewaktu menjadi Menteri Besar Pahang dahulu, bila keluar daripada pejabat saya, di tempat letak kereta kita tengok dia sudah berurusan dengan orang lain.

Dia tidak perasan, saya perhatikan dia. Muka orang Melayu dan syarikat nama Melayu tetapi dapat tender balak jual kepada orang lain. Ada istilah lego (let go) tapi maknanya kalau ada amalan seperti ini maka berlaku ketirisan, sampai kucing bertanduk pun kita tidak akan maju.

Kalau tidak ubah sikap, nilai kita, sampai bila pun kita akan bergelut dengan isu yang sama, apa yang kita hendak ialah orang yang komited dan sanggup berjihad. Maknanya, bukan kerajaan saja bantu, kita perlu bantu diri sendiri untuk maju dalam ekonomi.

Kita galakkan program pembangunan vendor. Saya tengok syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd, dan Telekom Malaysia tetapi ada yang sudah berasa selesa menjadi vendor dan tidak mahu berhijrah keluar dan menjadi syarikat yang berdikari

Macam kelas F, syok jadi kelas F, tidak mahu menjadi kelas lebih tinggi. Saya hendak tekankan perkara ini supaya kita faham bahawa dalam bidang ekonomi, kalau hendak berjaya, kena kedua-dua sekali, macam kita tepuk tangan.

Bukan sahaja kerajaan, masyarakat bumiputera pun mereka juga perlu memperlihatkan kesungguhan untuk berjaya. Ada juga syarikat bumiputera yang berjaya. Baru-baru ini sebuah syarikat membeli sebuah syarikat di Australia dalam bidang minyak dan gas.

Apa yang saya harap bumiputera yang sudah berjaya menjadi syarikat besar ini perlu mempunyai program pembangunan vendor bagi membantu syarikat lain. Bukan setakat memberi sumbangan kebajikan saja, tetapi membantu melahirkan lebih banyak usahawan bumiputera yang boleh dibantu oleh syarikat yang berjaya.

Itulah yang saya dapat gambarkan bahawa komitmen kita untuk melahirkan masyarakat yang adil dan saksama, merupakan komitmen kerajaan.

Kita jangan takut kepada perubahan, sebab kalau kita hendak mempertahankan keadaan sedia ada tetapi keadaan sudah berubah, kita mesti menangani perubahan dan sanggup melakukan adaptasi supaya kita berjaya dalam iklim yang kompetitif.

Keadaan ekonomi dunia berubah, kuasa-kuasa baru muncul seperti China dan India. Era liberalisasi menjadi satu yang tidak dapat kita hendak cuba lawan perubahan. Kita akan berdepan dengan satu tekanan yang tidak mungkin dapat kita hadapi.

Apa yang perlu dilakukan oleh golongan bumiputera adalah melakukan penyesuaian dalam struktur baru iklim ekonomi ini supaya kita lebih berjaya.

Saya berharap kita dapat mengambil sikap positif dalam hal ini walaupun kita ada kelemahan dan kekurangan ini dan ini termasuk di pihak kerajaan.

Tetapi kalau kita ada constructive engagement dengan masyarakat Melayu bumiputera, saya percaya kita akan lebih berjaya pada masa akan datang.

Saya inginkan apabila fajar menyingsing pada 1 Januari 2020, bila Malaysia diisytiharkan sebagai negara maju saya ingin melihat Melayu juga diiktiraf sebagai satu bangsa yang berjaya dan maju.

Ini adalah komitmen kerajaan, mesti realisasi komitmen ini, kerjasama dengan NGO-NGO seperti Gabem amat penting dengan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera.

Lebih banyak NGO tidak mengapa asalkan bersama-sama dalam satu kapal untuk memperjuangkan untung nasib Melayu bumiputera. Kita mempunyai hala tuju yang jelas tidak ada kapal lain memperjuangkan agenda Melayu bumiputera.

Saya ucapkan tahniah kepada Gabem kerana menganjurkan majlis dalam Ramadan penuh dengan berkat. Seramai 5,000 peserta yang hadir. Kita mesti jadi fasilitator dan jadi jangan terminator.

Kita mesti menjadi rakan kongsi kerajaan untuk memperjuangkan agenda ekonomi orang Melayu bumiputera dan bahawa di bawah kepimpinan UMNO dan BN, komitmen yang lahir daripada konvensyen ini, tindakan yang akan dilakukan, kita akan perkasakan agenda Melayu bumiputera supaya lebih berjaya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Apa mahu dikejar Naib Canselor Universiti Malaya?

Posted:

Apa mahu dikejar Naib Canselor Universiti Malaya?

Apa mahu dikejar Naib Canselor Universiti Malaya?

Oleh Azman Anuar

APABILA Datuk Rafiah Salim mengesahkan kontrak perkhidmatannya sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) tamat pada 7 November 2008, ramai sudah menjangkakan sebabnya.

Rafiah yang dilantik sebagai Naib Canselor UM pada 1 Mei 2006 tidak begitu disenangi oleh sesetengah warga akademik universiti itu.

Lalu jawatan Rafiah diberikan kepada bekas Presiden Universiti Multimedia (MMU), Tan Sri Datuk Dr. Ghauth Jasmon.

Rupa-rupanya, rasa tak puas hati kepada Rafiah turut melanda Ghauth. Sesetengah pelajar dan sekumpulan ahli Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) menyatakan rungutan mereka yang tidak senang hati dengan beberapa polisi baru yang diperkenalkan oleh Naib Canselor itu.

Gaya, kaedah, dan tindakan kepimpinan Ghauth tidak disenangi. Kalau kita baca kenyataan akhbar ahli dan Presiden PKAUM mengenai pengurusan Ghauth - jika benar-benar berlaku, ia amat menyedihkan kepada masa depan agama, bangsa dan negara.

Peletakan jawatan 122 orang yang bergelar profesor, profesor madya dan pensyarah serta ahli akademik dalam tempoh dua tahun sahaja (2009-2010) mengundang persoalan. Kenapa golongan pakar-pakar bidang dan profesor kanan melepaskan jawatan dari universiti yang berprestij ini? Kenapa bilangan seramai itu sanggup meninggalkan jawatan dan gaji yang tinggi?

Kita tidak boleh tolak hakikat bahawa mereka pergi meninggalkan UM bersama maruah. Mereka tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang lupa kepada dasar-dasar kerajaan.

Perkara yang menghairankan, apabila bilangan yang mahu meletakkan jawatan bertambah ramai, kenapa Ghauth tidak memujuk mereka? Kenapa beliau membiarkan mereka pergi hingga menyebabkan kini UM menghadapi krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar.

Dapatkah tenaga akademik yang diimport dari Negara Dunia Ketiga mengisi kekosongan mereka dalam erti yang sebenar-benarnya?

Saya bertambah hairan apabila yang pergi seramai 122 orang itu diganti oleh 480 orang pensyarah baru. Lebih mengejutkan mengapa diambil 80 peratus daripada jumlah itu pensyarah daripada negara asing seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India, Jordan, dan lain-lain.

Adakah tujuannya untuk menarik pelajar asing dari negara-negara berkenaan? Mengapa tidak menjemput sahaja pensyarah daripada negara maju supaya mudah taraf UM boleh melonjak ke tangga teratas dalam kedudukan universiti di dunia.

Sekarang apa yang berlaku dalam UM ialah kualiti pengajaran ilmu dalam bahasa Melayu pada peringkat ijazah hingga sarjana dan Ph.D mulai terjejas. Semangat tenaga pengajar UM bagaikan disentap apabila prosedur kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan, profesor madya, dan profesor diperketatkan. Syarat calon menerbitkan dalam jurnal ISI (berbahasa Inggeris antarabangsa) diutamakan dan penerbitan dalam bahasa Melayu kurang diberi perhatian.

Ini bermakna UM lebih mengutamakan bahasa Inggeris daripada bahasa kebangsaan sendiri.

Barangkali pengurusan Ghauth mahu mengejar penarafan gabungan antara Times Higher Education Supplement (THES) dan syarikat Quacquarelli Symonds (QS), atau lebih dikenali sebagai THES-QS. Mungkin laporan 8 Oktober 2009 mengenai tembelang yang mempamerkan muslihat penarafan THES-QS terbongkar setelah pihak THES dan QS tidak lagi bergabung --tidak dibaca pihak UM.

Jadi apa yang hendak dicari dengan penarafan universiti di dunia jika ia lebih tentang 'angka' daripada 'isi.' Apa yang nyata ialah kedudukan UM lebih parah jatuh ke tangga 207 (2010) daripada tangga 180 (2009) sedangkan ia telah melibatkan kos yang tinggi daripada segi kewangan dan moral.

Seorang rakan yang juga bekas Naib Presiden PKAUM 2005-2006, Prof. Rahim Abdul Rashid memberitahu, beliau sedih melihat UM di bawah teraju dua Naib Canselor bagaikan tiada wawasan kebangsaan dan tidak ada kualiti kepimpinan.

Trend yang berlaku sekarang wujud naib canselor bersikap mahu semua mengikut arahan mereka sahaja. Hal ini berbeza dengan universiti di United Kingdom dan negara maju lain yang bersikap lebih demokratik.

Kepimpinan universiti di negara ini perlu diubah berasaskan kriteria yang sesuai dengan aspirasi nasional dan antarabangsa supaya Malaysia boleh maju.

Naib canselor yang didapati gagal memenuhi aspirasi nasional harus diketepikan dan diganti.

Janganlah pihak universiti di negara ini terlalu terikut-ikut dengan rentak yang tidak mendatangkan keuntungan, sebaliknya merosakkan sistem yang telah kita bina selama ini.

Ingatlah UM bukan milik individu. Ia adalah milik rakyat Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved